Isteri Yang Makan Batang Busuk

>> Wednesday, November 2, 2011


ASSALAMUALAIKUM,HELO SAYANG




ISTERI YANG MAKAN BATANG BUSUK



Pada suatu masa, dalam satu pertemuan secara kebetulan, isteri seorang dato’ memberitahu bahawa beliau tidak mendapat layanan yang baik daripada suaminya. Malah sudah bertahun-tahun dia tidak disentuh oleh suaminya, seorang ahli politik dan koporat. Tidaklah diketahui apa sebabnya. Pada masa itu mereka telah mempunyai beberapa orang anak yang telah besar.



“Tapi tak kisahlah”, katanya dengan nada kecewa, “asalkan dia tidak kahwin lain dan balik ke rumah”.



Tidak lama kemudian ketika berada di ibu negara KL, beberapa orang yang saya kenali, entah bagaimana memberitahu mereka cukup kenal dengan dato’ tersebut yang pernah berurus niaga dengan mereka. Mereka menceritakan, dato’ tersebut ketika berada di KL tinggal dengan seorang wanita bukan Melayu. Orangnya cantik dan masih muda.



Berkali-kali saya bertanya untuk mendapat kepastian cerita tersebut, kerana saya bimbang tersalah orang. Tapi daripada apa yang mereka jelaskan tentang dato’ itu, memanglah dia, suami kepada wanita tersebut.



“Masyallah”, keluh saya sambil mengurut dada.



Walau bagaimana pun perkara seperti ini, suami bermain kayu tiga, mempunyai kekasih gelap, menyimpan kehendak atau gundik, menidur wanita-wanita lain, berzina dengan pelacur merupakan fenomena manusia yang telah lama berlaku, walaupun agama mengizinkan mereka berkahwin lebih dari satu atau berpoligami. Dan kejadian yang malang itu masih terus berlaku, termasuk dalam masyarakat Islam yang mengharam perzinaan.



Lelaki yang melakukan kerja-kerja terkutuk ini, bukan sahaja lelaki solo, pemuda-pemuda yang masih belum kahwin, lelaki yang tidak beristeri, para duda, lelaki bujang, tapi yang tambah malangnya di kalangan lelaki yang masih mempunyai isteri, berkeluarga dan beranak-pinak.



Lelaki yang beristeri ini bukan sahaja memikul dosa zina, tapi juga mengambil risiko dijangkiti penyakit-penyakit merbahaya, seperti siplis, Aids dan HIV yang kemungkinan besar menjangkitkannya kepada isteri-isteri dan anak-anaknya yang tidak berdosa.



Menurut Majlis AIDS Malaysia [MAM] dari tahun 1986 hingga Disember 2010, seramai 91,632 orang rakyat Malysia diserang HIV, dan telah meragut nyawa seramai 12,403 orang. Dan sehingga kini pula, seramai 66,000 orang Melayu menghidap HIV, diikuti oleh Cina seramai 13,000 orang dan India seramai 7,300 orang.



Bukan sedikit, para isteri yang baik dan mulia, terpaksa menderita, akibat daripada kesukaan suaminya yang jahat dan suka bermain surung tarik di padang yang kotor.



Berapa ramai anak-anak yang tidak berdosa hidup merana, akibat kenakalan ayahnya yang suka bermain sorok-sorok di lubang gelap dan kotor.



Perbuatan berdosa lelaki tersebut, juga bererti dia telah menzalami isterinya dan juga anak-anaknya yang mengasihi dan mencintainya, taat dan setia kepadanya.



Kenapa Cari Wanita Lain?


Kenapa lelaki yang masih mempunyai isteri suka mencari wanita-wanita lain, dan melibatkan diri dalam kerja-kerja maksiat, berzina yang memang ditegah keras oleh Islam?



Sudah tentu berbagai-bagai alasan yang mereka kemukakan untuk membenarkan perbuatan terkutuk mereka, menghalalkan perzinaan yang mereka kerjakan itu, sekurang-kurangnya untuk menyedapkan hati sendiri sahaja, sedangkan jauh di dalam hatinya, mereka sedar perbuatan itu dilarang keras dan berdosa besar.



Antara alasan yang sering mereka berikan ialah mempersalah isteri mereka sebagai wanita yang suka merungut, membebel dan merepek menyebabkan mereka naik cuak dan bosan mendengarnya, dan bosan tinggal di rumah.



Mereka mungkin mendakwa isterinya seorang yang amat pemalas, malas mengemas rumah, malas menjaga diri, malas menjaga anak-anak menyebabkan keadaan rumah berselerak tidak terurus yang menyebabkan perasaan mereka terganggu.



Isteri dikatakan bukan sahaja pemalas, tapi juga tak pandai memasak, masakan yang paling simpel pun tak pandai, kerana itu mereka suka makan di kedai, diteman oleh kawan-kawan, khususnya teman wanita, atau GRO-GRO yang bermacam-macam rupa dan bentuknya.



Isterinya dikatakan seorang yang suka berbantah-bantah, suka melawan, pantang ditegur terus naik angin, mencemek bibir dan tarik muka masam, tidak akan bercakap berhari-hari,



Isteri dikatakan seorang yang engkar, tidak menurut perintah, lain yang disuruh, lain yang dibuat, ikut suka hatinya sahaja.



Isteri dikatakan tidak pandai menjaga diri, berbau hapak, dan masam tidak berjelera untuk didekati.



Tegasnya berbagai-bagai alasan diberikan oleh suami yang bergelumang dengan maksiat itu, walaupun tidak masuk akal, sedangkan dulunya mereka mendirikan perkahwinan atas dasar suka sama suka dan cinta mencinti.



Selepas berkahwin, atau paling lama selepas melahirkan anak, tembelang suami mula terdedah, perangainya beransur berubah, mengalih rasa, mencari cinta baru di pasaran terbuka. Isteri menyangka panas sampai ke petang, tapi rupanya hujan dan beribut petir di tengah hari, yang boleh menimpakan kemusnahan.



Bukan Teket


Walaupun andainya tuduhannya itu ada yang benar sekalipun, tapi suami tidak boleh menjadikannya sebagai teket untuk melakukan kerja-kerja maksiat atau melibatkan diri dalam perzinaan dengan wanita-wanita lain, baik pelacur atau siapa sahaja, kerana berzina telah dilabelkan sebagai salah satu dosa besar.



Perbuatan demikian bukanlah ditentukan oleh agama, tapi merupakan ketetapan yang disediakan oleh syaitan dalam usahanya untuk menghancurkan umat manusia.



Tindakan lelaki seperti itu, bukanlah amalan orang timur atau Islam, tapi amalan orang-orang barat yang tidak bermoral dan tidak beragama, atau mereka yang membelakangi agamanya sendiri.



Sungguh malang, kiranya isterinya itu seorang wanita yang beriman dan bertakwa, mencintai dan mengasihi suaminya dan sedia berkorban segala-galanya untuk suami yang dikasihi dan dihormatinya. Selepas Allah dan Rasul, suaminyalah yang dicintainya dengan sepenuh jiwa dan raganya.



Suami yang berzina itu telah mengkhianati isterinya, mengkhianati anak-anaknya, dan menzalami mereka dengan perbutan keji dan hina yang dikutuk Allah.



Jikalau isteri yang menduakan suami dikatakan suaminya memakan daging busuk, tapi kepada suami yang penzina pula bererti menyediakan makanan busuk untuk isterinya.



Kita harap lelaki yang curang itu hendaklah segera kembalilah ke pangkal jalan, segeralah bertaubat nasuha kepada Allah, memohon ampun dan keredaanNya, dan segeralah behernti daripada hidup bermandikan dosa yang amat dimurkai Allah itu.



Takutlah kepada Allah, kasihanilah isteri-isteri dan anak-anak anda yang akan terpalit kecelakaan andainya anda dihukum Allah semasa di dunia ini.



Kepada para isteri yang menyedari kecurangan suaminya, dia tidak sama sekali boleh mengambil tindakan membalas dendam dengan mencurangkan dirinya, mencari lelaki lain untuk melepaskan dendam kesumat yang membara di hatinya itu.



Haram tidak boleh membetulkan yang haram. Isteri tidak dapat membaiki suaminya seorang penzina dengan menjadikan dirinya seorang penzina. Tujuannya untuk memberi kesedaran kepada suaminya tidak berguna, kerana dalam Islam tujuan tidak membetulkan perbuatan. Kedua-duanya menanggung dosa besar yang terkutuk. Haram tetap haram, walaupun apa tujuannya sekalipun.



Cinta boleh dibeli dengan kasih. Benci tidak boleh dibeli dengan durjana, nanti kedua-duanya hangus dan terbakar.



Walaupun wanita mungkin boleh menanggung sabar dengan sikap kecurangan suaminya demi kepentingan anak-anak dan maruah dan masa hadapannya, tapi jarang anda suami yang normal mampu bersabar dengan kecurangan isterinya.



Isteri yang menyedari suaminya bersikap curang hendaklah banyak sabar dan hendaklah dengan bijaksana mengingatkan suaminya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami, dan menyerunya supaya segera kembali ke pangkal jalan, bertaubat.



Jika semua jalan telah diusahakan, tapi tidak juga berkesan, malah menyebabkan suami menjadi bertambah buas dan ganas, maka bolehlah isteri yang dizalami itu pergi ke mahkamah menutut haknya dan keadilan, ataupun menamatkan perkahwinan mereka dengan cara yang baik.



Para suami patut juga mengingatkan dirinya dengan firman Allah yang berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa, dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepdanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata; Dan bergaulah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, [maka bersabarlah] kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjdikan padanya kebaikan yang banyak”.An-Nisa’: 19.



Nabi S.A.W. juga bersabda, bahawa lelaki yang paling baik ialah suami yang paling baik dengan isterinya.



Janganlah terus menerus menyediakan daging busuk untuk hidangan isteri anda, nanti tiba masanya ia berulat. Berhentilah berlaku zalim. Kelak, jika Allah turunkan bala, anda tidak akan mampu menanggungnya.



Andainya anda layak dan mampu, carilah yang halal, dua, tiga dan empat, kenapa suka makan di lorong gelap yang kotor dan bernajis?



Tapi ingatlah menurut nafsu itu seperti meminum air laut, selama-lamanya tidak akan menghilangkan dahaga, makin diminum, makin dahaga juga, sampai kering sebuah lautan pun anda tidak akan mendapat kepuasannya.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Huliurkan Sejambak Mahabah,Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP