Siapa Wanita Pertama?

>> Tuesday, December 13, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG




SIAPA WANITA PERTAMA?



Saya percaya, anda baik lelaki atau perempuan, sudah tentu mengetahui siapakah seorang gadis yang cantik yang julung-julung kali dicipta oleh Allah?



Dialah Wanita Pertama dalam erti kata yang sebenarnya. Namanya tetap kekal abadi, menjadi sebutan orang di sepanjang zaman.



Wanita itu ialah ibu kita, ibu seluruh umat manusia, dan tempat tinggalnya yang pertama di samping suaminya, di Syurga.



Kubah Hijaum di Madinah



Dia adalah HAWA, atau SITI HAWA, Siti ialah gelaran kepada golongan wanita yang dimuliakan.



Dalam bahasa Inggerisnya disebut Eve.



Hawa ialah isteri kepada Nabi Adam as yang dianggap sebagai manusia pertama, iaitu bapa segala makhluk manusia.



Adam setelah dicipta oleh Allah dikurniakan tempat di Syurga. Menurut cerita pada suatu masa ketika Adam sedang berada di taman Syurga dia terpandang sepasang burung sedang bemesra-mesra dan berkasih sayang.



Maka segera terlintas dalam fikirannya bahawa alangkah bahagianya dia kalau dia juga mempunyai pasangan seperti burung-burung tersebut.



Dalam keadaan berangan-angan itu, hembusan angin sepoi-sepoi bahasa taman Syurga itu menyebabkan dia mengantuk dan terus tertidur.



Bila Adam terjaga dari tidurnya, dia melihat seorang gadis ada di sisinya. Itulah Hawa yang diciptakan Allah untuk mendampinginya dan menjadi pasangan hidupnya.



Hawa seorang jelitawan, halus bentuk tubuhnya, lemah lembut gerak gerinya dan menawan hati Adam.



Dengan adanya Hawa di sampingnya itu dapat menghapuskan kesepian yang menyelubunginya, kerana waktu itu Adam sebatang kara tanpa teman, dan dengan itu juga dapat menyempurnakan kejadian fitrahnya bagi melahirkan turunan yang akan mewarisi dunia ini di kemudian hari, sampai ke hari ini dan hingga hari kiamat nanti.



Menurut para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk kiri Adam.



Pendapat ini berdasarkan kepada firman Allah, “Wahai sekalian manusia bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan [mempergunakan] namaNya kamu saling meminta satu sama lain dan [peliharalah] hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu”. An-Nisa: 1.



Pada umumnya ada dua pendapat yang bertentangan mengenai kejadian Hawa, benarkah dia dicipta dari tulang rusuk kiri Adam?



Ada segolongan umat Islam benar-benar mempercayai bahawa Hawa dijadikan Allah dari tulang rusuk kiri Adam, tapi ada pula mengingkarinya, kerana perkara itu tidak terdapat dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW.



Satu golongan lagi, mereka yang tidak menyebelahi ke mana-mana pehak, tapi mengambil jalan tengah, salah seorang daripadanya bapak HAMKA.



Izinkanlah saya memetik sedikit pendapat beliau tentang hal ini bila beliau menegaskan: “Ia telah menjadikan kamu dari satu diri”, ialah bahwa seluruh manusia itu, lelaki dan perempuan, di benua mana pun mereka berdiam, dan betapa pun warna kulitnya, namun mereka adalah dari diri yang satu. Sama-sama berakal, sama-sama menginginkan yang baik dan tidak menyukai yang buruk. Sama-sama suka kepada yang elok dan tidak suka kepada yang jelek.



“Oleh sebab itu hendaklah dipandang orang lain itu sebagai diri kita sendiri juga. Dan miskipun ada manusia yang masyarakatnya telah amat maju dan ada pula yang masih sangat terkebelakang, bukanlah bererti bahawa mereka tidak satu.



“Kemudian diri yang satu dipecah; daripadanyalah dijadikan jodohnya atau betinanya, atau isterinya. Ibaratkan sebagai kesatuan kejadian alam semesta, yang kemudian dibahagi dua menjadi positif dan negatif. Demikian pulalah manusia. Terjadinya pembahagian antara lelaki dan perempuan hanyalah satu perubahan kecil sahaja dalam “teknik” Ilahi pada menjadikan alat kelamin, yang disebut dalam istilah bahasa Arab Ijab dan Salab.



“Dengan itu dapatlah difahamkan, bahawa dari diri yang satu itu jugalah dijadikan jodohnya. Maka dibahagi dualah diri yang satu itu, sebahagian jadi lelaki dan sebahagian jadi perempuan, maka berkahwin-kahwinlah mereka itu berkembang biaklah mereka tidak putus-putusnya. Ini ditegaskan oleh ayat yang selanjutnya, “Serta dari keduanya Dia memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak”. Maka penuhlah dunia ini oleh manusia lelaki dan perempuan itu.



“Begitulah perkembangan manusia di dunia ini, yang pada asal dan pokok hanyalah satu; satu dalam kemanusiaan, atau satu di dalam keturunan, yang kemudian telah ditakdirkan Tuhan berlaki-laki dan berperempuan, berjantan dan berbetina. Dan tersebar di muka bumi banyak sekali, berjuta-juta”.



Kemudian Allah memerintahkan mereka beriman dan bertakwa dan bersilaturahim, bersatu dalam keimanan kepada Allah SWT.



Maka dengan itu kata bapak HAMKA, “Dengan demikian dapatlah difahamkan, meskipun warna kulit berlainan kerana berlainan iklim, benua tempat tinggal pun berlainan pula, ingatlah, bahawa kamu semuanya hanya satu belaka, iaitu sama-sama manusia yang dipertemukan oleh akal budi. Dan satu pula Tuhan yang menjadi Pengawasmu siang dan malam, iaitu Allah”.



Agama Kristian juga mengatakan Hawa dijadikan daripada tulang rusuk Adam.



Demikian juga dengan agama Yahudi mengatakan gadis itu dijadikan daripada tulang rusuk Adam.



Tapi terdapat sedikit perbezaan cerita tentang perciptaan gadis itu dengan versi agama Kristian, Yahudi dan Islam.



Untuk Membahagiakan


Ada beberapa cerita bila Adam terjaga dari tidur dan melihat seorang gadis jelita berada di sampingnya. Salah satu daripadanya seperti berikut:



Bila melihat Hawa, maka bertanyalah Malaikat Kepada Adam, “Wahai Adam siapakah makhluk di sampingmu itu?”.



“Seorang wanita”, jawab Adam setelah mendapat ilham dari Allah yang sesuai dengan kejadiannya.



Bertanya lagi Malaikat, “Siapa namanya?”.



Jawab Adam, “Hawa”.



“Untuk apakah Tuhan ciptakan makhluk ini?”, tanya lagi Malaikat kepada Adam.



Kepada pertanyaan itu Adam menjawab, “Allah menciptanya untuk mendampingiku, memberi kebahagian kepadaku, dan memenuhi keperluan hidupku selaras dengan kehendak Allah”.



Demikianlah antara lain dialog itu berlangsung menurut cerita antara Adam dengan makhluk Allah yang dinamakan Malaikat itu.



Tersingkir Dari Syurga


Allah memerintah Adam supaya tinggal di Syurga bersama dengan isterinya Hawa, dengan pesanan supaya tidak memakan buah dari sejenis pohon yang akan mencelakakan diri mereka dan menjadikan mereka orang yang zalim. Allah juga memperingaktan mereka tentang bahaya-bahaya besar dari Iblis, musuh ketat mereka yang sentiasa berusaha untuk menyingkirkan mereka dari Syurga itu.



Allah berfirman, “Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana sahaja yang kamu sukai, dan jangan kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim”.Al-Baqarah: 35.



Tapi akhirnya mereka terpedaya juga dengan godaan dan tipu daya licik Iblis menyebabkan mereka memakan buah yang telah dilarang oleh Allah memakannya dan menyebabkan Allah murka dan menyingkirkan mereka dari Syurga.



Allah berfirman, “Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka, iaitu auratnya dan syaitan berkata, “Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi Malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal [dalam Syurga]. Dan syaitan bersumpah kepada keduanya, “Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”. Al-A’raf: 20-21.



Akibatnya mereka telah dimurkai oleh Allah dan dihukum oleh Allah dengan mengeluarkan mereka dari Syurga.



Allah berfirman, “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon kayu itu dan Aku katakan kepadamu, “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua”. Al-A’raf: 22.



Mereka kedua segera menyedari dan mengisafi kesalahan mereka dan berdosa besar kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya.



Allah berfirman, “Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami. Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi”. Al-A’raf: 23.



Permohonan mereka diterima oleh Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun.



Allah berfirman, “Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”. Al-Baqarah: 37.



Seterusnya Allah memerintahkan Adam dan Hawa meninggalkan Syurga dan turun ke bumi.



Allah berfirman, “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentuan”. Al-Baqarah: 36.



Dan keduanya tinggal di bumi dan melahirkan keturunan demi keturunan hingga sampai kepada kita sekarang ini dan seterusnya selagi dunia berkembang sampai ke hari kiamat nanti.



Ada berbagai-bagai pendapat pula berhubung dengan perintah Allah supaya Adam dan Hawa keluar dari Syurga. Dalam kaca mata orang Sufi, kehidupan dalam Syurga tidaklah memuaskan hati perikemanusiaan, kerana manusia ingin memasuki dengan usaha mereka sendiri dan menempuh berbagai-bagai kesulitan.



Maka bermadahlah bapak HAMKA, “Mula sahaja manusia masuk dalam hidup, kakinya tergelincir, dan dia belum pernah lalu di sana. Dialah di antara makhluk itu yang terlebih dahulu kenal dan berhubungan langsung dengan penciptanya kilang itu, dan kenal akan segala nama hasil produksi apa yang dikeluarkan”.



“Dengan pernah salah kerana tidak tahu mana yang tidak salah. Lebih baik daripada takut salah lalu berhenti bertindak, kerana kesalahan membawa pengetahuan, membawa makrifat......daripada tidak mengenal apa yang salah, kerana tidak ada makrifat. Biar sekali terjatuh, itu ialah orang yang pernah memanjat. Yang tidak pernah jatuh-jatuh ialah orang yang tidak sekali juga memanjat”.



Seterusnya kata beliau, “Didekatinya juga pohon yang terlarang, sesudah dimakannya baru dia tahu akan akibatnya. Maka jatuhlah dari hidup megah dan senang dalam jahil, ke dalam satu hidup yang susah, tetapi dengan akal. Kejatuhannya itu adalah tangga baginya buat naik kembali”.



Demikian bapak HAMKA.

Demikianlah kehidupan, jatuh bangun adalah permainan hidup, sesiapa yang terjatuh, tapi tidak mahu bangkit-bangkit lagi, itulah tanda kelemahan jiwanya, dan mungkin tidak mempunyai kelayakan lagi untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan ranjau-ranjau di sepanjang jalan ini.



Ingatlah, anda tidak akan sampai ke puncak, kalau anda tidak berani untuk mendaki kerana takut jatuh, anda tidak akan sampai ke seberang, jika anda tidak mahu menyeberang, kerana takut basah untuk mengharungi air dan anda tidak akan sampai ke pulau impian, kiranya anda enggan berperahu, kerana takut tenggelam ombak.



Kita mesti berani melangkah dan berani menghadapi segala cabaran yang mendatang.



Sekianlah untuk renungan.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP