Zainab Namanya.Siapakah Zainab?

>> Saturday, June 2, 2012




ZAINAB NAMANYA.SIAPAKAH ZAINAB?



Setiap hari ribuan anak manusia baru dilahirkan di seluruh dunia, dan lumrahnya setiap bayi yang baru dilahirkan itu baik lelaki atau perempuan diberi nama khusus sebagai tanda pengenalan diri masing-masing.



Berbagai-bagai pilihan rama diberikan kepada sang bayi itu mengikut bangsa, kepercayaan dan adat resam sesuatu kaum atau bangsa. Nama-nama yang diberikan itu mungkin berbeza antara seorang dengan seorang, dan mungkin juga serupa secara tidak dirancang.


Zainab binti Hayyi, Semoga Allah memberkatinya dan melimpah rahmat kepada keluarganya.



Nama-nama itu bukan sahaja dapat menjadi pengenalan diri kepada empunya nama, juga dapat mencerminkan kebijaksanaan dan keperhatinan mereka yang memberi nama-nama tersebut, biasanya ayah dan bonda kepada bayi ataupun datok dan nenek bayi.



Biasanya ada berbagai-bagai acara dijalankan yang berkaitan dengan kelahiran bayi baru dalam sesebuah keluarga, teruatama sekali sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran keluarga yang dikurniakan manusia baru itu.



Baru-baru ini ketika berada di ibu negara Kuala Lumpur saya sempat menghadiri suatu majlis khusus yang diadakan untuk bayi yang baru lahir, iaitu majlis “Potong Jambul” atau “bercukur” kata orang Kelantan.



Zainab dalam dukungan ayahandanya, Hayyi



Anak yang baru lahir itu anak kepada karib saya yang dikasihi Hayyi bin Zulkifli Nasulhaq Boyce dan isterinya Nur Fathonah. Nenek bayi itu, iaitu ibu kepada Hayyi adalah Saida Nurhana, anak seorang tokoh tanah air yang terkenal.



Puteri yang baru dilahirkan itu disandangkan dengan nama yang istimewa, Zainab binti Hayyi.



Nama Zainab membawa fikiran saya melayang jauh ke zaman lampau, mengingati Baginda Rasulullah S.A.W. Ianya sebuah nama yang istimewa dalam sejarah hidup Baginda S.A.W.



Sidi Arham merestui Zainab



Isteri Nabi S.A.W.

Sebagaimana diketahui, isteri Baginda Rasulullah S.A.W. adalah seramai sebelas orang, dan dua orang daripadanya bernama Zainab. Zainab yang pertama ialah Zainab binti Khuzaymah r.a. yang terkenal dengan gelaran Ummu Masakin. Sementara isteri Baginda S.A.W. seorang lagi ialah Zainab binti Jahsy.



Sembilan orang isteri Baginda S.A.W. lagi ialah Khadijah binti Khuwaylid, Saudah binti Zum’ah, Aisyah binti Abu Bakar, Hafsah binti Umar al-Khatab, Ummu Salamah Hindun binti Abu Umayah, Juwayriyah [Barrah] binti Harith, Ummu Habibah Ramlah binti Abu Sufyan, Safiyyah binti Huyai dan Maimunah binti al-Harith.



Zainab binti Khuzaymah bin al-Harith yang terkenal dengan gelaran Ummul Masakin yang bererti ibu orang-orang miskin di zaman jahiliah, kerana kegemaran beliau memberi makan kepada orang-orang miskin, Tujuan Baginda S.A.W. berkahwin dengan beliau ialah untuk membantu kehidupan wanita janda itu.



Sebelum itu beliau adalah isteri kepada Abdullah bin Jahsy yang gugur syahid dalam perang Uhud.



Zainab telah dirundung oleh kesedihan dengan kematian suaminya yang tercinta itu dan merasa tonggak hidupnya telah roboh.



Baginda Rasulullah S.A.W. bersimpati dengan Zainab yang kehilangan suami itu, lalu mengambilnya sebagai isteri dan menghwininya pada tahun ke-4 Hijriah.



Tapi perkawhinan itu tidak lama, kerana selepas beberapa bulan atau selama dua tahun mengikut sesetengah pendapat, Zainab menghembuskan nafasnya yang akhir, dan jenazahnya dikebumikan di perkuburan al-Baqi.



Zainab Binti Jahsy



Isteri Baginda S.A.W. seorang lagi ialah Zainab binti Jahsy, iaitu anak perempuan kepada emak saudara Nabi S.A.W. yang bernama Ummaymah binti Abdul Muthalib, dan ayahnya Jahsy bin Ri’ab.



Rambut Zainab dipotong dengan diperhati oleh tamu yang hadir



Sebelum itu Zainab itu adalah mantan isteri kepada anak angkat Baginda S.A.W., Zaid bin Harithah. Zaid adalah hamba kepada Khadijah yang dihadiahkan kepada Baginda S.A.W. yang pada ketika itu masih lagi belum ditabal oleh Allah S.W.T. sebagai Rasul-Nya.



Zaid dan Zainab bercerai kerana tidak sekufu, Zaid seorang keturunan hamba sementara Zainab daripada bangsa Quraisy yang dianggap mulia, justeru Zainab tidak dapat menerima Zaid sebagai suaminya.



Selepas mereka bercerai, Allah memerintah Rasulullah S.A.W. supaya mengahwini Zainab, dan perkahwinan itu berlangsung pada bulan Zulkaedah, tahun ke-5 Hijriah.



Zainab meninggal dunia pada tahun ke-20 Hijriah, dalam zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab.



Putera Dan Puteri Nabi S.A.W.



Salah seorang daripada puteri Baginda S.A.W. juga bernama Zainab binti Muhammad bin Abdullah.



Baginda Rasulullah S.A.W. mempunyai tujuh orang cahaya mata, iaitu tiga putera dan empat puteri. Enam orang daripada anak Baginda S.A.W. itu ialah hasil perkahwinan dengan Khadijah, iaitu Qasim, [meninggal dalam usia dua tahun], Zainab,[puteri Baginda yang tertua], Abdullah,[meninggal masih kecil], Ummu Kalthum [isteri Usman bin Affan selepas kematian Ruqayah], Fatimah Az-Zahara [isteri Ali bin Abu Thalib] dan Ruqayyah [isteri Usman bin Affan]. Sementara seorang lagi anak lelaki bernama Ibrahim, beribukan Mariah al-Qibtiah.



Semua ketiga-tiga anak lelaki Baginda S.A.W. meninggal dunia ketika masih kecil, sementara semua puteri-puteri Baginda S.A.W hidup hingga Baginda S.A.W. ditabal menjadi Rasul dan berhijrah bersama Baginda S.A.W. ke Madinah.



Zainab adalah puteri sulung kepada Rasulullah S.A.W. yang lahir ketika Baginda S.A.W. berusia 30 tahun. Zainab memeluk agama Islam bersama dengan bondanya Khadijah.



Zainab berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang terkenal jujur, iaitu Abu al-‘Ash bin al-Rabi’ sebelum ayahya, Muhammad menerima wahyu menjadi Nabi lagi.



Tapi Zainab terpaksa berpisah dengan suaminya yang tercinta bila beliau beriman dengan ajaran yang dibawa oleh ayahandanya, sedangkan suaminya enggan, dan tetap teguh berpegang kepada agama jahiliahnya.



Di saat-saat berpisahan yang getir kerana berlainan agama itu, kerana kengganan suaminya untuk memeluk Islam seperti beliau, Zainab dengan tegas berkata, “Aku sudah tidak halal lagi bagimu kalau engkau masih lagi berpegang pada agamamu,kerana itu serahkanlah aku kepada ayahku, atau Islamlah bersamaku……Tidak ada Zainab bagimu sesudah hari ini, kecuali jika engkau beriman kepada apa yang diimaninya”.



Selepas beberapa tahun berpisah, barulah keduanya dapat bersatu kembali setelah Abu ‘Ash memeluk agama Islam, dan berhijrah ke Madinah untuk bersama dengan isterinya Zainab.



Beliau mempunyai dua orang anak, seorang lelaki bernama Ali dan seorang lagi perempuan bernama Umamah. Usia Ali tidak panjang.



Zainab meninggal dunia pada tahun ke-8 Hijriah, ketika Nabi S.A.W. masih hidup, akibat kemalangan terjatuh di atas batu dari unta yang ditungganginya. Baginda Rasulullah S.A.W. merasa amat pilu dan sedih dengan kematian puterinya Zainab itu.



Justeru bila puteri kesayangannya Fatimah az-Zahara, isteri kepada Ali bin Abu Thalib melahirkan seorang bayi perempuan, Baginda S.A.W. terus menamakannya Zainab sebagai kenangan kepada puterinya Zainab yang telah kembali kerahmatullah itu.



Pemergian puteri Baginda, Zainab meninggalkan suri teladan yang gemilang kepada seluruh kaum wanita di sepanjang zaman, tentang kesetiaan seorang wanita yang bergelar isteri, keunggulan cinta kasihnya dan kekuatan imanya yang sentiasa utuh dan tidak berbelah bagi.



Semoga setiap wanita, khususnya yang bernama Zainab akan dikurniakan dengan sifat-sifat kemuliaan peribadi yang dimiliki oleh puteri Nabi S.A.W. yang bernama Zainab ini.



Anak-anak Fatimah az-Zahara yang lain ialah Hasan, Husin, Muhassin,Ummu Kalthum dan Ruqayyah.



EndPr.Pr.Pr.PrEnd

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP