Hati Yang Kesepian Ke Mana Hendak Dibawa

>> Thursday, December 8, 2011


HATI YANG KESEPIAN KE MANA HENDAK DIBAWA?




Katakan anda sedang berdiri seorang diri di tengah-tengah lautan bendang padi di awal-awal pagi yang sepi. Tiada apa-apa di situ, selain daripada bertemankan hembusan bayu pagi yang dingin membelai-belai sekujur badan anda.



Anda merasa kesepian sekeliling mengiggit hati anda.



Atau katakan anda sedang berdiri di puncak sebuah gunung di larut senja. Di kejauhan keliling pandangan alam mulai berbalam-balam diselimuti oleh kegelapan malam yang mula menurunkan tabirnya. Unggas-unggas dan haiwan telah kembali bermukim di sarang kerana menyambut ketibaan sang malam. Yang kedengaran hanya desiran dedaun kayu dibelai angin sore.



Anda merasa seluruh diri anda telah diselimuti oleh kesepian keliling.



Itulah adalah kebiasaan spontan yang dirasai oleh manusia yang mempunyai perasaan yang halus ketika berhadapan suasana-suasana yang seumpama itu. Itu membuktikan anda hidup dan berperasan, bukan semata-mata dengan akal dan fikiran.



Bahaya Kesunyian


Tapi kesepian merupakan satu ancaman kepada kebanyakan kita manusia. Kita tidak mampu hidup dalam kesepian. Kesepian akan membuat kita menderita. Jiwa terseksa.



Bagaimana rasanya kalau kita tinggal sendirian di sebuah rumah di pinggir hutan yang jauh terpencil daripada rumah-rumah jiran yang jaraknya berkilo-kilo meter dari rumah kita? Setiap hari, dari pagi sampai ke petang, dari petang sampai ke malam, tidak ada muka manusia yang kita nampak, selain dari muka kita dalam cermin?



Tidak ada sesiapa yang dapat kita ajak bercakap, dan sebaliknya tidak ada siapa pula yang mengajak kita untuk bercakap. Sendirian dan sepi sekeliling. TV pun tak ada, telefon pun tak ada.



Berapa lama anda boleh bertahan dalam keadaan besendirian seperti itu? Ada sesetengah orang mungkin menjadi tidak keruan kerananya, dan akan merasa sedih dan kecewa kesepian.



Itulah sebabnya bekas Presiden Indonesia, Sukarno ketika dipenajara oleh penjajah Belanda dalam kamar terkurung keseorangan, katanya beliau kadang-kadang terpaksa bercakap dengan cicak untuk menghilangkan kebosanan dan kekesepain yang mengiggit itu.



Kita manusia ini, dari sejak awal lagi merupakan makhluk yang suka berkumpul, hidup bersama dan berkumpulan, bukannya hidup sendirian atau terpencil. Bercampur gaul adalah merupakan sebahagian daripada ciri-ciri kehidupan kita manusia.



Justeru, andainya kita terputus hubungan dengan manusia, kerana sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, seperti kerana keadaan keliling, kerana menghidap penyakit-penyakit tertentu, atau kerana kita tidak disukai lalu dipulau orang, maka sudah tentu kita akan dirundung duka nestapa.



Malah kebanyakan kita ingin merasa bahawa kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat yang besar itu. Kita ingin merasa adanya kita dalam masyarakat. Kita ingin dikenali orang.



Malah kita ingin merasa kita sebahagian daripada keseluruhan. Kita ingin merasa kita adalah tergolong dalam sesuatu yang lebih besar dari diri kita sendiri. Kita suka bersama dengan mereka, berada dengan mereka, dan merupakan sebahagian dari mereka.



Itulah sebabnya, kita akan merasa terkilan, bila jiran dekat rumah mengadakan majlis, menjemput semua jiran-jiran jauh dan dekat, kecuali kita. Rasa terkilan ini bukan kerana kita tidak berpeluang untuk menikmati sepinggang nasi, dan segelas air, tapi kerana kita merasa mereka seolah-olah tidak menyedari kewujudan kita di kalangan mereka, dan seolah-olah mereka tidak mengenali dan mengakui kewujudan kita dalam komuniti mereka.



Apalah ertinya sepinggan nasi dan lauk-pauknya dengan sebuah persahabatan, mahabah dan kasih sayang?



Itulah salah satu sebabnya bertegur sapa ketika bertemu dengan jiran-jiran amatlah besar ertinya, ia menunjukkan kita mengenali dan kita dikenali.



Memberi salam kepada sesama agama, memberi erti kesedaran bahawa kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat Islam yang besar itu. Kita tidak melupakan mereka, dan mereka tidak melupakan kita. Sama-sama ingat dan diingati.



Kesepian kerana tersingkir daripada pergaulan seperti ini dapat diatasi dengan jalan memperbetulkan segala kepincangan yang mungkin telah kita lakukan yang menjadi punca kepada kehidupan kita yang terpencil dan kesepian, iaitu dengan cara mendekati dan mencampuri masyarakat.



Tapi bagaimana andainya kesepian itu berpunca daripada hati anda, berpunca dari jiwa anda yang kesepian?



Kesepian Jiwa


Sekiranya anda berada di celah-celah gelombang lautan manusia, yang hiruk- pikuk dengan aneka karenah manusia, tiba-tiba anda merasa anda bersendirian, merasa diri anda dibungkus oleh kesepian mencengkam hati.....



Ini menunjukkan ada sesuatu hal yang perlu diberi perhatian pada diri anda.



Atau anda berada di stadium bersama-sama dengan kawan-kawan untuk menonton bola di tengah-tengah lautan manusia yang bertepuk dan bersorak sorai, tapi anda masih merasa anda bersendirian, tersingkir, terpencil dan tersendiri dalam kesepian.....



Maka ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perasaan dan jiwa anda, sesuatu yang perlu diberi perhatian.



Bagaimana ketika ada di sisi manusia anda boleh merasa kesepian? Bagaimana di tengah-tengah lautan manusia yang hiruk-pikuk anda merasa kesunyian?



Tapi pada hari ini, terutama di negara-negara maju, kesepian telah merupakan semacam penyakit jiwa yang diberikan perhatian berat oleh doktor-doktor jiwa, kerana kesepian boleh menimpakan kesan yang buruk kepada sesorang, akibat tercetusnya rasa tegang dan tertekan berpunca daripada kesepian yang mengharu.



Sudah ternyata kesepian seperti ini bukanlah kerana faktur terasing atau tersingkir jauh dari manusia atau masyarakat. Ada orang yang boleh tinggal di tengah-tengah padang pasir yang jauh dari manusia, tanpa merasa kesepian. Demikian juga ada peneroka-peneroka tanah yang boleh hidup terasing di hutan belantara berbulan-bulan, tapi tidak pernah merasa kesepian.



Sebaliknya ada orang-orang yang tinggal di keliling kelalang yang ramai manusia, di tengah-tengah bandar raya yang sibuk, tapi jiwanya tetap sepi, keseorangan dan kesunyian.



Orang-orang seperti ini memerlukan sesuatu untuk didampingi, sesuatu yang besar dan berkuasa, iaitu Allah S.W.T.



Trapi Solat


Justeru itu kesepian seperti ini hanya dapat diatasi dengan cara mendampingkan diri dengan Allah, dengan menelan pil ruhani, iman dan takwa.



Salah satu cara trapi yang terbaik ialah solat dan zikir, mengingati Allah. Solat itu dapat menyembuhkan penyakit jasmani dan ruhani. Demikian juga dengan dengan zikir.



Kesepian bukan sahaja akan sirna, seperti keringnya embun bila ditimpa sinar mata hari, tapi juga menimbulkan keselesaan dan ketenangan dalam hubungannya dengan Ilahi.



“Rasa sepi pasti terasa nikmat apabila di isi dengan solat. Mendekatkan diri dengan pencipta dalam siang dan malam dapat mengusir rasa sepi”. Demikian diungkapkan oleh Faheur Muis lewat tulisannya.



Lantas beliau menegaskan duduk bersimpuh di hadapanNya pasti dapat menghapuskan kesepian dan kegelisahan yang tidak diingini.



Malah dengan berbuat demikian menyebabkan kita tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti ketibaan waktu solat dengan kerinduan. Tambahan pula katanya solat wajib digalakan kepada kaum lelaki untuk berjemaah.



Dengar pula apa yang diujarkan oleh yang berbahagia Allahyarham Yusuf Zaky Yaacob dengan katanya, “Sembahyang bagi orang-orang yang khusyu’ satu penggembaraan dan penerokaan yang indah dan mengasyikkan di alam ruhani. Dan bagi mereka detik-detik sembahayang yang pendek itu merupakan detik-detik pembebasan diri dari sekitar kebendaan, dari graviti naluri dan nafsu dan dari kesibukan dan hiruk-pikuk hidup di dunia”.



“Detik-detik sembahayang merupakan detik-detik bahagia dan gembira di mana berlakunya pertemuan yang mesra di antara hamba dengan Khaliqnya. Dan dalam pertemuan yang ringkas itu ia melahirkan seluruh perasaan keabdiannya, ia membuka pintu hatinya yang berdosa itu untuk dibersihkan dengan keampunanNya dan seterusnya ia menyerahkan seluruh dirinya agar dilimpahkan dengan semangat baru, harapan baru, hidayat baru, kepercayaan baru, kekuatan baru dan keberanian baru untuk meneruskan perjuangan hidupnya yang sentiasa penuh cabaran itu.



“Kekuatan sembahayang yang khusyu’ kadang-kadang menyerupai kekuataan ubat yang menghilangkan kesakitan. Mereka boleh melupakan kesakitan-kesakitan fizikal apabila mereka mendirikan sembahayang. Abu Hurairah pernah bercerita bahawa Rasulullah telah melihatnya menggerugut sakit, dan apabila ditanya oleh Rasulullah ia menjawab bahawa ia sedang sakit perut, Rasulullah segera bersabda, “Bangunkan dan dirikan sembahayang kerana di dalam sembahayang itu ada kesembuhan”.HR: Ibnu Majah.



Al-Imam Az-Zahbi menjelaskan bahawa ibadat sembahayang melapangkan jiwa, melenyapkan kerusingan dan memadamkan api kemarahan. Ia menjadikan seorang itu rendah diri terhadap orang lain, sabar, tolerasni dan dapat menolong berfikir dengan tenang dan konkrit lebih-lebih lagi sembahayang di tengah malam, di mana semua mata tertutup nyenyak, suara-suara menyepi, kekuatan bumi membisu ,kekuatan alam ruhani terserlah membuka tirainya



Allah berfirman, “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan rukuklah beserta orang yang rukuk”.Al-Baqarah:43.



Dan Rasulullah SAW bersabda menerangkan firman Allah, “Manusia menjadi dekat dengan Aku apabila dia melakukan perbuatan yang Aku sukai, iaitu amalan fardu yang diperintahkan kepadanya.



“Dia kemudian terus berusaha mendekatkan dirinya denganKu dengan melakukan amalan sunat, sehingga Aku mencintainya.



“Apabila Aku mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannnya yang dia gunakan bagi mendengar.



“Aku juga menjadi pengelihatan yang dia gunakan bagi melihat, tangan yang dia gunakan bagi memegang dan kaki yang dia gunakan bagi berjalan.



“Apabila dia memohon sesuatu kepadaKu, pasti Aku kabulkanya. Apabila dia memohon perlindungan, pasti Aku memberikan perlindungan kepadanya.



“Tidak ada keraguan sama seperti keraguanKu mencabut nyawa Mukmin. Dia tidak menyukai kematian dan Aku tidak suka menyakitinya”. HR:Bukhari.



Justeru jika timbul pertanyaan, “Ke mana hati yang sepi hendak dibawa?”



Jawab, “Hati yang sepi dibawa mengadap Allah”.



Sekian.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP