Hebatnya Seorang Ibu

>> Sunday, December 11, 2011




ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG



HEBATNYA SEORANG IBU




Masih terbayang di mata saya, seorang pemuda mengendung ibunya di atas belakang untuk membawa ibunya ke rumah. Pada hari itu jalan ke rumahnya kira-kira sejauh suku batu telah ditenggelami air hujan musim tengkujuh bermula dari jalan raya sampai ke rumahnya. Dia tidak membenarkan ibunya berjalan kaki meredah air kerana takut ibunya kesejukan, walaupun banjir tidak sedalam mana, dan ibunya memang boleh berjalan mengharungnya.



“Tak apalah emak”, katanya, “nanti emak kesejukan mengharung air. Naiklah atas belakang kita ni, kita kendung emak”, sambil membongkokkan belakang mempelawakan ibunya naik.



Maka dikendungnya ibunya itu, tanpa merasa apa-apa kepayahan.



Demikian juga masih terbayang di mata saya diperisitwa di mana seorang lelaki mengharung banjir untuk pulang ke rumah. Dia, isterinya dan ibunya. Isterinya masih muda, dan sihat, tapi emkanya sudah tua dan kesihatannya tidak begitu menggalakkan. Dan kelihatan kesejukan dalam musim hujan itu.



Lelaki itu berjalan dengan memimpin isterinya meredah banjir dan hujan dengan begitu hati-hati sekali, kerana bimbang takut isterinya yang disayanginya itu terjatuh. Dan dia membiarkan ibunya yang telah tua dan uzur itu berjalan terteteh-teteh meredah air kesejukan di belakang mereka. Pada suatu ketika ibunya hampir terjatuh, kerana terjerlus dalam lubang, lalu dimarahi oleh anak lelakinya dengan teguran keras supaya berjalan lebih berhati-hati.



“Kalau emak jatuh, nanti kita orang susah”, kata anaknya dengan suara agak meninggi, dan terus dibiarkan ibunya berjalan dalam keadaan menggeletar kesejukan.



Hampir menitis air mata saya keharuan melihat peristiwa tersebut.



Demikian dua peristiwa yang berlaku menunjukkan bagaimana dua orang anak melayan ibu mereka dengan cara yang jauh berbeza antara keduanya.



Si Tanggang


Saya terkenang dalam legenda kita terdapat kisah-kisah tentang bencana-bencana yang menimpa anak-anak yang derhaka kepada ibu mereka. Ibu yang melahir dan membesarkan mereka telah dilupa, dihina dan dikeji, yang menyebabkan mereka ditimpa penderitaan dan kesangsaraan yang tidak dapat digambarkan peritnya.



Antara kisah yang menarik ialah Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya. Dia menghina ibunya di hadapan isterinya dengan enggan mengaku ibunya, kerana ibunya seorang miskin. Akibatnya, maka berlakulah ribut topan, laut bergelora dan akhirnya Si Tanggang, isterinya serta jung dan segala muatannya segera bertukar menjadi batu pejal dan keras.



Sisa-sisa peninggalannya dikatakan boleh didapati di berbagai tempat di tanah air, antaranya di Selangor dan dua tempat di Kelantan, iaitu di Lubuk Jong, Pasir Mas, dan di Batu Jong, Kuala Krai.

----Wahai ibu-ibu jasa-jasamu tidak ternilai harganya dan akan dikenang sepanjang zaman.



Ada pula diceritakan seorang anak derhaka telah disumpah oleh ibunya lalu segera bertukar menjadi burung gagak yang hitam legam bulunya lalu terbang ke angkasa. Itulah dikatakan pada waktu tengah hari dalam musim panas gagak-gagak yang terbang di angkasa itu akan mengeluarkan suara merayu air dari ibunya untuk menghilangkan kedahagaannya.



Dituduh Berzina

Dalam Hadis-hadis SAW juga terdapat kisah-kisah nasib malang yang menimpa anak yang menyakiti ibunya atau menderhaka kepada ibunya yang telah melahir dan membesarkannya.



Juraij adalah seorang ahli ibadat telah difitnah akibat dimurkai oleh ibunya kerana dia tidak menyahut panggilan ibunya sebanyak tiga kali ketika ibunya berkunjung ke rumahnya, kerana dia sedang bersolat, dan ini menyebabkan ibunya marah, lalu terlantun kata dari mulutnya, “Ya Allah, janganlah engkau matikan Juraij sebelum dia difitnah”



Akibatnya dia telah difitnah oleh seorang pelacur bahawa dia telah mengandung anak Juraij itu hingga melahirkan anak haram.



Ibumu, Ibumu


Kata Mu’awiyah Al Qusyairi, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak saya berbakti kepadanya”?



Jawab Rasulullah, “Ibumu”.



Mu’awiyah, “Kemudian siapa pula?”.



Jawab Rasulullah, “Ibumu”.



Mu’awiyah,”Kemudian siapa pula?”.



Jawab Rasulullah, “Ibumu”.



Mu’awiyah, “Kemudian siapa pula Ya Rasulullah?”.



Jawab Rasulullah, “Bapamu, kemudian yang lebih hampir, dan orang lebih hampir”. HR:Tirmizi.



Sebagai seorang ibu, anda tidak boleh diderhakai oleh anak-anak anda, kerana orang menderhakai ibu, dia akan menerima pembalasan dari Allah, mungkin sejak dia masih hdup di dunia ini lagi, sebagaimana terdapat dalam Hadis-hadis Baginda SAW.



Tak Boleh Mengucap


Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Ufi r.a., katanya, “Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang seorang lelaki memberitahu kepada Baginda seorang pemuda sedang hampir mati, tapi diajar mengucap “La Illaaha Illaah”, dia tidak dapat menyebutnya.



Rasulullah SAW bertanya lelaki itu, “Adakah orang muda itu orang sembahayang?”.



Jawab lelaki itu, “Ya, dia orang sembahayang”.



Kemudian Rasulullah SAW bersama-sama dengan sahabatnya pergi menemui lelaki itu. Rasullah masuk mendekati orang muda itu dan menyuruhnya mengucap, “La Iillaaha Iillah”,



Orang muda itu menjawab, “Saya tidak berkuasa menyebutnya”.



Rasulullah SAW bertanya, “Kenapa?”.



Lantas orang ramai menjawab, “Dia derhaka kepada ibunya, ya Rasulullah!”.



Rasulullah lalu bertanya kepada mereka, “Adakah ibunya masih hidup?”.



Orang ramai menjawab, “Ya”.



Rasulullah mnyuruh mereka memanggil ibunya, dan bila ibunya datang, Rasulullah SAW pun bertanya, “Adakah orang muda ini anak engkau?”.



Maka dijawab oleh ibu itu, “Ya, dialah anak saya, ya Rasulullah”.



Kata Rasulullah, “Beritahu kepada saya bagaimana sekiranya orang membuat unggun api besar, kemudian memberitahu engkau, sekiranya engaku safaatkan orang muda ini, maka dia selamat, tapi jika tidak, dia akan dimasukkan ke dalam unggun api itu, adakah engkau akan memberi safaat kepadanya?”.



Jawab ibunya, “Kalau begitu saya safaatkan dia dari dibakar”.



Kata Rasulullah, “Bersaksilah kamu dengan Allah dan bersaksi denganku, sesungguhnya engkau telah reda terhadap anak engkau”.



Berkata ibunya, “Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku bersaksi dengan Engkau dan bersaksi dengan Pesuruh Engkau bahawa aku sebenar-benarnya reda akan kesalahan anakku ini”.



Kemudian Rasulullah SAW menyurh orang muda itu berkata, “Laa Ilaaha Illaa lahu Wahdahu Laa Syarikalah, Washadu anna Muhammadan 'Abduhu Wa Rasuululuhu”.



Maka orang muda itu pun dapat menyebut kata-kata itu.



Akhirnya Rasulullah SAW berkata, “Syukur kepada Allah yang menyelamatkan orang muda ini dari api neraka dengan sebabku”. HR: At-Tabarani.



Semua kisah-kisah itu menggambarkan dengan jelas kedudukan mulia seorang ibu di sisi anak-anak mereka. Adakah anda tidak merasa bangga dengannya sebagai seorang ibu yang berjasa kepada anak-anaknya, melahir, membesar dan mendidiknya sebagai seorang berguna?



Sebagai seorang ibu, anda berhak mendapat khidmat bakti daripada anak-anak anda sebagaimana diperintah oleh Allah ke atas mereka. Anda berhak mendapat sepenuh kasih sayang dari mereka, dan mereka seharusnya menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh mendukacitakan anda. Mengenepi perintah Allah ini bererti mereka tergolong anak yang ingkar.



Sebagai seorang ibu, anak-anak anda mesti menghormati anda, mesti memuliakan anda, kata-kata anda yang baik harus mereka ikuti, dan mereka tidak boleh menderhaka kepada anda.



Jasa Ibu Tidak Ada Tandingan



Pada suatu hari datang seorang lelaki kepada Nabi SAW. lalu berakata, “Ya Rasulullah, saya ada mempunyai seorang ibu; saya dukung dia, saya dudukkan di atas punggung saya, tidak pernah saya berpaling daripadanya, dan saya menyerahkan hasil usaha saya kepadanya, maka itu apakah saya telah membalas jasanya?”.



Nabi menjawab, “Tidak walaupun dengan satu nafas!”.



Ia berkata, “Mengapa demikian?’.



Nabi bersabda, “Kerana ibumu pelihara kamu, dan dia suka akan hidupmu-berumur panjang; dan kamu pelihara dia, pada hal kamu suka dia lekas mati”. HR: Imam Abul Hasan Al-Mawardy.



Malah lebih jauh lagi ibu berhak untuk mendapat doa-doa dari anak-anak mereka, baik sewaktu anda masih hidup atau selepas mati. Doa-doa anak-anak yang salih dan beriman itu memberi impak yang besar kepada anda sebagai seorang ibu.



Ibu Mati


Dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra. Rasulullah SAW bersabda,” Seorang hamba yang mati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya, sedangkan dia telah menderhakai keduanya, akan tetapi dia sentiasa istighfar untuk kedua ibu bapanya yang telah mati itu, akhirnya Allah mencatitkan amalan orang yang berbakti kepada keduanya:. HR:Al-Baihaqi.



Allah menggalakkan anak-anak menziarahi pusara ibunya yang meninggal dunia dengan memberi kepada mereka ganjaran pahala.



Baginda Rasulullah SAW bersabda, “ Barangsiapa menziarahi kubur kedua ibu bapanya atau salah seorang dari keduanya yang telah meninggal dunia pada setiap Jumaat, niscaya diampuni dosanya dan dicatit sebagai seorang yang melakukan kebaktian kepada ibu bapa”. HR:At-Tabarani.



Sebagi seorang ibu adakah anda tidak terhibur dengan sabda Rasulullah SAW, “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu”.HR:Qadha’ dari Anas ra.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahambah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP