Pak Sako Dengan Keratan Akhbar

>> Monday, December 19, 2011


TERKENANG SEMASA DULU.............




PAK SAKO DENGAN KERATAN AKHBAR



Novel terbaru Sebongkah Batu Di Kuala Berang telah diharam oleh kerajaan Malaysia daripada berada di pasaran. Penulisnya Dr. Faisal Tehrani telah menyuarakan rasa hatinya yang terkilan dengan pengharaman tanpa penjelasan itu.



Kata beliau Sebongkah Batu Di Kuala Berang adalah tesis pengajian beliau untuk mendapat title doktor falsafah.



Menurut beliau novel tersebut merupakan novel yang kedua pernah diharamakan oleh kerajaan, novel pertama yang diharamkan ialah Putera Gunung Tahan.



Putera Gunung Tahan ialah karya Pak Sako, salah seorang penulis tanah air yang terkenal. Nama sebenarnya Ishak Hj.Muhammad.



Saya pernah bertemu dan berbual dengan Pak Sako dalam masa hayatnya ketika beliau berkunjung ke pejabat kami.



Pak Sako-Putera Gunung Tahan & Anak Mat Lela Gila


Pada masa itu pejabat kami,[Sidang Pengarang DIAN] dari masa ke masa sentiasa ada pengunjung-pengunjung. Mereka terdiri daripada berbagai-bagai golongan, budayan-budayan, wartawan, pengarang, pengkaji-pengkaji sejarah, ahli-ahli politik, pendakwah-pendakwah dan sebagainya.



Ada berbagai-bagai tujuan mereka datang, ada yang bercakap hal politik, hal berita-berita yang keluar dalam media massa, ada yang menyampaikan berita, ada yang mengeratkan silaturahim, terutama dengan Ustaz [Datok] Yusuf Zaky Yaacob.



Banyak cerita yang kami dengar, dan banyak yang boleh dijadikan bahan renungan dan juga sumber berita, terutama berita-berita politik, baik UMNO atau PAS.



Pada masa itu, pejabat MINGGUAN KOTA BHARU dan juga Majalah DIAN terletak di tingkat Satu, Bangunan UMNO Kota Bharu, Jalan Tengku Chik, Kota Bharu. Sebelumnya Pejabat Sidang Pengarang DIAN terletak di Simpang Lido, Jalan Cik Su, di mana di situ jugalah Ustaz Yusuff Zaky bersama keluarganya pernah tinggal buat beberapa waktu sebelum berpindah ke Kg.Paya Purnama, Merbau.



Ustaz Yusuff Zaky tidak begitu banyak masuk pejabat di tingkat atas ini, kerana beliau lebih suka berada di pejabat kilang DIAN yang terletak di tingkah bawah bangunan tersebut. Di situ memang sudah tersedia sebuah meja kosong. Beliau hanya naik bila ada keperluan di waktu-waktu tertentu, malah beliau lebih banyak bekerja di rumah daripada di pejabat..



Di sebelah pejabat kami ialah Pejabat Utusan Melayu, yang pada masa itu pemberita utamanya Allahyarham Ustaz Raffie Hj.Tabi. Di situ jugalah beliau dan keluarga tinggal selama beberapa tahun.



Pada masa itu, salah seorang yang kerap berkunjung ke pejabat kami ialah penulis vetran dan ahli sejarah, Allahyarham Saad Shukri Hj. Muda [Pak Su Had], sehingga beliau berangkat menunaikan ibadat haji dan meninggal dunia di sana.



Faisal Tehrani -Sebongkah Batu di Kuala Berang, juga mengalami nasib yang sama



Salah seorang daripada penulis tanah air yang terkenal pernah berkunjug ke pejabat kami di tingkat atas Bangunan UMNO itu ialah Pak Sako. Saya tidak pasti berapa kali dia sampai ke pejabat kami.



Pada hari itu, mungkin pada awal tahun 1970an atau penghujung tahun 1960an, Pak Sako sampai di pejabat kami. Beliau berbual-bual dengan Ustaz Yusuff Zaky yang duduk di kerusi di hadapannya. Pada masa itu, kami menggunakan sebuah meja panjang yang agak lebar yang dikongsikan bersama dengan Ustaz Yusuff Zaky ketika bertugas. Ia lebih merupakan sebuah meja makan daripada meja tulis.



Saya tidak ingat apa yang kami perbualkan. Ketika sedang asyik berbual-bual itu, tiba-tiba Pak Sako mengeluarkan sebuah buku skrap daripada beg yang dibawanya.



Dia membuka buku itu dan mengunjukkan kepada Ustaz Yusuff Zaky, tapi setelah menjelingnya sejenak, Ustaz Yusuff Zaky terus mengalih pandangannya ke lain, dan tidak pula menyentuhnya.



Lalu Pak Sako menunjukkan kandungan buku skrap itu kepada saya yang kebetulan duduk di sebelah kirinya.



Apakah sebenar kandungannya?



Tampalan gambar-gambar wanita jelita dan seksi yang digunting dari akhbar dan majalah. Beliau membalik-balikkan lembaran itu kepada saya, tapi tidak memberi peluang kepada saya memegangnya, lalu menyimpanya kembali dalam begnya.



Selepas beliau pergi, saya merasa meneysal kenapa saya tidak mengambil kesempatan yang begitu luas terbuka untuk menemubual beliau sendiri, sedangkan kalau bertemu dengan tokoh-tokoh lain sebelumnya saya sentiasa mengambil kesempatan berbuat demikian?



Saya juga baru menyedari cara yang lebih wajar untuk menyimpan bahan-bahan penting dalam akhabr ialah dengan menggunting mana-mana yang kita perlu dan menampalnya dalam buku-buku khas sebagaimana dilakukan oleh Pak Sako itu.



Sebelum itu saya menyimpan akhbar setiap hari di pejabat, dan dalam masa beberapa bulan sahaja ia telah menimbun dan menyebabkan kami kesempitan ruangan untuk menyimpannya.



Mulai hari itu saya menggunting mana-mana berita atau rencana yang perlu dan menampal pada kertas dan memasukknya ke dalam fail-fail khusus untuk digunakan di kemudian hari.



Sebenarnya pada waktu itu kami mempunyai rancangan untuk menerbitkan buku peritiwa tahunan yang berlaku di seluruh Malaysia, oleh itu setiap hari saya menyalin ringkasan-ringksan berita penting yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tanah air di dalam sebuah buku khas yang besar dan tebal yang disediakan oleh Ustaz Yusuf Zaky, dan akhbarnya juga disimpan untuk rujukan nanti. Tapi selepas itu saya tidak lagi menyimpan keseluruhan sesebuah akhbar itu.



Pada tahun 1970an memang saya selesai menyiapkan sebuah buku PERISTIWA Malaysia, saya terlupa tahun berapa, dan diterbitkan oleh Syarikat Dian tapi tanpa nama penulisnya. Saya tidak pasti kenapa projek itu dihentikan.



Sebenarnya tahun-tahun akhir saya meninggalkan DIAN banyak cabaran-cabaran getir dari luar dan dalam yang saya terpaksa hadapi berpunca daripada perkara yang disalahfahamkan terhadap saya yang berpunca dari iri hati.



Saya terus juga membuat guntingan atau keratan akhbar itu untuk kegunaan saya sendiri, dan sampai sekarang pun saya masih berbuat demikian. Sehingga ke hari ini saya banyak mempunyai buku-buku dan fail-fail keratan akhbar yang kadang-kadang memang berguna untuk dibuat rujukan.



Menurut Ustaz Yusuff Zaky, Pak Sako kalau dia datang ke Kota Bharu dia tidak akan melepas peluang untuk berkunjung dan tinggal di rumah seorang kenalannya yang dikenali dengan panggilan “Pak Lih” di Kubang Pasu, dan anaknya Abdullah Salih adalah rakan sekerja kami di DIAN.



Pak Sako adalah nama timbangan Ishak Hj.Muhammad, seorang ahli politik dan penulis yang terkenal dalam berbagai-bagai bidang, novel, cerpen, dan essei. Nama tersebut diberikan oleh orang Jepun kepada beliau, iaitu Isako-San.



Beliau dilahirkan pada 14 November 1909, di Kampung Bukit Seguntang, Temerloh Pahang, dan meninggal di Kampung Jawa, Hulu Langat Selangor pada 7 November 1971.



Beliau giat menulis sekitar tahun 1930an hingga tahun 1950an. Beliau menghasilkan novel, cerpen, essei dan memoir. Selain daripada menggunakan nama sendiri, beliau juga menggunakan nama-nama samaran, iaitu Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pandir Moden.



Antara jasa beliau yang penting ialah pengasas Utusan Melayu dan berusaha bertungkus lumus untuk menubuhkannya.



Antara karya-karya beliau yang penting ialah Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila. Perpustakaan Negara memiliki lebih daripada 1,000 naskah koleksi kesusteraan yang dihasilkan oleh beliau sepanjang hayatnya.



Dalam bidang politik, beliau adalah seorang nasionalis yang memperjuangkan Gagasan Melayu Raya yang bertujuan untuk menyatukan Indonesia, Malaysia dan Brunei.



Beliau dua kali disumbat ke dalam penjara, pertama oleh penjajah British dari tahun 1948 hingga 1953, dan sekali lagi selepas merdeka dari tahun 1965 hingga 1966,



Mengenang jasanya yang besar itu, Universiti Malaysa telah mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada beliau pada 29 Jun 1973 dan kerajaan juga menyampaikan hadiah “Pejuang Sastera” daripada Perdana Menteri Malaysia.



Semoga Allah cucuri rahmat ke atas ruhnya.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP