Maut Pun Tiba..............
>> Thursday, June 14, 2012
MAUT PUN TIBALAH DI PANGKUAN..........
Hidup lawannya mati. Itulah lumrah alam. Kerana setiap yang hidup mesti akan mati. Tidak ada pilihan selain dari itu. Cuma yang berbeza ialah ketika mana dan bagaimana kematian itu datang menjemput.
Pagi semalam anak saya, Arham Zaini yang berada di Sandakan menelefon. Dia akan berada di Sandakan selama beberapa hari untuk menyertai mesyuarat penting. Penerbangan dari KL ke Sandakan mengambil masa kira-kira dua jam setengah.
Apa yang dicertikannya menarik. Bukan soal kerjanya, atau mesyuaratnya, tapi tentang maut dan kematian yang mesti ditempohi oleh setiap yang hidup, tidak kira manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau apa sahaja yang dikurniakan dengan rahmat kehidupan oleh Allah S.W.T. pasti akan merasai kematian.
Malam kelmarin, keluarganya berada dalam suasana kegawatan. Mereka tinggal di KL. Ia berpunca daripada seekor bayi kucing. Di rumah beliau sejak kebelakangan ini ada kucing dua beranak, ibu dan bayi. Asalnya anak kucing itu dua ekor, tapi seekor daripadanya mati tidak lama selepas dilahirkan ibunya. Kucing itu dijaga oleh anaknya, Qistina Zaini yang amat sukakan kucing. Dialah menjaga kebajikan kucing itu. Daripada tinggal di luar rumah, akhirnya kucing dua beranak itu dibenarkan masuk ke dalam rumah. Asalnya kucing jalanan yang mampir ke rumah.
Akhirnya kucing-kucing itu menjadi kesayangan keluarga mereka. Kucing-kucing itu amat jinak dan manja. Selalu berlengkar-lengkar dan berbelit-belit di kaki mereka. Tidak boleh hilang dari mata sekejap, mereka akan mencari dan menyeru-nyeru nama bayi kucing itu yang dinamakan “Tompok”.
Tapi malam kelmarin anak kucing itu tiba-tiba kelihatan tidak sihat. Kian lama nampaknya kian parah. Akhirnya dia tidak dapat lagi untuk bangun berdiri apa lagi berjalan. Ini membuat mereka sekelurga menjadi risau melihat bayi kucing yang sakit itu. Kasihan!
Pada tengah malamnya, bila anak kucing manja itu kian tenat, mereka mengambil keputusan untuk mebawanya menemui doktor untuk diberi rawatan. Tapi soalnya di mana hendak cari doktor haiwan di malam buta begitu? Walau bagaiamana pun, mereka bawa juga bayi kucing itu mencari doktor haiwan. Setelah berputar-putar selama kira-kira dua jam lebih di dalam bandar dan sekitarnya, mereka tidak bertemu dengan klinik haiwan yang mereka cari. Akhirnya mereka berpatah balik ke rumah, untuk menunggu besok hari.
Tapi sebaik-baik sahaja sampai ke rumah kira-kira pukul satu setengah pagi, mereka amat terkejut, melihat anak kucing itu telah kaku, tidak bernyawa lagi. Maka bersedihlah mereka sekeluarga.
Mereka tidak menduga bagaimana seekor anak kucing yang mati boleh mempengaruhi keluarga mereka hanyut dalam lautan kesedihan. Mereka tidak sedar untuk selama beberapa bulan ini telah wujud hubungan emosi yang kuat antara mereka dan kucing-kucing yang mreka pelihara itu yang telah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
Dalam keadaan termangun-mangun kerana kehilangan anak kucing itu, anak saya Arham Zaini terpaksa berangkat ke Sandakan untuk menghadari mesyurat di sana. Kemudiannya berlaku lagi perkara yang lebih mengejutkan.
Ketika sampai di Sandakan, isterinya telah menelefonnya memberitahu khabar duka, bahawa bapak saudara, atau pak cik isterinya itu telah meninggal dunia pagi itu di Pahang. Duka, lebih bertambah duka. Katanya doktor tidak berjaya mengesan apakah jenis penyakit yang membawa kematian kepada bapak saudaranya itu.
Inna lillahi wa inna ilahi rajiun.
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Kira-kira sejam kemudian pula, isterinya menelefon lagi menyampaikan berita yang menambahkan kesedihan. Neneknya pula turut meninggal dunia. Nenek itu telah tua, berusia kira-kira seratus dua puluh tahun lebih. Berjalan pun terpaksa dipimpin walaupun masih dalam keadaan “sihat”.
Bila jenazah pak ciknya dibawa balik ke rumah, nenek tua dibawa untuk melihat jenazah anak lelakinya itu. Sebaik-baik sahaja meliaht jenazah anaknya itu, dia amat terkejut, lalu tidak sedarkan diri, dan akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Inna lillahi wa inna ilauhi rajiun.
Kesedihan bertambah sedih. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali.
Semoga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah ke atas kedua hamba-hamba-Nya yang telah pergi menyahut panggilan-Nya. Amin!
Menantu saya tentulah ingin menziarahi pak cik dan neneknya yang meninggal dunia di Pahang itu, tapi tidak dapat, kerana suaminya pada masa itu sedang berada di Sandakan, sementara keluarga-keluarga yang lain yang tinggal di KL tidak dapat pergi hari itu kerana halangan-halangan besar yang tidak dapat dielakkan, antaranya ada di antara mereka yang sakit.
Dia sendiri tidak dapat memandu, walau pun ada kereta di rumah.
Maka bertambah-tambahlah sedihlah hati mereka.
Bayangkanlah kalau kematian seekor bayi kucing telah membuat mereka begitu terharu, bagaimana pula rasa hati mereka, bila dua orang keluarga yang dikasihi pergi dalam masa yang serentak?
Tapi itulah takdir Ilahi. Kita hanya mampu berharap dan merancang, tapi yang membuat segala keputusan adalah Allah. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali!
Adalah menjadi tanggungjawab kita, hamba-hamba-Nya meredakan segala keuputusan yang telah ditetapkan Allah itu, kerana ketentuan Allah adalah sebaik-baik keputusan.
Menyentuh tentang kematian ini, saya teringat kepada pendapat para ulamak yang mengatakan bahawa ada tiga kategori manusia dalam menghadapi kematian yang pasti akan datang bila tiba masanya mengikut ketentuan-Nya yang tidak boleh dilambat atau pun dipercepat walau pun sedetik.
Pertama ialah manusia yang merasa amat gembira bila mengingat kematian. Hatinya merasa lapang dan lega, kerana kematian itu akan membawa mereka bertemu dengan yang dikasihinya, iaitu Allah yang Maha Pengasih.
Mereka ini adalah golongan manusia unggul yang berilmu dan beriman yang memenuhi dadanya dan telah dikurniakan dengan makrifat Allah.
Manusia seperti ini mempunyai makam yang tinggi yang dimiliki oleh para ambia dan wali-wali Allah.
Semoga Allah memasukkan kita ke dalam golongan yang mulia ini.
Kedua ialah manusia yang merasa amat takut dan gerun bila meningati kematian. Hati mereka menjadi kecut dan menggelentar, kerana ketakutan mereka untuk bertemu dengan Allah yang Maha Besar dan Maha Kaya yang akan menentukan nasib mereka.
Mereka adalah orang-orang kafir, para penderhaka dan pendusa besar kepada Allah S.W.T. yang sepanjang hidupnya hanyut dalam kesesatan tanpa tali Allah.
Kematian mereka adalah kematian yang penuh kehinaan, dan mereka akan berdepan dengan berbagai-bagai azab pedih yang tidak dapat digambarkan kesegsaraannya.
Ya Allah jauhkanlah kami daripada termasuk golongan ini.
Ketiga ialah golongan manusia yang merasa sedih dan dukacita bila mengingati kematian yang akan menimpa. Mereka merasa takut. Tapi bila kematian benar-benar mendatangi, mereka akan merasa sukacita dan gembira, kerana mendapat kenikmatan yang abadi di sisi Allah yang tidak dapat digambarkan.
Orang-orang ini, jika ditawarkan pilihan, tidak lagi ingin kembali ke dunia yang fana ini yang penuh dengan penipuan dan penderitaan yang tidak berkesudahan.
Mereka seperti manusia, ketika berada dalam kandungan bondanya, tidak ingin keluar ke dunia, kerana merasa takut dan merasa lebih selesa dan selamat berada dalam kandungan perut ibunya itu daripada keluar ke alam dunia, tapi setelah keluar ke dunia, mereka tidak lagi bersedia untuk kembali ke dalam perut ibunya walaupun ditawar dengan berbabagi-bagai ganjaran.
Manusia dalam kategori ketiga ini ialah manusia yang beriman, tapi berada dalam makam yang biasa atau pun belum mencapai makam yang tinggi, dan tidak memiliki makrifat Allah semasa hidup di dunia yang singakt ini.
Demikianlah manusia dengan iman, dunia dan akhirat. Demikianlah manusia, dengan mati dan kehidupan yang saling kait mengait dan tidak dapat dipisahkan, sehati dan sejiwa. Ada hidup, ada mati, dan ada mati ada hidup.
Adalah menjadi kewajipan asasi kita untuk menjaga kematian itu supaya mati dalam keadaan baik, mati dalam keimanan yang kental meliptui jiwa.
“Siapa yang berjuang di jalan Kami, pastikan akan Kami tunjukkan padanya jalan yang lurus”.An-Kabut: 69.
EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End
0 comments:
Post a Comment