Wanita Hatinya Pada Keluarga

>> Monday, November 14, 2011




ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG




WANITA HATINYA PADA KELUARGA



Keluarga adalah institusi yang penting dalam kehidupan sesebuah bangsa dan negara. Pembentukan keluarga merupakan isu penting dalam pertumbuhan bangsa dan negara. Jika keluarga-keluarga dalam sesebuah bangsa itu banyak yang baik, maka baiklah bangsa dan negara itu, tapi sekiranya keluarga-keluarga dalam bangsa itu banyak yang buruk, maka alamt pincanglah bangsa dan negara itu.



Oleh itu pembentukan keluarga dalam sesebuah masyarakat perlu diberikan perhatian yang penting. Kerana itulah dari sejak dahulu hingga sekarang, kebanyakan kaum wanita lebih mengutamakan keluarga daripada perkara-perkara yang lain.

------------------Wanita Sanggup Berusaha Keras Untuk Membantu Keluarga



Wanita yang menyedari hakikat hidupnya sebagai seorang wanita, tetap akan memberi keutamaan kepada kehidupan keluarganya, dan ini sejajar dengan sifat semula jadinya sebagai seorang isteri dan seorang ibu kepada anak-anaknya. Walau sesibuk mana sekalipun, keluarga tetap menjadi agenda mereka yang utama.



Itulah salah satu sebabnya kenapa tidak ramai bilangan wanita yang muncul sebagai tokoh yang dikagumi dalam berbagai-bagai bidang jika dibandingkan dengan kaum lelaki, seperti tokoh-tokoh sains, dan pereka-pereka yang terkenal.



-------------------------------------------Wahai Ibu Jasamu Tetap Dikenang



Perkara ini berlaku bukan kerana wanita sempit akal fikirannya, atau rendah I.Qnya, atau kerana mereka malas dan enggan bekerja keras. Tidak sama sekali. Tapi ia lebih kepada sikap semula jadi wanita yang mementingkan kekeluargaan, suami, anak-anak dan kadang-kadang orang tua mereka juga memerlukan bantuan dan sokongan mereka untuk meneruskan kehidupan ini yang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya dinyahkan oleh mereka begitu sahaja.



Justeru, mereka rela dan lebih suka menyerahkan peranan-peranan seperti itu untuk diterokai oleh kaum lelaki yang bersedia pula untuk menceburinya yang memerlukan lebih banyak tumpuan perhatian, tenaga dan masa untuk meraih kejayaan.



Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, kita boleh merasa bangga, kerana kian ramai juga kaum wanita yang muncul sebagai tokoh penting dalam berbagai-bagai bidang, termasuklah dalam bidang politik yang membawa mereka ke mercu kejayaan standing dengan kaum lelaki, dan ada di antara mereka telah berjaya memegang tokoh tertinggi dalam pemerintahan negara, seperti menjadi presiden atau perdana menteri.



Walau bagaimanapun sebagai wanita biasa, mereka menghabiskan selama 5 tahun daripada usia hayat mereka dalam kerja basuh membasuh, serta selama 4 tahun dalam kerja cuci mencuci dan setengah tahun lagi dari usia hayat mereka dihabiskan dalam kerja gosok menggosok pakaian.



Ini memang wajar, kerana sifat semula jadi wanita sukakan kebersihan, keindahan dan kecantikan, terutama pada diri peribadinya.



Selama 14 tahun lagi masa hayatnya dihabiskan untuk menjalankan berbagai-bagai tugas rumah tangga dan kekeluargaan yang memang tidak patut mereka abaikan.



Di samping itu seramai 60 peratus daripada para isteri membantu kerja-kerja pejabat suami mereka yang dibawa balik ke rumah untuk diselesaikan, kerana suami mereka mengalami kesuntukan masa untuk menyelesaikannya di pejabat, antara kerja-kerja itu ialah taip menaip, menyusun kertas-kertas kerja, mencari bahan-bahan dalam internet dan sebagainya.



Demikianlah sifat seorang isteri yang rela bekerjasama dan bertimbang rasa, ringan tangannya untuk membantu suami yang disayangi.



Bonda saya, Maimunah Ismail [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] adalah seorang ibu yang amat sayangkan keluarganya. Beliau sanggup melebarkan mata hampir setiap malam, sepanjang bulan dan tahun untuk membuat pulut bakar untuk jualan bagi membantu pendapatan keluarga.




Wahai Sayang Engkau Sentiasa Di hati Kami




Isteri saya, Asiah Yaacob [Wan], semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya, selalu ringan tangannya berusaha menambahkan pendapatan keluarga demi untuk menjamin kepentingan pelajaran anak-anak kami.



Ada wanita yang sanggup berhenti bekerja, selepas mendirikan rumahtangga, menjadi isteri dan dikurniakan anak, kerana beliau lebih suka menjaga dan mendidik anaknya sendiri daripada menyerahnya kepada pengasuh. Beliau lebih suka melihat anaknya itu membesar di hadapan matanya, di samping menjaga kebajikan suaminya.



Tapi tentulah ganjil rasanya jika suami berhenti kerja untuk menjaga anak dan mengurus rumah tangga, dan membiarkan isterinya setiap hari keluar mencari makan, kerana telah menjadi kewajipan suami untuk menanggung kehidupan keluarga.



Namun begitu, ada juga suami yang bersedia menjaga anak-anak dan mengurus rumah tangga dan membiarkan isterinya bekerja, kerana kerjanya sendiri tidak tetap, dan pendapatannya tidak terjamin, tapi isterinya mempunyai pendapatan istimewa yang mampu untuk menampung keperluan keluarga mereka. Hal ini sudah tentu berlaku dengan kerelaan isterinya sendiri.



Semua itu dilakukan oleh isteri atas kepentingan keluarga yang mereka utamakan, mereka sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan suami dan anak-anak tercinta.



Malah saya pernah mendengar ada isteri-isteri yang suaminya tidak bekerja berkata, “Tak apalah dia tidak bekerja pun. Gaji saya pun dah cukup untuk menanggung keluarga. Asalkan dia tidak keluar berjoli dan kahwin lagi”.



Semua itu dilakukan oleh isteri atas kepentingan keluarga yang mereka utamakan, sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan suami dan anak-anak tercinta.



Usia Perkahwinan


Kebiasaanya kaum wanita berkahwin dengan lelaki yang lebih tua daripadanya, sekurang-kurang berbeza tiga atau empat tahun, atau setidak-tidaknya setahun.



Ini memang wajar, kerana biasanya wanita lebih cepat mencapai kedewasaan atau lebih cepat tua daripada lelaki yang biasanya usia jasmaniahnya lebih kebal dari wanita, walaupun mereka terpaksa menempoh kerja yang jauh lebih berat dari wanita.



Adalah dikatakan kaum wanita mencecah dewasa ketika usianya mencecah 20 tahun, sedangkan orang lelaki pula dikatakan baru mencapai usia remaja bila umurnya meningkat 25 tahun.



Lelaki jarang yang berkahwin dengan wanita yang lebih tua dari mereka, kecuali dalam kes-kes tertentu dan kerana sebab-sebab tertentu. Umpamanya ada lelaki yang berkahwin dengan wanita yang umurnya bukan sahaja kira-kira sebaya dengan ibunya, tapi setaraf dengan usia neneknya. Sebaliknya ada juga sesetengah lelaki yang kahwin dengan wanita yang jauh lebih muda daripadanya, iaitu berpangkat cucu keapadanya dari segi usia.



Demikianlah beragam-ragamnya manusia ini, sebagaimana beragamnya rupa paras mereka, kerana masing-masing mereka mempunyai sebuah kepala dan setongkol hati, tapi bentuk dan kandungan dalam kepala dan hatinya berbeza-beza.



Allahu Akbar.



xxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:




Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP