Rahsia Solat Menyihatkan Jasmaniah

>> Sunday, December 18, 2011




RAHSIA SOLAT MENYIHATKAN JASMANIAH




Solat boleh menyihatkan jasmani, kerana segala gerak geri dalam solat itu merupakan senaman yang berkesan untuk menyihatkan badan, justeru sekali gus dapat mencegah dan menyembuhkan penyakit.



“Solat dari segi gerak-gerinya adalah riadhah badaniyah atau senaman yang mesti ditunaikan oleh setiap muslim dan muslimah lima kali sehari semalam tanpa memenat atau memberatkan.



Gerak geri solat dalam Islam lebih rapi, lengkap serasi, kemas dan sesuai bagi semua peringkat umur dan sangat baik untuk kedua-dua jantina, lelaki dan wanita”.



Demikian mengikut Afiif Abdul Fattah Tabbaarah, yang dipetik oleh Ustaz Hj. Lukman bin Hj. Abdul Latif dalam ceramah-ceramah agamanya, khususnya untuk majlis Tazkirah dan Ta’liim beliau.



Katanya, solat dimulakan dengan takbiirat-ul-ihraam, di mana ketika bertakbir kita digalakkan mengangkat dua belah tangan dengan merapatkan jari-jari yang terbuka menghadap kiblat, dengan hujung kedua-dua jari telunjuk menyamai kedua-dua cuping telinga sebelah atas. Di waktu ini dua sendi belikat bergerak ke atas dan dada menjadi terbuka.



Demikian juga, ketika hendak ruku’ dan setelah bengah daripadanya di setiap rakaat dan ketika kita bangkit tegap berdiri dari tahiyyat uulaa, sebanyak 43 kali, dalam 17 rakaat dalam solat penuh 5 waktu sehari.



Waktu ruku’ kita membongkok separuh tubuh dengan kepala menyamai punggung, tapak tangan kanan menekan ke atas lutut kanan dan tapak tangan kiri menekan ke atas lutut kiri. Ketika ini tergeraklah sendi-sendi kedua-dua belah lutut dan peha, dan tulang belakang pula direntangkan.



Solat amat besar kesannya terhadap ruhani dan jasmani. Foto Arkib @pR



Katanya, “Gerakan ini amat berfaedah pada badan, jika dilakukan dengan tuma’niinah [tetap dalam sesuatu kedudukan pada kadar membaca 1 hingga 11 kali tasbih ruku’]. Bacaan 3 kali tasbiih adalah standard masa ruku’. Di samping itu, pancutan darah jantung ke segala urat darah di kepala otak, berlaku dengan lebih deras”.



Sujud


Menurut beliau, ketika sujud berlaku pula gerakan bersepadu melibatkan lebih banyak anggota badan, iaitu dengan jalan:



-Melipatkan batang tubuh



-Merapat dan menekankan dahi dan hidung ke atas tanah atau lantai. [Musalli menjarakkan antara dua lutut sejauh sejengkalnya, sementara Musalliah merapatkan kedua-duanya].



-Perut Musalli direnggankan dari pehanya, sementara perut Musalliah dirapatkan ke pehanya.



-Kedua belah tangan dibuka dengan merapatkan semua jari.



-Letakkan hujung jari tangan menyamai paras atas bahu dan semuanya menghala ke qiblat.



-Kedua-dua siku Mussali direnggangkan daripada rusuknya, sementara Musalliah merapatkan kedua-dua sikunya ke rusuk.



-Kedua-dua tapak kaki Musalli direnggankan sejengkalnya, sementara Masalliah merapatkan kedua-duanya.



-Rapatkan semua perut jari kaki ke tanah atau ke lantai, dengan sedikit tekanan.



-Tuma’niinah pada sujud ialah tetap pada kedudukannya antara 1-11 kali tasbih sujud. Bacaan 3 kali tasbih adalah masa standard bagi satu sujud.



Menurut beliau, ketika keududukan jantung lebih tinggi dari kepala dalam masa sujud itu menyebabkan pancutan darah berlaku lebih kuat, memasuki urat-urat halus dalam otak selama masa standard sujud. Hal ini dapat memulih dan menyegarkan otak orang yang sujud.



Katanya, gerakan seperti itu, amatlah berguna kepada muslim dan muslimah yang menunai solat sepanjang hidupnya, iaitu kesan positif kepada kesihatan atau pemulihan kesihatannya. Jumlah sujud dalam 17 rak’at solat penuh 5 waktu ialah 34 kali.



Seterusnya beliau menjelaskan,”Dengan sujud berlakulah urutan dalaman bagi usus dan jentera penghadham di dalam perut. Sujud menolong mengatur dan mencergaskan proses penghadhaman dan menyelamatkan dari berlaku sembelit., dan menyelamatkan usus dari turun ke bawah”.



“Para doktor perubatan moden menasihatkan supaya sujud dijadikan rawatan pemulih bagi pesakit ususnya menurun. Di samping itu sujud wanita membantu mengekalkan rahimnya pada loksai normalnya dan menyelamatkannya daripada berlipat atau bengkok”.

Solat yang khusyuk memberi kesan yang unik kepada musalli dan musalliah dalam mencari reda Allah



Selain daripada menjaga kesempurnaan di dalam semua gerak-geri solat, solat juga hendaklah dilakukan dengan sepenuh hati atau khusyuuk kepada Allah yang mengurniakan begitu banyak rahmat kepadanya,



Allah mencela orang-orang yang tidak hemat dalam solatnya, dengan firmanNya, “Dan bila mereka bangkit untuk solat, mereka bangkit dengan malas”.



Solat Berjadual


Solat dalam Islam berjadual dan berwaktu. Katanya solat yang sedemikian pada hakikatnya adalah sebaik-baik amalan senaman harian yang berkekalan tanpa memenat atau menyusahkan, dan boleh dilakukan di mana-mana tempat. Selain itu solat dalam Islam dibahagikan kepada 5 waktu yang penuh hikmat dan rahsia.



Subuh, waktunya sebelum naik mata hari dapat mempastikan muslim dan muslimah bangun pagi sebelum terbit mata hari untuk solat subuh, kemudian keluar awal-awal pagi untuk bekerja atau mencari rezeki.



Zuhur, waktunya menengah siang hari dan setelah bekerja beberapa jam lalu berihat, makan tengah hari, mandi, berwudhuk dan solat zuhur. Kemudian selepas solat dan berdoa lalu menyambung kerja semula dengan tenaga yang telah pulih dan konsentrasi baharu. Kemudian tiba waktu asar.



Bila tiba waktu asar, lalu berwudhu’ dan solat Asar; untuk pemulihan ruhani, mental dan juga jasmani, untuk menjalankan pekerjaan-pekerjaan lain dalam suasana petang dan sore, hingga mata hari terbenam dan masuklah waktu Maghrib dengan keheningannya.



Solat Maghrib ditunaikan. Selepas makan malam, watu Isyaa’ pun masuk, lalu solat Isa’ sebelum tidur untuk berihat.



Tidak Membebankan


Dasar Islam memang tidak membebankan. Nabi SAW bersabda, “Apabila bertembung antara makan malam dengan waktu Isyaa’, dahulukanlah dengan mengambil makan malam”,



Katanya inilah kemudahan asasi yang diberikan oleh Islam kepada umatnya. Islam memberikan keluasan kepada mereka untuk menunaikan kesemua solat itu dalam batasan waktu yang anjal terbuka.



Beliau seterusnya menegaskan, “Islam menentukan supaya tubuh badan umatnya mendapat senamannya yang teratur, iaitu menerusi solat-solatnya. Digalakkan sesiapa yang suka, untuk menambahkan beberapa solat sunnah, sebanyak yang tidak keterlaluan, seperti solat Duha, Witir, Tahajjud dan Rawatib”.



Allah berfirman, “Allah tidak beban atau tugaskan seseorang melainkan setakat kuasa dan kemampuannya”.



Justeru sesiapa tidak kuasa solat sambil berdiri, dia dibolehkan solat sambil duduk. Di waktu merantau untuk tujuan baik, dia dibolehkan jama’ dan qasar solatnya.



Kebersihan


Islam sangat menggalakkan kebersihan. Solat, mempastikan muslim dan muslimah membersih tubuh badannya dari hadas besar dan kecil, bersih pakaian dan tempat solatnya.



Katanya ini menunjukkan “Islam nengadunkan di antara berbagai manfaat keruhanian dengan berbagai manfaat fizikal, supaya pengamalnya berkelayakan untuk mendapat kebahagian ruh dan jasadnya secara kombinasi”.



Hari ini, kekuataan tubuh badan dianggap faktor bagi kekuatan akal. Slogan umum mereka, “Akal yang sejahtera berada di tubuh badan yang sejahtera”.



Dengan demikian, manusia sejagat akan mendapati di dalam agama Islam ada pendorong yang kuat kepada penguatan fizikal mereka.



“Nubuwah Muhammad SAW. makin terserlah dan mendapat kesakian tentang benarnya daripada pelbagai penemuan hasil dari kajian-kajian saintifik yang jujur”.



Dan seterusnya beliau menegaskan, “Setakat ini, dapat kita perkatakan bahawa berbagai-bagai mukjizat saintifik dan kedoktoran telah menjelang terang dan nyata dari celah-celah al-Quran dan Sunnah Nabawiyah, dengan penemuan-penemuan berbagai-bagai rahsianya yang baru dikesan dan ditemui oleh para saintis moden kini. Sesungguhnya segala penemuan- satu demi satu kebenaran saintifik sejajar dengan apa-apa yang Allah sebutkan di dalam al-Quran atau yang NabiNya sabdakan- adalah antara bukti yang terkuat menunjukkan benarnya kenabian Muhammad SAW”.



Sekian.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP