Nostalgia Banjir Di kampung

>> Saturday, November 26, 2011




NOSTALGIA BANJIR DI KAMPUNG




Bagi kebanyakan penduduk yang tinggal di kawasan Pantai Timur, khususnya negeri Kelantan tidak merasa pelik dan merasa gentar bila mendapat amaran mereka akan dilanda banjir, kerana sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, negeri mereka setiap tahun dilimpahi banjir. Ia bukan sahaja menimpa penduduk-penduduk kampung-kampung di pinggir sungai, atau di pesisir pantai, malah penduduk-penduduk bandar-bandar, seperti Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh dan Rantau Panjang setiap tahun digenangi air banjir.



Bila banjir mengganas beginilah jadinya. Foto dari ArkibPR



Malah penduduk-penduduk di sekitar Kota Bharu, terutama golongan mudanya, teruna dan dara, kemunculan banjir itu disambut dengan gembira. Mereka keluar beramai-ramai mengharung bermain air banjir, kadang-kadang dengan pakaian yang agak istimewa. Air separas lutut itu biasa sahaja mereka harungi untuk berseronok. Tidak jarang pula dari pesta bermain banjir, membawa teruna dan dara ke jinjang pelamin.



Kami sekeluarga pernah tinggal bertahun-tahun di kawasan lubuk banjir di dalam Bandar Kota Bharu. Kami tinggal di sebuah rumah di Kg.Paya Purnama yang letaknya berhampiran dengan perumahan Wakaf Mek Zainab dan di hujung Lurung Cik Mat Baba, Kg. Merbau, Kota Bharu yang setiap tahun ditenggelami banjir. Kadang-kadang dua atau tiga kali setahun.



Kampung Paya Purnama ini ialah kawasan perumahan yang terletak bersebelahan dengan sebuah sekolah Cina, dan nama Kampung Paya Purnama tersebut diberikan oleh Allahyarham [Dato’] Ustaz Yusuf Zaky Yaacob bila beliau dan keluarga berpindah dan menetap di situ. Paya itu dirujukan kepada air yang setiap tahun menenggelam kawasan perumahan itu dalam musim tengkujuh.



Sampai ke hari ini pun kawasan perumahan Kg. Paya Purnama itu dan kawasan sekitarnya ditenggelami banjir, terutama bila parit besar yang memanjang di sisi kampung itu melimpahkan airnya sewaktu hujan lebat.



Bila air mulai melimpah, kami akan mengemas segala barang-barang dan alat-alat perkakas rumah, terutama barang-barang elektrik dengan meletakkanya di atas meja atau katil yang dilapitkan supaya lebih tinggi, biasanya dengan menggunakan batu bata, untuk menyelamatkannya dari ditenggelami air. Keluarga saya pula akan berpindah ke rumah [Dato’] Yusuf Zaky Yaacob, rumah besar dua tingkat yang letaknya bersebelahan, sementara saya tetap tinggal di rumah untuk menjaga keselamatan barang-barang pada waktu malam.



Sebelum itu ketika masih bujang saya pernah tinggal dikawasan banjir di Kubang Pasu. Rumah kecil sebilik tapi tinggi, memang sengahaja dibuat untuk terlepas dari paras banjir yang berkunjung setiap tahun. Saya tidak lama tinggal di situ.



Pandangan biasa di musim banjir



Sekitar tahun 1970an berlaku banjir besar di seluruh Kelantan. Pada waktu itulah saya tinggal di rumah tersebut. Hari itu air naik dengan cepatnya dan saya masih berada di rumah. Setelah menunggu sampai ke waktu lewat tengah hari, air bukan sahaja tidak surut, malah kian naik, maka kerana itu saya terpaksa membuat keputusan untuk berpindah. Saya tidak mempunyai bekalan makanan, dan tidak pula mengetahui bila banjir akan surut, kerana itu saya membuat keputusan untuk berpindah.



Saya bungkus beberapa helai pakaian, termasuk kain pelikat dan towel dalam sebuah beg plastik, lalu saya pun turun dari rumah untuk mengharung air. Air di atas jalan Kota Bharu ke Pantai Cahaya Bulan kedalamannya sampai ke leher saya. Dengan menjujung bungkusan pakaian tersebut saya mengharung air yang dalam itu menuju ke pejabat saya yang terletak di tingkat atas Bangunan UMNO, Jalan Tengku Cik, sementara di bawahnya terletak kilang percekatan Syarikat DIAN yang terpaksa ditutup selama beberapa minggu kerana ditenggelami air banjir separah peha.



Nasib baik di sebelah pejabat kami itu terletak pejabat Utusan Melayu, di mana wartawannya Allahyaham Ustaz Raffie Hj. Taib dan keluarganya tinggal di situ. Ada seorang lagi kawan sekerja Hashim tinggal bersama saya di pejabat kami ketika banjir itu. Untuk selama beberapa hari Kota Bharu dilanda banjir kami makan dan minum di rumah Ustaz Raffie dan isterinya [Kak Wan] ibu kepada Allahyarham wartawan Sirajudin Raffie.



Saya terkenang semasa tinggal di kampung dahulu, Kg. Kedai Salor, bila tiba musim tengkujuh dan banjir melanda kami kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa di sungai. Bukan untuk bermain air, tapi mencari kayu-kayu yang hanyut dibawa arus untuk dijadikan kayu api. Biasanya kayu-kayu itu hanyut bersama sampah saraf yang kami panggil “kaparan”. Di dalam kaparan biasanya selain daripada sampah sarap, banyak mengandungi ranting-ranting dan batang-batang kayu yang boleh dijadikan kayu api.



Bila ternampak kaparan, kami pun bersedia untuk terjun dan berenang melawan arus sungai deras itu untuk mendekati kaparan itu dan memilih mana-mana kayu yang boleh digunakan untuk dijadikan kayu api. Kami terpaksa cepat bertindak, kalau tidak kami akan hanyut dibawa arus sungai yang deras itu melepasi daripada tempat kami berkumpul, dan terpaksa mendarat jauh ke hilir. Maka kerana itu terpaksa memikul kayu-kayu itu ikut jalan darat di tepi tebing jika air sungai dalam dan deras.

---------------------------------Di sekitar rumah telah ditenggelami air



Biasanya dalam kaparan-kaparan yang hanyut itu terdapat binatang-binatang merbahaya seperti lipan api, jengking dan kala yang bergayut pada kayu-kayu yang terapung untuk menyelamatkan diri dari tenggelam. Tapi yang paling ditakuti oleh kami ialah ular bisa yang ada dalam kaparan itu, tapi sepanjang saya melakukan kerja tersebut, saya tidak pernah berjumpa ular dalam kaparan, tapi lipan-lipan dan kala jengking biasalah. Oleh itu untuk mengelak ancaman-ancaman bahaya tersebut kami terpaksa lebih berhati-hati.



Pada masa itu tidak ada dapur gas, dapur minyak tanah pun masih payah, maka kayu apilah yang digunakan oleh penduduk kampung untuk tujuan memasak.



Kayu-kayu yang dipungut itu dikumpulkan setempat untuk dipikul bawa balik ke rumah, kemudian dijemur di bawah panas mata hari dan bila kering barulah boleh digunakan. Dan bila kayu-kayu itu agak besar atau panjang terpaksa dibelah atau dikerat terlebih dahulu supaya mudah digunakan untuk memasak.



Tapi bertahun-tahun kemudian kayu-kayu dan kaparan yang hanyut sudah tidak ada lagi menghilir di sungai ketika banjir kerana itu terhentilah kerja kami memungut kayu dalam musim banjir.



Alhamdulillah, walaupun bertarung nyawa mencari kayu dalam arus sungai yang begitu derasnya, tidak sesiapa pun dari kalangan kami ditimpa kemalangan lemas atau dihanyut oleh air banjir.



Kadang-kadang kalau kami terlalu kesejukan untuk berenang, kami akan membuat sejenis alat untuk mengait kayu-kayu yang hanyut itu. Kami cari ranting-ranting atau julai-julai kayu yang bercabang tiga, atau kalau tidak ada kami buat sendiri cabang tiganya seperti sebuah sauh kapal, mengikatnya dengan tali panjang di hujung tangkainya yang kami panggil “campak kait”. Bila ada kayu hanyut di hadapan kami yang sedia berdiri di tepi tebing sungai, kami akan balingkan “camak kait” itu ke arahnya, dan bila kena dan tersangkut kami pun menariknya ke tepi ke arah kami untuk dipungut. Cara ini sebenarnya jauh lebih selamat daripada berenang dalam arus sungai yang begitu lajunya.



Suatu pagi dalam musim banjir. Mata hari pun tak berani muncul



Kadang-kadang pada waktu malam dalam musim banjir itu, kami akan gunakan pengaut yang diperbuat dari kain yang jarang untuk mengauk udang baring, iaitu sejenis udang yang halus yang ketika musim hujan boleh didapati di jual di pasar-pasar sampai ke hari ini.



Masalah yang sering dihadapai oleh penduduk-penduduk kampung dalam musim tengkujuh pada masa itu ialah kaki mereka akan “dimakan air” yang dipanggil “kaki makan di air”. Oleh sebab jalan-jalan pada masa itu, tidak seperti sekarang. bertanah dan berselut, maka cepat benarlah celah-celah jari kaki kami menjadi pecah-pecah dan berair. Keadaan kulit kaki terkoyak, luka-luka, gatal dan pedih kesakitan. Kalau digaru makinlah menjadi-jadinya.



“Kaki makan di air” ini dirawat secara simpel sahaja. Sebelum tidur pada waktu malam, tempat sakit itu akan disapu dengan gambir yang dicampur kapur sirih dan sedikit air, menjadikanya semacam adunan yang pekat. Tapi bila disapu pada tempat di celah jari yang bermasalah itu rasanya pedih sekali sekali. Kemudian untuk mempercepat ia kering dan sembuh lukanya, bahagian kaki tersebut didian atau dipanaskan kan kepada api pelita minyak tanah, yang dipanggil pelita catak. Lepas itu sakit dan gatalnya akan hilang, dan bolehlah tidur dengan nyenyak hingga ke pagi untuk mengulangi perkara yang sama melapah air berselut keesokan harinya.



Bila air sungai melimpah, kawasan-kawasan perlembahan di tepi sungai akan ditenggelami oleh air, banjir. Tapi rumah kami yang terlletak di Kampung Kedai Salur itu dan juga beberapa buah berhampiran tidak pernah dinaiki banjir walapun kebanyakan kampung di sekeliling kami ditenggelami air. Begitu dahulu, dan demikian jugalah sekarang, walau kawasan arah ke darat, termasuk jalan-jalan rayanya ditenggelami banji, tapi kawasan rumah kami tidak juga dinaiki air, kerana ia terletak di kawasan tanah tinggi.



Namun begitu kami tidak pernah minta banjir dan tidak pernah berniat untuk berpesta banjir, kerana bila air sungai memenuhi, kerja kami hanya mencari kayu api pada kaparan yang hanyut. Kami sedar setiap kali berlaku banjir banyak kerosakan dan kerugian yang ditimpakanya.



Jika berlaku banjir banyak harta benda akan rosak, tanaman-tanaman akan binasa, seperti padi-padi di sawah, sayur-mayur di ladang, harta-benda yang tidak sempat diselamatkan akan rosak bila banjir melanda.



Harta-harta awam, seperti jalan akan mengalami keroskan, dan ada pula jambatan yang mungkin runtuh kerana dilanda arus banjir yang deras.



Ramai pula dari mereka yang tinggal di tempat-tempat yang merbahaya terpaksa berpindah atau dipindahkan untuk menyelamatkan mereka dari ancaman banjir



Pergerakan penduduk di kawasan banjir menjadi terbatas, kerana mereka tidak dapat melakukan kerja atau tidak dapat pergi kerja kerana terhalang oleh banjir. Sekolah-sekolah juga tepaksa ditutup.



Malah sejak tahun-tahun ke belakangan ini pula, setiap kali berlaku banjir, ada pula mereka yang terkorban, terutama kanak-kanak dan anak-anak muda yang mati lemas. Ini biasanya berlaku kerana kita menjadikan banjir itu sebagai pesta main air hingga nyawa pun tergadai akibat kecuaian.



Pondok Rahmat digenangi air



Oleh itu marilah kita berdoa supaya negeri kita dan negara kita seluruhnya tidak dilanda banjir, bukan sahaja untuk tahun ini, tapi juga untuk tahun-tahun berikutnya.



Seruan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya rakyat berdoa kepada Allah semoga mereka dilindungi oleh Allah dari segala mala petaka termasuk banjir patut diterima baik oleh semua pihak.



Katanya doa umat Islam akan bertembung dengan bala atau hujan dari langit. Katanya, “Andainya doa kuat, akan terselamat manusia dan begiutlah sebaliknya. Apa yang pasti kita perlu berdoa semoga kita, dan anggota keluarga kita khususnya anak-anak kecil terselamat dari segala bala yang tidak diingini”.



Beliau juga mengingatkan seluruh rakyat supaya tidak menjadikan banjir sebagai suatu pesta sebagaimana biasa menjadi amalan, kerana banjir boleh menjadi ancaman kepada diri sendiri. Justeru itu sikap berpesta dalam banjir hendaklah diubah kerana ia mengancam keselamatan diri dan keluarga.



Harapanya, “Moga kita tidak lagi mendengar kematian ekoran kecuaian kita sendiri menangani perkara ini”.



Salah satu kecuaian kita ialah merelakan anak-anak bermain air banjir, berperahu-perahu, berakit-rakit, berenang-renang, bermain-main baling-baling bola yang akhirnya membawa padah, tenggelam dan hanyut dibawa air. Kalau sudah berlaku petaka, menyesal tak sudah.



Saya terkenangkan arwah isteri saya, Asiah Yaacob, semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya, yang sangat suka bermain air, baik air laut, air sungai, air terjun dan di kolam-kolam renang. Justeru itu kami sering berihat di kawasan seumpama itu. Kalau menginap di hotel, seboleh-bolehnya kami cari yang ada kolam renang. Kalau kami pergi ke KL, dan andainya ada kesempatan, beliau akan membawa dan menemani cucu-cucunya bermain air di KLCC. Kali terakhir kami mandi ialah di air terjun Lata Rek, Kuala Krai.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP