Aidiladha Menjana Perjuangan

>> Monday, November 7, 2011




AIDILADHA MENJANA PERJUANGAN




Aidiladha atau Hari Raya Korban adalah salah satu daripada dua hari raya dalam Islam, iaitu dirayakan setiap tahun selepas daripada menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa.



Pernahkah kita berfikir apakah kesan-kesan yang kita perolehi selepas kita merayakan Aidiladha setiap tahun itu, selain daripada makan minum, berkorban haiwan, bermaafan dan ziarah menziarahi saudara mara dan sahabat handai?



Kewajipan Berjuang


Adakah pernah terlintas di hati kita, ketika merayakan Aidiladha itu bahawa telah menjadi kewajipan kepada kita untuk berjuang dan menegakkan kebenaran, dan berkorban demi untuk menegakkan kebenaran Islam dan mempertahankannya daripada dipermain-mainkan, dipersenda-sendakan apalagi didagangkan.




Gambar Kaabah Dari Dalam. Hiasan Kulit Teks Khutbah Aidiladaha MAIK



Dan kita juga wajib berkorban hingga ketitisan darah terakhir, tanpa sedikit merasa ragu-ragu, kerana kebenaran Islam adalah milik Allah?



Sebagaimana ditegaskan dalam khutbah Aidiladha, Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang diedarkan untuk bacaan di seluruh masjid-masjid di negeri Kelantan pada tahun ini?

------------------------------------Khatib sedang membaca khutbah



Allah berfirman, “Kebenaran itu adalah datangnya daripada Tuhanmu, oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam kalangan orang-orang yang ragu-ragu”.



Dalam merayakan Aidiladha, kata khutbah tersebut, bererti perjuangan kita telah memasuki tahap yang lebih mencabar, iaitu dengan mengorbankan kesenagnan diri, keselesaan hidup, serta kita terpaksa meninggalkan keluarga tercinta, kampung halaman dan tanah air untuk berangkat menunaikan ibadat Haji di Mekah.



Tegasnya menunaikan ibadat Haji adalah satu pengorbanan yang melibatkan diri, perasaan, harta, benda, tenaga dan jiwa raga, dan semuanya dilakukan dengan tujuan untuk meningkatkan mutu kerohanian kita.



Perjumpaan Raksaksa


Dalam merayakan Aidiladha ini, Khutbah MAIK itu menyeru kita supaya mengenang kembali beberapa perisitwa penting, peristiwa besar yang berlaku yang menggambarkan tentang keagungan dan kebesaran Islam, sekali gus menunjukkan kesatuan dan perpaduan umat Islam.



Pertama, perhimpunan berjuta-juta umat Islam, di Mekah Al-Mukaramah, lelaki dan perempuan, tua dan muda yang datang dari segenap pelosok dunia, dengan menempoh berbagai-bagai rintangan dan halangan, dengan penuh kesabaran dan ikhlas semata-mata mengharapkan keredaan Allah S.W.T.



Mereka berkumpul di Padang Arafah, bermalam di Mina, sebagai perhimpunan raksaksa. Ini adalah peristiwa atau agenda besar yang diharap dapat memberi kesan dan pengaruh ke dalam diri, dalam jiwa, dalam masyarakat Islam.



Katanya dari peristiwa besar ini setiap orang Islam perlu merasakan keperluan menyedari dan berkewajipan secara agama untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kesatuan, kerana perpaduan merupakan satu aspek yang sangat penting dalam menentukan jatuh bangun masyarakat dan umat dalam sesebuah negara.



Islam bukan sahaja mementingkan wujudnya perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dan umat, malah mewajibkan setiap orang Islam berusaha dan mengatur langkah bagi mengekalkan perpaduan serta keharmonian supaya tidak hilang. Kerana bila hilang perpaduan, maka hilanglah kekuatan dan kewibawaan umat dan Islam itu sendiri.



Allah berfirman, “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak niscaya kamu menjadi lemah dan hilang kekuataan dan kewibawaan kamu, dan sabarlah sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”. Al-Anfal:56.



Hapus Perbezaan


Pengaruh ibadat Haji hendaknya dapat menghapuskan perbezaan yang wujud disebabkan tahap ukuran ekonomi yang berbeza. Justeru janganlah orang-orang kaya memandang rendah, hina terhadap orang-orang miskin dengan bertindeak sewenang-wenangnya terhadap mereka.



Dalam hal ini, para pemimpin yang diamanahkan memegang kuasa pula, janganlah bertindak melakukan penindasan dengan merampas hak-hak rakyat yang tidak mampu dan berdaya. Para majikan atau pengarah, janganlah memperlakukan ke atas pekerja bawahan, buruh kasar, warga kerja sebagai hamba suruhan, diarah bekerja melebihi batas dan diberi bebanan tugas di luar perikemanusiaan, sedangkan upah yang diberi tidak sepadan dengan kerja.



Para ilmuan janganlah memperlekeh dan menganggap rendah mereka yang tidak banyak ilmu, mereka yang dianggap bodoh apa lagi cuba memperbodohkan orang lain. Ilmu yang dimiliki bukan untuk dimegah-megahkan, tapi ilmu itu dikurniakan Allah untuk mengabdikan diri kepadaNya, untuk mempertabatkan agama, bangsa dan negara. Ilmu bukan untuk mengharapkan kedudukan, kemasyuran dan keuntugan peribadi dalam masyarakat.



Ingatlah tujuan hidup lebih penting daripada alat untuk hidup. Darjat kita di sisi Allah adalah sifat ketakwaan kita,hati kita yang bersih, dan amal kita yang salih.



Allah berfirman, “ Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenalan mesra. Sesungguhnya semulia-milia kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang lebih takwanya di antara kamu, sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuanNya”. Al-Hujrat: 13



Rasulullah S.A.W. bersabda,”Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk tubuh badan kamu dan tidak juga rupa paras kamu, tetapi Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu”.



Hilang Perbalahan


Khutbah itu menegaskan, kesan dan pengaruh ibadat Haji sekiranya benar-benar meresap dalam diri dan jiwa, maka sudah tentu dapat menghilangkan perbalahan dan permusuhan disebabkan oleh wujudnya perbezaan aliran pemikiran dan pendekatan. Kepelbagian aliran pemikiran sepatutnya dapat menjadi nikmat, dapat memberi manfaat besar terhadap umat Islam, bukan mudarat kecelakaan, sebagaimana telah terbukti banyaknya yayasan Islam atau institusi Islam yang telah bBerjaya menyumbangkan kepada kebaikan, membawa kemaslihatan kepada kemajuan umat, bukan sebaliknya untuk meruntuhkan umat, menghancurkan bangsa dan memusnahkan negara.



Kesan dan pengaruh ibadat Haji dapat menghilangkan perilaku kotor yang ditimbulkan, yang ditunjukkan oleh wujudnya perbezaan, aliran pemikiran dan pendapat untuk mendapat kuasa, mencari pengaruh hingga sanggup menghalalkan apa sahaja cara, perilaku yang sanggup menyinggung hati orang lain dengan kata-kata keji, caci maki, umpatan. Perilaku sanggup menipu, menabur fitnah, hingga menyebabkan orang-orang Islam menanggung kerugian, dan memusnahkan perpaduan umat, menghilangkan kewibawaan dan kekuatan bangsa dan negara.



Berkorban


Peristiwa besar yang kedua dalam sambutan Aidiladha adalah penyembelihan haiwan. Kita sedia maklum disyariatkan penyembelihan korban pada Hari Raya Haji adalah untuk mengenang kembali peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Ismail a.s.



Kata Khutbah MAIK . Peristiwa besar ini adalah satu gambaran pendirian sikap yang agung dan unik dalam sejarah hidup umat manusia seluruhnya.



Peristiwa agung ini dipaparkan di hadapan kita untuk dijadikan contoh tauladan yang cukup menarik.



Nabi Ibrahim a.s dan puteranya Ismail a.s menerima satu perintah daripada Allah. Ia bukan perintah supaya si ayah mengirim anakandanya yang tunggal itu ke medan peperangan. Ia bukan perintah supaya anakandanya menamatkan riwayat hidupnya, tapi perintah supaya si ayah sendiri menamatkan riwayat hidup anakandanya itu melalui sembelihan dilakukan oleh tangannya sendiri.



Dalam peristiwa ini, kita dapat merasakan betapa luhurnya ketaatan, agungnya keimanan, tenteramnya hati, redanya perasaan begitu tinggi mengatasi darjah yang biasa dicapai oleh manusia.



Nabi Ibrahim a.s melaksanakan perintah Allah dengan merebahkan anakandanya untuk disembelih. Manakala Ismail pula reda menerima dan berserah untuk disembelih. Nabi Ibrahim dan anakandanya Ismail menyerah diri bulat-bulat kepada takdir Allah. Inilah yang dikatakan Islam, inilah hakikat Islam, iaitu percaya, yakin, patuh, taat, tenang, reda menyerah diri kepada Allah. Inilah perasaan yang dihayati di dalam hati mereka berdua.



Perasaan yang diterjemahkan, yang dicetuskan daripada keimanan yang agung, keimanan yang kuat. Inilah tabiat sebenar akidah Islamiah, iaitu menyerah kepada takdir Allah dengan penuh kepatuhan, kerelaan, kepercayaan dengan menjunjung tinggi perintah Allah tanpa dolak dalik, tanpa mempersoalkan mengapa dan kenapa.



Bangunan MAIK waktu malam



Tegasnya, inilah pengorbanan yang dituntut untuk kita laksanakan di zaman ini bukan sahaja terbatas setakat sembelihan haiwan korban setahun sekali, tapi perlu difahami secara yang lebih menyeluruh. Semangat berkorban ditujukan, diperuntukkan bukan sahaja di bidang sosial, malah di bidang-bidang lain, seperti bidang pembangunan, untuk pembangunan tempat-tempat ibadat, masjid-masjid, pondok-pondok pengajian, hospital, tempat pendidikan, seperti sekolah-sekolah, perpustakaan awam, perbelanjaan kepada pelajar-pelajar bagi memasuki pusat-pusat pengjaian tinggi dan sebagainya.



Lantaran itu, bagi mereka yang diberikan kelapangan rezeki adalah berkewajipan untuk berkorban apa sahaja bagi membantu saudara-sudara kita yang dilanda kesusahan, kekurangan kewangan, persoalan ekonomi dan sebagainya.



Ingatlah kita semua bahawa sekarang kita sedang menerima ujian daripada Allah S.W.T. Bagi mereka yang menderita, melarat, hidup dalam serba kekurangan, sedang diuji tahap kesabaran dan keimanan mereka. Bagi mereka yang kaya berada, sedang diuji kedermawan, kemurahan, keimanan dan kesungguhannya dalam membela agama, bangsa dan negara. Bagi mereka yang memegang tampuk kepimpinan pula, mereka sedang diuji keadilan, kebijaksanaan dan kejujuran. Semua kita diuji untuk menilai keimanan dan keIslaman kita jujur atau kepura-puraan.



Khutbah MAIK itu menyeru kita supaya ingat bahawa setiap orang daripada kita perlu menyedari betapa besar tuntutan untuk berkorban. Sekecil mana pengorbanan kita, atau sedikit mana harta yang kita korbankan, pengorbanan kita mempunyai nilai yang besar bagi mengatasi problem umat, membaiki dan mempertingkatkan kualiti umat.



Allah befirman, “Pergilah beramai-ramai [untuk berjuang kepada jalan Allah] samada dalam keadaan ringan atau pun dalam keadaan berat dan berjihadlah dengan harta dan jiwa raga kamu pada jalan Allah [untuk membela Islam], yang demikian, adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui”.At-Taubah: 51.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Ramat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP