Antara Menantu Dan Mentua
>> Wednesday, February 22, 2012
ANTARA MENANTU DAN MENTUA
Ketika melihat-lihat album lama keluarga, saya melihat sekeping foto allahyarhmah isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat yang melimpah ke atasnya] bersama dengan beberapa orang kawan wanitanya. Semua mereka saya kenali.
Fikiran saya melayang jauh.Suatu kesayuan menyelinap di sudut hati, menggocak kerinduan yang tidak bertepi, dalam perpisahan yang tidak diduga, terasa baru semalam berlalu………
Menumpang Di rumah Sendiri
Di sebelah kanan beliau seorang kawan yang pernah satu ketika bekerja bersama dengan isteri saya. Kami panggil dia Kak Z, dan dia telah meninggal dunia beberapa tahun mendului isteri saya.
Wanita ini pernah memberitahu kami, bahawa dia pernah hidup bahagia bersama dengan suami dan seorang anak lelakinya yang tunggal di sebuah banglo milik beliau. Tapi kebahagian itu tidak berkekalan, bila anak lelakinya itu berkahwin dan tinggal bersama-sama dengan mereka.
Selepas kahwin itulah, katanya sikap anak lelakinya terhadap beliau telah jauh berubah, kerana terpengaruh dengan sikap isterinya yang kritis terhdap beliau. Ini menyebabkan dia merasa menumpang di rumahnya sendiri.
Katanya hampir semua perkara yang dilakukannya ditegur dan dikritik oleh anak dan menantunya, termasuk dalam mengurus rumahtangga, sedangkan rumah itu adalah masih menjadi hakmiliknya.
Katanya, dia tidur pun tak kena, bangun pun tak kena, makan pun tak kena, tak makan pun, tak kena, ada sahaja yang ditegur oleh mereka, yang menyebabkan dia merasa terasing dan tersingkir dari rumahnya sendiri.
Sedangkan sebelum itu anak lelakinya itu, katanya amat bertimbang rasa dan mengambil cakna terahadap dirinya, dan selalu bersikap ramah dan mesra sebagai seorang anak kesayangannya.
Untuk menenangkan hatinya, dia dan suaminya secara diam-diam menjauhkan diri mereka dari rumah dan kelaruganya. Secara senyap-senyap tanpa pengetahuan anak dan menantunya, dia telah menyewa sebuah rumah lain yang letaknya tidak berapa jauh dari rumahnya itu.
Setiap pagi bila keluar ke pejabat, dia bawa keluar sebahagian daripada pekaiannya sedikit demi sedikit tanpa disedari oleh anak dan menantu dan disimpan di rumah sewanya itu untuk digunakan setiap hari.
Dan di waktu rihat tengah hari, kalau hendak balik, dia tidak balik ke rumah, tapi balik ke rumah sewanya itu, demikian juga pada waktu petang, dia tidak terus balik ke rumah, tapi balik ke rumah sewanya itu. Bila ditanya kenapa balik lewat, katanya dia banyak kerja yang hendak dibuat di pejabat. Dia hanya balik ke rumah, bila hendak tidur pada waktu malam.
Demikian kenadaan seperti itu berterusan selama bertahun-tahun tanpa disedari oleh anak dan mennatunya, sehinggalah dia meniggal dunia......
Kasihan kepada beliau yang menanggung kekecewaan akibat keluarga sendiri yang pernah menjadi pengharapan dan amat disayanginya, tapi menjadi musnah selepas kemasukan seorang menantu ke dalam rumahnya. Sungguh malang....
Jadi Tukang Masak
Saya terus terkenang kepada seorang wanita lagi yang kami panggil Kak W. Beliau mempunyai tiga anak. Semuanya lelaki. Anak-anak dan menantu tidak tinggal bersama mereka. Hanya sekali sekala balik ke rumah bila mereka bercuti.
Dia juga sering melahirkan rasa tidak puas hati, kerana dia merasa semacam jungus dibuat oleh anak dan menantu bila mereka mendirikan rumahtangga.
Katanya bila menantu balik ke rumah, atau dia yang pergi ke rumah anak menantunya, setiap hari dia terpaksa masuk dapur untuk menyediakan makanan. Menantu-menantu perempuannya tidak suka masuk dapur. Mereka lebih senang membeli makanan dari kedai hampir setiap waktu.
Oleh sebab itu, bila dia bertandang ke rumah mereka, maka dialah yang diminta oleh anak dan menantunya memasak, dengan alasan untuk menikmati masakan ibu, menghilangkan rasa jemu makan makanan dari kedai. Justeru mahu tidak mahu terpaksalah dia masuk dapur, sedangkan tujuannya pergi ke rumah anak menantu ialah untuk berihat, menghilangkan penat lelah, mendapat layanan dari menantu. Tapi nihil. Sebaliknya yang berlaku.
Di rumah jadi dukang masak, dan di rumah anak menantu pun menjadi tukang masak juga. Nasib ibu.
Inilah yang sering menjadi keluhannya kepada kami bila percakapan berkisar tentang anak-anak dan menantu. Rasa kecewa terpancar pada wajahnya.
Ditinggalkan Anak
Saya terkenang juga kepada seorang wanita lagi yang kami panggil Kak T. Dia hanya mempunyai seorang anak lelaki. Dialah yang memelihara dan membesar anaknya itu, hingga anak lelakinya itu lulus universiti.
Bila anaknya itu bekerja dan ingin mendirikan rumahtangga, sepasang suami isteri menawarkan anak perempuannya untuk dijadikan menantunya. Kebetulan anaknya pun sukakan gadis tersebut.
Tapi entah bagaimana, sebagai seorang ibu, dia amat keberatan untuk merestui perkahwinan anaknya dengan gadis tersebut. Dia merasa bimbang, bila kahwin nananti, dia akan dikebelakang oleh anaknya itu, sedangkan anak itulah satu-satunya anak yang menjadi tonggak harapanya yang telah mendaki usia tua itu.
Bila pihak keluarga si gadis menyedari kebertan hati wanita itu untuk menerima anak gadisnya sebagai menantu, mereka tidak putus asa, dan sentiasa memujuknya supaya bersetuju dan berjanji anak gadisnya dan juga mereka tidak akan meninggalkanya. Lagi pun rumah mereka tidaklah begitu jauh dari rumahnya itu.
Dan akhirnya dengan hati yang bergayut keraguan dia mengizinkan anaknya itu berkahwin dengan gadis keluarga tersebut.
Sungguh malang baginya, sebaik-baik sahaja selepas urusan perkahwinan selesai, dengan berlangsungnya adat menyambut menantu di pihak perempuan, maka sejak hari itu anak lelakinya yang telah menjadi suami orang itu tidak pernah lagi menjejaki kaki di rumahnya. Itulah kali terakhir terakhir dia berada di rumah dan bersama dengannya.
Semasa dia bercerita itu beberapa tahun telah berlalu, anak lelaki kesayangannya itu tidak pernah balik-balik ke rumah, dan tidak pula menanyakan keadaannya, tidak tahu apa khabar dan berita.
Katanya dia pasrah kepada Allah..... Dan untuk menyara hidupnya, dia terus berniaga kueh di pasar malam, walaupun dalam keadaan uzur dan usia lanjut. Sebenarnya dia berharap seleps anaknya bekerja, dia tidak lagi terpaksa mencari makan sebagaimana di masa-masa lepas untuk menampung perbelanjaan anaknya belajar, tapi harapanya telah hampa.
Bila kami pergi ke pasar malam tersebut wanita itu sudah tidak ada lagi, tempatnya telah diganti oleh peniaga lain, dia telah berpulang ke rahmatullah...
Bagaimana Dengan Anda?
Demikian beberapa cerita yang berkait antara menantu dan mentua yang sengaja saya paparkan untuk menjadi menungan bersama, terutama anak-anak menantu.
Kepada wanita yang bergelar menantu, tanyalah diri anda apakah anda seorang menantu yang baik? Bagaimana layanan anda terhadap mentua anda?
Adakah anda menantu hantu?
Adakah anda menjadikan mentua anda, sebagai hamba abdi untuk mengurus rumahtangga anda, memaksa mereka menjaga nak-anak anda, membasuh kain baju anda dan menjadi tukang masak untuk keluarga anda?
Ingatlah mentua anda hukan hamba abdi, yang bukan sahaja dibebankan dengan kerja-kerja berat, tapi tidak mendapat layanan yang sewajarnya dari anda sebagai seorang menantu.
Anda mengherdiknya, membodoh-bodohkannya, menghinakannya, memalukannya di hadapan orang lain, dan mengenepikannya dari hidup anda?
Janganlah anda menggunakan power cinta, memaksa suami anda secara langsung atau tidak langsung, menjadi seorang anak yang derhaka kepada kedua orang tuanya, iaitu mentua anda.
Jika anda berbuat demikian, akibat buruk akan menimpa seluruh keluarga anda, bukan sahaja kepada suami anda, tapi juga kepada anda sebagai isterinya.
Anda sudah tentu mengetahui dosa anak derhaka?
Akibat dosa anak derhaka itu bukan sahaja menunggu di Akhirat, tapi mungkin Allah kurniakan ketika di dunia ini lagi sebagai pembalasan dan pengajaran.
Sebagai seorang isteri anda mesti menerima mentua anda sebagaimana anda bersedia menerima suami anda dalam hidup anda. Anda cintakan suami anda, dan anda juga perlu sayangkan mentua anda.
Demikian juga mentua anda, dia sayangkan anaknya, iaitu suami anda, dia juga perlu sayangkan anda, menantunya. Saling memberi dan saling menerima, saling sayang menyayangi untuk membentuk sebuah kehidupan dan rumahtangga yang aman bahagia di dunia dan Akhirat.
Sebagai menantu, anda sewajarnya menghormati mereka, mentua anda, berkasih sayang dan bermahabh dendan mereka.
Andai mentua anda telah tua dan tidak berdaya, janganlah anda berpakat dengan suami anda untuk menyingkirkan mereka dari keluarga dengan menempatkan mereka di rumah orang-orang tua, atau menghalau mereka dari rumah.
Carilah penyelesaian yang sebaik-baiknya jika timbul masalah berhubung dengan penjagaan mereka.
Ingatlah, seorang lelaki berkahwin, dia bukan sahaja mencari isteri, tapi juga mencari menantu kepada orang tuanya.
Bila serang lelaki kahwin, dia bukan sahaja mencari anak untuk mewarisinya, tapi juga mencari cucu untuk kedua-dua orang tuanya, mencari cicit untuk datok neneknya.
Bila seorang lelaki kahwin, dia bukan sahaja mencari seorang isteri, tapi mencari suadara kepada saudra-saudranya, abang, kakak dan adik-adiknya.
Bila seorang lelaki kahwin, dia bukan sahaja mencari seorang isteri, tapi juga mencari keluarga untuk keluarganya.
Malah bila seorang lelaki kahwin, dia bukan sahaja mencari seorang isteri. Tapi juga mencari jiran untuk jiran-jirannya.
Jagalah hubungan baik anda dengan mentua anda, baik lahir dan batinya, bukan hanya bertanam tebu di bibir mulut, di hadapan lain, di belakang lain.
Jadilah seorang isteri dan menantu yang solehah demi kebahagian hidup anda sekeluarga.
Jangan biarkan diri anda menjadi parasit perosak hubungan baik antara seorang anak dengan ibu dan bapaknya kerana ketamakan anda.
Tolehlah ke belakang sejenak, renung-renungkanlah bagaimana sikap anaknya anda sebagai menantu pada masa-masa yang lalu?
Masih ada ruang surut ke belakang, jika anda telah jauh terlajak, dan kembalilah ke pangkal jalan.
Jangan jadi batu api, tukang sebar fitnah, menghasut suami, mengancam suami, mengadudomba suami, supaya menyingkir ibu dan bapanya dari keluarga anda. Lelaki itu anaknya, darah dagingnya sendiri yang berahak mendapat kasih sayang daripada keluarganya.
Amin.
xxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.
Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment