Perubahan Yang Dirindukan

>> Friday, December 9, 2011






PERUBAHAN YANG DIRINDUKAN




Perubahan adalah sesuatu ciptaan Allah yang semula jadi. Semuanya melalui perubahan. Tidak sesuatu kejadian yang tidak berubah, yang statis atau beku. Justeru perubahan itu satu keperluan yang tidak dapat dimungkiri.



Pada umumnya ada dua bentuk perubahan, iaitu perubahan ke arah kebaikan, dan satu lagi perubahan ke arah keburukan. Ertinya setiap perubahan itu samada menuju kebaikan atau keburukan.



Kebanyakan manusia yang normal inginkan perubahan menuju ke arah yang lebih baik, namun begitu ada juga manusia yang mencipta perubahan ke arah keburukan.



Tok Guru Hj.Nik Abdul Aziz Nik Mat



Orang-orang yang tidak sihat, ingin perubah kepada sihat; orang-orang lemah ingin berubah kepada kuat, orang-orang miskin ingin berubah menjadi kaya, orang-orang yang kecewa ingin berubah kepada kejayaan. Demikianlah seterusnya.



Hanya orang-orang yang tidak siuman sahaja ingin berubah daripada baik kepada buruk, daripada buruk kepada yang lebih buruk.



Ada sesetengah perubahan berlaku dengan sendiri tanpa campur tangan kita manusia, seperti manusia daripada berada perut ibu, lahir ke dunia, menjadi bayi, kemudian jadi besar, remaja, dewasa dan tua. Itu proses senula jadi.



Tapi ada pula perubahan-perubahan yang perlu dirancang, diatur dan diusahakan untuk mencapainya, seperti pelajar yang lemah dalam pelajaran, ingin lulus dalam peperiksaan. Atau lelaki yang inginkan anak, dia mestilah merancang dan berusaha, iatu berkahwin terlebih dahulu dengan seorang wanita.



Tentu aneh, bila seorang pemuda inginkan anak, lalu menjemput tuan iman masjid di kampungnya untuk bersolat hajat mendoakan supaya hajatnya untuk mendapat anak itu dikabul Allah. Kira-kira enam bulan kemudian, pemuda itu sekali lagi menjemput tok iman yang sama ke rumahnya untuk tujuan yang sama. Selepas solat dan selesai makan, maka berbisiklah tuan iman kepada pemuda itu, “Isteri encik tidak mengandung lagikah?”.



Maka pemuda itu dengan selamba menjawab, “Macam mana nak mengandung, saya belum kahwin lagi”. Tok imam lalu ketawa berdekah-dekah sambil mengulang-ngulang menyebut, “Subhanallah, subhanallah”.



Matlamat Berubah


Untuk melakukan tranformasi, untuk berubah, kita mesti mempunyai matlamat yang jelas, hala tuju yang jelas, kemudian berusahalah dengan sistemetik dan gigih untuk meraihnya.



Usaha itu perlu kerana Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Ar-Rad: 11.



Perubahan yang berlaku dalam kehidupan manusia bukanlah satu perkara baru, malah ia telah lama berlaku dalam Islam, iaitu sejak ribuan tahun yang lampau lagi.



Tok Guru, Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam satu khutbah Jumaatnya menegaskan, “Ubah mengubah dalam kehidupan manusia bukanlah tajuk baru dalam perbualan antara bangsa, Islam telah menyentuh tajuk ini sejak kira-kira 1500 tahun yang lalu, dan telah meletakkan asas kejayaan perubahan itu di atas perubahan sikap dan pemikiran mereka sendiri terlebih dahulu”.



Dengan itu, katanyan perubahan fizikal atau perubahan kemudahan-kemudahan asas sahaja, tidak membawa hamba Allah ke mana-mana, malah akan menjadi beban pula.



Justeru itu Islam mengutamakan perubahan mentalnya daripada perubahan jasmani. Sebab itu kata Tok Guru, “Perubahan pertama dan yang paling ulung yang ditonjol oleh Islam ialah mengajak manusia berfikir sampai ke tahap yakin [iman] bahawa Laillahaillah dan Muhammadur Rasulullah, tdak ada langsung yang dilayak dijadikan pujaan atau Tuhan kecuali Allah sahaja, serta tidak ada manusia di seluruh dunia yang layak dijadikan contoh atau mithali di segenap bidang kecuali Nabi Muhamma SAW”.



Justeru katanya, bila manusia menerima pengakuan tersebut, dengan hujah-hujah tertentu, maka perubahan-perubahan mesti berlaku. Pada awalnya di peringkat pemikiran dan arah tuju, kemudian berlaku pula di peringkat tindakan. Kata beliau di peringkat pemikiran disebut iman dan di peringkat tindakan di sebut Islam.



Beliau menegaskan, “Arab jahiliah yang serba biadab pada keseluruhan tindakannya sebelum menerim pelawaan Nabi Muhammad dulu telah bertukar menjadi semacam makhluk dongeng selepas mereka menerima pelawaan Islam pimpinan Nabi Muhammad SAW. Kalau dikaji, tidak ada apa modal yang dilaburkan oleh Baginda untuk mengubah tindakan mereka supaya berpaut kepada Baginda selain daripada menggunakan “teori” تفييرمابأنفسهم, mengubah benda dalam diri mereka".



Nasib Anak Yatim


Satu lagi perkara yang perlu ditranformasi, diubah ialah memberi pembelaan pada anak-anak yatim dan fakir miskin yang terbiar dan merempat dan perlu mendapat pembelaan.



Mereka yang malang ini, kata beliau tidak begitu mendapat perhatian dan pembelaan, sedang Allah SWT bertanya kepada Baginda SAW tentang mereka yang mendustakan agama, dengan firmanNya, “Adakah engkau ketahui orang yang mendustakan agama? Maka demikian itu ialah orang yang melayan anak yatim dengan kasar dan tidak menggalakkan memberi makan orang miskin”. Al-Maun: 1-3.



Menurut beliau kalimah “Allazi” dalam ayat itu menunjukkan Allah menujukkan sikap berdusta kepada agama itu kepada “individu” . Dengan itu bererti adalah menjadi tugas individu mengambil berat terhadap orang-orang miskin, anak-anak yatim dan orang melarat.

Banyak tempat-tempat menarik yang memerlukan perubahan untuk menarik lebih ramai pengunjung.



Beliau menegaskan, “Masyarakat Islam ialah masyarakat yang tidak akan membiarkan orang-orang Muslim dan anak-anak yatim kekal tidak dipedulikan. Mereka terlebih dahulu mengambil berat nasib golongan tersebut dan tidak mengharapkan kepada kerajaan semata-mata”.



Sabda Rasulullah SAW. “Bukan orang yang Mukmin kiranya dia tidur nyenyak dengan keadaan kenyang, sedangkan jiranya kelaparan”.



Menyambut Tetamu


Beliau menyeru seluruh rakyat Kelantan supaya menyambut baik setiap pelawat yang berkunjung ke negeri ini yang datang dari segenap pelosok negara



Beliau menegaskan, “Kita mahu Kelantan yang seluas 14,992 kilometer pergi ini kesemuanya menjadi Tanah Serendah Sekebun Bunga. Di mana tingkah laku penduduknya yang indah dipandang mata, tutur kata penduduknya sedap didengar telinga. Orang tidak jemu berkunjung dan tidak serik berbicara. Peniaga-peniaganya bermulut manis dan berhati mulia, petani-petani bekerja kuat, boleh ditiru oleh tetamu yang melawat. Kampung halamnnya bersih dan rakyatnya sihat dan tampan-tampan belaka. Wanitanya manis tapi bersopan, peramah orangnya, pandai bermesra tapi bertakwa. Pandai menjaga hati suami dan penyayang kepada anak cucu”.



Dan seterusnya beliau menegaskan, “Kita mahu Kelantan yang seluas 14,992 kilometer persegi ini sebagai Serambi Mekah, di mana ulamanya berilmu tinggi dan dihormati masyarakat. Malam macam Malaikat berzikir kepada Allah dan bertahajjud dan siang harinya macam pahlawan yang gagah berani mengawasi masyarakat sekitar”.



Demikianlah perubahan-perubahan yang kita perlu lakukan sepanjang masa sebagai umat Islam yang beriman dan bertakwa, iaitu mempertingkatkan iman kita, menjaga kepentingan anak-anak yatim dan fakir miskin serta memberi layanan baik kepada para tetamu yang dihormati.



Kita memang memerlukan perubahan dan kita rindukan perubahan, dan perubahan itu seharusnya melimpahkan kita dengan segala kebaikan dan kemuliaan ruhani dan jasmaninya.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP