Lada Wahai Sayang
>> Sunday, October 9, 2011
ASSALAMUALIKUM, HELO SAYANG
LADA WAHAI SAYANG
Semalam saya terbaca sebuah berita singkat tentang dua orang yang jatuh pitam kerana memakan lada yang amat pedas.
Kedua-duanya adalah peserta yang menyertai pertandingan memakan cili yang paling pedas di dunia.
Pertandigan itu dianjurkan oleh Restoran Kismot di Edinburg, London. Kedua-dua peserta itu dengan tiba-tiba muntah, menggelupur dilantai dan akhirnya pitam, dan terpaksa di bawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Seorang pelanggan mendakwa selepas memakan sejenis masakan di restoran itu yang dipanggil Kismot Killer, dia merasa tidak selesa dan kemudiannya terpaksa dikejar dengan ambulan ke hospital sebanyak dua kali dalam masa beberapa jam kerana sakit perut dan muntah.
Menurut kenyataan pihak restoran, pertandingan itu diadakan bukan untuk mencari siapa yang makan banyak, tapi berdasarkan ketahanan mereka kepada masakan yang paling pedas di dunia.
Biasanya yang membuat sesuatu masakan itu pedas ialah lada yang dimasukkan ke dalam makanan tersebut, atau pun lada itu merupakan sebahagian daripada rempah ratusnya, seperi masak kari.
Lada Penyedap Rasa
Tujuan lada itu dimasukkan ke dalam makanan ialah untuk menambah rasa enak atau meningkatkan selera makan seseorang.
Malah selain daripada dicampur dalam masakan, lada itu juga dijadikan sebahagian daripada hidangan makanan, seperti sambal lada, lada dijadikan sebahagian daripada bahan utama penyicah untuk dicampurkan dengan budu, kicap atau cuka.
Itulah sambal lada memain peranannya yang penting. Sambal itu pula ada bermacam-macam cara membuatnya, ada sambal belacan, sambal bawang merah, sambal tempoyak, sambal durian, sambil putik pauh [mempelam muda], sambal tomato, dan sambal kaun pi-jat.
Daripada sambal-sambal itu, yang mana yang luar biasa pedasnya, diberi nama jolokan “sambal jantan”.
Lada untuk memproses sambal itu ada berbagai-bagai jenis, rupa dan warnanya. Ada lada yang kecil yang dipanggil cili api atau lada burung [kerana burung suka memakan lada kecil ini], ada lada yang bentuk memanjang berwarna merah atau hijau, ada berbentuk bulat dan kecil buahnya, dan pula berbentuk bulat besar dan bergeligis, warnanya selain dari merah dan hijau ada pula berbentuk putih, dan biru tua.
Dahulu sambal lada itu diproses dengan ditumbuk menggunakan lesung batu, tapi hari ini kebanyakannya menggunakan mesih pengisar yang memakan masa yang lebih cepat untuk membuatnya dan juga lebih selamat daripada kepedasan lada itu mengenai tangan dan kadang-kadang air pedasnya boleh terpercik ke dalam mata ketika sedang menumbuk.
Hati-hatilah wahai sayang ketika menumbuk sambal lada. Balut tangan anda dengan sarung tangan atau kampit plastik dan jaga mata anda daripada terpercik air lada yang pedas itu.
Jika tangan terasa panas selepas menumbuk sambal lada, segeralah sapukan tangan itu dengan minyak masak, dan jika air lada terpercik ke dalam mata, segeralah basuh muka air sejuk dan kemam sebuku ibu garam dalam mulut.
Allahyarhmah isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] mempunyai resipi yang istimewa untuk membuat sambal lada dan sambalnya selalu dipuji oleh orang-orang yang memakanya, sehingga kadang-kadang menimbulkan kecemburan sesetengah orang yang mendengarnya.
Suka Makan Lada
Pada zaman kanak-kanaknya, isteri saya mempunyai seorang kawan perempuan sepersekolahan dan jiran berhampiran rumahnya. Kawannya itu katanya sangat suka makan pedas, setiap kali makan nasi mestilah ada segenggam lada atau cili api dalam tangannya untuk dikunyahnya sambil makan.
Andainya tidak ada lada dia tidak akan berselera langsung untuk makan. Oleh itu dia rela tidak makan atau berlapar daripada makan tanpa lada.
Kegemarannya makan lada itu menimbulkan kerisauan kepada keluarganya, khusus ibunya yang sering memberi nasihat kepadanya supaya mengurangkan makan lada, kerana dibimbangi boleh membahayakan kesihatannya, tapi tidak berjaya untuk mengurangkan kegemarannya kepada lada.
Pada suatu hari ibunya membuat sejenis sambal lada yang rasanya terlalu amat pedas dan banyak kualitinya untuk memberi anaknya itu makan, sebagai suatu ikhtiar untuk memberhentikan anakanya itu memakan banyak lada.
Tidak berapa lama selepas makan, anaknya itu kelihatan resah, dan diikuti dengan sakit kepala dan muntah-muntah. Habis segala makanan yang dimakannya itu keluar bersama-sama dengan sambal lada yang masih belum sempat di proses oleh perutnya.
Si ibu membantu anaknya itu dengan menjaram atau menyiram air di kepalanya untuk menyejukkannya.
Sejak itu kawan isteri saya itu tidak lagi sukakan lada, dan dia tidak lagi suka makan pedas.
Ibu dan keluarganya boleh menarik nafas lega.
Akibat Makan Lada
Kerana mengikut orang-orang tua makan banyak lada boleh menyebabkan berlakunya beberapa perkara yang tidak diingini yang akan menganggu kesihatan seseorang.
Ia boleh menyebabkan terbantutnya pembesaran kanak-kanak kerana suka makan pedas.
Ia boleh menyebabkan penyakit buasir. Oleh itu pengidap-pengidap buasir dilarang makan pedas, kerana boleh menyakitkannya ketika dia pergi ke tandas untuk membuang air besar.
Boleh menyebabkan penyakit “medu” atau gastrik kerana makan pedas. Medu boleh membuat pengidapnya sakit perut, memulas atau pedih perut.
Saya teringat satu peristiwa yang berlaku di kampung ketika saya masih kanak-kanak dahulu. Pada masa itu ada seorang wanita yang suka sangat membawa mulut, mengumpat dan memburuk-burukkan orang ke mana sahaja dia pergi.
Pada suatu hari ketika dia sedang asyik memburuk-burukkan seseorang, maka datanglah wanita yang diburuk-burukkanya dari arah belakang. Ketika dia sedang asyik berkata-kata, wanita itu yang datang dari belakangnya mengenyeh atau mengganyang mulutnya dengan tangannya yang berisi dengan segenggam lada yang telah ditumbuk, sambil berkata, “Nah sambil ini, upah mengumpat”.
Maka bertempek-tempeklah dia kepedasan, dan bila menyedari mulutnya diganyang dengan sambal lada itu dia pun berlari-lari balik ke rumahnya untuk membasuh mulut, dan mujurnya lada itu tidak sampai mengenai matanya.
Saya juga teringatkan beberapa ibarat yang menggunakan lada sebagai simbolnya, antaranya:
-Lada [cili] api yang bermaksud, seseorang yang bertubuh kecil, tapi berani sifatnya.
-Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung yang bermaksud lebih baik orang yang kecil tapi berani, daripada orang yang besar tapi pengecut.
-Belum tahu di pedas lada yang bermaksud seseorang yang masih mentah atau masih belum banyak mempunyai pengalaman.
-Burung terbang dipipiskan lada yang bermaksud seseorang yang sudah bersiap sedia untuk menerima sesuatu yang masih lagi belum diperolehi.
-Siapa makan lada, dia merasa pedas yang bermaksud seseorang yang berbuat kesalahan akan merasa tersindir kerana kesalahannya itu.
xxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment