Cahaya Intan Berlian,Memadam Cahaya Iman
>> Monday, October 31, 2011
ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG
CAHAYA INTAN BERLIAN, MEMADAM CAHAYA IMAN
Pada suatu masa heboh menjadi perbualan di kampung tentang seorang wanita suka menggunakan tangan kirinya ketika bercakap atau berbual-bual. Tangannya itu ditayang-tayangkannya di hadapan orang yang bercakap dengannya. Dia juga suka benar mengambil kesempatan untuk meneggunakan jari-jemarinya itu supaya dilihat orang. Kadang-kadang jarinya itu ditempelkan ke pipinya ketika bercakap.
Rupa-rupanya di jari manisnya tersarung sebentuk cincin permata berlian yang baru diperolehinya. Cincin berlian serupa itu masih jarang dipakai oleh wanita-wanita kampung tersebut pada waktu itu. Mungkin kerana harganya mahal, mereka tidak bersedia untuk membelinya walaupun mempunyai kemampuan.
Gemarkan Perhiasan
Wanita memang menggemari perhiasan diri. Salah satu alat-alat perhiasan yang amat digemari oleh wanita ialah batu permata. Dan batu permata ini pula ada beraneka jenisnya, termasuk intan dan berlian.
Adalah dipercayai ada perhubungan yang kental antara wanita dan batu permata, intan dan berlian. Memang ada hubungan yang erat antara batu permata dan emosi kaum wanita. Siapakah wanita yang tidak sukakan batu permata, intan dan berlian, siapakah wanita yang tidak suka memakai cincin, subang, gelang dan rantai untuk menambahkan kecantikan diri?
Malah kadang-kadang, terutama di kalangan kaum wanita yang berada, batu permata, intan berlian merupakan sebahagian daripada kehidupan harian mereka, di mana mereka bangun, dan tidur dan bergerak bersama dengannya. Terutama di kalangan wanita berada yang suka menampilkan diri di khalayak ramai.
Kepada wanita-wanita seperti ini, dikatakan hubungan mereka dengan batu permata, ibarat irama dengan lagu, jika keduanya dipisah, maka mereka akan rosak. Oleh sebab itu di mana sahaja mereka berada, dan bila-bila masa sahaja, ada mereka, adalah batu permata di kalangan mereka.
Sememangnya batu permata sentiasa bertakhta di hati wanita. Pancaran sinarnya sentiasa menyejukkan mata dan menyenangkan hati mereka, mencetuskan kerinduan yang tidak dijangka.
Bagaimana eratnya pertalian antara batu permata dengan manusia itu kian terserlah dengan adanya ibu bapa yang menamakan anak mereka dengan nama-nama batu permata yang mahal harganya. Batu permata yang sering menjadi pilihan ibu bapa untuk menamakan anak-anak perempuan mereka ialah intan, nilam delima, fairus, dan marjan.
Intan Sarafina adalah seorang penyanyi wanita yang terkenal pada tahun 2002.
Dalam kehidupan seharian, biasa juga panggilan manja terhadap seseorang anak yang disayangi dipanggil dengan nama batu permata, seperti intan, walaupun nama sebenarnya bukan intan.
Batu Kegemaran
Mengikut pengamatan, antara batu-batu permata yang menjadi kegemaran kaum wanita ialah berlian, intan, zamrud, nilam, jed, dan jet yang sentiasa menyinar gemerlapan, mempesona dan menggoda kaum wanita pada umumnya.
Batu-batu permata itu diukir dan diolah dalam berbagai-bagai bentuk hiasan untuk disalutkan ke badan, seperti dalam bentuk cincin untuk dipakai di jari-jemari, dalam bentuk kalung untuk dipakai di leher atau gelang untuk dibelit di tangan dan di kaki, dalam bentuk subang untuk digantung di telinga, dan dalam bentuk kemucak sanggul untuk diselit di rambut di kepala. Permata-permata yang telah dicanai itu dilekatkan pada kerangka-kerangkanya yang telah disiap khas daripada emas yang bermutu untuk menampung batu-batu permata itu.
Harga-harga perhiasan batu permata itu bukan pula murah, lebih-lebih lagi pada hari ini di mana nilai emasnya telah melambung naik. Ada di antaranya berharga bukan sahaja ribuan ringgit, atau beratus-ratus ribu ringgit tiap-tiap satu, malah mungkin berjuta-juta ringgit.
Faktor-faktor penting
Sudah tentu sebagai seorang wanita anda juga gemarkan batu permata yang beraneka ragam rupa dan bentuknya.
Sebelum anda membeli dan memakai batu-batu permata ingatlah beberapa perkara penting yang berhubung dengan batu permata
-Sebelum membeli bata-batu permata yang mahal harganya, berfikirlah sejenak tentang ekonomi keluarga, mampu atau tidak anda memilikinya? Ukur jari sebelum membeli cincin, ukur telinga sebelum membeli subang, ukur leher sebelum membeli rantai dan kalung, atau ukur baju di badan sendiri sebelum membeli pakaian.
Jangan sampai merosakkan ekonomi keluarga, kerana anda terpesona dengan batu dan permata. Jangan sampai terpaksa melakukan kerja-kerja haram, baik anda sendiri atau suami anda kerana hendak memenuhi selera anda kepada batu dan permata yang hanya menjadi kemegahan dunia.
-Anda hendaklah bijak dalam memilih batu permata yang hendak dibeli, iaitu yang sesuai dengan sifat-sifat kewanitaan anda yang biasanya lemah dan lembut.
Oleh itu janganlah membeli semua permata yang anda jatuh hati atau berkenaan, kerana bukan semuanya sesuai dengan anda sebagai seorang wanita, tapi lebih sesuai kepada kaum lelaki untuk memakainya, seperti permata-permata yang diperbuat daripada kayu, tulang-tulang dan taring-taring haiwan.
Mengikut pakar-pakar batu permata, antara batu-batu permata yang sesuai dengan anda sebagai seorang wanita ialah mutiara, berlian, yakut, nilam, topaz, baiduri, kecubung, zamrud dan permata-permata dari laut, iaitu batu permata yang melambangkan kelemahlembutan anda sebagai seorang wanita.
-Anda hendalah berhati-hati ketika hendaklah membeli batu permata, kerana ditakuti terbeli batu-batu tiruan yang disangka tulin. Sejak kebelakangan ini terlalu banyak barang-barang tiruan yang dikeluarkan dengan harga barang tulin, bukan sahaja batu permata tapi juga barang-barang keperluan lain. Kalau dibeli dengan harga yang wajar sebagai barang-barang tiruan tidaklah menjadi masalah.
Keindahan Dalaman
Walaupun batu-batu permata itu sinarnya gemerlapan mempesonakan mata memandang, hakikat keindahan dalaman seorang wanita jauh lebih unggul daripada keindahan luaran yang memancar dari emas dan perak, dan intan berlian itu.
Keimanan, ketakwaan, keindahan akhlak merupakan keindahan dalaman yang tidak ada taranya, mempunyai aura kekal dan abadi, yan tidak akan padam-padam walaupun pemiliknya telah tiada. Itulah cahaya dan itulah aura insan yang sebenarnya, baik dia lelaki atau perempuan.
Tapi kalau anda tidak hati-hati, cahaya batu permata dan intan berlian itu dapat memadamkan cahaya keimanan dan ketakwaan anda.
Kalau anda telah bersuami, keikhlasan, kejujuran dan kesetiaan anda pada suami anda sinarnya memancar terang lebih berharga daripada sebutir berlian yang jutaan ringgit harganya.
Keindahan dalaman menjadi nilaian Allah, sedangkan cahaya luarannya hanya menjadi penghargaan mata manusia.
Keizinan Terhad
Jangan anda tidak mengetahui, walaupun anda dizinkan memakai perhiasan intan dan berlian di badan anda, dan keizinan yang diberikan itu bersyarat. Tujuannya semata-mata utnuk menjaga kesucian dan kemuliaan anda sebagai seorang wanita.
-Sebagai wanita anda dilarang keras memperaga-ragakan kecantikan dan perhiasan yang anda miliki kepada lelaki yang bukan muhrim anda, iaitu lelaki yang boleh anda bernikah dengannya.
Agama Islam bukan sahaja melarang wanita berbuat demikian, tapi juga dengan keras mengancam mereka yang berani melanggarnya.
Allah berfirman, “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah”. Al-Ahzab: 33.
Allah berfirman, “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian pengelihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya [tubuhnya] selain dari yang nyata [mesti terbuka”.An-Nur:31.
Menurut ahli tafsir apa yang dimaksudkan dengan perhiasaan itu ialah mencakupi pakaian yang cantik, solekan dan juga perhiasan yang dipakai oleh seseorang wanita.
Mengingkarinya
Tapi berapa ramaikah wanita mematuhi perintah Allah itu?
Hari ini kian ramai wanita yang bertindak melanggari larangan tersebut, malah mereka seolah-olah bertindak mencabarnya dengan mempersetankan segala larangan Allah itu.
Wahai kaum wanita, berhati-hatilah anda ketika memakai perhiasan, emas perak dan intan berlian, supaya tidak melanggar perintah Allah.
Wahai para suami, berhati-hatilah anda, supaya isteri yang anda kasihi itu tidak melakukan pelannggaran terhadap perintah Allah dan RasulNya ketika mereka menghias diri.
Rasulullah S.A.W. bersabda mengingatkan kaum lelaki dan juga wanita dengan sabdanya, “Wahai manusia, tegahlah isteri-isteri kamu dari memakai perhiasan dan bermegah-megah di masjid. Sesungguhnya Bani Israil dilaknat kerana isteri-isteri mereka memakai perhiasan dan bermegah-megah di masjid”.
Baginda S.A.W. pernah memberi amaran bahawa wanita-wanita yang keluar rumah dengan berpakaian yang tidak menutup aurat dan mengenakan solekan yang terlalu menarik, mereka tidak akan menikmati kecantikan di hari akhirat kelak, di mana pada hari itu setiap wajah orang yang beriman kelihatan bercahaya-cahaya, bersinar-sinar dan indah dipandang.
Sebagaimana dikatakan di atas tadi, cahaya keimanan itu, cahaya yang tidak akan sirna, malah akan terus gemerlapan dari dunia hingga ke akhirat, sedangkan cahaya permata, intan dan berlian tidak berkekalan dan akan padam bila tiba waktunya, malah cahayanya mungkin akan bertukar menjadi cahaya yang panas membakar di akhirat nanti.
Wahai kaum wanita, berhati-hatilah engkau supaya tidak termasuk dalam golongan kaum wanita dalam sabda Nab S.A.W., “Sejahat-jahat wanita ialah mereka yang suka keluar dengan memakai perhiasan serta suka menipu dirinya sendiri dengan memakai perhiasan palsu, dan mereka adalah wanita-wanita yang munafik, dari antara mereka itu tidak akan ada yang masuk syurga seorang pun, melainkan sebagai burung gagak putih”. HR:Bahaiqi.
Jangan biarkan cahaya intan dan berlian memadam cahaya imam dan aura takwa anda.
Sebaliknya, nyalakan cahaya iman, menyinari hati dan jiwa anda, menembusi langit dan angksa untuk kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda dan meredakan sebagai seorang wanita yang unggul di dunia dan di akhirat; di dunia anda dicintai suami dan di akhirat anda dikasihi Allah.
Amin.
xxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment