Sejauh Mana Suami Membantu Isteri Mengurus Rumah Tangga

>> Thursday, February 16, 2012


SEJAUH MANA SUAMI MEMBANTU ISTERI MENGURUS RUMAH TANGGA?




Salah Penerimaan



Seorang lelaki baru mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hatinya. Oleh sebab baru kahwin, dia tinggal bersama dengan isterinya di rumah mertuanya. Sudah tentu terdapat perbezaan cara hidup keluarganya yang lalu dengan kehidupan baru bersama keluarga isterinya.



Ketika hidup bersama dengan kelurganya dahulu, dia suka membantu ibunya menjalankan urusan-urusan rumahtangga, membasuh pinggan mangkuk, menghidang makanan dan seumpamanya. Oleh sebab perkara itua telah menjadi kebiasaannya membantu urusan rumah tangga, maka ketika berada di rumah isterinya, dia cuba meneghidupkan kembali cara hidupnya yang bertimbang rasa itu.



Bila melihat kelurga sibuk dengan urusan dapur, dia tidak segan-segan masuk ke dapur menghulukan bantuan, membasuh pinggan, menceduk nai, menhgidangkan makanan dan seumpamanya sebagaimana pernah dilakukan di rumahnya bersama dengan keluarganya dahulu.



Tapi bantuan yang diberikan olehnya itu tidak dapat diterima oleh isterinnya dan anggota-anggota keluarganya. Mereka mengangapnya itu kerja orang perempuan. Di rumah itu orang lelaki tidak membantu kerja orang prempuan di dapur, walaupun mereka mempunyai peluang dan masa untuk berbuat demikian.



Kerana iitu dia telah dimarahi oleh isterinya dan dipandang buruk oleh keluarga mertuanya, sebagai perbuatan mengada-ngada. Untuk menenangkan keadaan dia pun berhenti menghulurkan bantuan walaupun memang berpeluang berbuat demikian. Dia duduk-duduk, relek-relek, menonton tv, baca surat khabar bersama lelaki yang lain menunggu nasi dihidangkan.



Sedangkan di rumahnya dahulu ibu dan ayahnya mengajar dia menjadi seorang lelaki yang suka membantu urusan rumahtangga, termasuk juga masak memasak jika diperlukan.



Pentas Kedua



Lelaki ini juga baru mendirikan rumahtangga. Dia juga seperti lelaki di atas semasa bujangnya hidup bersama keluarganya, dari sejak kecil lagi telah diasuh oleh ibunya supaya ringankan tangan membantu kerja-kerja rumah tangga, termasuk kerja-kerja mengemas rumah dan kerja-kerja dapur untuk membantu ibunya.



Kerja-kerja membersih rumah, membasuh pinggang mangkuk, malah memsak ala kadarnya memanglah biasa dilakukan ketika dia tinggal bersama ibunya dahulu.



Bila dia mendirikan rumahtangga, dia terus juga berusaha untuk berbuat sepert itu. Bila isterinya masuk ke dapur, dia pun masuk ke dapur, membantu isterinya memasak, kalau isterinya terlambat masuk dapur, dia terlebih masuk ke dapur dan melakukan apa-apa yang dirasa patut dilakukannya.



Justeru itu urusan rumahtangga isterinya menjadi terlalu ringan, hampir tidak ada kerja lagi yang perlu dilakukannya.



Dan ini menyebabkan isterinya, entah disedari atau tidak, semacam megambil ringan terhadap tanggungjawab rumahtangga. Mungkin pada fikirannya, perilakunya itu tidak menjadi masalah kepada suaminya yang suka membantu itu.



Basuh kain pun suami, jamur kain pun suami, dan angkat kain dari sidaian pun suami, dan melipatnya juga suaminya juga, malah mengggosoknya juga, walaupun dia mampu dan bersekempatan berbuat demikian. Kerja cari makan pun suaminya juga,sedangkan dia suri rumah sepenuh masa, dan masih bleum mempunyai anak.



Tidak banyak sumbangannya kepada suami dan rumah tangga mereka. Justeru pada mata orang lain, isterinya telah menjadi seorang yang pemalas, duduk di rumah hanya meriba tangan, tunggu makan sahaja tanpa sebarang usaha, payah-payah minta suami beli makanan dari kedai. Malah dia sendiri, tak makan pun taka apa, kerana malasnya itu.



Hari-hari kerjanya, tidur-tidur dan menonton TV, atau pun keluar berjalan ke sana ke mari jika ada peluang.

Sejauh Mana Suami Perlu Membantu Isteri Di Rumah Tangga? Jawaapannya Memerlukan Persefahaman Anatara Keudanya:Suami Dan Isteri. Gambar Sekadar Hiasan



Kata orang, ini adalah akibat terlalu memanjakan isteri yang tidak kena pada tempat, menyebabkan berlakukan kepincangan pada keluarga.



Pentas Ketiga



Seorang lelaki lagi pula, walaupun agak lama telah mendirikan rumah tangga, tapi keberatan untuk memberi bantuan kepada kerja-kerja rumah tangga isterinya.



Dia hanya jadi macam tuan besar, dan isterinya jagi semacam babu rumah, berat sungguh tangannya untuk menghulurkan bantuan, walaupun dia berpeluang berbuat demikian.



Semua kerja rumah tangga dibiarkan kepada isterinya sahaja. Kalau dia nak makan, sedang nasi masih berada di atas dapur, bayinya sedang menangis kerana tidak sihat, dia tidak bersedia membantu, dibiarkannnya anaknya menangis, sementara dia mendesak supaya hidangannya segera disediakan.



Kalau tidak, dia akan naik angin, mulutnya akan membebel dengan berbagai-bagai kata yang memedihkan telinga isteri.



Tidak jarang pula kadang-kdang gelas dan pinggan terbang melayang, kerana kelambatan isteri menyediakan hidangan untuk tuan besar santap.



Pada pendapat lelaki ini, membantu kerja isteri di rumah akan merendahkan darjahnya sebagai soerang suami.



Kalau mereka keluar bersama, si suami akan berjalan berlenggang di hadapan, meninggalkan isteri di belakang dengan sebelah tangan mendukung anak, dan sebelah tangan lagi mengheret dua orang anaknya lagi yang perlu dibantu pergerakannya.



Membantu Isteri



Membantu kerja rumah tangga di samping isteri tersayang memanglah baik dan terpuji. Itulah amalan Rasulullah SAW. yang patut dicontohi oleh semua para suami yang ingin membina sebuah rumah tangga yang bahagia dan harmoni.



Menurut isteri Baginda SAW, Aisyah radihiyallah ‘anham, sebagai seorang suami Baginda Rasulullah SAW. menjahit sendiri baju Baginda, menampal sandalnya dan melakukan kerja-kerja yang dilakukan mana-mana lelaki di dalam rumah mereka.



Dalam riwayat lain beliau berkata, “Dia adalah manusia di antara sekalian manusia, membersihkan bajunya, memerah susu kambingnya dan melayani dirinya”.



Aisyah r.a. ketika ditanya apa yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW di dalam rumahnya, berkata, “Dia ada [bersama pekerjaan keluarganya-maksudnya membantu keluarganya dan apabila datang [waktu] solat dia keluar untuk solat”.



Justeru, seorang suami yang menjalankan kerja-kerja rumah tangga di samping isterinya bererti dia telah melakukan beberapa kemaslahatan yang penting, antaranya:



Pertama, dia telah mengambil Rasulullah SAW, sebagai contoh dan tauladan.



Kedua, dengan berbuat demikian dia telah memberi sumbangan besar membantu keluarganya, dan ini dapat mengurangkan beban isterinya.



Ketiga, dengan berbuat demikian boleh menghilangkan rasa bongkak dan sombong, serta takbur yang mungkin bersarang di lubuk hatinya, terutama ketika bersama keluarga, isteri dan anak-anaknya.



Jangan Ambil Kesempatan



Namun begitu, pihak isteri pula janganlah sengaja mengambil kesempatan daripada budi baik suami yang bertanggungjawab itu sebagai alat untuk menindasnya, membebankan suami, sebaliknya membuat dia menjadi pemalas dan terlampau bergantung kepada suami, lebih-lebih lagi andainya dia tidak bekerja.



Tentulah mengada-ngada namanya, kalau suami sedang sibuk hendak pergi bekerja, isteri meminta suami memabsuh kencing anak yang memang boleh dilakukan sendiri, dan tentu lebih menganda-ngadakan lagi, andainya untuk memandikan anak pun, terpaksa menunggu suami pulang dari kerja di waktu petang, baru anak hendak dimandikan.



Dan di sebelah malamnya, suami juga terpaksa bangun membuat susu botol bayi, kerana isteri malas untuk bangun dengan alasan an keletihan kerana banyak kerja?



Demikianlah semuanya suami, lepas suami dan suami lagi, isteri hanya duduk beriba tangan.



Keadaan semacam ini tidak sihat, dan boleh menimbulkan problem dalam jangka panjang di masa-masa akan datang pada keluarga mereka.



Pihak isteri patutnya menggunakan akal budi mana yang patut dilakukannya tanpa meminta bantuan suami, dan mana memerlukan bantuan suami. Suami yang pengasih dan penyayang tentu menyedari, dan tanpa diminta dengan senang hati akan menghulurkan kerjasama.



Isteri janganlah mengambil peluang untuk menjadi Ratu Rumahtangga yang hanya mengeluar perintah yang perlu dipatuhi suami, itu namanya “Queen Control”.



Berhati-hatilah demi kepentingan hidup bersama, demi kebahagian rumah tangga yang dibina yang diharap akan berkekal dari dunia hingga ke akhirat.



xxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.


Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP