Memori Jambatan Wakaf Setan

>> Monday, December 12, 2011


MEMORI JAMBATAN WAKAF SETAN



Pagi tadi hujan masih turun di sana ini di seluruh negeri Kelantan. Walaupun hujan itu tidak lebat sepanjang masa, tapi ia berpanjangan, hanya berhenti sekejap-kejap sahaja. Ia boleh menyebabkan tempat yang lembah bertakung air, malah mungkin dilanda banjir, andainya air tidak cepat surut.



Ketika kami melalui jambatan Wakaf Setan pagi tadi dengan kereta dipandu oleh anak kami, Ahmad Syaibani Zaini, Sungai Pengkalan Datu di bawahnya dipenuhi air tapi tidaklah sampai melimpah. Airnya keruh pekat dan mengalir agak deras merempuh segala rintangan. Sebahagian daripada tanah rendah yang agak luas di situ sudah pun berada dalam genangan air.



Almarhum Sultan Ibrahim sedang santap di atas jambatan Setaan.Di sebelah kiri baginda ialah ADU,Nik Mohammad Amin bin Ali.Foto Arkib:pR



Biasanya di musim kemarau sebahagian daripada tanah-tanah itu digunakan oleh para petani untuk bertanam sayur-sayuran. Pada masa dulu di atas tanah itu terbentang sebatang jalan, dan sebuah jambatan merentangi Sungai Pengkalan Datu itu sebagai jalan utama dari Bachok ke Kota Bharu.



Kemudiannya di kiri jalan itu ditempatkan bangsal-bangsal dan gerai-gerai dijadi pasar tempat orang berjualan. Sebahagian dari mereka adalah peniaga-peniaga kecil di Pasar Wakaf Setan yang telah dirobohkan untuk member jalan kepada pembangunan.



Bilakah agaknya pehak berkuasa akan membina pasar baru untuk memberi kemudahan kepada rakyat mencari rezeki.



Tapi beberapa tahun yang lepas, jambatan yang telah dibina selama berpuluh-puluh tahun itu telah roboh, dilanda banjir besar yang tidak diduga. Kabarnya batang paip besar yang terletak di sisinya juga turut patah, menyebabkan bekalan air telah terputus selama beberapa hari di kawasan sekitar.



Jambatan lama dan jalan lama itu letaknya di atas kawasan tanah bendang yang rendah, yang sering tenggelam bila musim hujan melanda. Tanah selepas tanah rendah itu di kiri, kanan tebing sungai pula tinggi dan terlepas daripada dibanjiri air sungai. Di kawasan lembah itulah jalan dan jambatan itu dibina.



Jambatan lama sudah roboh, dan yang ada ialah batang paip besar yang baru dibina


Tapi jambatan baru yang dibina sejak beberapa tahun yang lalu itu keadaannya tinggi, menyambungkan kedua-dua tebingnya yang tidak ditenggelami banjir itu, iaitu sebelah pihak terletk Kg. Binjai. Menghala ke Bachok dan sebelah pihak lagi terletak Kg. Wakaf Stan, menghala ke Kota Bharu.



Jambatan Setan yang lama itu hanya selorong sahaja, ia hanya telus dilalui oleh sebuah keenderaan sahaja tanpa boleh berselisih pada satu-satu masa. Oleh itu keenderaan yang mula-mula menaiki jambatan itu terpaksa dibiarkan terlebih dahulu melepasi jambatan dan yang baru sampai di arah yang bertentangan terpaksa menunggu giliran sehingga keenderaan-keenderaan tersebut habis melintanya. Jika ramai kenderaan, maka lamalah kita terpaksa menunggu giliran.



Jambatan lama itu dibina di zaman pemerintahan PERIKATAN di Kelantan yang memenangi pilihanraya pertama 1955. Semasa perasmian jambatan itu daulu, KDYMM Sultan Kelantan, Almarhum Sultan Ibrahim telah berangkat ke majlis tersebut dan santap di atas jambatan itu pada hari perasamian pembukaannya.



Nik Mohammad Amin bin Ali, ADUN Kawasan Kota Bharu Tengah dalam satu pertemuan dengannya di rumah beliau memberitahu jambatan Setan itu sengaja dibina di paras yang rendah supaya ia lebih tahan dan selamat bila banjir berlaku. Menurut beliau, bila berlaku banjir, segala sampah sarap, termasuk kayu balak yang besar akan melepas di atasnya, dan tidak melanggar jambatan pendek itu.



Namun setelah berpuluh-puluh tahun berlalu jambtan itu tidak dapat bertahan, dan akhirnya ia runtuh juga dalam banjir.



Jambatan baru yang selesa dilalui



Walaupun jambatan itu telah tiada, tapi saya masih teringat beberapa peristiwa yang berlaku ke atas kami sebagai pengguna yang sering mengguna jambatan itu.



Pada suatu malam kami sekeluarga baru balik dari Kuala Lumpur dengan bermotokar. Waktu kami sampai di jambatan itu hujan lebat telah berhenti. Waktu berada di puncak tanah cerun yang tinggi untuk turun menaiki jambatan, kita tidak nampak apa-apa di bawahnya sehingga kita menuruni cerun itu.



Saya memperlahankan motokar ketika menuruni cerun itu. Tiba-tia isteri saya [Aruah Asiah Yaacob, semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] di sebelah menjerit”.Air! Berhenti!”. Saya terus membrekkan kereta. Rupa-rupanya air sungai di Wakaf Setan telah naik dan memenuhi tebing, nasib baik motokar yang saya pandu tidak terus masuk ke dalam air, hanya tayar hadapan sahaja yang mencecah gigi air. Kalau tidak, entahlah apa akan jadi. Kami mengucap panjang, lalu mengundurkan motokar dan berpatah balik mengikut jalan alternatif, melalu Jalan Pondok Pasir Tumbuh, Gong Dermin.



Alhamdulillah kami sampai ke rumah di Padang Bongor dengan penuh kesyukuran kerana selamat dariada tenggelam dalam banjir.



Satu peristiwa lagi pula berlaku pada suatu pagi ketika saya sedang memandu dari rumah untuk ke pejabat. Ketika berada di bawah cerun itu kami pemandu tidak nampak apa-apa yang ada di atas kepala tanah tinggi itu. Sebaik-baik sahaja berada di puncak tanah tinggi itu, tiba-tiba saya lihat seorang wanita tergesa-gesa melintas sambil sebelah tangannya menahan motokar saya supaya berhenti.



Saya segera membrek kereta secara mengejut, jika tidak saya akan melanggarnya. Rupa-rupanya dia sedang berlari untuk mengejar anaknya yang masih kecil sedang melintas jalan seorang diri. Nasib baik pula tidak ada keenderaan yang mendatang di sebelah hadapan, dan dia bernasib baik berjaya menyelamatkan anak kecilnya itu.



Isteri saya yang duduk di sebelah mengurut dada, “Subhanallah”, katanya, “Tuhan Maha Kaya”. Kalau saya tidak sempat membrek kereta tadi, mungkin kedua-dua beranak itu akan menjadi mangsa digilis kereta saya.



Oleh sebab itu, kami merasa tidak puas hati, bila kadang-kadang pihak berkuasa terpaksa membuat sekatan jalan raya mengejut di bawah lembah, di cerun di kepala jambatan itu, kerana kenderaan yang datang dari sebelah tanah yang tinggi cerun itu terpaksa memberhentikan keenderannya secara mendadak untuk mengelak daripada melanggar kereta yang terpaksa memperlahankan keenderaan atau sedang berhenti ditahan polis. Tindakan yang membahayakan.



Balai Polis Binjai terletak di Cabang Empat Binjai



Walau bagaimana pun ada keluarga saya yang tersondol sebuah teksi [beca roda tiga] ketika mengikuti beca itu melintasi jambatan tersebut. Mungkin kerana tergesa-gesa dia tidak sempat membrekkan motokarnya kerana berada terlalu hampir di belakang beca, menyebabkan berlaku pelanggaran kecil yang tidak apa-apa kesan.



Namun begitu, dia telah dimarah dan dimaki hamun oleh pengayuh beca itu yang merasa tidak puas hati kerana becanya tersentuh kereta walaupun sedikit dan tidak membahayakan. Dan perkara itu selesai begitu sahaja. Alhamdulillah.



Tapi hari ini, tidak ada apa-apa masalah lagi untuk menyeberangi sungai Pengkalan Datu di Wakaf Stan untuk ke Bachok itu, kerana jambatan sekarang lebar, mempunyai dua lorong dan juga dibuat tinggi di atas sungai dan tanah lembah itu. Ia tidak lagi ditenggelami banjir.



Demikian secoret kenanangan di musim hujan dan banjir ini. Semoga Allah selamatkan kita semua dari segala mala petaka.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


2 comments:

lloni September 1, 2012 at 2:41 AM  

kalau boleh dihurai maksud setan atau stan itu sendiri adakah maksudny syaitan atau setaan..buah ssetoa..sebab tok nenek ambo dulu Hj ahmad (to imam salor) bin yaakob bin awang kechik/awang ahmad bin setan/stan/sirtan/sultan? Patani

banie May 10, 2018 at 9:35 PM  

Assalamualaikum , jika tuan tahu tentang sejarah kg pulau raja di wakaf stan mohon kongsikan

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP