Anda Mencari Jodoh, Tapi Suami Macam Mana?

>> Tuesday, December 20, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG




ANDA MENCARI JODOH, TAPI SUAMI MACAM MANA?



Mencari seorang pasangan hidup atau mencari suami yang tulen, tidaklah semudah anda mencari dan memilih barang-barang di pasar raya, di mana jika anda berkemampuan membeli, anda boleh memilih apa-apa sahaja barang yang anda mahu, yang kecil, yang besar, yang tinggi dan rendah, yang cantik atau yang tercantik.



Tapi mencari suami tidak seperti mencari barang-barang di pasar raya, kerana yang anda cari adalah manusia, seorang lelaki yang mempunyai perasaan, fikiran, hati dan jiwa, malah mempunyai ego dan pemilihan tersendiri. Jika mereka bersetuju dan berkenan, barulah mereka mengambil atau menerimanya.



Oleh itu dalam mencari suami, anda hendaklah ikhlas dalam penampilan diri anda, iaitu penampilan yang sesuai dengan cita rasa dan idaman anda sebagai seorang insan yang beriman dan bertakwa.



Suami Beriman


Pada suatu malam, kami berada dalam kereta api dalam perjalanan dari KL-Kuala Krai. Seperti biasalah naik Kereta Api Tanah Melayu tidak akan sampai ke tempat yang dituju mengikut ketetapan masa, selalunya terlambat, terlewat satu jam perkara biasa, malah kadang-kadang memakan masa berjam-jam baru sampai ke destinasi. Sebab itu ada pengguna-penggunakan kereta api menggelarkan KTM itu sebagai Kendreaan Terlewat Malaysia.



Impian telah ditemui-mereka telah bersatu-alangkah indahnya disambut suami dan keluarga. Foto sekadar hiasan



Ketika kereta api berhenti di sebuah setesen di Pantai Timur, naik beberapa penumpang di gerabak kami, dan dua daripadanya ialah dua orang wanita. Melihat sekilas rauk wajahnya, kedua-duanya telah melewati usia 50an tahun. Tapi masih cergas.



Salah seorang daripadanya bertubuh gempal, seorang yang “out spoken”, ramah dan nampaknya lepas laku. Mereka duduk selang beberapa bangku di hadapan kami. Sejak naik tadi, mulutnya tak henti-henti bercakap, seolah-olah kepada dirinya sendiri.



Setelah duduk di kerusi, dia berpaling memerhatikan penumpang-penumpang di belakangnya. Bila kereta api mulai bergerak, kerusi di sebelahnya masih lagi kosong, tiada penumpang.



“Mana cik abangnya?”, tiba-tiba isteri saya [Asiah Yaacob-semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] di sebelah bertanya, “kerusi kosong itu untuk siapa?”.



Wanita itu menjelaskan, dia selalunya membeli dua buah teket untuk dirinya seorang, untuk duduk selesa dalam perjalanan. “Saya tidak ada suami”, dia tidak segan-segan menjelaskan, “masih belum kahwin”.



“Kenapa tak kahwin?”, Tanya isteri sahaja-sahaja.



“Bukan tak nak kahwin, tapi tak ada orang minta”, jawabnya tanpa kekok-kekok.



“Kenapa? Memilih sangatkah?”. Tanya isteri saya lagi.



“Bukan begitu”, balas wanita itu, “tidak ada orang berani masuk minta. Kami dahulu ni hebat, jadi tentera sukarela. Pakai seluar, berbaris, segak…”.



“Memilih tak?”, Ulang tanya isteri saya.



“Memilih sangat tu tidaklah. Kami cari lelaki yang ada agama sedikit, beriman, boleh bimbing kami yang macam ni, tapi sampai hari ini tak ketemu”. Jelasnya tanpa teragak-agak.



Perbualan mengenai mencari suami itu terhenti setakat itu, dan kereta api malam terus berjalan, meluncur, meredah malam dingin di luar.



Wanita-wanita itu ingin mencari suami yang bergama. Memanglah betul apa yang dicarinya itu seorang lelaki yang beriman, bertakwa dan salih.



Tapi saya lihat pakaiannya tidak mencerminkan mereka muslimah yang beriman. Berbaju ketat, terbuka dadanya, rambut lepas terurai, dan berseluar ketat. Bagaimana hendak mencari lelaki yang beriman?.



Menantu Beriman


Beberapa hari kemudian pula, ketika berada di sebuah pejabat institusi agama, saya berjumpa dengan tiga orang hamba Allah, seorang gadis, seorang pemuda, dan seorang lelaki yang berusia.



Tiba-tiba bila kedua-dua anak muda itu, agak berjauhan darinya, lelaki tersebut menghampiri saya dan memberitahu dia datang ke pejabat agama kerana masalah lelaki muda itu ingin masuk Islam dan ingin berkahwin dengan anak gadisnya itu.



Katanya mereka bertemu ketika belajar di luar negara. Sudah puas dia menasihat anak gadisnya itu supaya tidak menerus hasratnya untuk berkahwin dengan pemuda tersebut, tapi tidak berjaya. Dia berkeras juga hendak berkahwin dengan pemuda asing tersebut yang berasal dari luar negara.



“Susah kahwin dengan orang asing ni”. Katanya, “kita kalau boleh nak anak kita kahwin dengan orang tempatan, lelaki yang tahu agama dan beriman, boleh bantu anak kita belajar agama. Tapi apa boleh buat?”. Kekesalan terdapat dalam kata-katanya.



Saya perhati kedua-dua anak muda itu. Anak gadis orang tua itu, berbaju lengan pendek, berseluar jean, rambut terurai dan dikat oleh sebuah skirf yang kecil, berkasut tumit tinggi.



Kasih dan cinta dimeteraikan untuk memasuki gerbang rumahtangga



Tapi ayahnya mempunyai cita-cita yang mulia, untuk mencari seorang menantu yang beriman dan bertakwa, menantu yang salih.



Tapi anaknya?



Banyak Syarat


Saya juga kenal dengan seorang wanita. Usianya lebih tua dari saya. Saya panggil dia kakak. Berpakaian sopan, bertimbang rasa, peramah. Ada rumah sendiri, Ada kenderaan sendiri. Ada jawatan. Dari keluarga baik-baik. Tapi tidak pernah berkahwin sepanjang hayatnya.



Bila saya selidiki, ternyata dia seorang yang pemilih. Dia mencari lelaki yang dapat memenuhi cita rasanya yang baik, tapi terlalu sukar untuk dicari sepenuhnya.



Lelaki yang dicarinya mestilah baik tingkah lakunya, mulia peribadinya, berjawatan, lemah-lembut, pengasih dan penyayang, boleh bertolak ansur, bertanggungjawab, berwibawa dan mempunyai fikiran terbuka. Seorang lelaki yang beragama.



Tentulah sukar untuk mencari seorang lelaki yang padanya mengandungi segala unsur-unsur yang dicarinya itu. Dan akhirnya, dia tidak kahwin-kahwin, seronok dalam mencari dan memburu lelaki idaman.



Sesungguhnya lelaki dan wanita disuruh berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Suami untuk wanita, dan isteri untuk lelaki. Wanita tidak digalakkan memilih suami dengan terburu-buru, kerana perkahwinan melibatkan banyak perkara, bukan sahaja perkara dunia, tapi juga soal akhirat. Perkahwinan melibatkan soal kehidupan, keturunan, penjagaan dan pendidikan anak-anak, kasih sayang dan amalan sebagai sepasang suami isteri.



Sebelum menentukan pemilihan bakal suami, wanita hendaklah mengetahui latarbekalang suaminya, akhlak dan yang pentingnya agamanya. Apakah lelaki itu seorang yang hidup beragama?



Bila sudah diijabkabul, menjadi suami dan isteri, andainya suaminya bukan suami dalam erti kata yang sebenar, mengabaikan isterinya, tidak melayan isterinya dengan wajar, bersikap kejam dan zalim, curang, dan tidak bertanggungjawab, maka sudah tentu wanita yang bergelar isteri akan meananggung derita dan sangsara.



Nasihat Orang Tua


Anak-anak gadis mestilah mempunyai fikiran terbuka dan bersedia menerima teguran untuk mendengar nasihat daripada orang tua mereka supaya mencari suami yang beriman dan bertakwa, yang berakhlak mulia dan beragama.



Ia menunjukkan orang tua anda itu memahami pesanan Rasulullah SAW kepada mereka dalam soal mencari menantu. Baginda pernah berabda, “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu reda [berpuas hati] tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia [dengan anak perempuan kamu]. Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.



Selepas mendirikan perkahwinan dan mendapat keturunan, andainya berlaku perceraian yang berpunca dari keonaran suami, maka yang akan teruk menanggung beban dan derita akibat perceraian itu adalah wanita yang bernama isteri itu. Dia mungkin akan diselimuti oleh problem sosial, psikologi dan ekonomi yang akan menghantuinya.



Bunga dan warna lambang kasih dan cinta.Alangkah indahnya bunga yang disunting



Apa lagi dengan adanya pandangan negatif sebahagian besar masyarakat terhadap wanita-wanita janda, walaupun pandangan mereka itu tidak berasas dan berupa fitnah semata.



Lelaki Fasik


Wanita janganlah mencari lelaki yang fasik, yang suka melakukan maksiat-maksiat yang dimurkai oleh Allah, kerana bersuamikan lelaki fasik samalah ertinya anda mengundang bencana menimpa diri.



Baginda Rasulullah SAW melarang keras ibu bapa menikahkan anaknya dengan lelaki yang fasik. Baginda bersabda, “Sesiapa yang menikahkan anak perempuannya dengan lelaki fasik bererti ia telah memutuskan hubungan silaturrahim dengan anaknya sendiri”.



Kenapa tidak?



Berkahwin dengan lelaki yang suka membuat dosa dan fasik boleh menimpakan pengaruh yang buruk kepada seseorang wanita yang menjadi isterinya itu. Kita sering melihat bagaimana gadis-gadis yang baik asalnya telah berubah laku selepas berkahwin dengan lelaki yang bergelumang dengan kefasikan.



Kebanyakan wanita yang malang itu akan hanyut dibawa arus kehidupan suaminya yang bejat dan tidak bermoral. Ada di antara mereka yang asalnya berjurus, tapi selepas berkahwin telah berubah menjadi liar, daripada menutup aurat kepada mendedah aurat, daripada bersolat kepada meninggalkan solat, daripada tidak minum arak bertukar menjadi pemabuk, daripada tidak berjudi, menjadi tahi judi, daripada tidak berdadah, menjadi penagih dadah, malah ada isteri yang bekongsi dengan suami menjadi saudagar dadah.



Semuanya berlaku kerana pengaruh seorang suami yang bejat, rakus dan fasik yang dikutuk Allah.



Kalau hidup di bawah kemurkaan Allah, sudah tentu rahmat tidak akan turun, baik kepada anda atau rumahtangga anda, sebaliknya yang akan turun menimpa ialah bala dan bencana. Tidak ada siapa lagi yang boleh menyelamatkan anda. Tunggulah bala yang akan menimpa, jika anda tidak segera kembali ke pangkal jalan dan bertaubat.



Wanita-wanita yang sedang mencari suami, anak-anak gadis yang sedang mencari pasangan hidup, hendaklah sentiasa ingat bahawa untuk mencari seorang lelaki yang beriman dan bertakwa, lelaki yang salih, anda sendiri sebagai hamba Allah mestilah memiliki peribadi yang mulia, dengan lebih dahulu menjadi diri anda seorang insan yang beriman dan bertakwa.



Kebaikan itu seperi magnet, saling tarik menarik, demikian juga dengan kejahatan, saling tarik menarik. Yang buruk akan menarik anda kepada kejahatan, dan yang baik akan menarik anda kepada kebaikan dan kemuliaan.



Kerana itu jika anda menanam lalang, anda tidak akan menuai padi, tapi dalam padi yang tidak dijaga dengan sewajarnya mungkin akan ditumbuhi lalang-lalang yang akan membinasakan padi.



Oleh itu perteguhkan iman anda, carilah suami beriman lebih penting daripada lelaki yang berpangkat, berjawatan dan bernama, tapi tidak beragama, kerana suami yang bergama itu, walaupun andainya nanti, kerana sebab-sebab yang tidak diduga sama sekali, dia tidak menyukai anda, dia tidak akan melakukan kezaliman kepada anda, tidak akan menganiaya anda, dia tetap menghormati anda sebagai seorang isteri dan hamba Allah. Anda adalah isterinya dan dia adalah suami anda.



Dalam mencari suami, jangan anda menjadikan diri anda seperti wanita yang diceritakan di atas, ingin mencari suami yang beriman, tapi dia sendiri tidak menampilkan dirinya sebagai seorang yang beriman.



-------------------------------------------Tangan dipadu, kesetiaan dijalin



Dan jangan jadi seperti dalam kisah di atas seorang ayah yang ingin mencari menantu beriman, tapi tidak membentuk anak daranya menjadi wanita beriman.



Dan jangan juga jadi seperti kisah di atas seorang wanita yang amat banyak syaratnya dalam memilih suami, menyebabkan dia tidak pernah bertemu dengan lelaki yang dicarinya, dan jadilah dia seorang pencari yang tidak pernah menemui apa yang dicarinya hingga ke akhir hayatnya.



Bersederhanalah dalam mencari, dan bertawakallah kepada Allah, dan yang pentinngya lelaki itu mestinya seorang mulia peribadinya dan beriman serta bertakwa.



Hendak mencari seratus peratus apa yang kita impikan, tidak mungkin ditemui, dapat separuh pun sudah memadai. Lebih baik susah sedikit di dunia, daripada menanggung derita yang berpanjangan di akhirat nanti.



Hayat sesebuah perkahwinan bukan sahaja di dunia yang fana ini, ia tidak berakhir dengan kematian pasangan, malah ia terus berlanjutan ke akhirat, di mana setiap orang lelaki akan diminta pertanggungjawabnya, ketika dia memikul jawatan sebagai seorang suami, dan anda pula sebagai seorang wanita yang menjadi isterinya akan diminta pertanggungjawabnya ketika memikul jawatan sebagai seorang isteri itu. Masing-masing memikul tanggungjawab yang harus diselesai di hadapan Allah.



Perkahwinan bukanlah semata-mata merupakan wadah tempat melepaskan nafsu badaniah yang rendah, tapi ia menjangkau lebih jauh dari itu, di mana tempat bertaut mesranya hati, perasaan, intelek dan jiwa dua makhluk, seorang lelaki dan seorang perempuan untuk meraih kebahagian yang sejati yang akan berpanjangan dari dunia hingga akhirat.



Semoga sebagai seorang isteri anda telah dikurniakan dengan seorang suami yang baik, dan semoga sebagai seorang wanita yang sedang mencari anda akan dikurniakan dengan suami yang baik, yang beriman dan bertakwa. Amin.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung

Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP