Wanita Mangsa Stres

>> Monday, December 26, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG




Wanita Mangsa Stres



Awal-awal pagi seorang anggota keluarga yang jauh menelefon saya. Seorang wanita yang pertengahan usia. Dalam masa dua tiga minggu ini, telah beberapa kali dia menelefon saya. Saya terkejut bila dia memberitahu, di waktu itu dia berada dalam wad di hospital.



“Kenapa masuk wad?”, Tanya saya.



“Saya masuk wad subuh pagi tadi. Saya terjatuh dan tidak sedarkan diri, lalu dibawa ke hospital?”.



“Sekarang berada dalam wadlah tu?”, Tanya saya.



“Ya, doktor tahan saya dalam wad untuk pemeriksaan lanjut”, dia menjelaskan.



Selanjutnya dia menceritakan latar belakang peristiwa itu secara ringkas. Katanya semalam dia terdengar suaminya bercakap dengan seorang wanita yang amat mengenalinya, suaranya begitu mesra sekali,dengan hilai dan ketawa, jauh berbeza ketika suaminya bercakap dengannya sejak mereka berkahwin lebih dari satu dekad yang lalu.




Mencari ketenagnan di rumah Allah



Tiba-tiba dia merasa begitu tertekan oleh berbagai-bagai perasaan yang bercampur-baur, dengan perasan merasa sedih, kecewa, bimbang, rungsing, ragu, marah……yang menyebabkan dia terus sakit kepala dan muntah-muntah, dan gelisah sepanjang malam, dan akhirnya menyebabkan dia jatuh pengsan.



Sedar-sedar, dia terlentang di hospital.



Pada zahirnya dalam kehidupan seharian dia kelihatan riang dan gembira, dan tanpa menghadapi apa-apa masalah berat yang boleh merungsingkannya, walaupun semua orang mengetahui bahawa dia menghadapi problem keluarga dengan suaminya.



Dia selalunya ketawa, dan ketawanya berderai-derai, gaya bercakap melucukan, suka membuat orang ketawa.



Kira-kira seminggu sebelum itu, dia telah memberitahu bahawa dia amat kecewa bila diberitahu oleh suaminya bahawa dia telah berkahwin seorang lagi dengan kekaksih lamanya.



Sebagai tindak balas dia telah mengambil tindakan yang drastik yang tidak mungkin dilakukan oleh orang-orang yang normal. Dia mengorbankan dirinya sendiri dengan angapan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapinya itu .



Dia bertindak luar biasa. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah merokok, tapi dalam keadaan seperti itu, untuk meredakan perasaannya yang tertekan, dia merokok, malah menjadi perokok yang kental.



Dia tidak begitu memperdulikan makan dan minum, menyebabkan badannya menjadi susut.



Dia tidak memperdulikan rumahtangganya, dan bercakap tida keruan, ikut terlintas dalam hati.



Kewajipan bersolat hampir dilupakannya. Lebih banyak tak besolat, dari bersolat.



Tujuan sebenarnya berbuat demikian, ialah untuk menarik pehatian dan mendapat simpati suaminya.



Akhirnya suaminya berdialog dengannya dan memberitahu bahawa sebenarnya dia tidak pernah berkahwin, kata-katanya yang dahulu itu hanya guruan sahaja, dan meminta dia supaya berhenti daripada bersikap tidak keruan seperti itu.



Dia dapat menerima pengakuan suaminya, dia mudah mempercayainya, lalu mengembalikan diri kepada kehidupan yang normal.



Sehinggalah tiba waktu malam itu, di mana dia tiba-tiba mendengar perbualan suaminya dengan wanita itu dalam keadaan yang begitu mesra seperti seorang suami isteri yang sedang rindu merindukan yang membawa dia terlantar di hospital.



Demikianlah keadaan seorang wanita, seorang isteri yang dipermain-mainkan oleh nasibnya.



Dia telah menjadi mangsa stress, tekanan-tekanan hidup rumahtangga yang menjunamannya kearah kebinasaan.



Itu adalah salah satu daripada gejala-gejala penyakit yang sejak kebelakangan ini dipanggil stres, tapi sebenarnya masih banyak lagi akibat stres yang boleh menimpa fizikal atau jasmani mangsanya.



Antara gejala-gejala stres yang menyebabkan berbabgai-bagai penyakit jasmani ialah selera makan menjadi terganggu, atau tidak berselera untuk makan, menyebabkan berat badan mangsanya menurun; atau menyebabkan seorang makan berlebih-lebihan yang menyebabkan berat badannya meningkat dan membimbangkan.



Zikir dan solat penawar yang mujrab untuk ruhani dan jasmani.Foto dari Arkib @pR



Stres boleh menyebabkan tekanan darah seseorang naik, pernafasan menjadi pantas, demikian juga denyutan nadi menjadi lebih pantas, sistem pertahanan badan menjdai merosot, otot-otot menjadi tegang.



Stres menyebabkan mangsanya menjadi resah gelisah dan tidak dapat tidur.



Selain itu ia juga boleh menganggu jantung, paru-paru, ginjal dan berbagai-vagai anggota badan lagi yang boleh menjadi punca kepada berbagai-bagai jenis penyakit yang ringan dan berat, malah dikatakan juga boleh menjadi penyebabkan kepada penyakit kanser dan AID, akibat lemahnya sistem pertahanan badan untuk menentang berbagai-bagai jenis penyakit yang telah digoncang oleh stres.



Ia juga menimpakan gangguan terhadap minda atau akal fikiran seseorang yang menghalangnya daripada berfikir dengan saksama.



Walau bagaimana pun stres itu ada juga gunanya, iaitu dalam keadaannya yang kecil, atau tidak membesar hingga mmenjadi tidak terkawal, kerana di saat tersebut kita tidak lagi mempunyai kemampuan untuk mengatasinya sebagaimana berlaku ke atas wanita yang diceritakan di awal-awal tadi.



Sebenarnya kehidupan kita setiap hari, baik kita sedari atau tidak sedari, dipenuhi dengan stres, kerana segala sesuatu yang boleh menjadi ancaman atau cabaran terhadap kesejahteraan kita atau menganggu diri kita adalah stres.



Sedangkan di ruang lingkup hidup manakah di dunia ini kita boleh hidup terlepas dari sebarang gangguan atau cabaran, atau stres.?



Oleh sebab itu, hidup tanpa langsung stres atau cabaran, akan menjadikan hidup ini membosan dan menjemukan, malah mungkin menyebabkan hidup terasa tidak bermakna.



Manusia secara fitrahnya dijadikan Allah untuk hidup berjuang. Perjuangan itulah kehidupan. Bermacam-macam perjuangan yang terpaksa mereka tempoh untuk mencapai kejayaan. Untuk mencapai syurga kita perlu berjuang, berjuang dengan nafsu dan syaitan yang sentiasa cuba mengheret kita ke arah kejahatan dan menghalang kita masuk syurga.



Nabi Adam as dan isterinya Hawa semasa hidup di syurga terpaksa menempohi perjuangan yang sengit yang menyebabkan mereka pernah tewas dan terkeluar dari syurga, tapi mereka terus menyambung perjuangannya ketika hidup di dunia yang fana ini, setelah mendapat keampunan dari Allah SWT.



Dan kita sebagai anak cucunya menyambung perjuangan itu dengan menghadapi bebagai-bagai cabaran dan galangan daripada berbabagai-bagai pihak, khususnya dari jin dan syaitan yang menjadi musuh manusia yang berkekalan.



Walaupun saya amat simpati dengan nasib wanita tadi, tapi saya langsung tidak dapat menerima dengan tindak-tindak balas yang drastik dan menyeksa dirinya sendiri yang diambilnya itu.



Saya langsung tidak bersetuju dengan cara dia menghadapi tekanan stres seperti yang dilakukannya itu kerana ia tidak mungkin dapat menyelesaikan problem yang menimpanya, malah boleh menyebabkan keadaan menjadi bertambah sulit.



Sebagai hamba Allah, kita harus kembali kepada Allah, menggembalikan sesuatu kepada Allah, yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang menjadi Maha Pencipta.



Kita harus melihat segala sesuatu yang berlaku itu secara sangka baik, bukannya memandangnya dengan kecamata yang negatif, buruk sangka yang akan menyebabkan kita menderita. Di sebalik setiap sesuatu yang berlaku itu, baik atau buruk mengikut pendapat kita, di sana mesti ada rahsia yang tersembunyi yang tidak dapat kita selami kerana kesempitan akal fikiran kita yang terbatas.



Carilah kebaikan dalam semua perkara yang berlaku. Carilah kebaikan dalam keburukan, kerana cara kita berfikir dan bertrindak dalam menghadapi sesuatu, amatlah penting, kerana ia sudah tentu dapat mempengaruhi kita, antaranya boleh menyebabkan kita menderita stres.



Hakikatnya apa sahaja yang berlaku terhadap kita, bukan persoalannya, tapi bagaimana cara kita berfikir dan berusaha untuk mengatasinya itulah yang amat pentingnya. Kalau kita berfikir positif, kita akan selamat, tapi kalau kita berfikiran negatif dan bertindak negatif kita tidak akan selamat, malah akan musnah.



Hidup kita manusia ini seperti roda, sekali ke atas, sekali ke bawah. Itu sudah jadi lumrah alam, adat kebiasan Allah jadikan manusia. Kadang-kadang kita gembira dan sebaliknya ada pula masanya kita kecewa dan sedih, kadang-kadang kata-kata dan perbuatan orang lain menyenangkan hati kita, tapi sebaliknya kadang-kadang kata-kata mreka dan perbuatan mereka menyakit dan melukakan hati kita, menyebabkan air mata kita mengalir membasahi pipi; kadang-kadang dituduh bersalah, sedangkan sebenarnya bukan begitu, kadang-kadang kita dizalami dan dianiaya seolah-olah kita bukan manusia.



Allah, Maha Pencipta mengetahui semuanya itu. Tidak ada sesuatu pun terkeluar daripada ilmu Allah.



Itulahlah sebabnya Allah memerintahkanya kekasihnya, Nabi Muhammad SAW supaya berzikir dan bersolat di kala hatinya dirundung kesedihan akibat perbuatan manusia-manusia yang memushi baginda, kerana zikir dan solat itu dapat menyelesaikan berbagai-bagai kesulitan jasmani dan ruhani.



Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa hatimu begitu runsing terhadap ejekan-ejekan mereka, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhhanmu dan sujudlah bersama orang-orang yang sujud [solat] dan teruskanlah beribadat kepada Allah hingga engkau didatangi maut”. Al-Hijr: 97-99.



Dan dalam Surah Al-Baqarah, ayat 153 Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada [Allah] dengan sabar dab solat, sesungguh Allah berserta orang-orang yang sabar”. Al-Baqarah: 153.



Oleh itu mana-mana orang Islam yang tertekan oleh berbagai-bagai masalah hidup, ruhani atau jasmani, mental atau fizikal, berupa stres atau tekanan-tekanan melampau dinasihatkan supaya segera bangkit dan solat.



Fadilat sembahayang itu mencakupi ruhani dan jasmani, mendapat ketenagnan dan kejernihan jiwa, memupuk kesihatan jasmani yang baik, mencegah penyakit, dan menyihatkan badan.



Sebagai kesimpulan sembahayang sebagai penawar untuk segala penyakit ruhani dan jasmani, saya petik pendapat guru saya, Allahyarham Ustaz Yusuff Zaky yang berkata, “Ibadat sembahayang dalam Islam merupakan penghulu dari seluruh ibadat-ibadat yang lain dan merupakan satu bentuk ibadat yang paling tinggi dan sempurna di antara sembahayang yang terdapat pada agama-agama yang lain”.



“Sembahayang bukan sahaja menyegarkan badan, malah menyegarkan akal dan jiwa; ia mencergaskan seluruh otot anggota dan serentak dengan itu ia bertindak membebaskan akal dan jiwa manusia dari kongkongan dan keinginan tunduk kepada kuasa-kuasa makhluk yang tidak benar, dan sebarang ketakutan, kebimbangan, kegelisahan dan keraguan-keraguan yang meracuni kententeraman hidupnya.



“Ketakutan, kegelisahan dan keraguan tidak seharusnya melumpuh dan membelenggu jiwa manusia mukmin yang berdepan dengan Allah yang menjadi sumber seluruh kekuatan yang wujud di alam, seluruh rezeki makhluk, seluruh rahmat dan nikmat kerana hanya Allah jua yang menguasai seluruh perjalanan dan pentadbiran alam.



“Perhubungan ini [antara hamba dan Khaliqnya dalam solat-p] dilakukan dengan gerak-geri badan, bacaan, pemusatan ingatan yang tulus, pencurahan perasaan mesra, rela, patuh, khusyuk dan penggantungan harapan dan cita-cita untuk kesejahteraan di detik-detik hidup mendatang bakal ditempuhinya”.



Demikianlah rahsia solat , rahsia Allah yang agung dan murni dapat mempengaruhi ruhani dan jasmani, mental dan fizikal orang-orang yang bersolat dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.



Oleh itu andainya anda diselibungi stres, dihimpit oleh ketegangan-ketegangan hidup, diharu-biru oleh perasaan yang tidak menentu seperti ombak melanda pantai di musim tengkujuh, kecewa dan ragu, sedih dan hampa....segeralah bangkit untuk berdoa, berzikir dan bersolat kepada Allah, kerana hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan semua makhluk, termasuk kita semua sebagai hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha untuk mencari keampunan dan keredaanNya.



Lihat juga:Rahsia Solat Menyihatkan Jasmaniah



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP