Kenapa Suka Membocor Kamar Tidur?
>> Sunday, November 20, 2011
ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG
KENAPA SUKA MEMBOCOR KAMAR TIDUR?
Pada suatu masa saya berkunjung ke rumah sepasang suami isteri yang telah berusia. Tapi tidaklah tua sangat. Isterinya masih kelihatan kuat dan masih gigih mencari makan. Suaminya pula baru bersara, dan kelihatan lemah fizikalnya walaupun tidak menghidap apa-apa penyakit. Saya amat menghormatinya, Kami duduk mengelilingi sebuah meja makan empat pergi panjang yang rendah sambil berbual-bual berbagai-bagai perkara.
Suaminya seorang yang anti dengan belajar di sekolah orang putih, dan sehubungan dengan itu sering mengulang-ulangi kisah bagaimana seorang lepasan sekolah Inggeris, kerana terpengaruh dengan kehidupan orang putih, di saat akhirnya waktu hendak mati bila diajar orang mengucap dua kalimah syahadah, dia enggan dan berkata, “no,no,no” hingga ke akhir hayatnya.
Di antara begitu banyak yang kami perbualkan ada satu perkara yang sukar hendak saya lupakan. Kata-kata wanita itu yang bermaksud suaminya sudah lama tidak berdaya memberi nafkah batin kepadanya. Antara lain katanya, “Pakmu ni [suaminya] nama sahaja suami, tak ada apa-apa pun diberinya, selain dari duit belanja makan”.
Saya lihat muka orang tua itu merah padam, dan tersenyum lemah kemalu-maluan, kemudian cuba mengalihkan perbicaran kepada topik lain. Saya tidak menyangka sama sekali isterinya itu akan meluahkan kata-kata itu kepada kami.
Sebuah cerita lagi. Ada seorang wanita, masih muda dan bergaya telah tiga kali menjanda, kahwin lagi untuk kali keempat. Kali ini dia dimadukan sebagai isteri muda. Wanita itu setiap kali berbicara tentang kehidupan berkeluarga, tanpa segan silu, secara selamba menceritakan secebis daripada rahsia suaminya itu. Dia selalu memberitahu kawan-kawannya secara terbuka, suaminya itu nampak sahaja gagahnya, tapi tidak kuat mana pun ketika bersama. “Tapi pasal duit banyak, tak apalah”, katanya. Suami barunya itu bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat swasta.
Cerita lain lagi. Sebuah kisah tentang seorang lelaki warga emas ingin berkahwin lagi. Dia telah mempunyai dua orang isteri, dan ingin berkahwin lagi satu, sebagai isteri ketiganya.
Projek isteri ketiga lelaki itu dibantah keras oleh isteri nombor duanya. Dia telah berusaha secara halus untuk mengaggalkan suaminya daripada menikah lagi dengan seorang janda, rakannya. Dia memberitahu kawan-kawannya, suaminya memang tidak mampu untuk kahwin lagi, “barangnya” tak naik pun, macam ini”, lalu dia mengangkat sebelah tangannya dengan ibu tangannya dibengkokkan.”Hah ni, macam ni, nak kahwin macam mana?”.
Katanya sejak kebelakangan ini dia pun tidak diberi nafkah batin oleh suaminya itu, walaupun dia memintanya, kerana sudah tidak mampu lagi.
Suaminya pula ketika ditanya oleh kawan-kawannya kenapa hendak kahwin lagi, isteri dah ada dua, isteri kedua itupun tidak setua mana lagi, lalu dijawabnya,”Nak rasa apa lagi, mereka ayam dah tua, dahulu tak apalah masih muda. Dah tak rasa apa lagi”.
Dan akhirnya dia kahwin juga dengan janda tersebut, menjadikannya isterinya yang ketiga. Kalau benar kata-kata isterinya itu, bagaimana dia hendak melayan isterinya itu, yang lebih muda daripada kedua-dua isterinya itu?
Dan seterusnya. Seorang isteri yang baru mempunyai seorang anak kecil yang baru boleh merangkak. Wanita ini suka benar menceritakan kepada tetangga-tetangganya bila dia bersama dengan suaminya, dan menambah cerita bahawa suaminya suka membiarkan anak mereka yang masih kecil itu menonton permainan mereka, malah kadang-kadang senghaja membiarkan anak mreka yang masih kecil itu melibatkan dirinya dalam lakonan mereka dengan cara tertentu.
Tapi tidak lama kemudian, wanita itu berpisah dengan suaminya itu yang rupanya seorang “don juan”.
Beginilah pokok yang gondol menunggu masa untuk menyembam bumi mendedahkan segala rahsia dirinya sendiri.
Dan berikutnya. Ada lagi sebuah cerita tentang seorang wanita muda yang baru mendirikan perkahwinan. Dalam satu pertemuannya dengan seorang Ustazah dia bertanya mengenai kehidupan rumahtangga sebagai seorang suami dan isteri. Antara lain dia bertanya berapa kerapkah dia patut bersama dengan suaminya setiap minggu? Dia juga memberitahu Ustazah itu bahwa beberapa orang kawan-kawanya yang baru berkawhin seperti dia juga, mereka melakukan hubungan intim hampir setiap hari, tapi katanya suaminya tidak mampu berbuat demikian, dan dia hanya mampu sebanyak dua atau tiga kali seminggu sahaja?
Ini semua gambaran-gambaran kelabu dan menjijikkan yang berlangsung dalam masyarakat kita sejak dahulu hingga sekarang , di mana suasana-suasana di kamar tidur yang berlangsung antara suami isteri telah dibocor dan didedahkan dengan sewenang-wenangnya kepada orang lain dengan tujuan-tujaun tertentu.
Ustazah itu memberitahu beberapa perkara yang berhubung dengan kehidupan suami isteri dan kaitannya dengan agama, serta menambah, “Perkara-perkara yang berlaku antara suami dan isteri di kamar tidur jangan sama sekali dibawa keluar dari bilik tidur, tidak baik”.
Beliau juga tidak lupa mengungkapkan sebuah Hadis Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Riwayat ini berasal daripada seorang wanita Ansar yang bernama Asma bt Yazid bin Sakn berakata, bahawa pada suatu hari, dia datang menemui Rasulullah SAW di kediamannya, dan di situ terdapat beberapa orang lelaki dan wanita sedang duduk.
Rasulullah SAW.berkata kepada, mereka “Barang siapa di antara kamu yang pernah berbicara [dengan orang lain] mengenai apa yang telah diperbuat dengan keluargana; atau barang kali ada seorang wanita di antara kamu yang memberitahu orang lain mengenai apa yang dilakukan dengan suaminya?”.
Kata Asma, “Semuanya diam”., kemudian dia meneruskan, “Aku berkata, benarlah , demi Allah, mereka [kaum lelaki dan kaum wanita] melakukan hal itu”.
“Rasulullah SAW menjawab, “Janganlah kamu berbuat seperti itu. Itu merupakan perbuatan syaitan lelaki yang bertemu dengan syaitan perempuan di jalanan, lalu syaitan lelaki itu menggauli syaitan perempuan itu di depan mata manusia yang melihatnya”. HR:Ahmad.
Hadis di atas memberi peringatan kepada kita supaya tidak menceritakan kepada orang lain perkara-perkara intim yang berlaku di kamar tidur antara suami dengan isteri atau antara isteri dengan suami dan menyarankan supaya sebarang kegiatan seksual antara suami dan isteri hendaklah dilakukan secara rahsia tanpa diketahui dan dilihat oleh sesiapa pun.
Wallahu’aklam.
xxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment