Bertunang, Semoga Sampai Ke Jinjang Pelamin

>> Tuesday, November 8, 2011




BERTUNANG, SEMOGA SAMPAI KE JINJANG PELAMIN……………




Waktu kami tiba ke rumah adik saya, “Pak Din”, di Kg. Aman, Besut petang semalam majlis pertunangan anak gadisnya, iaitu anak saudara saya, “Kak Ngah” telah selesai. Pihak lelaki kelihatan keluar dari rumah, malah ada di antaranya telah mulai bertolak meninggalkan rumah dengan menaiki motokar yang menjadi pertanda yang jelas bahawa acara pertunangan petang itu telah selesai.


Semalam hari Aidiladha yang kedua. Setiap jalan di negeri ini telah mulai dijalari dengan berbagai-bagai jenis kenderaan yang mambawa hala masing-masing. Kami telah silap perhitungan menyusuri jalan utama KB- Jertih-Kuala Terengganu menyebabkan kami terpaksa menempuh jalan tersumbat [traffic jam]. Ini menyebabkan kami terlambat sampai. Sedangkan ada beberapa jalan pilihan yang dapat kami lalui.



Justeru tidaklah sempat kami berjumpa bakal menantu dan keluarga mereka yang datang dari Kemamam. Sejurus kemudian Kak Ngah pun kelihatan telah menyalin pakaian, menukar kepada pakaian biasa. Dengan pakayaan biasalah itulah Kak Ngah berfoto dengan sebahagian daripada keluarga kemudiannya.



Semasa pertunangan kakaknya dahulu, Kak Long, sekarang telah berkeluarga, Allayarhmah isteri saya, “Kak Yah” [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] yang menyempurnakan pemakaian persalinan istimewa Kak Long untuk majlis pertunangan hari itu. Kami berdua juga tidak sempat menyaksikan majlis bersejarah itu, kerana setelah selesai memakaikan pakaian pertunangan Kak Long dan sebelum majlis bermula, kami terpaksa meninggalkan majlis untuk pergi ke Sungai Jernih, Pahang, di mana salah seorang anak kami, “Atih” bertugas di sebuah ladang di situ.



Kami harap pertunangan ini akan menjadi batu asas yang kukuh kepada mereka untuk memasuki istana perkahwinan nanti.



Kami harap kedua-dua belah pihak merasa puas hati dengan pemilihan mereka masing-masing; kepada teruna memilih bakal isteri, kepada gadis memilih bakal suami, dan kepada orang tua memilih bakal menantu mereka masing-masing.



Semoga pertunangan itu mendapat keredaan dan rahmat yang berkekalan dari Allah dan RasulNya yang mulia.



Semoga perkahwinan mereka nanti dirahmati dan diredai oleh Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.



Semoga perkahwinan yang akan mereka bangunakan nanti akan menjadi tali sutera yang erat untuk mengikat keluarga kedua belah pihak sebagaimana di kehendaki oleh agama kita.



Semoga keduanya hidup berbahagia dan diberkati Allah sebagai sepasang suami isteri yang salihah dan salihin.



Semoga perkahwinan mereka nanti akan dikurniakan dengan keturuan yang salih yang akan menjadi Khalifah di bumi ini sebagaimana dikehendaki oleh Islam.



Semoga perkahwinan mereka berkekalan dari dunia hingga akhirat.



Walau bagaimana pun, ingatlah wahai semua mereka yang bertunang. bahawa pertunangan bukanlah teket untuk menghalal kepada kedua pasangan untuk melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam; jagalah pergaulan dalam batas-batas dan ketentuan untuk menjaga kesopanan Islam, dan jangan sama sekali mengambil peluang untuk melakukan dosa walaupun kecil, dengan alasan “kami telah bertunang”.



Amin.



xxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP