Warkah Dari Ibu
>> Monday, November 21, 2011
TERKENANG SEMASA DULUUUUU...............
WARKAH DARI IBU
Bingkisan Dari
Allahyarahmah Asiah Yaacob*
"Ibu rasa untuk menjadi seorang wanita yang sempurna bukannya senang. Ini memerlukan ketabahan dan kesabaran yang kuat. Bukannya senang untuk merangkumi keseimbangan seorang wanita yang diharapakn oleh seorang lelaki.
Tetapi kita mestilah mencuba mengatasi masalah ini dengan reda dan ikhlas, insyallah kita akan mencapai tahap apa yang diidamkan oleh seorang suami dengan gembiranya.
Seorang wanita untuk menjadi calon isteri yang ideal mestilah dari awal lagi melatih diri, mendoa untuk bakal menjadi seorang kekasih yang lembut, menarik dan menawan, seorang isteri yang setia, ibu yang penyayang, sahabat yang boleh berbincang, bertukar-tukar fikiran. Malahan dia jugalah tempat keluarga, suami dan anak-anak mencurah masallah suka duka setiap saat.[Insyallah ibu akan mengulas cirri-ciri di warkah yang berbentuk buku di siri ibu yang lain].
Jangalah anak-anak menganggap bahawa keemua ini berhak pada yang cantik sahaja. Tidak.
Anak-anak mesti ingat, bila seorang manusia yang bergelar wanita dilahirkan ke dunia ini, Tuhan telah menganugerahkan keistimewaannya. Jadi kita gunakanlah sebaik-baik mungkin apa-apa keistimewaan yang telah dianugerahkan pada kita.
Latihlah diri anak-anak dengan apa yang ibu sarankan, insyallah anak-anak akan menampakkan hasil yang menakjubkan- anak-anak akan kelihatan anggun dengan ketenangan jiwa dan kesesuaian menghias diri.
Bagi anak-anak ibu yang bekerja. Cubalah atasi masallah ini dengan cara berunding bersama suami sebaik mungkin. Rasanya bila kita berkongsi kasih sayang dan mempunyai kesefahaman, insyallah dia akan menolong. Maka tidaklah menjadi beban pada anda untuk mengurus diri dan rumah tangga, Janganlah kerana terlalu sibuk anda melupakan tanggung jawab anda pada suami, anak-anak dan rumah tangga, bahagi-bahagikan masa untuk ini.
Ingatlah, sebaik-baik suami,janganlah kita tindas, sejahat-jahat suami janganlah dibidas.
Cubalah anda memahami jiwa dan perasaan seorang lelaki yang bernama suami, mereka amat memerlukan kasih sayang. Walaupun mereka tidak menyatakan secara lahiriah, mungkin kerana keegoaannya, kita mestilah memahaminya. Apalah salahnya sekali sekala bila kita lihat suami kita sedang berihat, sekali lalu kita cium ubun-ubunnya atau picit-picit bahunya, atau waktu bangun pagi, anda berikan ciuman mesra padanya. Insyallah anada akan mendapat ganjaran yang lebih dari itu.
Kata orang tua-tua, sejahat-jahat suami lemah juga di kaki isteri, kalau kita pandai melayaninya dengan baik dan sbar.
Sikap peramah juga memain peranan penting pada seorang wanita. Tidak ada gunanya jika seorang wanita yang kita lihat cantik manis dan bergaya, tapi sombong, tidak ramah dan mementingkan diri sendiri. Cubalah anda renungkan, bagaimana orang hendak mencintai dan menghargai kita, jika kita tidak menghargai dan mencintai orang lain, belajarlah menghargai dan menghormati orang lain.
Pernah di satu majlis, ibu bertemu dengan seorang wanita yang tidak begitu cantik, tapi bila kita mendekatinya dari dekat, kita akan kagumi wanita ini, ibu begitu terpesona dengan keramahannya, dengan tutur katanya yang sopan, senyumannya yang manis dan kelembutan tingkah lakunya membuat kita terpesona padanya, dan buat seketika kita lupa bahawa dia tidak secantik mana. Tapi dalam majlis itu dialah yang menghidupkannya, dan dia bagaikan permaisuri pada malam itu.
Begitulah anak-anak sebuah senyuman itu terlalu berhagra pada yang menerimanya, kita seolah-olah dihargai dan mendapat perhatian.
Oleh itu hindarilah daripada sikap begini sayang, jika kecantikan yang kita miliki hanya sekadar untuk dibenci oleh orang ramai.
Dan ada satu lagi yang ibu ingin pesankan, latihlah diri kita supaya bersyukur dengan apa yang ada pada kita, apa yang telah diberikan oleh Tuhan pada kita, janganlah kita membanding-bandingkan pendapatan suami orang lain dengan pendapatan suami kita, membandingkan rumah besar orang lain dengan rumah kecil kita atau perabot cantik orang dengan prabot biasa kita. Sikap begini amat-amat ditakuti oleh seorang suami, dan akan menjahanamkan diri sendiri. Anda akan menderita dengan penyakit ketidakpuasaan dan kecemburuan yang setiap saat akan menjerut diri anda sehingga anda sendiri akan lemah dan merana badan hingga ke akhir hayat. Kalau nasib anda baik, rumah tangga anda akan bertahan. Tapi kalau nasib tidak baik, rumah tangga anda akan hancur lebur dan berkecai berslerakan.
Yang paling utama di samping menjadi seorang wanita yang sempurna, anda leburkanlah perasaan iri hati ini dari hati anda, buanglah sejauh-jauh mungkin, sejauh anda tidak dapat menjangkaunya lagi.
Sesungguhnya jadilah anda seorang wanita idaman masa kini. Insyallah.
+++++++++++++++++
*Warkah ini sebahagian daripada cebisan-cebisan karya peninggalan isteri saya, Allahyarhmah Asiah Yaacob yang dihasilkan sekitar tahun 1900an. Semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya.
xxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment