Menagih Pujian Meraih Bencana
>> Monday, February 13, 2012
MENAGIH PUJIAN MERAIH BENCANA
Kebanyakan manusia selepas mereka selesai dan berjaya melakukan sesuatu pekerjaan atau tugasan mereka akan merasa gembira dan menaruh harapan segala usaha mereka itu akan mendapat pujian dan sanjungan daripada orang lain, terutama daripada mereka yang telah merasa kenikmatan daripada hasil usahanya itu.
Begitu besarnya pengharapan untuk mendapat balasan itu, andainya tidak ada orang yang memberi balasan berupa hadiah kebendaan atau pujian dan sanjungan nescaya dia akan melenting marah, atau menyimpan rasa kecewa atau mendongkol dalam hati. Dan dari rasa tidak puas hati itu dia akan meluahkan kata-kata pedas kepada mereka yang berkenaan, “Tak kenang budi, tidak erti bahasa” dan berbagai-bagai cacian penghinaan lagi kerana tidak diberi sanjungan dan pujian yang diharap-harapkannya itu.
Menyedari hakikat itulah, orang-orang yang terlibat, terutama orang-orang bawahan dalam sesuatu institusi tidak teragak-agak untuk menzahirkan rasa terimakasih mereka secara terbuka dan kadang-kadang secara khusus, yang diadakan di dalam sesutu majlis untuk melahirkan sanjungan dan pujian terhadap orang yang mereka anggap berjasa, biasanya bos-bos atau ketua-ketua mereka.
Kadang-kadang penyampaian puji dan sanjung itu dilakukan secara untuk “ambil hati” sahaja, tanpa keikhlasan, umpamanya kerana takut tidak diberi perhatian oleh orng yang berkenaan di masa-masa akan datang, tidak dinaikkan gaji atau pangkat umpamanya, atau tidak diberikan hadiah-hadiah tertentu, seperti kemudahan-kemudahan yang memerlukan persetujuan bos.
Kerja-kerja yang dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sanjungan membuahkan hasil baik.
Ertinya pemberian pujian dan sanjungan itu tidak ikhlas, sebab itulah pujian itu dibuat secara berlebih-lebihan, malah kadang-kadang secara melampau dan tidak kena pada tempatnya, semata-mata kerana ada udang di sebalik batu. Itulah pujian mengampu, atau membodek kata orang sekarang,
Oleh itu tidaklah wajar kepada sesiapa sahaja yang berjaya melakukan sesuatu atau memberi bantuan dan pertolongan kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi kerana menjalankan tugas yang wajib sebagai pekerja, untuk mendapat pembalasan berupa pujian dan sanjungan yang menujukkan ketidakikhlasan mereka dalam bekerja dan memberi pertolongan. Sewahjarnya setiap perbuatan yang dilakukan adalah kerana Allah, tanpa mengharap untuk mendapat sanjugan dan pujian ataupun pemabalasan.
Semua kerja yang kita lakukan adalah kerana Allah. Semua usaha yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan. Hanya Allah yang akan membalasnya. Tanpa mengharap puja dan puji atau hadiah, lebih-lebih lagi andainya pujian itu dibuat secara di hadapan mata sendiri yang banyak menimbulkan persoalan kepada orang yang dipuji.
Bencana Pujian
Berhubung dengan hal ini Ibn Abbad Ar-Rondi ra. yang berkata, “Tidak ada yang lebih merbahaya kepada seorang murid lebih daripada kemasyuran dan sanjungan orang terahdapnya, kerana perkara tersebut merupakan bahagian penting dia diperintah supaya menyingkirkannya dan menentang nafsunya yang ingin mendapatkannya”.
Sementara Ibrahim Adham pula berkata, “Seseorang yang cintakan kemasyuran tidak boleh berlaku jujur dengan Allah”.
Bishar Al-Hafi ketika diminta nasihatnya berkata, “Sembunyikanlah kemasyuran anda, dan jadikan tempat makan anda riang gembira”.
Sahl bin Abdullah, ketika ditanya “Apakah yang paling sukar kepada nafsu?. Beliau menjawab, “Ikhlas, kerana tidak ada bahagian nafsu dalam ikhlas”.
Nabi Isa as. berkata, “Demikian juga dengan kearifan. Ia tidak boleh tumbuh kecuali dalam hati seperti tanah”.
Orang-orang Arif berkata, “Kian dalam anda kambus nafsu anda ke dalam bumi, kian tinggi hati anda naik ke langit. Kegelapan ialah rahmat kepada nafsu, tapi nafsu tidak menggemarinya, riyak ialah ujian dan kecelakaan, tapi nafsu menyendeng ke arahnya”.
Kemashyuran dan pristij ialah keinginan anda untuk mendapat sanjungan, pujian, dan penghormatan daripada orang lain.
Imam Ghazali terpakasa memakai kulit lembu di atas belakangnya ketika dia bertemu dengan gurunya, Syikh Al-Kharaz serta menyapu pasar dan menggunakan beg kulit berisi air untuk memberi minum kepada orang ramai.
Syikh Adda ra. berkata, “Kesahajaan ialah lidah kebenaran [al-hak]”.
Yang Arif Bishr pernah berkata, “Aku tidak mengetahui sesiapa pun yang ingin menjadi terkenal dan termasyur sehinggalah ia kehilangnan agamanya dan dia akan dihina. Seseorang yang mencari kemanisan akhirat, sudah pasti dia akan dikenali orang”.
Fudail Ibn Ayaad pula berkata, “Andainya mungkin kepada anda untuk tidak menjadi terkenal, lakukanlah. Apa masalahnya jika anda tidak terekenal? Justeru jangan bimbang jika ia tidak menyusahkan anda. Apa perlunya terkenal? Jangan bimbang jika anda dianggap tidak berguna di mata orang ramai, sedangkan dalam pandangan Allah anda seorang yang terpuji”.
Imam Al-Ghazali berkata, “Ketahuilah bahawa mencari kemashyuran adalah satu kesalahan, tapi andainya ia datang dari Allah tanpa sebarang ikhtiar atau usaha, ianya bukanlah satu kesalahan. Allah berfirman, “Negeri Akhirat itu Kami jadikan bagi orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan yang baik [syurga] bagi orang-orang yang bertakwa”. Al- Qashash: 83.
Baginda Rasulullah pernah bersada kepada Sayidina Ali Karamallah Wajha, “Apa yang membinasakan manusia ialah mengikut hawa nafsu dan ingin dipuji”.
Seorang Arif berkata, “Kita memohon keampunan kepada Allah dan kita memohon supaya dikurniakan kesihatan yang baik dan kebahagian hidup menerusi Kedermawan dan KemurahanNya. Penawar untuk seseorang yang suka dipuji dan benci dipersalah dan ditegur, ialah dengan jalan mencantah keinginannya yang kuat kepada orang lain untuk menjadikan mereka sasaran nafsu dan mencari tempat di sisi Allah; dan ketahuilah bila kamu mencari tempat dan kedudukan di dalam hati manusia dan merasa gembira dengannya, ia hanya boleh menyebabkan kamu jatuh daripada kedudukan kamu di sisi Allah, justeru bagaimana kamu boleh merasa gembira dalam keadaan seperti itu”.
Sesetengah daripada orang-oang salih lalu berkata, “Seseorang yang gembira dengan pujian telah membuka kemungkinan kepada syaitan memamsuki perutnya”.
Sesetengah daripada mereka juga ada yang berkata, “Jika kamu diberitahu, kamu adalah seorang yang sungguh istimewa! Maka lebih baik kepada kamu jika mereka katakan, “Kamu seorang keji, dan sesungguhnya di sisi Allah kamu adalah seorang yang keji”.
Seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan memuji seorang lelaki yang lain, maka berkatalah Baginda SAW kepadanya, “Kiranya sahabat kamu itu ada di sini sekarang dan dia merasa gembira dengan kata-kata kamu itu, dan andai dia mati dalam keadaan begitu, dia akan masuk ke dalam api neraka”.
Kemudian Baginda SAW. berkata keapda orang yang memuji itu, “Malang kepadamu! Kamu telah mematahkan tulang belakang orang yang kamu puji itu jika dia mendengarnya dan dia tidak akan mendapatnya hingga hari kiamat”.
Orang-orang memberi nasihat, supaya berhati-hati! Janganlah kamu memuji antara satu sama lain, jika kamu melihat seseorang yang suka memuji lemparkan ke mukanya dengan debu-debu.
Abu Abbas Al-Mursi berkata, “Seseorang yang suka bermegah-megah, adalah abdi kepada apa yang dimegah-megahkannya itu, dan orang yang suka menyembunyikan dirinya adalah hamba kepada apa yang disembunyikannya itu, dan seseorang yang Allah buat dia kelihatan atau tersembunyi, maka sesunggunya dia adalah seorang hamba Allah”.
Para sahabat dan ahli-ahli sufi amat takutkan pujian dan ianya satu ancaman kiranya pujian itu masuk ke dalam hatinya dan menyebabkan dia merasa amat bahagia dengannya.
Orang-orang bijaksana tidak suka dipuji kerana takut mereka akan merasa bahagia dengan pujian itu dan dia akan dimurkai oleh Allah, dan kesibukan hatinya bersama Allah menyebabkan dia bencikan pujian daripada hamba-hamba Allah kepadanya, kerana yang layak menerima pujian ialah seseorang yang hampir dengan Allah.
Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Kemuncak kepada kerendahan hati ialah anda tidak suka diingati sebagai seorang yang baik dan salih. Kasihanilah kepada orang yang puasa, kasihanilah kepada orang yang berjaga malam bersembahayang, dan kasihanilah kepada orang-orang yang memakai pakaian daripada bulu”.
Dan para sahabat lalu bertanya, “Kecuali siapa wahai Rasulullah?”.Maka dijawab oleh Baginda SAW., “ Kecuali orang yang menahan nafsunya daripada mencintai dunia, dan dia bencikan jika dia seharusnya mendapat pujian dan dia suka jika dia dicela”.
Korban Pujian
Kerana begitu bahayanya pujian itu, maka tidaklah hairan kalau begitu banyaknya manusia telah menjadi mangsa pujian dan sanjungan. Berapa ramai bos-bos atau para ketua yang menjadi korban pujian orang-orang bawahnya yang kaki bodek atau kaki ampu?
Kerana bahagia menerima pujian, bos tersebut hanya nampak orang yang suka menghamburkan pujian itu kepadanya yang penting dan pandai, sedangkan berapa ramai lagi orang-orang bawahannya yang lebih cekap menjalankan tugas dan jujur, tapi tidak suka memuji atau tidak pandai memuji, diketepikannya.
Bos yang makan pomp atau makan puji ini hanya nampak anak buahnya yang pandai memujinya sahaja yang berharga. Hati perutnya telah buta terhadap orang lain akibat pujian, yang biasanya dilakukan bukan dengan keikhlasan atau kejujuran, tapi semata-mata kerana ampuan yang tersembunyi sesuatu maksud yang tidak jujur di sebaliknya.
Amalan seperti ini sudah tentu menyebabkan keadaan tempat kerja tidak berjalan beres, dan bos akan dipandang hina oleh anak-anak buah lain yang disingkirkannya kerana tidak pandai memuji. Keadaan ini melucukan, tapi jangka panjagnnya membahayakan keharmonian suasana kerja. Bos sendiri pun kalau dia hendak memuji, maka yang dipujinya ialah anak emasnya itu yang pandai mengepom, walaupun tidak kena dan menyebabkan anak-anak buah yang lain langsung ketawa atau senyum sumbing terhadap bos yang telah kelabu matanya kerana mabuk pujian itu.
Demikian juga berapa banyak kaum wanita, termasuk anak-anak gadis yang telah menjdi korban pujian dan sanjungan, kerana mereka dahagakannya. Dengan pujuk dan rayu, puji dan puja seorang lelaki yang tidak pernah mereka kenali sekalipun, hati mreka menjadi luluh dan cair, lalu tersungkur di kaki lelaki durjana tersebut.
Berapa ramai gadis-gadis itu telah dilarikan daripada keluarga yang menyayangi mereka kerana terpedaya dengan pujukan seorang lelaki yang pandai memuji dan memuja.Berapa ramai daripada wanita-wanita itu yang rela mengorbankan segala harta dan wang ringgit kerana tergoda dengan lelaki yang pandai memuji dan memuja. Berapa ramai dari mereka yang maruah dan kehormatanya telah dilanyak oleh lelaki yang pandai mengambil kesempatan daripada wanita-wanita yang memang suka dipuji dan dipuja hingga hatinya menjadi hancur dengan kata-kata manis.
Ada dari wanita-wanita itu pula yang rela menjadi lembu dadah kerana terpedaya dengan janji dan puja puji lelaki buaya darat yang menjanjikan harapan-harapan indah yang akhirnya melemparkan mereka ke dalam penjara dan neraka dunia.
Kerana terpedaya dengan puji dan puja wanita-wanita sanggup meninggalkan kelurga, suami, anak, ibu bapa dan tanah air menurut perintah lelaki yang pandai memuji dan memuja itu, dan akhirnya bila semua kepelesuan telah terdedah, maka penyesalan pun bergunung-gunung datang untuk kembali ke pangkal jalan. Kalau pintu masih terbuka untuk kembali ke pangkal jalan, alhamdulillah!
Oleh itu marilah kita semua berhati-hati dengan pujian. Dan janganlah sama sekali kita mengharap untuk mendapat pujian, daripada apa sahaja yang kita lakukan, baik kecil atau besar, dan berserahlah kita kepada Allah.
Kerana yang berhak dipuji dan dipuja hanya Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Kata-kata itu yang kita ulang-ulangi berkali-kali setiap hari dalam kehidupan kita, khsusnya dalam solat.
“Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalamiin” yang bermaksud, “Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam”, kata-kata yang kita ulangi dalam surah Al-fatihah. Dan ucapan kita tentu itu tentunya penuh keikhlasan, tanpa mengharap apa-apa faedah kedunian, tidak mengandungi ketamakan, sebagaimana ketika orang melafazkan pujian terhadap kita sebagai seorang ketua atau bos.
Dalam kehidupan seharian kita pun, kita sering melafazkan “Alhamdulillah” untuk menutup segala aktiviti kita, yang akan menyebabkan dada kita menjadi lapang untuk menerima segala hasilnya, iaitu keputusan Allah kepada kita, sedangkan apa yang dilakukan Allah untuk kita, semuanya baik.
Kebiasaan menggunakan kata-kata “Alhamdulillah” ini amatlah baik dan memberi kesan yang amat positif kepada jiwa kita, menyebabkan diri kita merasa bahawa kita sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah yang melimpah ruah kepada kita sebagai hambaNya, dan Allah tidak pernah membiarkan kita sendirian dalam menjalani kehidupan yang penuh pancaroba ini.
Justeru itu dalam saat kita menerima ujian dan cabaran sekalipun kita masih mampu mengucapkan kalimah “Alhamdulillah”, kerana apa yang Allah kurniakan kepada kita selama ini, sejak kita dilahirkan ke dunia telah melimpah ruah yang menyebabkan malapetaka yang kita hadapi sekarang amatlah sedikit dan kecilnya untuk dibandingkan dengan rahmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kita.
Maka ketika menghadapi mala petaka berkatalah kita, “Alhamdulillahi alladzi la yuhmad ‘ala makruhin siwahu”, iaitu Segala puji bagi Allah, tiada yang dipuja dan dipuji walaupun cubaan menimpa, selain dari Allah”.
Berhati-hatilah dengan pujian, baik memberi pujian, dan juga bila menerima pujian, kerana ianya boleh membinasakan anda sebagai hamba Allah yang tidak layak dipuji, sebab yang dilayak dipuji dan dipuja hanya Allah SWT.
Yang pentingnya anda mendapat pujian dari Allah, Tuhan yang Maha Pengasih dan Panyayang sebagai seorang hambaNya yang Muslim, beriman dan bertakwa yang menjunjung segala titah perintahNya dengan penuh keikhlasan.
Lagi pun, tidak ada pujian setinggi gunung atau sanjungan setinggi langit sekalipun yang mampu mengangkat darjah seseorang jika tidak dizinkan Allah, malah Allah berfirman, “Barangsiapa yang dihinakan Allah tidak ada seorang pun yang akan memuliakannya”. Al-Hajj: 18.
xxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah,
Seuntai Kasih, Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment