Azizi Hj.Abdullah Dalam Secebis Kenangan

>> Friday, December 23, 2011




AZIZI HAJI ABDULLAH DALAM SECEBIS KENANGAN



Pada akhirnya novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein sebuah novel yang kontroversial itu telah disingkir daripada daripada teks Komponen Sastera [Komsas] untuk tingakatan lima di sekolah-sekolah di negara kita mulai tahun 2012.



Pembatalan penggunaan novel Interlok untuk Komass telah dibuat oleh Kabinet Malaysia pada 14 Disember 2011 dan menggantinya dengan pengunaan novel berjodol Konserto Terakhir, juga oleh SN Abdullah Hussain yang telah selesai disaring dan ditetapkan sebagai teks Komsas 2012,



Azizi Hj.Abdullah sebagai seorang cerpenis dan novelis



Interlok telah mulai diterbitkan pada tahun 1971, dan dijadikan bacaan wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu Tingkatan Lima pada tahun 2011.



Tapi malangnya novel itu telah dijadikan mangsa keadaan bila banyak pihak mempolitikkan kandungannya yang didakwa melanggar sensitiviti kaum India, seperti sistem kasta.



Tiba-tiba saya terkenang kepada Allahyarham Azizi Abdullah seorang novelis, cerpenis dan aiktivitis politik yang dihormati.



Saya tidak mengenali beliau secara peribadi, dan saya pun tidak pernah menemuinya, dan saya hanya mengenali beliau menerusi karya-karyanya, novel dan cerpen.



Novel beliau terakhir yang saya beli ialah kalau tidak silap saya ceritanya melibatkan sebuah cermin.



Tapi saya pasti beliau adalah salah seorang penyumbang cerpen kepada Majalah DIAN yang diterbitkan oleh Pustaka DIAN di bawah pengelolaan Alyarham Ustaz Yusuf Zaky Yaacob yang amat populer pada suatu masa dahulu.



Pada masa itu saya bertugas di DIAN, dan terlibat secara langsung dalam penerbitan MINGGUAN KOTA BHARU, sebuah mingguan yang populer sehinggakan ia ditamatkan penerbitannya secara mendadak tanpa sebab-sebab yang wajar.



Salah sebuah daripada karya Azizi Abdullah, sebuah cerpen yang disiar dalam Majalah DIAN telah menimbulkan kontoversial. Ada pihak yang secara terbuka mengkritik dan menuduh cerpen beliau menyentuh sensitiviti kaum India.



Kalau tidak silap saya cerpen itu menurut Allahyarham Ustaz Yusuff Zaky akan dibawa ke Parlimen orang yang tidak puas hati dengan cerpen tersebut.



Cerpen itu seingat saya berkait dengan pohon jejawi yang akar-akarnya tumbuh bergayutan pada pohonya.



Saya tidak dapat mencari majalah tersebut buat waktu ini, kerana perpustakkan saya masih belum siap dikemaskan, malah masih banyak lagi kotak-kotak yang berisi buku masih belum dibuka.



Tiba-tiba pada suatu hari Ustaz Yusuff Zaky Yaacob, tanpa apa-apa penjelasan memberitahu saya, pihak polis Kota Bharu telah memanggil pihak sidang pengarang DIAN dan beliau meminta saya hadir. Pada masa itu saya sangka kerana persoalan-persoalan lain tentang penyiaran yang pihak polis ingin berbincang dengan kami.



Di Balai Polis, saya bertemu dengan seorang kakitangan Special Branch di pejabatnya. Saya kenal beliau, yang saya panggil “Abang Nur”.



Beliau memberitahu saya, beliau mendapat arahan KL untuk membuat penyiasatan tentang majalah DIAN. Di tangannya terdapat sebuah majalah DIAN, mungkin keluaran yang terbaru pada waktu itu.



Dia membuka majalah itu dan meminta saya membaca rencana yang ditunjuknya itu, kemudian meminta saya menjelaskan intitsari kandungannya dan meminta pandangan saya tentangnya.



Ada beberapa buah rencana yang dipilihnya dan diminta saya membaca dan mengulasnya, salah sebuah daripadanya ialah rencana agama, kalau tidak silap saya megenai Israj dan Mikraj.



Menjawab pertanyaan beliau saya katakan, “Tidak ada apa-apa pun kandungan dalam majalah ini yang boleh mengancam keselamatan, isinya biasa sahaja”.



Setelas berpuas hati dengan kerja-kerjasama yang saya berikan, saya pun dibenar meninggalkan pejabat SB.



Petang itu bila Allahyarham Ustaz Yusuff Zaky menemui saya dan bertanya tentang hasil pertemuan saya dengan SB itu, saya ceritakan kepadanya sepenuhnya kepada beliau.



Beliau nampaknya berpuas hati mendengarnya. Walau bagaimana pun pada akhirnya, beliau dengan nada kebimbangan berkata, “Kalau nasib tak baik, Majalah DIAN kena haram. Harap tidaklah”.



“Harap tidaklah”, kata saya.



Mujurnya tidak apa-apa perkara yang berlaku selepas itu, dan majalah DIAN boleh terus diterbitkan seperti biasa.

----------Surat beliau dalam tulisan tangannya sendiri yang dikirimkan kepada saya



Demikianlah hubungan kait saya dengan Allahyaraham Azizi Hj. Abdullah. Sahabat saya Norisham Mustaffa mungkin sedikit sebanyak mengetahui hal ini.



Lama kemudian, iaitu pada tahun 2002 saya pernah menulis surat kepada Allahyarham Azizi bertanya tentang Majalah Pengguna yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang.



Beliau menjawab surat itu dengan tulisan tangan beliau sendiri, berbunyi:



“Tuan Hj.Mohamed Zain Saleh



Harap baik.


Silalah hantar tuisan tuan, samada berita, artikel. Kalau dalam bentuk berita, eloknya sertai gambar.



Kami lebih cendrung artikel, berita berbentuk komplen, rungutan, sosial.



Insyallah, jika tersiar, kami akan membayarnya sekadar patut.[Sertakan nama, alamat lengkap].



Kami tunggu.



Surat itu ditandatangi oleh beliau sebagai Editor



Tapi, entah kenapa pula saya tidak pernah menghantar apa-apa sumbangan kepada beliau sebagai Editor Pengguna.



Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya.



Demikianlah secebis kenangan tentang Allahyarham Azizi Hj. Abdullah dalam karier saya sebagai seorang penulis kerdil yang sepanjang hayatnya menggantung hidupnya kepada hasil-hasil penulisannya yang dikurnia Allah.



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP