Nostalgia Pinang Meminang

>> Sunday, January 8, 2012




NOSTALGIA PINANG MEMINANG



Biasanya sebelum seseorang lelaki dan wanita diijabkabulkan sebagai suami, mereka terlebih dahulu menempoh adat pinang meminang. Biasanya dalam masyarakat kita, yang masuk meminang adalah lelaki untuk meminang wanita dan yang kena pinang atau yang dipinang ialah wanita.



Pinang meminang adalah tindakan pertama kepada seorang lelaki dan seorang perempuan sebelum mereka dinikahkan untuk membolehkan mereka hidup bersama sebagai suami isteri dan melahirkan keturunan yang akan mewarisi bumi Allah ini.



Memi, semoga berbahagia



Pada hari Jumaat lepas [12 Safar 1433H-6 Januari 2012], anak saudara kami, “Mimi” telah dipinang oleh seorang pemuda dalam satu majlis yang sederhana tapi meriah di rumah adik kami “Pak Din” di Kg. Amil, Besut. Kami turut hadir di majlis yang amat besar maknanya kepada kedua-dua bakal pengantin baru itu.



Kami percaya kedua-dua bakal pengantin telah berpuas hati dengan keputusan yang mereka ambil untuk bertunang itu. Kami percaya mereka telah membuat keputusan yang tepat dari berbagai-bagai sudut untuk menjadi suami isteri nanti dengan restu ayah dan bonda mereka kedua-dua belah pihak.



Dengan keyakinan itu, insyallah pertunangan akan terus berlanjutan hingga diijbalkabulkan sebagai suami isteri tanpa berpatah balik ke belakang di separuh perjalanan untuk sampai ke puncaknya.



Kerana itu bila seorang lelaki meminang seorang wanita bererti dia telah menanam azam yang kuat dalam sanubarinya untuk mengambil wanita itu sebagai isterinya, dan bersedia mendedahkan kepada umum akan hasratnya yang suci itu.



Oleh itu perbuatan berpatah balik dalam pertunangan amatlah tidak patut, kerana boleh melukakan hati orang yang jadi mangsa dan juga keluarganya yang mungkin akan merasa terhina dan malu yang akan merosakkan silatuhrahim kedua-dua belah pihak.



Menghadiri majlis-majlis seperti ini biasanya mencetuskan ingatan yang mengocakkan hati. Biasanya pada masa-masa yang lalu, dalam majlis-majlis keluarga seperti ini, terutama majlis perkahwinan, isteri saya Asiah Yaacob akan bekerjasama memberi sumbangan tenaganya terutama bagi pihak perempuan. Biasanya beliau memain peranan menjadi juru make-up kepada pengantin perempuan dan juga lain-lain khidmat yang diperlukan.



Kerana itu walaupun telah dua tahun lebih berlalu, nama beliau biasanya masih lagi disebut-sebut ketika diadakan sesuatu majlis.”Kalau Cik Yah ada, kalau Kak Yah ada, kalau Yah ada……….. dan sebagainya”. Demikianlah ingatan mereka kepada beliau. Ya Allah reda dan ampunilah beliau dan cucurilah rahmatMu ke atasnya.



Demikian juga dengan bonda kami, Maimunah Ismail [semoga Allah limpah rahmat ke atasnya] akan melahirkan tanda-tanda kegembiraan dan kesyukurannya yang tidak dapat digambarkan di majlis keluarga yang seperti ini. Akan sibuklah beliau dengan cara beliau sendiri.



Mengimbau kembali masa yang lampau, masa yang diambil kami untuk berkahwin selepas bertunang, amatlah singkat.



Setelah membuat keputusan untuk meminang isteri saya, terlebih dahulu saya memberitahu Allahyarham Dato’ Yusof Zaky Yaccob [kami panggil beliau Abang Soh] dan isternyai Datin Azizah [ yang kami panggil Kak Wan], dan berjanji akan membawa bakal isteri saya itu menemui mereka berdua.



Sewaktu beliau berihat di rumah Tumpangan di Tumpat, saya telah membawa dan memperkenalkan bakal isterti saya itu kepada mereka berdua dengan bantuan seoerang sahabat saya, wartawan Allahyarham Ustaz Rafie Hj.Taib.



Berkebentulan pada malam itu di Tumpat diadakan malam menyambut Lui Keratong di kalangan masyarakat Thailand. Pada malam itu ramai orang-orang Thai, terurtama muda mudinya membanjiri tepi pantai Bandar Tumpat, dan melepaskan perahu-perahu kecil yang mereka terangkan dengan lilin ke laut. Suasana kelihatan begitu menarik sekali dengan kelap-kelip api lilin dihembus angin laut yang bertiup tenang memabwa perahu-perahu kecil arah ke tengah laut.



Abang Soh telah mengatakan persetujuannya dengan pemilihan saya itu dan kemudiannya berlangsunglah acara meminang. Beliaulah yang menyediakan segala bahan-bahan keperluan pertunagnan saya itu. Saya tidak perlu mengeluarkan sesen pun untuk majis itu.

Dari Kiri:Kak Dah, Cik Su, Memi, pamannya dan ayahandanya Pak Din di majlis pertunangan



Pada masa itu saya bekerja di Pustaka DIAN yang dimiliki oleh beliau dan bertugas khusus untuk menerbitkan MINGGUAN KOTA BHARU seminggu sekali. Beliau pula menjadi Ketua Pengarang DIAN DAIJES yang diterbitkan sebulan sekali.



Aduhai rindunya hati ini, nostalgia indah yang mewarnai hidup yang menjadi permulaan kepada pembinaan sebuah rumah tangga yang kekal berpuluh-puluh tahun dan hanya berpisah dengan kematian.



Saya iringi dengan doa semoga perkahwinan “Memi” nanti akan dilimpahi dengan kebahagian dan berkekalan dari dunia hingga ke akhirat.



Dan saya juga suka mengulangi bahawa pertunangan bukanlah teket untuk menghalalkan perkara-perkara yang dilarang oleh adat dan Syara’, maka dengan itu kedua-dua belah pihak hendaklah bekerja sama untuk menjaga diri masing-masing supaya tidak terlanggar pantang larang yang telah ditetap oleh agama.



Ingat-ingatlah masa bertunang adalah masa yang misteri, masa yang penuh impian dan khayalan, masa saspen, masa yang penuh dengan dugaan dan cabaran, dan masa ujian yang perlu dijalani dengan iman dan takwa. Semoga kita selamat di dunia dan berbahagia di akhirat.



Amin!



xxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambah Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP