Jangan Tinggalkan Daku

>> Saturday, October 8, 2011




ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG


JANGAN TINGGALKAN DAKU


“Jangan mudah mengukir janji. Bila Berjanji Hendaklah Ditepati. Jangan Mungkiri Janji, Nanti Semuanya Lesap Ditelan Bumi”.



Pada suatu masa di zaman dahulu kala ada seorang petani bernama Ito, tinggal di negeri Mata Hari Terbit. Ito menanam bebagai-bagai jenis sayur-sayuran dan memungut kayu api untuk dijual di pasar bagi menyara hidupnya.



Ito seorang lelaki yang baik hati. Dia suka menolong orang-orang miskin, dan orang-orang yang susah dengan menghulurkan bantuan makanan dan pakaian kepada mereka.



Pada suatu hari dalam perjalanan pulang dari pasar, dia terpandang seekor burung bangau terbang berlegar-legar di atas sebuah tasik biru. Kemudian Ito melihat bangau itu menjunam turun dan menjejakkan kakinya di tepi tasik. Ia sedang mencari ikan-ikan untuk dijadikan habuannya.



Kemudian Ito ternampak seorang pemburu sedang bersembunyi di dalam rumput-rumput yang tinggi di tepi tasik itu. Dia sedang memerhati bangau itu dengan teliti. Tiba-tiba pemburu itu mengangkat panahnya dan menuding ke arah bangau itu,



Melihat hal itu, Ito secara spontan dengan kuat memekek,”Jangan!Jangan! Jangan panah bangau itu! Jangan!”. Ito berkata, sambil berlari ke arah pemburu itu.



Bila bangau mendengarnya, dia lalu mengepak sayapnya dan terus terbang melarikan dirinya dari situ.



Pemburu itu sangat marah, dan dengan suara yang keras berkata, “Kenapa kamu tidak membenar aku memanah bangau tadi? Sekarang ia telah terbang pergi”.



“Bangau itu sangat cantik. Saya tidak sampai hati membiarkan kamu membunuhnya”. Jawab Ito.



“Apa pedulimu”. Kata pemburu itu lagi, dengan kemarahan yang meningkat.



“Sabarlah”, kata Ito, “Biarlah saya bayar harganya”.



Dia pun mengeluarkan wang dari saku bajunya. “Nah! Ambil ni”, Katanya sambil menghulurkan wang kepada pemburu itu. Pemburu itu mengambilnya, tanpa berkata apa-apa dan terus berlalu.



Malam itu Ito tidak dapat melelapkan matanya. Dia selalu teringat-ingatkan bangau yang cantik itu. Seumur hidupnya, dia tidak pernah melihat bangau yang begitu cantiknya, dan berharap untuk melihatnya lagi.



Bagi keesokannya, seperti biasa, dia bangun pagi-pagi lagi untuk pergi ke ladangnya, Mata hari baru naik di celah-celah gunung. Ingatannya selalu terkenagkan bangau yang cantik itu.



Tidak lama kemudian, Ito melihat bangau itu terbang ke arahnya, dan terbang berpusing-pusing di atas kepalanya.



“Turunlah”, kata Ito kepada bangau itu, “Marilah kita sarapan pagi bersama”, pelawa Ito, “Ini bekalanku”.



Bangau itu pun turun dan hinggap dekat dengan Ito berdiri. Ito memberi bangau itu makan nasi dengan tangannya sendiri.



“Saya harap anda suka makan nasi”, kata Ito.”Saya lebih suka, jika anda tinggal bersama saya. Tapi anda tidak boleh tinggal lama di sini, anda mesti pergi sekarang juga. Saya takut pemburu itu akan datang lagi dan membunuh anda. Pergilah!”.



Bangau itu seolah-olah mengerti apa yang dikatakan oleh Ito, lalu segera terbang naik ke udara. Makin lama makin jauh daripada pandangan Ito. Bangau itu terbang ke arah mata hari naik. Ito memerhatinya, hingga tidak kelihatan lagi”.



Ito benar-benar berharap bangau itu akan datang lagi. Tiap-tiap hari dia meletakkan nasi dan ikan di luar pintu rumahnya untuk bangau itu makan. Tapi bangau itu tidak pernah muncul-muncul lagi.



Tidak lama kemudian musim sejuk pun tiba. Salju memenuhi permukaan bumi. Kebunnya juga penuh dengan salji. Dia tidak dapat keluar bekerja, dan tinggal di rumah sahaja. Tiba-tiba pada suatu hari, dia mendengar ada orang mengetuk pintu rumahnya.



“Siapa?”, tanya Ito.



Ito segera membuka pintu rumahnya. Dia melihat ada seorang gadis jelita berdiri di hadapan pintu rumahnya dalam kedaan menggeletar kesejukan.



“Saya sesat jalan”, kata gadis itu.”Bolehkah saya menumpang di rumah awak? Saya sangat sejuk ni, dan kalau boleh saya nak panaskan badan saya di dapur rumah awsak”.



Ito menjemput gadis itu masuk. Dia memberikan gadis itu semangkuk sup panas.”Nah minumlah sup ini”, Kata Ito pada gadis itu.



“Awak seorang yang sangat baik”, kata gadis itu. “Apa yang boleh buat untuk awak?”, Tanya gadis itu. “Bolehkah saya bersihkan rumah awak ini, atau jahit sesuatu untuk awak”.



“Saya lebih suka kalau awak jahitkan sesuatu untuk saya”. Jawab Ito. Dia pun memberi benang-benang kepunyaan ibunya kepada gadis itu.” Nah ambil. Benang-benang sutera ini adalah peninggalan ibu saya, awak buatlah kain untuk saya”.



“Baiklah”, jawab gadis itu.”Tapi dengan satu syarat”.



“Apa syaratnya?”.Tanya Ito.



“Saya mesti berjanji, tidak akan melihat saya ketika saya sedang bekerja”. Jelas gadis itu.



“Baiklah”, jawab Ito, “saya bersetuju, dan berjanji akan mematuhinya”.



“Terima kasih”, jawab gadis itu, lalu menyelinap masuk ke kamar di mana terletak alat-alat menenun kain, dan terus bekerja.



Bunyi alat tenunan gadis itu bekerja dapat didengar oleh Ito dari luar bilik. Gadis itu terus menerus bekerja selama beberapa hari tanpa keluar dari kamar itu.



Akhirnya gadis itu keluar kamar menemui Ito. Dia menyerahkan kepada Ito benang-benang emas dan perak yang memancar berkilaun-kilauan.



“Oh benang-benang ini sungguh cantik”, kata Ito. “Saya tidak pernah melihat benang yang sebegini cantiknya”.



“Nah, ambillah benang-benang ini, bawalah ke pasar dan jualkanlah benang ini. Awak akan mendapat wang yang banyak”. Kata gadis itu.



Tapi Ito enggan menjual benang-benang emas dan perak itu, kerana katanya ia amat cantik.



“Kalau awak enggan menjual benang-benang emas dan perak ini, saya tidak akan merasa gembira”, kata gadis itu. Awak mesti pergi ke pasar sekarang juga dan jualkan benang-benang ini”.



Ito membawa benang-benang itu ke pasar, tapi bila seorang lelaki ingin membelinya, dia enggan menjualnya.



“Kalau awak tidak mahu menjualnya, kenapa bawa benang-benang ini ke pasar?”.Tanya lelaki itu kehairanan.



Kemudian orang ramai datang mengerumuni mereka. “Awak mesti menjualnya, Ito”, kata mereka, “awak akan mendapat wang yang banyak”.



Akhirnya Ito menjual juga benang-benang itu. Lelaki itu membayarnya dengan wang emas.



“Awak ada simpan lagikah benang-benang seperti ini?”, kata lelaki itu, “Bawalah benang-benang itu ke sini, saya akan membeli semuanya”.



Ito berlari pulang ke rumahnya. Dia merasa amat gembira dan memberitahu gadis itu nasibnya amat baik. Katanya lelaki itu ingin membelinya lagi kalau dia masih memyimpan benang-benang seperti itu.



Gadis itu tidak bercakap banyak, lalu mengambil benang-benang sutera dan terus masuk kamar untuk bekerja.



“Saya harap awak berihatlah sekejap”, kata Ito. “Awak sudah tentu penat dan mesti makan dahulu”.



Tapi gadis itu tidak mahu berihat. Dia terus bekerja, menenun kain untuk Ito. Sementara itu Ito memasakkan makanan untuk gadis itu. Bila makanan siap, Ito terus memasuki kamar tempat gadis itu bekerja. Tiba-tiba Ito mendengar ada sesuatu benda terjatuh dan melihat cahaya yang besar memancar-mancar. Ito tidak dapat melihat gadis. Yang dilihatnya ialah seeekor burung bangau sedang menenun.



“Maafkan saya”, kata Ito, “saya terlupakan janji saya untuk tidak melihat awak, ketika awak sedang bekerja. Maafkan saya”.



Bangau itu terus berlari ke luar rumah. Ito mengejar untuk menangkapnya, tapi tidak berjaya. Bangau itu langsung terbang ke udara.



“Tunggu-tunggu!”, seru Ito. Tapi bangau itu tidak memperduikannya, dan terus juga terbang.



“Dengarlah kataku”, kata Ito. Saya berjanji, tidak akan melihat awak lagi ketika awak bekerja. Saya berjanji. Percayalah kepada saya”.



Bangau itu tidak mendengarnya, dan terus terbang. Ito terus mengejarnya. Ia terbang berpusing-pusing beberapa kali di atas kepala Ito, sambil menangis kesedihan, Airm matanya menitis ke atas kepala Ito. Kemudian bangau itu pun terbang naik ke angkasa, dan makin lama makin jauh meninggalkan Ito yang memerhatinya hingga hilang dari pandangan.



“Jangan tinggalkan daku, “kata Ito sendirian.



Bila Ito balik ke rumah dan membuka pintu rumahnya, dai melihat bertimbun-timbun kain yang diperbuat daripada benang-benang emas dan perak. Ito menjual semua kain-kain itu. Ito mendapat wang yang banyak dan menjadi seeorang jutawan.



Walau bagaimana pun dia tidak dapat melupakan bangau itu. Dia terus mencarinya, tapi tidak pernah menemuinya. Ke mana pun dia pergi, bangau itu tidak pernah kelihatan lagi.



“Bangau oh bangau, di mana engkau berada, jangan tinggalkan daku sendirian dan kenang daku dalam rindumu”.



(Cerita ini dipadankan dari sebuah dongeng Jepun)



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP