Tahniah Buat Catrona Ross
>> Sunday, December 4, 2011
ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG
TAHNIAH BUAT CATRIONA ROSS
Bagi kita yang tidak menyedari, tentu sedikit sebanyak terkejut dengan perubahan yang ditampilkan oleh seorang artis tanah air baru-baru ini. Beliau mengambil langkah terpuji, menutup aurat,
Syahabas dan tahniah untuk beliau, Catriona Ross.
Pada masa-masa yang lalu memang ada artis-artis yang memilih perubahan, daripada terdedah kepada tertutup, dari membuka aurat kepada menutup aurat; tapi ada di antara mereka yang kekal menutup aurat, ada yang sekejap buka sekejap tutup, dan ada juga terus melupakannya, kembali terdedah, menentang ikrar sendiri.
Kita harap Catriona Ross akan terus kekal dengan perubahannya itu, walaupun mungkin menanggung halangan dan kesulitan-kesulitan daripada mereka yang tidak menyetujui tindakannya itu.
Memang sukar untuk berubah. Untuk meninggalkan kebiasaan masyarakat, kepada keadaan yang lebih baik. Bukan sahaja sekarang, tapi juga dahulu. Sama sahaja.
Kira-kita tiga dekad yang lalu, seorang sahabat saya terpaksa memaksa isterinya bertudung, sedangkan isterinya itu menantu kepada seorang pemuka agama, kerana katanya bila dia bertudung, dia akan disindir dan diperli oleh keluarganya sendiri sebagai ustazah lapok. Walau bagaimanapun, kerana dipaksa bertudung, dia bertudung juga, dan akhirnya, alhamdulillah dia berjaya menghdapi halangan-halangan dan cabaran-cabaran yang mendatang.
Tapi tidak pula demikian sukarnya kepada seseorang untuk berubah dari baik kepada buruk, dari bertudung kepada tidak bertudung, malah akan disanjung dan dipuja, dikatakan kepadanya wajah anda bertambah ayu da jelita tanpa tudung, dan anda kelihatan awet muda dan seribu pujian lagi, terutama menerusi media massa yang beroperasi berasaskan keuntungan.
Demikianlah peritnya tekanan-tekanan yang terpaksa dihadapi oleh artis jelita, Catriona Noorhayati Ross Bahrin atau lebih dikenali sebagai Catriona Ross. Beliau berdarah kacukan Melayu-Scoland.
Beliau bukan sekadar bertudung dan menutup aurat, tapi juga bergerak cergas memberi ceramah motivasi kepada orang ramai berhubung dengan kewajipan menutup aurat bagi wanita berdasarkan pengalaman beliau sendiri selepas berubah.
Tapi mengikut pengakuan beliau, selepas berubah, beliau telah menjadi mangsa disingkir oleh kawan-kawan dan sahabat-sahabat beliau sendiri.
Beliau memberitahu media massa, “Sudah menjadi lumrah, apabila kita berubah, akan ada mereka yang mencerca, dan ada yang menggelar saya sebagai ustazah jadi-jadian”.
Walau bagaimanapun, katanya dia masih kuat dan mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang itu, kerana semuanya, katanya dilaksanakannya dengan tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.
Syabas untuk Catriona. Semoga hati anda tetap teguh dan terus berdiri di atas keyakinan anda yang betul, tanpa bergoyang sedikit pun sebagaimana yang berlaku ke atas sesetengah pihak dalam kalangan peghibur yang mengaku ingin berubah, tapi tidak berjaya untuk berubah.
Anda mesti berani memperjuangkan hak dan keyakinan anda, satu ciri keperibadian yang tidak banyak dimiliki oleh wanita negara kita hari ini walaupun tahap pendidikan mereka telah tinggi.
Mereka masih berada ditahap pengecut dan tidak berani melahirkan pendapat dan hasrat sendiri kepada khalayak, kerana itu masih ternampak kaum wanita negara kita terus bergantung kepada ekor kaum lelaki dalam perjuangan, walaupun dalam perjuangan menuntut hak kaum wanita.
Kita harap anda terus berani menerima segala cabaran-cabaran yang mendatang yang tidak berasas, yang sengaja dihalakan kepada anda itu; teruslah gigih berjuang untuk menegakkan keyakinan dan pemilihan anda yang wajar, sejajar dengan perintah Allah dan RasulNya.
Anda tidak boleh mengambil sikap mengalah sebagaimana menjadi amalan kepada sesetengah kaum sejenis dengan anda, kerana itu mereka tidak mampu untuk ke hadapan, malah sebaliknya rela duduk tercorot di belakang.
Menutup aurat itu satu kewajipan dalam Islam yang tidak boleh diremeh-remehkan, baik lelaki atau wanita, yang mempunyai batas-batas aurat yang berbeza-beza antara keduanya.
Ingatlah anakku, kaum-kaum kapitalis pereka fesyen ini sentiasa mencari kesempatan daripada kesukaan wanita kepada fesyen; dari masa ke masa, sentiasa ada fesyen baru akan muncul di pasaran, belum lagi lusuh baju fesyen baru yang dipakai, sudah timbul pula fesyen yang lebih baru, dan malangnya kebanyakaan fesyen-fesyen itu merupakan fesyen-fesyen yang ganjil yang menarik untuk dipandang, dengan banyak pendedahan badan. Wanita-wanita yang berpakaian seperti ini biasanya mendapat sanjungan dan pujian, kerana kononnya berpakaian menepati suasana tempat dan masa.
Jangan jadi hamba fesyen, jangan jadikan fesyen itu sebagai matlamat berpakaian, sebaliknya jadikanlah menutup aurat itu sebagai matalamat dalam berfesyen. Carilah fesyen yang selesa di dunia dan selesa di akhirat.
Sesungguhnya hidup di dunia ini berhias dengan onak dan duri, tapi di celah-celah duri-duri itulah terletaknya mawar yang indah, semerbak mewangi. Sesungguhnya hidup ini ada kegelapan malam, tapi di hujung kegelapan malam itu, sentiasa ada siang yang terang benderang.Hidup ini seperti roda, berputar-putar, tapi selepas berada di bawah, ia akan ke atas pula. Di situlah terletaknya seribu hikmat dalam penciptaan Allah yang Maha Berkuasa.
Di dalam setiap kesusahan itu ada kesenangan. Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, “Sesungguhnya bersama dengan kesukaran itu terletaklah kemudahan”. Al-Insyirah:6.
Wahai anakku, kata anda, anda membaca al-Quran untuk mencari pengetahuan tentang kepercayaan anda, untuk membangunkan kehidupan anda berdasarkan Islam.
Sesungguhnya membaca al-Quran itu bukan sahaja mendapat pahala, tapi mengandungi keberkatan yang boleh mempegaruhi jiwa, menyuburkan akal dan fikiran, menjadi motivasi untuk menggerakkan seseorang yang memabca dan memahami dan meresap ke dalam hati nuraninya.
Sepotong ayat ini sudah cukup untuk mengeggarkan hati dan jiwa kita, memperkuatkan pendirian kita untuk terus tegak dengan perubahan-perubahaan mulia yang Allah kurniakan kepada kita.
Renunglah ayat ini, “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tapi tidak dipergunakannya untuk memahami [ayat-ayat Allah] dan mereka mempunyai mata [tetapi] tidak dipergunakannya untuk melihat [tanda-tanda kekuasaan Allah], dan mereka mempunyai telinga [tetapi] tidak dipergunakannya untuk mendengar [ayat-ayat Allah]. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, Mereka itulah orang-orang yang lalai”.Al-Araf:179.
Semoga Allah memberkati anda, menguatkan iman anda untuk terus melangkah mencari cahaya dalam lehidupan ini untuk mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat.
Amin.
xxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment