Keling Dalam Budaya Hidup Orang Kelantan

>> Wednesday, November 16, 2011




KELING DALAM BUDAYA HIDUP ORANG KELANTAN




Keling adalah panggilan biasa orang-orang Kelantan kepada orang-orang India. Mereka tidak memanggil orang India itu orang India tapi memanggilnya orang keling. Tapi ianya bukannya merupakan panggilan kutukan atau penghinaan, Ia sepertilah sebagaimana mereka memanggilnya orang Cina dan orang Benggali sebagai orang Cina atau orang Benggali.



Perkataan keling ini digunakan untuk semua orang India tanpa mengira agama, tidak seperti di sesetengah tempat di negara kita bila disebut keling maksudnya ialah orang India yang beragama Islam sahaja.



Di kalangan orang Kelantan orang India yang beragama Islam, tidak dipanggil keling Islam, tapi ia dipanggil India Islam atau India Muslim.



Oleh sebab penggunaannya merupakan satu budaya panggilan orang Kelantan terhadap kaum India, maka orang-orang India di Kelantan setahu kami tidak marah pun bila mendengar mereka dipanggil keling.

Pokok cempaka keling biasanya digemari oleh orang-orang Melayu tradisi dan ditanam sebagai penghias laman



Ia hanya bahasa percakapan, dan bukan bahasa tulisan atau persuratan di sekolah-sekolah.



Namun begitu, sejak kebelakangan ini panggilan keling kepada orang-orang India kian pupus dalam masyarakat Kelantan, malah hampir tidak kedengran lagi dalam penggunaan seharian, kerana mereka telah memanggil orang India sebagai India, bukan lagi Keling.



Perubahan ini berlaku, kerana pengaruh budaya luar Kelantan telah meresap ke dalam masyarakat Kelantan, lebih-lebih lagi dengan bertambah ramainya generasi-generasi baru yang bertebaran belajar di serata tempat dan menerima pendidikan dan pergaulan yang luas.



Walau bagaimanapun perkataan keling tidak dapat dihapuskan, kerana nama keling itu telah diabadikan dalam nama tumbuhan-tumbuhan yang tertentu.



Pisang Kelat Keling


Pada suatu hari ketika kami sedang menggali sepohon anak pisang untuk ditanam, seorang jiran sebelah tiba-tiba mendekati pagar dan bertanya, pisang apakah yang sedang saya gali itu? Bila kami beritahu pisang jelai berangan, dia pun memberitahu dia sudah lama mencari anak pisang kelat keling, tapi masih belum bertemu.



Sebenarnya kami pun telah agak lama mencari anak pisang kelat keling, tapi sampai hari ini masih belum berjumpa. Mungkin kerana kami tidak begitu bersungguh-sungguh mencarinya.



Orang Kelantan memanggilnya Pisang Kelat Keling, tapi orang luar Kelantan memanggilnya pisang restali. Seperti pokok-pokok pisang yang lain juga, ia mengeluarkan buah bertandan, terdapat beberapa sikat buah dalam satu tandan, dan pada satu sikat itu terdapat buah-buahnya yang trsusun berbanjar dua lapis; ukuran buahnya biasa sahaja, tidak panjang seperti pisang jelai, dan tidak pula besar atau gemuk, seperti pisang kebatu atau pisang awak.



Biasanya sebelum masak, kulitnya berwarna kegelapan, tapi bila masak warnanya bertukar menjadi warna kuning muda, dan biasanya terdapat bintik-bintik hitam pada bahagian kulitnya yang tertentu, dan ada juga yang warna merah kegelapan bila masak.



Sejak akhir-akhir ini, pisang kelat keling atau restali ini tidak mudah lagi untuk dibeli, terutama di negeri Kelantan, hampir tidak ada langsung pisang kelat keling yang dijual. Dahulu di sebelah Pantai Barat memang mudah untuk membeli pisang restali, tapi hari ini tidak lagi, dan banyak dijual di sana sini, ialah pisang jelai, iaitu jelas berangan.



Sudah beberapa hari kami mencari pisang kelat keling, di pasar-pasar dan di pasar-pasar minggu dan pasar tani di Kelantan untuk membeli pisang kelat keling, tapi tidak menemuinya.



Menurut orang Kelantan, pisang kelat keling tidak “bisa”, ia boleh dimakan oleh sesiapa sahaja dan dalam hampir semua keadaan, kerana dikatakan tidak akan menyebabkan pemakannya alahan dan mendapat sakit, sedangkan kebanyakan pisang-pisang yang lain, seperti pisang nangka, pisai jelai, pisang kapas dan sebagainya yang termasuk dalam golongan pisang jenis sejuk. Andainya pisang-pisang jenis lain pantang dimakan oleh orang dalam pantang beranak, tapi pisang kelat keling boleh mereka makan, demikian juga dengan bayi boleh disuap dengan pisang kelat keling yang dilecek.



Sebagai herba pula, anak pisang kelat keling yang masih kecil boleh dibuat ubat penyakit jantung tersumbat, dengan meminum air rebusannya.



Ubi Keling


Ubi keling ialah sejenis pokok yang tumbuh menjalar, ubinya kecil dan berkulit warna hitam. Kulitnya mudah ditanggalkan bila masak direbus untuk dimakan.




Ubi Keling boleh dicampur dengan gulai daging



Biasanya ubi keling direbus untuk dimakan begitu sahaja, dan sesetengah orang yang suka makan manis, mencicahnya dengan gula.



Ubi keling itu boleh juga dibuat sayur lemak, dicampur dengan sayur-sayuran pucuk midin, cekur manis dan sebagainya.



Ada di sesetengah tempat pula mencampurkan ubi keling itu dengan gulai daging, sebagai ganti ubi kentang.



Kami pernah menanam ubi keling di belakang rumah ketika tinggal di Lebir Gua Musang. Menanamnya tidak payah, iaitu dengan menanam ubinya, sebaik-baiknya yang telah cambah, atau bertunas dan dalam masa beberapa bulan ubi benih itu akan menumbuhkan akar-akar yang mengeluar isi atau ubinya, bergayutan seperti ubi keledek atau ubi kentang.



Sumba Keling


Sumba Keling ialah sejenis pokok yang biasanya mengeluarkan buah yang banyak, dengan warnanya yang merah. Kadang-kadang kalau berbuah, hampir tidak kelihatan daun-daunnya.



Buah-buah itu berbulu-bulu, berwarna merah, dan di dalamnya terdapat biji yang bila gugur mudah bercambah dan hidup. Sekali pandang buah-buah itu kelihatan seperti bunga.



Biasanya pada masa dahulu pokok sumba keling ditanam di halaman rumah, selain daripada cantik kelihatan bila berbuah, ia juga digunakan sebagai bahan ubat, dan bayangnya digunakan untuk berteduh bila mata hari panas.



Kami pernah menanam pokok sumba keling untuk dijadikan turus pagar bersama-sama dengan pokok herba yang lain, tapi baru-bru ini bila tanah itu disuduk untuk dibersihkan dari semak dan samun semuanya telah lesap, dan yang tinggal hanya beberapa perdu pokok serai wangi.



Dalam ilmu pertukangan ada sejenis paku yang berkepala dua dipanggil keling; paku ini biasanya digunakan untuk melekatkan besi dengan besi.



Cempaka Keling


Cempaka keling ialah sejenis pokok renek yang mengeluarkan kuntum-kuntum bunga berwarna putih yang baunya wangi yang manis. Tingginya kira-kira tiga meter sahaja.



Cempaka keling biasanya ditanam di halaman rumah kerana baunya yang semerbak wangi yang sedap dihidu, terutama bila ia kembang.



Alangkah wanginya bau bunga cempaka keling yang sedang berkembang



Di halaman pondok kami sekarang ada sepohon pokok cempaka keling yang sedang berbunga, dan mengeluarkan baunya yang harum menyenangkan. Kami suka mendekatinya, dan kadang-kadang memetik bunga yang sedang berkembang itu.



Kampung Keling


Kalau orang-orang Cina di negeri Kelantan mempunyai dua kampung Cina, satu di daerah Salor dan satu lagi di Jalan Kota Bharu ke Pantai Cahaya Bulan, kedua-duanya dinamakan Kampung Cina dan kedua- duanya terletak dalam Jajahan Kota Bharu, demikian juga dengan orang India di Kelantan, mererka boleh berbangga, kerana ada sebuah kampung dinamakan Kampung Keling, juga terletak dalam Jajahan Kota Bharu. Di tengah-tengah Kg. Keling ini terdapat sebatang jalan pintas dari Kampung Limbat ke Kampung Mulung, yang menyambung Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh dengan Kota Bharu-Kuala Krai.



Di Kampung Keling itu juga terdapat sebuah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Keling, terletak di tepi jalan tersebut.


Semua ini membuktikan orang Kelantan sayangkan orang-orang India yang mereka panggil Keling itu, maka dengan itu wajar pula orang-orang India, khususnya orang-orang India yang tinggal di Kelantan menyayangi negeri dan rakyat Kelantan Darulnaim ini.



Cempaka keling semerbak mewangi


Kelat keling manis rasanya,


Hati di dalam rasanya sunyi


Berpisah lama rasa terseksa.



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pndok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



5 comments:

Ali,  July 26, 2012 at 5:31 PM  

Terima kasih di atas info ya..

Muhammad Firdaus December 30, 2015 at 11:18 AM  

Assalamualaikum.......
Sy nk tny, d mana sy bleh dapatkan pokok cempaka keling ???
Dh lama sy mencari pokok ni, tp ssh nk dpt..... bleh spe2 bg thu d mana sy bleh dptkan pokok tersebut.....

Firdaus February 5, 2017 at 3:41 PM  

pokok cempaka keling...banyak dijual nursery besar semasa ekspo ...biasanya dr selangor
saya ade benih pisang rastali yang saya ambik dr kedah..........tp saya musykil pasal,,,,dpt tahu...kelat keling lain drp rastali....hampir sama tapi lain....

Pondok Rahmat February 10, 2017 at 8:39 AM  

pisang restali dan kelat keling setahu kami adalah sama sahaja. Lain negeri lain rupa, warnanya dan rasanya. Cubalah perhatikan

anudolphin October 16, 2019 at 1:05 AM  

Pisang rastali boleh dibeli atau perolehi di Seremban di kedai buahan Cina tunggal di Jalan Tunku Hassan. Kami walaupun terbaca hujah-hujah berkait dengan panggilan "keling" , kami di sini tahu dengan secara betul dan jelas yang ia diguna di sini dan serata Msia dengan seperti kata "caci" atau memberi implikasi aspek "kemunduran dan kejian-kejian lain berkait degan ugama atau watak atau warna orang India khususnya orang Tamil.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP