Jadikan Diri Anda Seorang Yang Boleh Dipercayai

>> Friday, November 18, 2011






JADIKAN DIRI ANDA SEORANG YANG BOLEH DIPERCAYAI




Sifat boleh diharap atau boleh dipeprcayai adalah antara berbagai-bagai sifat penting yang harus dimiliki oleh setiap orang yang ingin memaut puncak kejayaan. Meremeh-remehkanya bererti anda senghaja meruntuhkan anak-anak tangga yang akan membawa anda ke puncak.



Oleh itu anda hendaklah bersikap dengan awas dan teliti, jangan bertindak meruntuhkah peluang anda untuk berjaya, binalah diri untuk menjadi manusia yang boleh dipercayai dan diharapi di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja dalam hidup ini.



Kita bentangkan di sini antara ciri-ciri pembinaan diri yang berguna untuk membina seseorang untuk menjadi manusia yang boleh diharap dan dipercayai.



-Berfikir Sebelum Bertindak

Sebelum membuat sesuatu keputusan dan sebelum mengambil apa-apa tindakan anda hendaklah berfikir terlebih dahulu, terutama dalam isu-isu besar yang melibat maruah, harga diri dan juga perbelanjaan yang bukan sedikit.



Bertindak atau membuat sesuatu keputusan tanpa berfikir terlebih dahulu boleh mengundang risiko atau mengundang bahaya atau kerugian yang tidak diingini. Sedangkan andainya anda berfikir terlebih dahulu, perkara yang tidak diingini itu mungkin dapat dielakkan daripada menimpa anda.


-----Membina Diri Untuk Kesihatan dan Menjadi Manusia Yang Boleh Dipercayai



Oleh itu sebelum bertindak, ambillah masa anda untuk berfikir sejenak, jangan terburu-buru, untuk menimbang baik buruk, dan untung ruginya, dan ke mana hujung jatuhnya. Tidak ada gunanya menyesal, selepas santan atau susu menjadi basi.



-Mengawal Perasaan


Perasaan memain peranan yang penting dalam kehidupan setiap orang di samping akal dan fikiran. Tapi terlalu menurut perasaan boleh membawa kepada kebinasaan. Itulah dikatakan ikut hati mati, ikut rasa binasa.



Justeru anda mestilah mampu mengendali perasaan anda, walau bagaimanapun bergeloranya perasaan anda itu, anda hendaklah menguasainya, dan tidak menurut perasaan anda itu untuk mengelak anda daripada terjerumus dalam tindakan-tindakan merbahaya yang akan mengancam diri anda sendiri.



Umpamanya ketika perasaan anda sedang meluap-luap marah, anda hendaklah sedaya upaya mengawalnya, kerana andainya anda terpengaruh dengan kemarahan anda yang membakar itu, anda mungkin menjadi pembunuh jika anda mengikutinya, ataupun sekurang-kurangnya anda mungkin bertindak memaki hamun, mencerca dan mencaci mereka yang anda marahi itu mengikuti dorongan perasaan anda semata-mata dan ini mungkin akan berakhir dengan perkara yang tidak diingin atau lebih buruk lagi.



Kerana itu bersabarlah dengan kemarahan anda, supaya tidak membakar anda hingga hangus menjadi abu arang yang merugikan anda semata.



-Merancang


Sebelum kaki anda memulakan langkah, pastikan ke mana arah tuju anda, jangan nanti anda tersesat di tengah jalan. Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan yang penting andalah membuat rancangan dengan sebaik-baiknya, untuk mengelak anda daripada kecewa kerana kegagalan akibat anda tidak mempunyai rancangan kerja yang teratur.



Ilmu sahaja tidak mencukupi, kepandaian sahaja tidak memadai untuk menjamin kejayaan sesuatu rancangan, andainya anda malas menyusun strategi dan membuat rancangan yang kongkrit untuk mempastikan anda meraih kejayaan.



Untuk membina rumah memerlukan rancangan atau pelan, berapa banyak peruntukan yang akan digunakan, di atas tanah mana rumah akan dibina, rumah batu atau rumah kayu, bertingkat atau tidak bertingkat, berapa banyak pintunya dan di sebelah mana, dan seterusnya, kalau pelan tidak ada bagaimana hendak mendirikan rumah?



Jangan abaikan pelan, jangka pendek dan jangka panjang, untuk memapastikan kejayaan berada bersama anda.



-Perbelanjaan


Perbelanjaan hidup anda perlu diselia kawal, disesuaikan dengan pendapatan anda setiap bulan. Jangan anda berbelanja lebih dari kemampuan anda, nanti anda akan merana kesusahan kerana tidak pandai mengurus perbelanjaan anda.



Anda hendaklah menyesuaikan keperluan dengan pendapatan anda, jangan wang keluar anda, lebih besar dari wang masuk, jangan sampai anda terpaksa melupakan akhlak dan etika, melanggar undang-undang dan agama kerana anda suka berbelanja lebih besar daripada apa yang anda miliki. Menyebabkan anda terpaksa melakukan kerja-kerja yang tidak wajar anda lakukan untuk menambah pendapatan.



Jangan terlalu boros, dan jangan pula terlalu kikir, hingga anda menjadi tangkai jering, mencari duit masuk sahaja, tapi enggan mengeluarkannya walaupun untuk sesuatu keperluan yang wajar untuk diri anda dan keluarga anda.



Jangan gajah berak besar, maka kancil pun hendak berak besar juga, nanti anda mati terkangkang, dan jangan pula jadi tangkai jering, nanti anda mati rercekek atau terbelit kerana kemasnya ikatan yang tidak wajar.



Sebaliknya berbelanjalah dengan sederhana, sejajar dengan perolehan anda, lebih-lebih lagi di zaman harga barang melambung naik dan tak pernah turun-turun ini.



-Usaha Sendiri


Anda hendaklah berusaha sendiri sedaya upaya anda untuk mengatasi segala kesulitan dan kesusahan yang anda hadapai. Bila anda ditakdirkan jatuh, maka anda bangun sendiri, atau merangkak untuk meneruskan perjuangan hingga meraih kejayaan.



Jangan mudah berputus asa atau merasa kecewa, dan enggan berusaha lagi. Dan sebaliknya jangan menunggu keluarga, saudara mara atau sahabat handai datang menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada anda, walaupun anda masih mempunyai kemampuan untuk bangkit meneruskan sisa-sisa perjuangan.



Sebenarnya tidak ada kata-kata putus asa atau kecewa dalam kamus hati orang-orang yang berjaya. Jatuh dan bangun, bangun dan jatuh, itulah asam garam kehidupan. Walaupun dunia tidak penuh dengan hamparan kapet berduri, tapi ianya bukanlah bertabur dengan bunga-bunga ros yang akan memimpin anda ke puncak kejayaan.



Tanamlah azam yang kuat dalam diri anda untuk berusaha sendiri, selagi anda mempunyai tenaga dan kekuataan yang dikurniakan Allah.



-Bergantung Kepada Diri Sendiri


Sehubungan dengan itu anda hendaklah berazam dan berusaha sendiri untuk mencapai sebarang kejayaan yang anda impi-impikan. Jangan mengharap kepada pertolongan atau bantuan daripada sesiapa pun tanpa anda berusaha sendiri.



Jangan mengharap orang menjunjung anda untuk maju, jangan mengharap orang memayungi anda dari panas dan hujan dalam arus perjuangan ini, jangan mengharap semata-mata orang mendayung untuk menongkah arus, tapi anda sendiri hendaklah menumpukan sepenuh daya dan usaha untuk mendaki puncak kejayaan yang menjadi impian setiap orang.



Kalau ada orang datang menghulur tangan, ingin membantu dengan tulus dan ikhlas, alhamdulillah, terimalah dengan dada yang lapang, kalau tidak ada, jangan kecewa dan mengeluh, teruslah mara dan mara selagi lagi anda boleh bangkit dan menapak, mengatur langkah.



Rajin dan usaha memang rempah ratus kejayaan. Allah hanya mengubah nasib seseorang, bila dia sendiri berusaha mengubahnya mengikut acuan yang telah dirancangnya dengan baik.



-Kesan Pertama


Adalah suatu kebiasaan kepada kita untuk menilai seseorang daripada pandangan pertama kita bertemu atau melihatnya, sebagaimana adanya jatuh cinta pada pandang pertama antara teruna dan dara.



Kesan pandangan pertama ini ada yang baik dan ada yang buruk, demikian juga ada yang benar, dan sebaliknya ada juga yang meleset.



Saya ada satu pengalaman berhubung dengan hal ini. Pada suatu masa saya bertemu dengan seorang ahli jemaah di sebuah masjid. Setiap kali saya bertemu dengannya, saya lihat pakaiannya memang tidak terurus, baju dan kain pelikat yang dipakainya buruk dan lusuh, dan wajahnya juga nampak comot. Setelah kira-kira sebulan lamanya kami bertemu setiap hari ketika berjemaah, saya dapati anggapan saya terhadap beliau adalah meleset sekali, kerana dia sebenarnya seorang yang termasuk dalam golongan yang hidup senang, tinggal di rumah besar, ada kereta dan sebagainya. Kenapa dia berkelakuan demikian tidaklah saya ketahui.



Oleh itu berhati-hatilah dengan pandangan pertama, dan berhati-hatilah dalam menilai kesan pertama anda terhadap orang yang pertama kali anda temui, takut nanti anggapan anda itu amat tersasul dari hakikat yang sebenarnya yang tersembunyi pada diri seseorang itu.



-Tidak Mudah Dirayu


Untuk membolehkan anda menjadi seorang yang boleh diharap dan dipercayai anda hendaklah menjadikan diri anda seorang yang kebal dengan pujuk dan rayu, tidak mudah tertelan dengan sanjung dan puji.



Hanya orang yang lemah jiwanya sahaja yang mudah terpedaya dengan pujuk dan rayu, sanjung dan puji, yang biasanya diada-adakan untuk memperdayakan anda supaya mudah mengikut atau mengalah, walaupun tindakan yang anda ambil memang benar dan wajar.



Sekali anda membuat keputusan dan anda yakin ianya tepat dan benar, maka persetankanlah segala pujuk dan rayu untuk menggoda anda supaya mengubah pendirian. Teruskanlah sikap anda itu.



-Menimbang Dengan Teliti


Anda hendaklah menimbang dengan teliti setiap cadangan atau usul dikemukakan kepada anda, walaupun ianya kelihatan atau kedengaran amat menarik sebelum anda memberi sokongan atau persetujuan.



Berhati-hati dalam perkara-perkara besar sebelum memberi persetujuan atau membuat keputusan memihak amatlah penting untuk mengelak anda daripada terjebak dalam perangkap-perangkap yang akan megheret anda ke dalam perkara-perkara yang tidak diingini atau boleh merugi dan menjatuhkan prestasi anda di mata umum.



Lebih-lebih lagi perlunya anda berhati-hati, andainya anda seorang bos di mana anak-anak buah anda sering muncul di hadapan anda dengan membawa berbagai-bagai pandangan dan cadangan yang memerlukan sokongan anda, walaupun mereka mungkin mengetahui ianya tidak benar dan tidak perlu dan tidak relevan.



-Menarik Perhatian


Ada sesetengah orang suka benar menarik perhatian orang-orang lain dengan berbagai-bagai tujuan, antaranya untuk dihormati, dikagumi dan dimuliakan oleh orang. Dan ada pula lelaki cuba menarik perhatian wanita, dan wanita pula cuba menarik perhatian lelaki dengan tujuan yang istimewa.



Untuk tujuan tersebut, mereka sanggup berlagak pandai, rajin, pemurah dan berbudi bahasa, atau berkuasa, dengan berlakon dan berlagak di luar daripada keadaan diri mereka yang sebenarnya, hingga kadang-kadang menyebabkan mereka menjadi “lebih lajak dari laju”.



Sikap ini adalah sebahagian daripada akhlak yang tidak mulia, yang patut anda jauhi, andainya anda ingin menjadi seorang manusia mulia dan bertanggung jawab serta boleh diharap dan dipercayai, bukannya seorang pengampu dan pembodek sebagaimana ramai terdapat di kalangan ahli-ahli politik untuk mengambil hati ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin mereka.



-Mengakulah


Jika anda tidak faham, atau jika anda tidak tahu,mengaku sahaja anda tidak faham atau anda tidak tahu. Jangan banyak berdolak-dalik, nanti terbuka pekung di dada anda.



Tidak ada hinanya mengaku tidak tahu kalau anda memang tidak tahu. Kenapa anda sanggup menipu orang dengan mengaku tahu sedangkan sebenarnya anda tidak tahu.



Jangan memperbodohkan diri anda sendiri, megaku tahu perkara yang anda tidak tahu, dan lebih malang lagi, andainya anda tidak tahu bahawasanya anda tidak tahu, lalu mengaku anda tahu.



Ingatlah penipu selama-lamanya tidak boleh diharap dan tidak boleh dipercayai, kerana dia telah kehilangan harga dirinya sendiri,



-Jangan Berbohong


Adalah dipercayaii ramai orang suka berbohong, tanpa mengira bangsa dan agama. Macam-macam yang mereka bohong-bohongkan, dari sekecil-kecil perkara membawa ke sebesar-besar perkara, terutama bersangkutan dengan kepentingan diri mereka sendiri.



Orang berbohong ketika menghadapi kesusahan dengan harapan untuk meraih sokongan dan bantuan orang, orang berbohong kerana melakukan kesalahan atau kesilapan untuk meraih simpati, supaya mereka tidak dipandang hina atau bodoh dan seterusnya dihukum.



Orang-orang berbohong sahaja-sahaja untuk bergelak ketawa dengan cerita-cerita yang bukan-bukan, atau dengan membuat cerita-cerita fitnah terhadap orang lain.



Walau apa sebab sekalipun dan dalam apa keadaan sekalipun, jangan berdusta, dan jika anda berbuat kesilapan, akuilah kesilapan anda, dan jangan berbohong dengan meletaknya di bahu orang lain.Ingatlah, sekali lencong keujian, selama hidup orang tak percaya lagi.



-Tak Puas hati


Anda mungkin merasa amat tidak puas hati dengan pekerjaan anda sekarang kerana sebab-sebab tertentu, mungkin pekerjaan itu tidak sesuai dengan anda kerana itu ia membebankan, mungkin kerana gajinya kecil dan tidak sepadan dengan tenaga yang anda curahkan, mungkin kerana suasana tempat kerja yang tidak memberangsangkan, kerana menghalang anda untuk beribadat dan berbagai-bagai sebab lagi.



Dalam keadaan seumpama itu apakah tindakan anda?



Andainya anda seorang yang bijaksana, sudah tentu anda berusaha keras untuk menukar pekerjaan anda, mencari pekerjaan yang sesuai dan berpatutan dengan anda. Mengambil sikap berpeluk tubuh, tidak akan membawa anda ke mana-mana, selain daripada terperap ditakuk lama yang kian hari kian membebankan anda dari segi lahir dan batinnya.



Bertindaklah! Jangan tunggu bola datang ke kaki, kerana anda bukan pemain bola di padang, tapi anda adalah bermain bola di padang kehidupan yang begitu luas dan komplikited di mana berbagai-bagai cabaran sedia menunggu anda.



-Pilih Yang Terbaik


Namun begitu dalam mencari pekerjaan baru itu, anda hendaklah berhati-hati, jangan pakai tangkap muat sahaja, kelak anda akan ditimpa nasib yang sama. Pilihlah yang lebih baik dan lebih sesuai dengan anda, orang bijaksana tidak akan terpijak sarang tedung dua kali kerana gopoh-gapah.



-Tidak Pentingkan Diri Sendiri


Di mana-mana sahaja kita pergi dalam kehidupan ini, kita akan bertemu dengan mereka yang mementingkan diri sendiri, dan tidak mengendahkan orang lain. Malah orang lain mereka persetankan belaka, asalkan mereka berada dalam keadaan yang selesa.



Inilah sikap individualistik, mementingkan diri sendiri, baik di tempat kerja atau dalam masyarakat, sikap oporcunis yang tidak disukai oleh orang ramai, yang akhirnya meneyebabkan dia tersingkir daripada orang ramai, hidup solo di tengah-tengah lautan manusia.



Jadilah seperti matahari pagi yang menyelesa dan memberi pengharapan dengan peribadi mulia yang boleh dipercayaai



Oleh itu jauhi sikap egostik, mementingkan diri sendiri, sebaliknya anda mestilah mementingkan orang lain, baik ditempat kerja atau dalam masyarakat untuk menjamin sebuah kehidupan yang dihormati dan harmoni.



Islam mengajar manusia mengutamakan orang lain, mementingkan orang lain, saudara mara, sahabat handai, rakan taulan dan jiran tetangga. Cintailah orang lain sebagaimana anda mencintai diri anda sendiri, di mana cubit peha kanan sakitnya terasa di peha kiri.



-Berhati-hati Dengan Orang Asing


Anda hendaklah bersikap hati-hati dengan orang asing atau orang yang baru anda kenali sebelum anda brsikap dengan lebih mesra kepada mereka, lebih-lebih lagi pada hari ini di mana manusia gampang merebut peluang untuk menipu dan memperdayakan orang demi kepentingan diri sendiri.



Berapa ramai mereka yang telah terpedaya dan menjadi mangsa kepada penipuan orang-orang yang jahat dengan mengambil kesempatan daripada mereka yang baru mereka kenali tapi telah memberi penuh kepercayaan kepada mereka tanpa usul pereksa.



Kerana mudah percayakan stranger itulah ada wanita-wanita dengan mudah diperkosa dan dirogol, ada orang menjadi mangsa rompak dan samun dan berbagai-bagai perkara yang tidak baik lagi, kerana mudah percayakan orang yang tidak dikenali.



Oleh itu anda hendaklah cukup berhati-hati dengan orang asing yang baru pertama anda kenali.



-Jangan Menipu


Jika anda seorang yang suka bercakap bohong, suka menipu isteri anda, atau suami anda, kekasih atau tunang anda, kerana kepentingan diri anda sendiri, berhentilah segera, kembali kepada kebenaran dan kejujuran, bercakap benarlah.



Jangan biarkan diri anda digelar penipu atau pembohong di mana anak dan isteri anda sendiri pun tidak mempercayai cakap anda. Jika sampai begitu, susah anda nanti.



Kalau lembu dipegang talinya, dan kalau manusia dipegang lidahnya. Jagalah lidah anda, jangan biarkan lidah anda dikotori oleh karat-karat pembohongan.



-Pentingnya Persahabatan


Anda mungkin pernah bercinta dan masih dalam percintaan dengan kekasih, tunang ataupun isteri dan suami anda. Anda tidak boleh memandang enteng terhadap cinta, dan demikian juga anda tidak boleh memandang enteng jalinan persahabatan.



Kedua-duanya merupakan elemen penting dalam kehidupan ini, cinta dan persahabatan, kedua-duanya hendaklah sentiasa dipupuk supaya hidup dan subur sepanjang masa.



Cinta mengikat hati dan jiwa, sementara persahabatan mengikat perasaan dan hati. Kedua-duanya menjadi baja menyuburkan kehidupan.



-Berbincang


Jika berbangkit sesuatu perkara antara anda dengan seseorang, anda hendaklah segera mengambil tindakan yang bijaksana dengan menemui dan berbincang dengan orang yang terlibat untuk menyelesaikan punca-punca yang menjadi masalah tersebut.



Makin cepat anda menyelesaikannya makin baik, dan anda tidak wajar membiarkannya berlalu begitu sahaja dan mengharap ia selesai dengan sendirinya, kerana dibimbangi keadaan akan menjadi bertambah buruk dan bertambah sukar untuk mencari titik pertemuan.



Dan bertindaklah dengan berhemah, dan jangan mengambil masa yang panjang untuk bertindak ke atas perkara yang boleh segera diselesasikan.



Demikianlah di antara sikap orang-orang yang boleh dipercayai dan boleh diharapi. Dan jika pada diri anda terdapat segala elemen-elemen tersebut, maka bererti anda termasuk dalam kategori manusia yang boleh diharap dan dipercayai. Bersyukurlah. Kalau tidak, perbaikilah diri anda dalam usaha untuk menjadi manusia mulia dan terpuji dalam pembentukan iman dan takwa.



xxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP