Halusnya Kulit Muka Anda, Apa Rahsianya?

>> Sunday, February 19, 2012


KEJELITAAN KEMBALI KE BUMI HIJAU



HALUSNYA KULIT MUKA ANDA, APA RAHSIANYA?



Antara tanda-tanda kulit muka yang cantik, bukan sahaja licin tapi juga halus keadaannya, atau tidak berkerasat atau berkerutu, dan lembut bila disentuh.



Orang-orang yang anda kasihi, suami anda tentu suka dengan kulit muka anda yang bersih dan halus, alangkah enaknya bila disentuh.



Untuk mendapat kulit muka yang halus tentu ada rahsianya, dan memerlukan sedikit usaha untuk mencapainya, antaranya secara tradisonal, rahisa peninggalan nenek moyang kita zaman dahulu.



Beras Pulut Hitam



Bahan-bahan yang diperlukan ialah, beras pulut hitam segenggam, sebatang kunyit hidup sepanjang jari telunjuk, dan sebatang kayu manis kira-kira sama panjangnya.



Beras pulut hendaklah digoreng tanpa minyak hingga hitam warnanya, kemudian tumbuk sampai hancur.



Kunyit dibuang kulitnya, di basuh hingga bersih,kemudian diparut halus. Kayu manis hendaklah ditumbuk menjadi hancur seperti debu.



Masukkan ketiga-tiga bahan itu dalam sebuah mangkuk, dan gaul-gaulkan hingga sebati menjadi seperti bedak.



Sapukan “bedak” itu ke seluruh muka, dan biarkan ia menjadi keras seperti “masker”.



Kemudian bersihkan muka dengan kain yang telahg dibasahkan terlebih dahulu dengan air.



Bahan ini boleh juga disapukan ke mana-mana bahagian badan yang lain yang hendak dihaluskan dengan cara yang sama.



Amalkan setiap hari, atau sekurang-kurangnya tiga kali seminggu untuk mendapat hasil yang memuaskan.



Air Beras



Beras bila ditanak menjadi nasi untuk dimakan. Biasanya sebelum dimasak, beras itu dibasuh atau dicuci terlebih dahulu untuk membuang segala kekotoran padanya. Biasanya beras itu dibasuh tidak kurang dari tiga kali.



Oleh itu jika anda membasuh beras, ambillah air basuhan yang pertama itu, kerana ia berguna untuk membasuh muka, bagi menjadikan kulit muka halus.



Jika air itu berlebihan, ia boleh disimpan dalam peti sejuk untuk digunakan lain kali pula.



Nenas



Ambil sebiji nenas yang masak, kupas kulitnya dan ambil sebahagian daripada isinya sekadar yang perlu. Kemudian perahlah nenas itu ke dalam sebuah mangkuk untuk diambil airnya.



Sapukan air nenas itu ke seluruh muka berulang-ulang kali. Biarkan seketika, kira-kira selama 5 minit, kemudian cucilah muka denga air biasa.



Amalkan selalu untuk mendapat kluit muka yang halus dan berseri-seri.



Limau Nipis



Bahan-bahan yang diperlukan ialah segenggam beras pulut hitam, sebiji telur ayam, sebaik-baiknya telur ayam kampung, dan sebiji limau nipis yang tua dan besar.



Tumbuk beras pulut hitam sampai hancur menjadi tepung dan masukkan ke dalam sebuah mangkuk, lalu dipecahkan telur dan masukkan ke dalamnya, dan seterusnya perahkan limau nipis ke dalam campuran tadi.



Gaul-gaulkan semua bahan hingga rata menjadi seperti bedak. Kemudian sapukan bedak itu ke seluruh muka. Biarkan hingga ia kering, dan bersihkan dengan tuala yang telah direndam dalam air panas terlebih dahulu.



Amalkan seminggu sekali, insyallah kulit muka bukan sahaja menjadi halus, tapi juga menjadi bertambah lembut dan mudah dipakaikan bedak. Di samping itu ia juga dapat membersihkan muka yang mungkin terdapat kekotoran.



Teh



Ambil tiga sudu besar serbuk teh, masukkan ke dalam sebuah mangkuk, dan seterusnya masukkan ke dalamnya air panas yang sedang mendidih, seculkupnya, tutupkan mangkuk sampai air teh sejuk.



Kemudian air teh itu hendaklah diperembunkan semalaman, kemudian bolehlah digunakan untuk membersih muka.



Amalkan tiga sekali seminggu untuk mendapat kulit muka yang halus dan berseri-seri. Insyallah.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.


Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP