Bertafakur Dengan Cacing Yg.Berjasa Kepada Umat Manusia

>> Thursday, February 2, 2012


Bertafakur Dengan

CACING-CACING YANG BERJASA KEPADA UMAT MANUSIA



Baginda Rasulllah S.A.W. berpesa kepada kita supaya memerhati dan memikirkan mengenai perkara-perkara di sekeliling kelalang kita,untuk membolehkan kita mengenali hakikat yang maha besar yang ada di alam wujud ini, kuasa yang teragung dan termulia. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Berfikir satu jam lebih baik daripada ibadat satu tahun”.



Seekor Cacing



Melihat seekor cacing yang mengelempar-gelempar atas jalan minyak tar yang panas telah mencetuskan kenangan yang panjang dalam ingatanku. Masa itu saya masih kanak-kanak kampung yang cergas dengan berbagai-bagai aktiviti budak-budak kampung. Masa itu, cacing adalah merupakan sebahagian daripada kehidupan kami budak-budak kampung.



Bila sawah-sawah ditumbuhi dengan tanaman pokok padi, ertinya air di petak sawah telah memenuh, dan biasanya pada suatu ketika musim hujan pun tiba. Bila anak-anak semaian padi telah berdaun hijau dan mulai melebat, ikan-ikan dalam petak sawah telah membesar dan bertambah banyak.



Ada berbagai-bagai jenis cacing, ada yang berguna besar dan juga yang menjadi parasit kepada manusia



Pada masa itulah, sebahagian daripada kami budak-budak kampung, akan melibatkan diri mereka dalam aktiviti mencari ikan di sawah. Biasanya kami menggunakan jurang yang khas yang ada beberapa nama, seperti tauk, sidin dan kail, tuai, bubu,dan temilar. Tapi kebanyakan kanak-kanak menggunakan jurang untuk menangkap ikan.



Tauk dan sidin adalah sejenis joran yang diperbuat daripada bilah-bilah buluh yang dirauk, dan diberi bertali yang bermata kail dihujungnya. Ukurannya pendek sahaja, hanya beberapa kaki. Dan sidin atau tauk ini bila dibubuh umpam, akan dipacakkan pada batas sawah dan ditinggalkan di situ. Kami hanya datang semula memeriksanya pagi keesokan hari atau beberapa jam kemudian, untuk menengok kalau-kalau ada ikan telah menangkapnya, ataupun ada tauk yang telah habis umpannya dan perlu diganti baru, tapi ikan tidak tersangkut. Umpan itu mungkin dikutis oleh anak-anak ikan kecil.



Umpan Cacing



Pada umumnya umpa-umpan tauk atau sidin itu adalah cacing. Cacing-cacing itu diperolehi dengan menggalinya dalam tanah dengan menggunakan cangkul. Biasanya beberapa ekor cacing diperlukan untuk sekali memancing, dan ini tergantung kepada berapa banyak tauk yang digunakan. Cacing-cacing itu dikerat beberapa bahagian sepanjang mata kail untuk menyumbat mata kail di dalamnya. Bila ikan menelan umpan cacing itu, maka ditelannya dengan mata kailnya sekali, maka tersangkutlah mata kail yang bengkok itu di mana-mana bahagian mulutnya.



Biasanya yang memakan umpan-umpan cacing itu terdiri dari ikan-ikan kecil, terutama sekali ikan puyu-puyu, ikan sepat, ikan belida atau ikan sebelah dan juga anak-anak haruan.



Ikan-ikan besar, seperti ibu haruan atau bapak haruan biasanya memakan umpan yang lebih besar, iatu sejenis katak atau kodok hidup yang disangkut bahagian belakangnya pada mata joran atau kail, dan digantung di permukaan air, maka dengan itu dia bebas melompat ke sana ke mari sejauh tali kail itu membenarkannya. Mana-mana ikan yang berada berhampiran akan tertarik dan menyambar katak yang sedang melompat itu, dan bila dia menelannya, maka yang ditelannya ialah bersama-sama dengan mata kail itu sekali, dan menyebabkan dia tersangkut di situ untuk dijadikan habuan pengailnya.



Kami kanak-kanak tidak menggunakan bubu, temilar untuk menangkap ikan sawah, kerana kami tidak pandai membuatnya dan tidak pula mampu untuk membelinya, kerana itu alat yang biasa kami gunakan ialah kail atau joran sahaja.



Untuk menangkap ikan-ikan di sungai, kami tidak menggunakan tauk atau sidin tapi joran yang panjang batangnya, dan kami tidak meninggalkannya di situ, dan biasa juga kami menggunakan sejenis alat khusus yang diperbuat daripada sabut kelapa yang digantungkan tali yang dikat dengan mata kail.



Yang digunakan sebagai umpannya pula cukup istimewa. Tahi sendiri. Sebelum menggunanya, kami terpaksa berak dahulu, dan tahinya mesti tidak terlalu keras atau cair, kemudian tahi ini digentel pada mata kail dengan menggunakan ranting kayu atau bilih buluh. Alat ini kami panggil pelampung.



Bila siap mata kail itu ditutup dengan tahi, maka kami pun membawa pelampung itu dengan berjalan ikut tebing sungai ke bahagian ulu sungai sejauh yang mungkin, kemudian membawanya dengan berenang ke tengah sungai yang kami rasa ada ikan, dan melepasnya untuk hanyut, kemudian kami berenang semula ke tebing, dan mengikuti pelampung yang hanyut itu ke hilir, ikut jalan darat. Kalau tidak ada ikan yang menangkapnya, kami akan ikuti pelampung itu sejauh yang mampu, dan berenang semula untuk mengmbilnya untuk digunakan lain kali pula. Dan kalau nasib baik, ada ikan menangkapnya, kami akan berenang mengambilnya dan menarik pelampung dan ikan itu ke tebing.



Biasanya yang suka memakan umpan tahi ialah ikan juara yang pada masa itu memang banyak terdapat di sungai di kampung kami, Kampung Salor.



Takutkan Cacing



Berhubung dengan cacing pula ramai orang yang jijik melihat cacing. Mereka yang melihatnya menjadi geli gemam, seolah-olah amat kotornya, sedangkan cacing itu hanya hidup dalam tanah dan mendapat makanannya dari dalam tanah., dan dalam perutnya pula bila dikerat penuh berisi sesuatu yang seperti tanah.



Cacing ialah sejenis haiwan yang lembut, dan mempunyai ribuan jenisnya, di antaranya ialah cacing kerawit, cacing kermi, cacing pita, cacing piala, cacing panah, cacing lidah, cacing beldu, cacing kacang, dan yang paling terkenal ialah cacing tanah. Di kampung saya, cacing tanah ini dikenali dengan panggilan cacing gelang, kerana lehernya bergelang.



Tempat tinggalnya di tanah, dalam air dan lebih istimewa lagi di dalam perut manusia atau binatang. Cacing tidak mempunyai anggota, seperti sayap, kaki atau tangan dan keadaannya bulat atau pipih memanjang.



Malah ada pula sebahagian daripada manusia takut melihat cacing sebagaimana ada orang yang takut pada lipas dan cicak. Orang yang takut pada cacing dikenali dengan nama scoleciphobia atau verminphobia, iaitu sejenis ketakutan yang tidak wajar.



Tapi sepatutnya setiap orang dari kita bila melihat cacing tanah, dan seumpamanya bertanya kepada diri sendiri apakah gunanya cacing-cacing itu kepada mereka? Adakah cacing-cacing itu Allah jadikan sia-sia tanpa sebarang guna. Sedangkan Allah telah berkata, tidak ada suatu pun yang Allah jadikan di dunia dengan sia-sia atau main-main?



Cacing tanah atau cacing gelang yang amat besar gunanya kepada alam dan manusia



Pandangan kita yang sepintas lalu, lebih-lebih lagi dengan rasa jelik dan jikik seperti tidak mampu membuka hijab seekor makhluk Allah yang bernama cacing itu. Kita sepatutnya memerhati dan memikirkan dengan lebih teliti dan jauh, apakah rahisanya Allah jadikan cacing dan binatang-binatang kecil lain seumpamanya yang terdapat di sekeliling kelalang kita? Apakah gunanya cacing-cacing itu kepada kita dan alam seluruhnya?



Ia memerlukan renungan yang jauh dan kajian yang teliti untuk membongkar segala rahsia Allah yang tersembunyi di sebalik seekor cacing yang kecil dan hidup dalam tanah itu.



Cacing Azan



Kalau kita tinggal di kampung, bila masuk waktu Maghrib biasanya akan kedengaran semacam bunyi berdengung yang bergetar yang datang dari dalam tanah atau bumi. Kata orang-orang tua, bunyi berdengung itu adalah bunyi “cacing” seolah-olah melaungkan bang atau azan.



Mengikut pengamatan saya, “cacing” itu akan berbunyi selepas tidak berapa lama suaran azan berhenti berkemundang dan akan berhenti kira-kira antara lima hingga sepuluh minit kemudian.



Ketika saya kanak-kanak dahulu, ketika pertama kali diberitahu tentang “cacing” azan, saya merasa ragu-ragu. Untuk mempastikannya pada suatu Maghrib, saya turun dari rumah mencari arah mana bunyi “cacing” itu kedengaran azan, lalu saya hentak-hentak kaki saya di situ dengan kuat, dan tidak lama kemudian, saya dapati “cacing” itu segera berhenti berdengung.



Pada hari ini pun, saya masih mendengar lagi suara “cacing” itu dari dalam tanah dekat dengan tempat tinggal kami setiap tiba waktu Maghrib selepas beberapa minit azan dikemundangkan.



Orang-orang tua dahulu kadang-kadang mengingatkan anak-anak cucunya yang masih belum masuk rumah sedang senja telah larut dengan berkata, “cacing dah lama bang ni. Dengar tu”, ertinya waktu Maghrib delah lama masuk, masuk rumahlah.



Tugas Cacing



Berhubung dengan cacing ini saya teringat kepada pendapat Abdul Razzak Naufal yang pernah mengunggkapkan sebahagian daripada rahsia-rahsia cacing dalam tulisanya. Saya angkat pendapat beliau untuk dikongsi bersama, semoga memberi manfaatnya kepada kita semua.



Kata beliau, sesudah menjalankan beberapa penyelidikan yang memakan masa yang agak lama, para sarjana telah menemui hakikat yang menakjubkan bahawa cacing tanah adalah sejenis binatang yang paling berguna dan lebih banyak memberi manfat kepada manusia daripada haiwan-haiwan lain, seperti lembu dan unta.



Beliau menjelaskan, bahawa telah diketahui bahawa peranan cacing adalah penting untuk menganginkan tanah. Semasa mengorek tanah, cacing-cacing itu membuat lubang-lubang yang membolehkan akar-akar tumbuhan-tumbuhan menjalar ke dalam tanah, menganginkan tanah yang masuk menerusi lubang-lubang itu, dan menreusi lubang-lubang itu air juga masuk ke dalam tanah.



Cacing-cacing itu berperanan mengisar tanah-tanah sehingga sesuai untuk ditumbuhi tanaman-tanaman.



Cacing-cacing itu juga bertindak menarik daun-daun pokok dan benda-benda seumpamanya masuk ke dalam tanah sehingga menjadi baja yang menyuburkan bumi untuk bercucuk tanam.



Sir John Athur pernah berkata, jumlah cacing-cacing tanah di suatu kawasan pertanian di Britain yang seluas satu ekar ialah 50,000 ekor. Saluran hadaman cacing-cacing ini dilalui oleh 10 tan tanah setiap tahun di dalam satu ekar, dan cacing-cacing itu menutupi permukaan tanah itu dengan sisa-sisanya setebal tiga inci pada setiap lima belas tahun. Dengan itu cacing-cacing itu sebenarnya adalah sebesar-besar penyubur tanah di dalam dunia dan merupakan binatang yang paling berfaedah dari segi praktiknya”.



Mengikut para sarjana, cacing-cacing tanah ini merupakan pembajak tanah yang paling berkesan sebelum alat-alat pembajak dikenali. Malah kesanya ke atas tanah-tanah pertanian mengatasi kesan-kesan haiwan-haiwan yang lain seluruhnya.



Selain daripada bertindak menggemburkan tanah, menganginkannya, mengelokkan cara-cara bekalan air dan memudahkan pertumbuhan tanaman-tanaman, maka cacing-cacing itu juga menumpukan usaha kepada mengadakan bahan-bahan makan di tanah dan membekalkan secukupnya bahan-bahan yang diperlukan oleh tumbu-tumbuhan.



Dalam hal ini, cacing-cacing itu mempunyai kelenjar-kelenjar yang mengalirkan kalsium di dalam saluran penghadam ke atas bahan-bahan makanan, dan kalsium ini keluar bersama dengan tanah lelmbut yang dikeluarkan oleh cacing-cacing tersebut.



Cacing boleh hidup di darat, dalam air, bahkan dalm perut manusia dan juga haiwan. Berfikirlah!



Justeru itu, apa yang dikeluarkan dari cacing-cacing itu lebih sesuai untuk menjadi makanan tanam-tanaman dan mengandungi lebih banyak zat daripada tanah itu sendiri biar bagaimana sekali pun tanah-tanah itu dianginkan, dibajak dan dibaja melalui proses perindustrian moden.



Berniaga Cacing



Baharu-baharu ini telah populer dengan perniagaan cacing. Orang ramai digalakkan menternak cacing, di mana cacing-cacing yang matang itu akan dibeli dengan harga yang sewajarnya oleh penganjurnya.



Ramai juga orang tertarik dengan perniagaan yang agak luar biasa itu-berniaga cacing. Mereka tidak teragak-agak mengeluarkan modal untuk membeli bahan-bahan dan anak-anak cacing untuk diternak dengan harapan akan mendapat pulangan yang memberangsangkan. Kami pun pernah dipelawa untuk menyertainya.



Tapi malangnya perusahan ternak cacing itu telah lingkup. Cacing-cacing yang dipelihara, mungkin kerana kurang penyeliaan yang wajar, didapati mati sebelum sempat dimasukkan ke pasaran. Para penteranak menanggung kerugian. Dan hari ini perusahaan menternak cacing yang menjanjikan pendapat yang lumayan itu tidak lagi kedengaran lagi di sekitar tempat kami tinggal.



Walau bagaimanapun dalam internet masih ada lagi tawaran-tawaran untuk berniaga cacing.



Hikmah Berfikir



Itu baharu sekadar seekor cacing tanah yang kecil dan dipandang jijik dan memualkan sudah mengandungi rahsia-rahisa yang begitu besarnya yang tidak mungkin disedari oleh sebahagian besar dari kita kerana kita tidak memikirkanya.



Sedangkan Baginda Rasulllah S.A.W. berpesan kepada kita supaya memerhati dan memikirkan mengenai perkara-perkara di sekeliling kelalang kita, untuk membolehkan kita mengenali hakikat yang maha besar yang ada di alam wujud ini, tegasnya mengenalii Allah, kuasa yang teragung dan termulia. Itulah makrifatnya. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Berfikir satu jam lebih baik daripada ibadat satu tahun”.



Walau bagaimana pun orang-orang tua tidak juga terlepas pandang dengan kehidupan cacing-cacing ini, dengan memerhatinya sebagaimana mereka memerhati benda-benda lain sekeliling mereka, kerana itu mereka menjadikan cacing sebagai ojek peribahasa atau kiasan mereka untuk menggambarkan sesuatu keadaan, seperti orang kecil yang berusaha untuk menjadi orang besar-besar dikatakan, “Seperti cacing hendak menjadi naga”, orang yang selalu berada dalam keadaan resah gelisah dan tidak tenang diibaratkan “Seperti cacing kepanasan”, dan kepada perbuatan seseorang yang melampau dikatakan, “Seperti cacing naik ke mata”.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP