Rahsia Menjaga Wajah Supaya Sentiasa Menawan [PETUA MEMIKAT SUAMI
>> Tuesday, January 3, 2012
PETUA MEMIKAT SUAMI
RAHSIA MENJAGA WAJAH SUPAYA SENTIASA MENAWAN
Menjaga kulit muka amatlah penting kepada kaum wanita, dan mestilah diamalkan sejak awal lagi tanpa meninggalkannya.
Menurut Fatimah Yassin dalam ceramahnya, bagaimana jelitanya sekalipun seorang wanita itu, dia tidak akan dipandang cantik, jika kulit mukanya tidak bersih, ditumbuhi jerawat, bintik-bintik hitam dan lain-lain yang menghodohkan wajahnya.
Justeru itu penjagaan kulit muka lebih penting dari solekan. Beliau mengingatkan, bagi wanita yang mengenakan make-up tanpa menjaga kebersihan kulit muka mereka, lama kelamaan kulit muka mereka akan rosak, cepat berkedut dan dihinggapi penyakit kulit.
Pada umumnya kulit muka kita terbahagi kepada empat jenis yang berkehendakkan penjagaan rapi, iaitu:
1]Jenis Kering
2]Jenis Berminyak
3]Jenis Campuran [kombinasi]
4]Jenis Pudar [sallow skin]
JENIS KERING
Biasanya kulit jenis ini, lembut dan cepat berkedut, kalau tidak diberikan penjagaan yang sempurna.
Katanya sebelum masuk tidur, bersihkan make-up dengan krim pencuci muka, kemudian basuh dengan sabun yang lembut yang sesuai untuk kulit muka.
Jangan basuh dengan air yang terlalu panas atau terlalu sejuk. Serta gunakan tuala muka yang lembut, dan digosokkan kepada muka secara perlahan untuk merangsangkan kulit.
Setelah muka dibersihkan, urut muka selama 10 minit, dengan krim pelembab atau krim malam. Mana-mana krim yang tidak meresap ke dalam kulit, bersihkan dengan tisu.
Sebelah pagi, basuh muka dengan sabun dan air atau gunakan cleansing milk, kalau kulit anda terlalu kering, segarkan kulit anda dengan penyegar yang lembut [freshner] dengan menggunakan kapas yang dibasahkan dengan air sejuk.
Asas make-up [foundation] yang mengandungi pelembab sesuai untuk kulit jenis kering, gunakan krim pelembab sebelum memakai asas make-up. Ini dapat menjaga kulit anda supaya sentiasa segar.
Beliau juga mengingatkan, supaya anda mempastikan makanan harian anda,mengandungi cukup zat lemak, terutama mentega dan susu, dan juga vitamin daripada buah-buahan segar, sayur-sayuran hijau dan daun salad.
KULIT BERMINYAK
Katanya membersihkan kulit berminyak dengan teliti, dapat mengurangkan minyak, sebaliknya kulit akan bertambah segar dan lembut.
Sebelum tidur malam, bersihkan muka dengan pembersih jenis losyen. Kemudian basuh dengan sabun dan air. Gunakan tuala lembut atau berus muka yang lembut dan digosokkan dengan cara perlahan-lahan pada muka. Bilas dengan air suam hingga bersih, kemudian bilas dengan air sejuk.
Jika kulit muka mula menampakkan kedut-kedut atau menjadi kering, anda hendaklah mengurutnya beberapa minit dengan menggunakan krim pelembut kulit [nourishing cream].
Selepas itu bersihkan dengan kertas tisu. Kemudian segarkan kulit dengan penyegar [astringent lotion] yang dibubuhkan pada kapas yang sudah dibasahkan dengan air sejuk.
Tepuk-tepukkan pada muka mengikut arah ke atas dan keluar. Ini dapat menolong menegang dan menyegarkan kulit serta mengeluarkan baki kotoran dan minyak.
Pada sebelah pagi, bersihkan muka seperti itu juga. Kulit muka yang berminyak mesti kerap dibasuh. Seminggu sekali gunakan “mask” muka. Ini dapat menjadikan kulit muka halus, dan menjauhkan liang roma daripada kekotoran.
Beliau menasihatkan anda supaya menjauhkan daripada makanan yang berempah, sebaliknya banyakkan memakan makanan yang segar, buah-buah, sayur-sayuran hijau dan salad.
KULIT KOMBINASI
Kulit kombinasi ini sebahagian kering dan sebahagian lagi berminyak. Biasanya di bahagian pipi, kulit menjadi kering dan menggelupas. Manakala di bahagian hidung, dagu dan di bahagian dahi berminyak.
Cara-cara menjaga kulit jenis ini, sama seperti menjaga kulit jenis kering, tapi anda hendaklah menjauhi penggunaan krim pelembab pada bahagian yang berminyak.
Katanya bahagian yang berminyak hendaklah dibersihkan dengan teliti seperti membersihkan kulit yang berminyak dan segarkan dengan losyen penyegar di sebelah pagi dan malam, sebelum menggunakan asas make-up.
Asas make-up jenis cecair [liquid cream foundation] adalah paling baik untuk jenis kulit kombinasi ini.
KULIT PUDAR
Menjaga kulit jenis pudar ini, sama seperti menjaga kulit jenis lain. Gunakanlah ”mask” muka seminggu sekali. Ini dapat memutihkan atau mencerahkan kulit muka.
Fatimah Yassin mengingatkan, “Yang paling mustahak menjaga kulit ini ialah makanan kita. Banyakkan memakan buah-buahan, sayur-sayuran dan salad. Banyakkan juga minum air kosong. Jauhkan daripada sembelit. Lakukan banyak senaman di udara bersih”.
Menurut beliau, kulit keseluruhan badan juga memerlukan penjagaan teliti untuk menjadi halus dan lembut juga. Tiap-tiap kali selepas mandi sampukan losyen badan [body lotion] ke seluruh badan anda. Dengan berbuat demikian, kulit badan akan sentiasa halus dan lembut.
Maafkan saya untuk menyatakan bahawa di saat ini saya terkenangkan isteri saya, Asiah Yaacob, semoga Allah melimpahi rahmat ke atasnya, kerana dalam masa hayatnya, beliau kerap mencucui muka saya dengan bahan-bahan pencucui muka yang khas kepunyaan beliau......Tapi kini semuanya telah berlalu, dan meninggalkan kenangan-kenangan abadi yang terpahat dalam hati buat selama-lamanya.
Maafkan juga saya, untuk mengatakan bahawa, ada baiknya juga sekali sekala jika anda sebagai isteri mencucui muka suami anda atau memotong misainya, mengerat kukunya dan lain-lainya dengan menggunakan alat-alat make-up anda, yang akan merupakan satu cara untuk memikat dan menambat hati suami pada anda dan keluarga anda yang akan menjadi bunga-bunga kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakannya.
xxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni
0 comments:
Post a Comment