Janggut-janggutku

>> Sunday, October 30, 2011


JANGGUT-JANGGUTKU




Seorang Syeikh yang terkenal, memakai janggut putih dan panjang, dan kelihatan begitu haibatnya, pada suatu hari berkata kepada salah seorang daripada muridnya yang sedang mengandam janggut gurunya itu supaya kelihatan kemas, kedengaran berkata kepada muridnya itu, “Wahai anakku, tahukah engkau apakah janggut itu sebenarnya? Andainya pada janggut ini terletaknya iman, maka sudah tentu, Castrol lebih imannya dari kita”.



Fidel Castro adalah Perdana Menteri/ Presiden Cuba yang berfahaman komunis, beliau menyimpan janggutnya sampai ke hari ini.



Pada kebelakangan ini kian ramai para pemimpin dan tokoh-tokoh dunia dan negara, khususnya umat Islam yang memakai janggut menghiasai wajah mereka, termasuk tokoh-tokoh agama.



Datok’Yusuff Zaky Tegur Janggut


Berhubung dengan janggut, saya terkenangkan kepada Dato’ Yusuff Zaky Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya], seorang penulis dan pemikir Islam tanah air pernah menegur janggut saya.



Pada suatu hari, kerana urusan penerbitan, saya pergi ke kilang percetakan Dian yang terletak di Lundang, KB. Sebaik-baik sahaja saya masuk ke pejabat DIAN, saya lihat Dato’ Yusuff Zaky pun ada di situ bersama-sama dengan beberapa orang kakitangan-kakitangannya. Bila saya selesai berurusan dengan salah seorang dari mereka, Dato’ Yusuff Zaky menghampiri saya dan antara lain menegur janggut saya yang pada masa itu dalam keadaan sedikit panjang dan tidak terurus.



“Janggut ni tak boleh lebih dari segenggam tangan, “ katanya sambil menggenggam tangannya dan meletakkan ke dagunnya, yang tidak berjanggut itu.



Saya hanya tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala sahaja membenarkannya, kerana saya sedar pada masa itu janggut saya panjangnya telah lebih dari segenggam.



Dua hari kemudian saya pergi lagi ke kilang DIAN dan bertemu pula dengan Dato’ Yusuff Zaky. Setelah berbual-bual dengan beliau yang saya panggil “Abang Soh”, saya meminta diri.



Pada masa itu beliau sekali lagi menegur janggut saya kerana membiarkannya memanjang, Saya tidak tahu kenapa saya membiarkannya panjang, tidak seperti masa-masa yang lalu, kemungkinan besar saya tidak berkesempatan untuk mengguntingnya kerana terlalu sibuk.



Tegurannya itu didengar oleh semua mereka yang ada dalam pejabat itu. Saya tidak juga berkata apa-apa dan menyambutnya dengan senyum ketawa.



Demikian janggut saya. Sejak itu saya selalu mempastikan janggut saya tidak tumbuh memanjang dan meliar.



Orang Dakwah


Pada suatu hari, sekumpulan lima orang-orang dakwah datang ke rumah menjemput kami pergi ke madrasah di belakang rumah kami. Mereka mulai berkampung di madrasah tersebut sejak semalam, dan akan berada di situ sampai dua hari lagi. Tapi oleh sebab rumah kami lebih dekat dengan masjid, tidak jauh maka kami lebih suka pergi ke masjid daripada ke madrasah, demikian juga dengan sebahagian besar orang lain.



Jurucakap kumpulan dakwah itu adalah bekas imam yang meletak jawatannya untuk bergiat sepenuh masa dalam gerakan dakwah. Dalam bicaranya dia menyentuh tentang janggut yang katanya salah satu daripada sunnah Rasulullah SAW.



Pada masa itu beliau berjanggut panjang, berjubah dan berserban seperti orang-orang dakwah di negara kita.



Sambil mengenggam janggutnya dengan sebelah tangannya beliau berkata, “Ini hanya satu-satunya sunnah Rasulullah S.A.W. yang boleh dibawa mati. Sedangkan sunnah yang lain, seperti berserban, kita terpaksa tinggalkan serban bila kita mati”.



Saya hanya diam sahaja. Saya pun pada masa itu sudah berjanggut juga, tapi janggut saya hanya pendek sahaja.



Walau bagaimanapun dalam fikiran saya terlintas sesuatu, bahwa sunnah Nabi S.A.W. yang berkekalan hingga ke akhirat dan lebih haibat dari janggut ialah, senitasa menginggati Allah di dalam hati di sepanjang masa.



Tapi untuk mengelak daripada terlibat dalam kontraversi, saya tidak berkata apa-apa.



Mulai Menyimpan Janggut


Saya mulai memakai janggut pada tahun 1980an selepas balik dari menunai ibadat Haji di Makkah. Demikian juga saya botakkan kepala saya ini selepas balik dari Makkah. Selepas bercukur kerana bersaie di hadapan Masjidilharam saya terus berbotak kepala sampai ke hari ini.



Isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] bukan sahaja tidak membantah, malah menyukai saya berkepala botak.



Tok Guru Nik Abdul Aziz pun berjanggut



Ada suatu perkara yang melucukan telah berlaku ketika saya bercukur selepas bersaie, iaitu berulang alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali, ketika menunai ibadah haji. Oleh sebab saya bercadang untuk menggondolkan kepala saya, maka selepas saie kami pun terus mencari kedai gunting di sekitar Masjidilharam itu.



Sebaik-baik keluar dari tempat bersaie itu, pada masa itu ada sederet kedai gunting. Bila melihat saya, dua orang daripada tukang gunting itu yang tidak mempunyai pelanggan melambai-lambai tangan mereka memanggil saya bergunting.



Ketika saya menimbang-nimbang singkat, mana satu kedai gunting yang hendak saya masuki, tiba-tiba salah seorang daripada tukang gunting itu berlari keluar kedai dan menarik tangan saya ke kedainya, dan hampir masa yang sama juga, tukang gunting yang seorang lagi itu pun keluar juga, dan menarik tangan yang sebelah lagi.



Saya terasa panik, demikian juga isteri saya yang berada di belakang. Saya menjadi mangsa tarik menarik antara kedua-dua tukang gunting, menyebabkan saya merasa terseksa dan bertambah cemas, tidak tahu apa hendak di buat dalam keadaan seperti itu.



Tapi mujurnya dalam keadaan trauma itu, seorang anggota polis yang berkebetulan berada tidak jauh dari situ segera datang menyelamatkan keadaan. Beliau menghalang salah seorang daripada tukang gunting itu mengheret tangan saya, dan menyerahkan saya kepada tukang gunting yang seorang lagi.



Kami tidak tahu bagaiamana kesudahannya, andainya polis itu tidak segera datang membantu.



Demikianlah peristiwa itu berakhir dengan menyebabkan kami senyum dan ketawa setiap kali mengingatinya.



Janggut Dalam Islam


Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda tentang janggut, “Hendaklah kamu membezakan diri daripada orang-orang yang musyrik, peliharalah janggut dan guntinglah misai”.



Hadis ini memberi faham bahawa di zaman Rasulullah S.A.W. orang-orang musyrik menyimpan dan membiarkan janggut dan misai mereka menjadi panjang dan tidak terurus dengan baik. Justeru Rasulullah S.A.W. menyuruh para sahabat mengunting misai dan menjaga janggut mereka untuk membezakan diri mereka daripada orang-orang musyrik dan Majusi.



Tapi bagaimana pula dengan hari ini, di mana orang-orang kafir juga menyimpan janggut dengan rapih dan menggunting misai mereka?



Pada menjawabnya, ahli-ahli fuqaha tidak lagi menyuruh umat Islam menyimpan janggut, kerana janggut tidak lagi dapat memebzakan umat Islam dengan orang bukan Islam seperti di zaman Rasulullah S.A.W.



Kesimpulannya, umat Islam hari ini harus menyimpan atau mencukur janggut mereka.



Tapi ulama salaf menggalakkan umat Islam supaya menyimpan janggut mereka.



Namun begitu mereka melarang umat Islam menyimpan janggut dengan tujuan untuk memperagakan diri mereka sebagai seorang yang beriman atau bertakwa.



Di samping itu, panjang janggut juga hendaklah tidak melebihi kadar segenggeman tangan.



xxxxxxxxxxxxi



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP