Kad Hari Raya Menguak Kenangan
>> Sunday, November 27, 2011
TERKENANG SEMASA DULU............
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KAD HARI RAYA MENGUAK KENANGAN
Kenangan adalah sesuatu milik kita yang amat bernilai. Ianya merupakan sebahagian daripada hidup kita. Nampaknya semakin berusia, semakin berharga kenangan-kenangan itu.
---------Gambar kenangan. Kak Ngah semasa melanjut pelajaran di UK.
Kenangan-kenangan itu teradun dari ingatan kita kepada masa-masa lampau kita. Masa lalu yang tidak dapat dibentuk kembali kecuali dalam kenangan. Masa-masa lalu itu telah menjadi keras membatu, tidak dapat dicairkan lagi ke dalam masa kini, sebagaimana anda mencair air batu dalam gelas untuk di minum. Masanya telah berlalu dan hanya berada dalam genggaman Allah.
Hanya kenangan sahaja yang boeh menghidupkannya. Kenangan adalah milik mutlak anda, Tidak siapa boleh menceroboh kenangan anda, kecuali anda sendiri.
Sesuatu kenangan itu boleh mempengarhui perasaan dan jiwa anda. Kenangan manis boleh membuat anda riang, gembira, dan bersyukur, kenangnan pahit pula menghanyutkan anda dalam lautan kesedihan dan kedukacitaan, dan boleh mencetuskan penyesalan dan keinsafan.
Di antara kedua kenangan manis dan pahit itu terdapat kenangan yang teradun daripada kenangan pahit dan manis, kenangan rindu terhadap yang dikashi yang meletak anda dalam keadaan gembira bercampur sedih, terutama bila kerinduan itu tidak lagi dapat dikapai oleh pancaindera anda kerana dihijab oleh perpisahan yang abadi.
Justeru berhati-hatilah dengan kenangan, kerana anda tidak boleh hidup dalam syurga atau neraka kenangan, kerana anda hidup dalam saat ini di alam yang jelas dan nyata yang kemudiannya bila masa berlalu ia akan bersarang dalam otak anda membentuk kenangan yang abadi, yang hanya mengembang dalam ingatan sebagai semarak hidup.
Kenangan boleh mengusik perasaan, mengusik hati dan mengusik jiwa, demikian berpengaruhnya kenangan itu terhadap kita samada kita sedari atau tidak sedari.
Demikianlah, ketika melihat sebuah kad Hari Raya telah melebarkan kenangan saya……Kad Hari Raya Aidilfitri ini dihantar oleh anak saudara saya Amalia Kamilah [Kak Ngah] ketika dia sedang melanjutkan pelajarannya di United Kingdom. Kak Ngah adalah anak kedua daripada tiga beradik kepada adik perempuan saya, Allayrahmah Safiah Saleh dan suaminya Othman Omar.
Semua anak-anak saudara saya memanggil saya “Alang” atau “Ayah Alang”.
Pada dada kad itu tertulis warkah pendek yang berbunyi:
___________________________________________________________
“Assallamualaikum
Alan dan Che Yah yang dingati
Amalia doakan semoga Alang dan Che Yah sihat-sihat selalu,
Amalia di sini pun Alhamdulillah sihat.
Amalia mohon ampun dan maaf di atas semua kesalahan dan kesilapan yang pernah Amalia lakukan selama ini
Harap doakan kejayaan Amalia di sini. Wassalam”.
_________________________________________________
Demikianlah bunyi warkah itu.
Adik saya, Safiah Saleh [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya], seorang guru, telah terkorban akibat dibakar hidup-hidup oleh seorang lelaki yang tidak siuman kra-kira lima tahun yang lalu berhampiran dengan kediamannya di Kg. Gong Badak, Kuala Trengganu.
Saya tidak sempat bertemu dengan Allayarahmah di penghujung hayatnya, kerana waktu itu kami, saya, isteri Asiah Yaacob [ya Allah cucuri rahmatMu ke atasnya] dan anak sulung saya Arham Zaini dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu untuk menziarahi beliau bila mendapat khabar trajedi itu menerusi telefon. Waktu itu kami berada di KL.
Kemudian kira-kira setahun yang lalu, suaminya pula, Othman bin Omar kembali kerahmatullah.
Kak Ngah dan dua orang adik beradiknya lagi, seorang lelaki dan seorang perempuan kini merupakan anak yatim piatu.
Walau bagaimana pun Kak Ngah telah mempunyai seorang anak lelaki, Mohd Amirul Hakim Sazali yang ketika peristiwa sedih itu berlaku berusia enam tahu.
Adalah sentiasa menjadi harapan kami, Kak Ngah dan saudara-saudaranya menjalani hidup dengan aman bahagia, menjadi anak yang saleh dan saleha yang akan menyambung zuriat ayah dan bondanya dari dunia dan akhirat yang sentiasa berharap untuk mendapat doa-doa mereka sebagai anak-anak yang beriman dan bertakwa.
Amin.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Paut Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment