Pulau Pandan Jauh Ke tengah, Gunung Daik Bercabang Tiga
>> Wednesday, November 23, 2011
ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG
PULAU PANDAN JAUH KE TENGAH, GUNUNG DAIK BERCABANG TIGA
Orang yang bersilaturahim dan mahabah itu, umurnya panjang.
Kenapa tidak?
Selepas dia meninggal dunia pun, dia masih diingati dan namanya masih menjadi sebutan.
Dan dia tetap hidup dalam kenangan, baunya semerbak mewangi, dan akan terasa kekurangan kerana ketiadaannya dalam sesuatu majlis, walaupun dia telah tiada.
Namanya masih meniti di bibir-bibir yang mengenalinya walaupun jasadnya di kubur telah hancur dan lebur.
Itulah tersurat di puisi lama:
“Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga”.
Untuk Bonda
Seorang sahabat baik Allayarahmah isteri saya, Asiah Yaacob, ketika itu mereka baru berkenalan, menulis sepucuk surat pendek kepadanya. Surat itu ada dalam tangan saya sekarang dan saya sedang membacanya.
Surat itu daripada sahabatnya yang membahasakan dirinya “Yah”, bertarikh 13 Januari 2004, dan memanggil isteri saya sebagai “Bonda” dalam surat itu.Semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya.
Begini bunyinya warkah itu:
“13 Jan 2004
“Dari hilir ke hulu saya mencari, meredah hutan belantara. Bertahun-tahun lamanya. Bersyukur, Dia tunaikan impian kita. Syukur yang tidak terhingga! Dalam seribu, untuk mendapat satu pun susah orang yang sampai pada hakikat yang sebenarnya, Dari Dia yang satu, balik kepada “Dia”. Dan “Dia” pertemukan kita, saya, umi dan Abang.
“Di sana kita setiap saat berjumpa, bersatu bersama, tapi di sini, jasad dengan jasad ada jua rindunya, rindu cinta kasih yang sejati. – Dari “Dia” kepada “Dia” yang tidak berbelah bagi-sebagai seorang hamba. Semoga kekal selama-lamanya; tiada lagi antara!
Maha Suci Dia!”.
Cinta kasih
Tanda tangan “Yah”.
Di sebelah belakang surah itu bertulis “Kepada Mak Cik Yah”.
Saya tidak tahu apa sebenarnya yang dibincangkan oleh mereka berdua yang mendorong”Yah” itu menulis surat tersebut kepada Mak Cik Yah.
Selepas itu hubungan mereka berjalin dalam suasana yang baik hingga ke akhir hayat.
Wajahnya Terbayang-bayang
Pagi kelmarin ketika saya sedang mengemas-ngemas Pondok Rahmat, tiba-tiba handfon saya memanggil. Saya lihat nama adik bongsu saya, “Su” terpapar pada skrinnya. Di hujung sana kedengaran adik saya “Su” memberi salam.
Dalam perbualan singkat itu antara perkara yang dibangkitkan ialah tentang puterinya yang nama timang-timangannya “Adik” yang sedang menuntut di Mesir akan menghadapi peperiksaan pada hari itu, kira-kira jam 5.00 petang waktu Malaysia, dan meminta kami mendoakan untuknya.
Di samping itu, dia juga katanya sejak pagi tadi dan sampai ke saat dia menelefon itu masih teringat-ingatkan “Kak Yah”, arwah isteri saya dengan bayangan wajahnya tergambar-gambar di hadapan matanya.
Katanya, “Ayah Su”, suaminya menasihatkanya supaya berdoa kepada Allah untuk Kak Yah.
Semoga Allah mengampuninya dan melimpah rahmatNya dan meletakkannya di tempat yang mulia di sisiNya. Amin.
Wan Datang Jengok
Tiga hari menjelang Hari Raya Aidiladha baru-baru ini saya masih lagi berada di rumah anak sulung saya, “Ayah Long” di Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor. Pagi itu ketika saya berada di dalam bilik mengetok komputer riba, tiba-tiba cucu sulung saya, “Along” muncul dari pintu kamar.
“Atok”, katanya, “atok tau tak……….?”..
“Ada apa?”, Tanya saya, mendongak memandang mukanya.
“Atok, semalam Wan datang”. Wan itu ialah neneknya, iaitu isteri saya Allahyarhman Asiah Yaacob.
“Yakah?”, Tanya saya, faham yang dimaksudnya itu ialah datang dalam mimpinya.
“Ya, Wan datanglah ‘atok”, jelasnya lagi.
“Dia tak kata apa-apa” katanya, “Wan datang hanya untuk menengok ‘atok”.
“Yakah!”, kata saya, “Alhamdulillah, along tak beritahukah atok ada sedikit urusan di sini?”.
“Tidak. Wan datang hanya hendak tengok atok sahaja”, jelas Along lagi. Itulah antara berbagai-bagai mimpi yang pernah dialaminya sejak kematian Wannya kira-kira dua tahun yang lalu.
-----No empat dari sebelah kanan ialah "Su" dan hujung sekali di sebelah kiri ialah "Wan".
Saya sudah beberapa hari berada di sana untuk menyelesaikan tanggungjawab peribadi saya dan selepas itu balik beraya bersama keluarga di Kota Bharu.
Bila Wan Hendak Balik
Beberapa hari selepas Hari Raya Aidiladha berlalu ada suatu peristiwa menyentuh hati saya telah berlaku. Tengah hari itu saya baru sahaja lepas solat Zohor. Selepas memberi salam kanan dan kiri saya terpandang cucu perempuan saya yang berusia belum sampai lima tahun semacam termenung jauh’................... Bila melihat saya selesai solat, dia bangun dari duduknya dan melangkah beberapa langkah dan terus duduk di atas riba saya di atas sejadah.
“Ada apa ni?”, Tanya saya sambil membelai-belai rambutnya yang kian melebat di kepala itu.
“Atok…..”, katanya.
“Ya ada apa?.” Tanya saya.
“Atok bilakah Wan nak balik?”, dia spontan bertanya.
Saya pura-pura tidak mendengar kata-katanya, dan tidak menjawabnya. Tapi hati saya di dalam mulai tersentuh oleh keharuan.
“Lamanya Wan pergi, tak balik-balik lagi atok”, katanya, “bila Wan nak balik atok?”. Dia mengulangi pertanyaan.
“Wan dah matikan”, kata saya.
“Ya Wan dah mati”, katanya, “tapi kenapa lama sangat Wan pergi?. Bila Wan nak balik atok?’.
Hati saya bertambah sebak, leher terasa tercekek. Apa hendak saya jelaskan kepada anak sebesar itu?
“Wan ada dengan Tuhan ya tok. Tuhan sayang kat dialah tu, ya atok, sebab tu Tuhan tak bagi dia balik”.
“Ya, ya”, kata saya, “Tuhan sayang kat Wan. Doalah selalu untuk Wan”. Kata saya.
“Atok selalu doa kat Wankah?”, Tanya anak kecil itu lagi.
“Ya, atok selalu doakan Wan”, jawab saya, air mata terasa mulai mendesak, tapi saya tahan dengan dada yang sebak.
Demikianlah sedikit coretan sebagai renungan.
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni
0 comments:
Post a Comment