Wanita Jahanam Dan Menjahanamkan

>> Friday, December 2, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG




WANITA JAHANAM DAN MENJAHANAMKAN


Pada umumnya jasad manusia itu dapat dibahagikan kepada dua, iaitu sebelah kiri dan sebelah kanan, di mana kedua-duanya mempunyai peranan yang penting. Kedua-dua belah jasad itu mesti kuat dan utuh untuk membolehkan jasad itu hidup normal sebagai seorang manusia. Andainya salah sebelah dari jasad itu pincang, maka seluruh jasad itu akan pincang. Sebab manusia tidak boleh hidup sempurna dengan sebelah tubuh.



Maka dengan itu boleh diibaratkan bahawa tubuh sebelah kanan itu lelaki dan tubuh sebelah kiri pula wanita-kedua-duanya mesti teguh dan saling bekerjasama dengan erat untuk membolehkan seluruh jasad berfungsi dengan sewajarnya. Kalau kaki kanan melangkah, tapi kaki kiri enggan bekerjasama, maka manusia itu sukar untuk meneruskan perjalannnya. Demikian juga kalau sayap kiri patah, burung tidak mungkin terbang dengan sebelah sayap kanannya sahaja.



Pengalaman membuktikan, wanita yang menjadi tubuh kiri itu mempunyai peranan yang besar untuk menentukan pencapaian seluruh jasad yang dipanggil manusia itu. Riwayat hidup manusia sepanjang zaman menununjukkan bahawa ada dua peranan yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pencapaian kaum lelaki, iaitu buruk dan baik.



Buat apa-apa marah-senyumlah selalu-senyum anda boleh mencairkan hati suami.



Andainya seseorang wanita, khususnya seorang isteri itu mempunyai sifat yang mulia dan terpuji, maka sudah tentu dia memberi sumbangan yang besar kepada pencapaian yang mulia suami dan keluarganya, tapi sebaliknya jika wanita itu tidak berperangai baik, tidak terpuji dan mulia, dan rosak akhlaknya, maka kemusnahanlah yang menimpa suami dan keluarganya.



Antara sifat-sifat hina dan keji seseorang wanita yang menimpakan kesan buruk terhadap kaum lelaki, khusus suaminya adalah banyak, oleh itu anda sebagai seorang wanita hendaklah menjauhi daripada memakai akhlak yang buruk dan hina itu, dan menggantikanya dengan sifat-sifat terpuji dan mulia yang selaras dengan tuntutan agama..



Banyak Mengeluh


Wanita yang selalu mengeluh, banyak merasa kecewa dan merasa tidak puas hati dengan hidupnya, walaupun nasibnya tidaklah seburuk mana jika dibandingkan dengan orang lain yang jauh lebih menderita. Dari mulutnya sentiasa terpancar keluhan berat, seolah-olah dipikulkan beban di luar kemampuannya.



Kepada wanita ini ada sahaja yang tak kena dan tidak menyenangkannya, hingga terluncur kata-kata, “Kalau macam ini, lebih baik mati sahaja dari hidup”, sedangkan pada masa itu dia telah tergolong dari kalangan orang yang bernasib baik.



Suka Menghias Diri


Wanita seperti ini sentiasa berada dalam keadaan menghias diri, sentiasa ingin kelihatan cantik dan anggun, baik di mana dia berada. Bibirnya sentiasa merah, kuku-kukunya sentiasa berwarna, wajah selalu bersapu bedak, tangan selalu diloson supaya kelihatan mulus dan lembut



Akibatnya dia enggan untuk menyiang ikan, menyiang sayur takut rosak tangannya, enggan untuk membasuh beras untuk menanak nasi nanti takut rosak kuku-kuku di jarinya, enggan berwuduk kerana merosakkan makeup di mukanya.



Untuk mencantikkan diri seperti itu sudah tentu dia terpaksa berbelanja lebih, kadang-kadang terkeluar daripada kemampuan suaminya yang bergajil kecil. Justeru itu, dia memaksa suaminya menyediakan segala keperluan-keperluannya itu untuk memuaskan nafsunya sendiri, walapun dia tahu ia di luar kemampuan suaminya.



Mungkin kalau suaminya itu seorang lelaki yang tidak kuat pendiriannya, dan tidak beriman, dia akan terlibat dalam tindakan-tindakan yang tidak beretika, seperti melakukan rasuah untuk menampung segala keperluan yang didesak oleh isterinya itu.



Kepada wanita seperti itu urusan rumahtangga bukan tanggungjawabnya, kerana pada anggapannya tanggungjawabnya yang penting ialah menghadiri majlis-majlis sosial, berkujung ke rumah kawan-kawan, ke majlis mesyurat di mana dia dapat berlagak menunjuk-nunjukan gayanya yang anggun itu.



Oleh sebab sering berjaga malam, lewat tidur kerana menghadiri majlis sosial, sarapan pagi suami yang hendak ke tempat kerja pun tidak sempat disediakan. Jauh sekali daripada solat subuh, kerana dia tidak rajin bersolat walau pun dia seorang Islam.



Dia sepatutnya berusaha membentuk perangai, membaiki akhlak, dan menghiasai dirinya dengan perangai-perangai yang mulia dan terpuji, dan tidak terus kekal berada dalam tahap menjijik dan merugikan.



Wanita seperti ini, kalau dia sudah bernikah mempunyai suami, maka perilakunya yang buruk itu akan menyakiti hati suaminyna, dan tidak mampu memberi kebaikan kepada suaminya.



Suka Mengungkit


Wanita jenis ini suka benar mengungkit-ungkit atau membangkit-bangkit tentang dirinya. Kepada wanita seperti ini dia langsung tidak nampak usaha dan sumbangan suami terhadap kehidupan mereka, malah dia suka benar mempelekeh-lekeh dan memperkecil-kecilkan suaminya yang begitu kerdil pada pandangannya.



“Sebelum kahwin dahulu, aku hidup senang bersama dengan ayah dan ibuku, tapi selepas kahwin dengan awak ini, kehidupan saya menjadi susah. Terpaksa bekerja sebagai hamba abdi di rumah ini. Kalau tahu macam ni, sumpah aku tak akan kahwin dengan engkau”.



Gigihnya wanita ini mencari rezeki, sudah tentu besar jasanya pada keluarga. Gambar sekadar hiasan, dari Arkib:PR



Seorang lelaki yang mempunyai isteri yang suka mengukit-ungkit seperti itu adalah seorang suami yang malang, kerana telinganya sentiasa disumbat dengan leteran-leteran isteri yang menyakitkan telinga dan melukakan hati.



Janda Yang Mementing Bekas Suami


Seorang janda, yang bercerai hidup atau bercerai mati, kemudian menamatkan titel jandanya dengan bersuami lain, tapi tidak pernah melupakan bekas suaminya dahulu, malah sering menyebut-nyebutnya seolah-olah dia masih bersama dengan suaminya itu. Justeru itu dia terus mengabaikan suaminya yang baru itu yang telah memberikan sepenuh kasih sayang kepadanya.



Demikian juga, di memberi layanan yang lebih istimewa kepada anak-anaknya sendiri dengan suaminya dahulu dan terus mengenepikan anak-anak suaminya yang baru. Malah dia melayan anak-anak tirinya itu dengan buruk sekali, hingga ada yang sanggup menderanya dari segi mental dan fizikalnya, sebagaimana sering digambar-gambarkan dalam kisah-kisah lama.



Memandang dari sudut inilah Baginda Rasulullah S.A.W. dilaporkan pernah menasihatkan kepada lelaki yang ingin berkahwin supaya memilih anak dara atau perawan sebagai isteri.



Baginda S.A.W. bersabda, “Hendaklah kamu memilih wanita-wanita yang perawan [anak dara] kerana sesungguhnya mereka itu lemah lembut tutur katanya, boleh melahirkan anak yang banyak, kurang tipu dayanya dan sentiasa cukup dengan yang sedikit”.HR:Imam Ibnu Majah & Al-Baihaqi r.a.



Tamak Haloba


Wanita yang tamak haloba kepada harta dan kekayaan, dan selalu mementingkannya. Dia selalu memburu kemewahan hidup, emas dan perak dan intan dan berlian. Kepadanya harta benda itu adalah matalamat hidupnya.dan bukan lagi sebagai alat.



Justeru itu kalau dia bersuami, dia selalu meminta berbagai-bagai perkara daripada suami, walaupun bukan barang utama yang menjadi keperluan. Dia rela mendesak dan memaksa suaminya memenuhi permntaannya, walaupun dia tahu suaminya tidak mampu untuk megadakannya.



Dia selalunya seorang yang boros. Yang suka berbelanja menghabiskan wang, terutama wang suaminya untuk memenuhi segala kinginannya yang tidak perlu. Dia pandai bebelanja, tapi tidak pandai mencari, dia pandai menghabis, tapi tidak pandai menyimpan. Tugasnya dia bijak berbelanja, bukannya mencari belanja.



Wanita yang seperti ini tidak merasa cukup dengan pendapatan suaminya, walau sebanyak mana sekali pun.



Untuk tujuan itu dia rela suaminya melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak beretika asalkan keperluannya dapat dipenuhi.



Wanita seperti ini sudah tentu menyusahkan suami dan keluarganya, malah boleh menyebabkan mereka menderita akibat ketamakan dan kehalobaannya itu.



Menghias Diri Untuk Orang Lain


Memanglah menjadi kebiasaan kepada setiap wanita menghiaskan dirinya supaya sentiasa kelihatan cantik menawan. Kalau dia bersuami, dia berhias diri untuk menambat hati suaminya, supaya cintanya berkekalan buat selama-lamanya.



Tapi malangnya ada sesetengah wanita mereka berhias bukan untuk suaminya, tapi untuk orang lain suku sakat supaya mereka memuji dan menyanjungnya, terutama dari kaum lelaki yang bukan muhrimnya. Ini adalah perbutan yang salah dan berdosa.



Biasanya wanita-wanita seperti ini, bila hendak keluar rumah, akan mengenakan pakaian seindah-indahnya untuk menarik perhatian orang ramai, tapi ketika di rumah bersama suami, memakai baju hapak yang telah beberapa kali dipakai dan belum dicuci, atau berpakaian selekeh, tak menarik langsung.



Sikap ini hendaklah diubah, berhias hanya untuk suami, bukan untuk dituntun orang ramai, lagi pun jangan melampau, hingga menganggu ekonomi keluarga.



Suka Mengomel


Ada pula wanita yang mulutnya selalu becuk, kata-kata mengalir seperti air yang mengalir deras dari mulutnya, selalu geger dan riuh, macam itik pulang petang hari. Oleh sebab terlalu sangat berleter, maka perbuatannya itu membosankan, terutama suaminya.



Semua perbuatan suaminya tidak kena baginya, ada sahaja cacat dan celanya, lalu ditegur, dicerca dan diperkecil-kecilkan, walaupun di hadapan orang lain yang boleh mengaibkan suaminya. Dia tidak teragak-agak membuat perbandingan yang tidak adil antara suaminya dengan suami kawan-kkawannya yang meletakkan suaminya dalam keadaan terhina.



Wanita seperti ini biasanya inginkan sesuatu dengan cepat, sempurna dan memuaskan hatinya sendiri, yang menyebabkan dia menjadi seorang yang tidak sabar dan mementingkan dirinya sendiri.



Tidak ada siapa yang ingin mendengar leterannya, termasuk suaminya sendiri yang telah naik cuak dengan leterannya yang tidak berhujung pangkal. Malah suaminya lebih suka menghabiskan masa di luar rumah daripada balik ke rumah untuk menghibur-hiburkan hati dan mencari keselesaan hidup, mungkin dengan melibatkan diri dalam berbagai-bagai aktiviti permainan dan malah mungkin juga mendampingkan diri dengan wanita-wanita lain yang dapat memberi keselesaan kepadanya ketika bersama.



Queen Kontrol


Wanita yang termasuk dalam golongan ini adalah wanita yang gila kuasa. Kalau bersuami dia ingin menguasai suaminya dalam semua perkara, ingin mengawal suaminya, menentukan segala gerak dan geri suami supaya selaras dengan kemahuannya sendiri.



Dia ingin mengawal seluruh perbelanjaan rumah tangga mereka, dengan mengawal pendapatan suaminya. Setiap bulan dia memaksa suaminya meneyerahkan gajinya untuk diuruskannya, dan hanya memberi kepada suaminya mengikut keperluan yang telah dipersetujuinya.



Kad-kad bank suaminya berada dalam jagaannya, dan jika suaminya memerlukan wang, dialah yang akan mengurusnya berapa banyak yang diperlukan dan untuk tujuan apa.



Wanita seperti ini tidak segan dan teragak-agak untuk menegur, mengeritik dan membantai perbuatan suaminya yang tidak selaras dengan kehendaknya, yang menyebabkan suaminya kehilangan maruah dan lemah, dihina dan diejek-ejek oleh kenalan-kenalannya sebagai lelaki yang dayus.



Lelaki yang menjadi suami kepada wanita yang seperti ini sudah tentu tidak mempunyai peluang untuk memajukan dirinya atau mempertingkatkan kehidupannya dari keadaan sekarang kepada keadaan yang lebih baik.



Sekianlah sekadar renungan, untuk menjadi panduan kepada kita dalam melayari bahtera kehidupan ini demi mengejar kebahagian dunia dan akhirat. Kita harap tidak ada sesiapa dari pembaca yang memiliki sifat-sifat keji yang jahanam dan menjahanamkan itu.



Walau bagaimanapun andainya kita sesat di hujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan, untuk memulakan langkah yang baru yang lebih cemerlang.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP