Sangka Mara Dan Sangka Ria

>> Tuesday, November 29, 2011




SANGKA MARA DAN SANGKA RIA




Beberapa orang lelaki sedang mengelilingi sebuah meja di sebuah restoran di tepi pantai. Senja sedang berlabuh. Bola mata hari sedang berengsot-engsot terbenam di kaki langit petang yang tenang. Ombak-ombak kecil berkejaran menyapu gigi pasir yang bersih. Ketenangan petang mendamaikan.



Salah seorang daripada mereka kedengaran berkata, “Alangkah indahnya petang ini. Udara nyaman berhembus, terasa segar badanku. Lihat nun di sana, alangkah indahnya mata hari yang sedang terbenam di kaki langit”.



Seorang lagi pula kedengaran berkata, “Subhanallah. Maha Suci Allah! Alangkah indahnya panaroma senja yang tenang menyejuk hati dan jiwa petang ini. Lihat di sana, daun-daun kelapa meliuk-lintuk dan daun-daun ru yang menari tenang di bawah langit senja yang begini indahnya”.

Apa yang anda nampak pada panaroma di atas, mungkin berbeza dengan apa orang lain nampak.Foto dari Arkib: PR



Yang seorang lagi pula bangkit dari kerusi sambil membelai dadanya berkata, “Pandangan yang sungguh indah. Mata hari terbenam di kaki langit senja dan dada langit yang ditaburi awam-gemawan yang bertatah dengan warna-warni sebagai tabir malam. Sekejap lagi akan muncul sang rang bulan dengan cahaya yang lembut gemulai memandikan panaroma yang indah ini”.



Dan seorang lagi pula yang kelihatan hanyut dalam kenangan, kedengaran berkata dengan suara perlahan, dan hiba,”Wahai Allah yang Maha Pemurah. Sungguh indah petang ini….alangkah bahagianya, jika kekasihku berada bersamaku di sini menikmati panaroma alamMu yang begitu menggetarkan perasaan dan hatiku…..Terasa rindunya aku…”.



Demikianlah pandangan empat hamba Allah yang berada di tempat yang sama di tepi sebuah pantai dalam waktu senja ketika mata hari sedang merangkak turu ke kamar peraduannya. Masing-masing mereka meluahkan perasaan hati masing-masing yang berbeza walau pun berada dalam suasana, situwasi dan di tempat yang sama.



Setiap orang dari mereka mempunyai tangkapan sendiri, kenangan sendiri dan pendapat yang tersendiri dari sudut kepentingan diri masing-masing dalam perkara yang serupa.



Pandangan dan sikap seseorang terhadap sesuatu secara umumnya terbahagi dua, iaitu yang bersifat positif dan satu lagi bersifat negatif, pandangan yang bersifat sangka ria dan bersifat sangka mara, atau pandangan yang baik dan pandangan yang buruk, optimis dan pismis.



Anda tentu tidak lupa dengan sikap dua orang yang dihidangkan dengan dua gelas yang berisi minuman. Gelasnya berisi minuman yang sama, dari jenama yang sama, besar gelas pun sama dan kandungan pun sama banyaknya, serta dibancuh dan dihidang oleh orang yang sama dari satu tekoh sahaja.



Ketika ditanya kepada kedua-duanya tentang minuman yang dihidangkan kepada mereka itu, jawapan yang diterima mungkin berbeza walaupun kedua-dua hidangan mereka sma belaka, kecuali gelasnya dua biji.



Salah seorang dari mereka antara lain mungkin akan berkata, “….Tapi airnya sedikitlah, tak penuh segelas yang kecil ini”.



Yang seorang lagi pula antara lain menjawab, “….Airnya banyak, hampir penuh gelas ni, dah cukuplah”.



Demikianlah antara pandangan negatif dan positif.



Bila mendengar berita tentang seorang lelaki yang ditemui mati di pinggir sebatang jalan berhampiran sebuah tong sampah, ada orang segera membuat ulasan negatif, membuat sangka buruk bahawa lelaki itu mestilah seorang yang jahat, penagih dadah yang merbahaya, sedangkan berita lanjut yang sebenarnya masih belum diketahui pada masa itu.



Sebaliknya ada pula orang yang berbaik sangka, berpendapat bahawa lelaki itu mungkin seseorang yang baik, cuba membantu seseorang yang kesusahan atau kemalangan lalu dia sendiri ditimpa kemalangan yang menyebabkan kematiannya.



Dan bila berita lanjut diperolehi tentang kematian misteri lelaki itu keesokan harinya, maka terbukti bahawa kemalangan yang menimpa lelaki itu kerana dia cuba membantu untuk menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang gila seks. Dia telah dibelasah oleh lelaki gila itu lalu terjatuh, dan kepalanya terhantuk kepada simin longkang yang menjadi punca kematiannya.



Demikian pandangan yang berbeza antara orang yang positif dan orang yang negatif, orang yang bersangka ria dengan orang yang bersangka mara.



Semalam sewaktu berjalan kaki ketika balik dari solat Isa’ ke rumah, kaki saya terbenam dalam lopak yang bertakung air dan berselut kotor. Ia terletak betul-betul di simpang permukaan lorong untuk masuk ke rmah kami dari jalan biasa. Lorong itu masih belum ditarkan oleh pemaju walaupun empat buah rumah yang dibina telah siap dan diduduki sejak kira-kira dua tahun yang lalu. Entah kenapa?



Kepala lorong itu sentiasa berlopak dan basah ditakungi air, kerana sebuah rumah di simpang lorong itu tidak mempunyai parit atau lubang pembuangan air. Air buangan itu dibiarkan mengalir keluar rumah dan melimpah lorong untuk menuju ke rumah kami. Justeru, hujan atau tidak hujan air tetap juga bertakung di situ.



Ia mengotorkan keenderaan kami yang keluar masuk, dan menyebabkan lopak-lopak itu bertambah luas dari masa ke masa kerana sentiasa dilanyak keenderaan yang keluar masuk.



Lorong yang selalu berair hujan atau panas



Pada suatu pagi beberpa hari yang lalu sampailah ke rumah kami beberapa orang tetamu sekeluarga. Sebaik-baik sahaja mereka melabuhkan punggungnya di kerusi, maka bermadahlah salah seorang dari mereka, “Jalan di hadapan itu rupanya bertakung air dan berselut. Habis kotor kereta baru kita. Kalau tahu begitu, kita bawa kereta satu lagi, yang buruk, bukan yang baru ni”.



“Di situ memang sentiasa ada air”, jawab kami.



Petang itu juga datang lagi satu keluarga bertamu di rumah. Mereka datang dengan kereta baru, berjenama dan mahal harganya. Mereka terpaksa juga melalui lorong yang sama, dan menempoh becak yang sama.



Setelah selamat duduk di kerusi, salah dari mereka yang memandu kereta tu berkata, “Kami minta maaf yang bang, sebab lantai rumah abang di depan itu menjadi kotor, sebab ketika masuk tadi saya ta perasaan di hadapan ada lopak yang berselut dan berlumpur, lalu saya masuk ke dalam lopak, tayar kereta habis kotor, lantai rumah abang pun menjadi kotor, kerana abang minta saya parking di bawah poc tadi”.



“Tak ada apa-apa, kita hari-hari pun keluar masuk, dua tiga kali sehari”. Kata saya.



Demikianlah dua sikap yang berlainan dalam menghadapi perkara yang sama dan dalam situwasi yang sama.



Sangka negatif boleh melemparkan anda ke dalam kawah sangka buruk yang jahat, dan bersangka jahat boleh melibatkan anda terlempar jauh ke dalam lautan umpat dan keji yang hina yang tergolong dalam amalan yang dikutuk oleh Allah dan Rasulullah SAW.



Dalam menjalani hidup setiap hari ini, kita mungkin telah terlalu banyak terlibat dalam aneka perbuatan keji dan hina, baik dalam amali atau fikiran, kenapa hendak ditambah lagi dengan fikiran-fikiran negatif, fikiran sangka buruk yang boleh membinasakan diri kita sendiri?.



Sebelum berfikir lanjut, letakkan terlebih dahulu fikiran anda itu di atas timbangan neraca, kemudian teruslah berfikir setelah menimbang berat ringannya, naik dan turunnya timbangan.



Sebelum melempar kata, letak dahulu neraca di bibir anda, timbang-timbanglah, kemudian baru melepas kata, untuk mengelak anda daripada tejcebak dalam lubuk kata-kata yang sia-sia dan merugikan anda.



Berfikirlah dengan wajar, secara positif, fikiran yang membina, dan jauhilah fikiran negatif yang boleh meruntuhkan, fizikali dan mentalitinya.



Binalah kehidupan anda di atas dasar hidup yang positif, jalinlah hubungan dengan orang lain di atas dasar yang positif, barulah anda menjadi insan yang positif.



Berbeza pendapat tidak mengapa, asalkan dalam perkara yang baik, tapi amatlah merugikan, jika perkara yang baik dikatakan buruk, semata-mata berdasarkan perasangka negatif.



Carilah kebaikan dalam semua perkara, kerana setiap sesuatu yang berlaku mesti ada hikmahnya yang tersendiri. Carilah nilai-nilai kebaikan dalam keburukan, tapi jangan cari nilai-nilai keburukan dalam kebaikan.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP