Payudara Anda OKkah?
>> Thursday, October 20, 2011
ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG
PAYUDARA ANDA OKKAH?
Biasanya ulama-ulama kita atau para penulis vetran bila berbicara tentang anggota-anggota sulit wanita akan menggunakan bahasa simbolik untuk memanggilnya, umpamanya buah dada, disebut buah epal atau buah topah dan sebagainya.
Sedangkan dalam bahasa seharian buah dada itu juga dipanggil sebagai tetek atau susu, dan dalam bahasa loghat Kelantan pula dipanggil “kopek”.
Walau bagaimanapun perkataan buah dada itu lebih populer penggunaannya di kalangan masyarakat, baik dalam percakapan ataupun dalam penulisan.
Tapi kemudiannya perkataan buah dada, susu atau tetek pun dipinggirkan pula, termasuk dalam bidang kedoktoran, lalu dipanggilnya payudara.
Dara Yang Bernilai
Bila perkataan payudara ini digunakan dan siapa yang mula-mula menggunakannya, memerlukan penjelasan.
Perkataan “payu” bererti “harga” atau “nilai” sesuatu benda, dan juga bererti barang yang laris atau laku diperdagangkan.
Sementara “dara” bererti gadis atau perawan yang suci dan masih belum disentuh oleh lelaki.
Justeru payudara bererti sesuatu yang amat berharga atau bernilai yang dimiliki oleh kaum wanita.
Sememangnya payudara itu sesuatu yang amat berharga. Ia menjadi salah satu mercu tanda anda seorang wanita, dan merupakan sumber bekalan makanan kepada bayi anda, yang dianggap sebagai kilang yang kompliketed dan ajaib yang pernah dicipta oleh Allah S.W.T.
Walaupun nama itu penting, tapi yang lebih penting lagi ialah kesihatan payudara anda itu. Bagaimana keadaannya, adakah ia berada dalam keadaan yang baik dan selamat?
Salah satu ancaman yang besar kepada payudara ialah penyakit barah atau kanser, iaitu salah sejenis penyakit yang ditakuti, khususnya kaum wanita di seluruh dunia. Perkataan barah itu pun telah hampir pupus pula penggunaannya, dan diganti dengan bahasa pinjaman kanser.
Ketumbuhan Yang Tidak Merbahaya
Kanser ialah sejenis ketumbuhan yang merbahaya, tapi ia bukanlah satu-satunya ketumbuhan yang terdapat pada payudara, kerana ada lagi ketumbuhan-ketumbuhan lain pada payudara yang tidak membahayakan.
Menurut Dr.Hassan Mat, Pakar Bedah Am, di Pusat Perubatan Kampung Bharu, Kuala Lumpur, ketumbuhan-ketumbuhan yang tidak memudaratkan ini memang kerap berlaku pada payudara.
Namun begitu, menurut beliau ketumbuhan-ketumbuhan ini walaupun tidak memberi mudarat, tapi ia boleh mencetuskan kerisauan kepada wanita, kerana pada fikiran mereka setiap tanda yang meuncul pada payudara semuanya adalah barah.
Kerisauan-kerisauan ini akan menimbulkan tekanan kepada kaum wanita, dan tekanan-tekanan yang yang berlebihan pula, sudah tentu akan memberi gangguan kepada wanita berkenaan.
Segala butir-butir ini kami perolehi daripada risalah yang berjodol “Ketumbuhan Di Payudara” oleh Dr. Hassan Mat yang pernah diedar secara percuma oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia [PPIM].
Sepanjang hayat seseorang wanita, berbagai-bagai perubahan berlaku pada payudara mereka yang merupakan proses yang melahirkan berbagai-bagai tanda, di mana di salah satu hujungnya dianggap normal sementara di hujung yang sebelah lagi dikira penyakit.
Menurut beliau, tanda-tanda yang dihasilan oleh “penyakit” walaupun kurang kerap berlaku, tapi keadaannya lebih serius,
Mengenai perubahan-perubahan pada payudara itu Dr. Hasan Mat menegaskan, “Semasa hayat subur wanita payudara akan berkembang mengalami perubahan berkala selama bertahun-tahun dan akhirnya akan mengalami involusi atau pengecutan apabila mengalami keputusan darah haid”.
Beliau menjelaskan ketumbuhan tidak merbahaya yang berlaku pada payudara dalam masa hayat subur dapat dibahagikan kepada tiga perkembangan, iaitu perkembangan, perubahan berkala dan involusi.
Pertumbuhan yang berlaku dalam fasa perkembangan ialah fibroadenoma, cystosarcoma phylloides dan pembesaran hipertopi semasa remaja.
Kata beliau, seseorang wanita dapat mengesan ketumbuhan itu apabila mereka meraba payudara mereka sendiri dan pada kebiasaannya ia tidak menimbulkan kesakitan.
Beliau seterusnya menegaskan, “Ketumbuhan yang sebigini harus dipastikan bahawa ia bukan barah. Pemeriksaan sitologi [kajian sel], mammografi dan ultrasound perlu dilakukan. Dalam keadaan tertentu, ketumbuhan ini perlu dibuang untuk mengesahkan ia bukan penyakit barah.”
Mengenai penyakit fibroadenoma pula, katanya ialah sejenis ketumbuhan yang paling kerap berlaku pada wanita dalam lingkungan usia muda, tapi penyakit ini tidak akan berkembang menjadi barah.
Seseorang wanita yang berada dalam masa hayat subur kerap merasa kesakitan pada payudranya. Biasanya kesakitan ini ada hubungan dengan pendarahan haid, dan sebahagiannya pula tidak ada kaitan.
Di samping itu di masa hayat subur itu juga wanita mengalamai keadaan payudara berbiji atau berbutir, dan biasanya keadaan ini kerap menganggu perasaan wanita. Kadang-kadang keadaan berbiji itu disertai rasa sakit.
“Kedua-dua keadaan ini”, kata beliau, “biasanya dapat dikawal dengan memakan berbagai-bagai jenis ubat”.
Beliau menjelaskan, apabila seseorang wanita mencapai usia empat puluhan, maka payudaranya akan mengalami pengecutan akibat daripada kekurangan tisu penyokong payudara yang dikenali sebagai stroma.
“Keadaan ini”, katanya, “akan menyebabkan cecair dalam payudara terperangkap dan akan menghasilkan sista [cyst], iaitu ketulan yang dipenuhi air. Keadaan ini tidak merbahaya dan biasanya dapat dirawat dengan cara sedutan”.
“Adakalanya wanita akan mengadu darah keluar dari payudara melalui puting. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan ketumbuhan kecil dari salah satu salur susu [intraductal papilloma]. Walaupun ia tidak merbahaya tetapi pendapat pakar perubatan adalah perlu untuk memastikan ia bukanlah berpunca dari barah”.
Menurut beliau, lain-lain problem yang dihadapi oleh payudara ialah pembesaran salur susu akibat dari inflamasi apabila jangkitan kuman secara berpanjangan yang boleh menyebabkan payudara mengeluarkan cecair pekat kehijauan dan dikenali sebagai “ductal ectasia”.
“Keadaan ini boleh diatasi dengan rawatan antibiotik. Rawatan pembedahan hanya perlu apabila terdapat lubang sinus, lubang tidak sembuh [fistula] dan nanah”. Terang beliau.
Beliau menegaskan, “Adalah jelas terdapat berbagai jenis penyakit yang boleh berlaku kepada payudara wanita sepanjang hayat mereka. Orang yang paling penting untuk mengesan penyakit ini adalah wanita itu sendiri”.
Beliau member nasihat, “Amalkan tabiat memeriksa payudara sendiri setiap kali anda mandi atau seminggu sekali atau sebulan sekali. Jangan biarkan ketumbuhan menjadi besar sehingga dapat dikesan dahulu oleh pasangan anda kerana ia mungkin sudah terlewat”.
Teknik Pemeriksaan
Dr. Hassan Mat menjelaskan teknik-teknik untuk seseorang wanita memerikasa payudaranya sendiri.
“Mulakan dengan memeriksa payudara sebelah kiri, jika anda biasa menggunakan tangan kanan untuk melakukan kerja dan begitulah sebaliknya.
“Angkat tangan kiri, lipatkan siku dan letak tapak tangan di belakang kepala. Letakkan tapak tangan kanan di atas payudara kiri dan pusingkan tangan sambil menekan payudara.
“Kemudian bahagikan [secara khayalan] payudara anda kepada empat bahagian dengan dua garis lurus-satu melintang dan satu menegak- kedua-duanya bertemu di puting susu.
“Gunakan jari anda untuk memeriksa setiap bahagian secara teliti. Pemeriksaan harus dianjurkan sampai ke ketiak. Ulangkan langkah yang sama untuk payudara sebelah lagi’.
Beliau menyarankan supaya wanita melakukan pemeriksaan payudara sendiri dengan baik dan secara berterusan. Jadikan amalan memeriksa payudara secara teliti pada hari pertama setiap kali anda datang bulan.
Seelok-eloknya, menurut beliau, seseorang wanita melakukan pemeriksaan sendiri secara baik dan berterusan.
xxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment