Yusoff Zaky Dan Fi Zilalil Quran

>> Saturday, June 23, 2012


YUSOFF ZAKY YACOB DAN FI ZILLALIL QURAN [Selintas Memori]



Fi Zilalil Quran karya Sayyid Qutb adalah sebuah tafsir agung dan diterjemah ke bahasa Malaysia oleh Allahyaraham Dato' Yusoff Zaky Yacob seorang penulis yang tidak asing lagi di tanah air kita.



Semalam saya keluarkan kembali buku tafsir terjemahan Yusoff Zaky itu dari simpanan dan mulai membacanya kembali. Tafsir ini hanya tafsir Juzu’ Amma atau “Surah Kecil” sahaja, iaitu sebahagian daripada 30 juzu’ al-Quran.



Ketika memegang buku terjemahan tafsir Fi Zilalil Quran dalam tulisan rumi itu, ingatan saya terus terkenangkan penterjemahanya yang saya kasihi, Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky. Antaranya perbualan saya dengan beliau mengenai terjemahan karya agung tersebut.



Beliau pernah memberi tahu saya setelah 30 juzu’ tafsir itu siap diterjemahkan bahawa ada beberapa orang kenamaan dan menteri datang menemui beliau minta untuk mencetak tafsir itu. Bila saya tanya kenapa beliau tidak menyerahkannya, beliau dengan keberatan menjawab, “Tak tahulah lagi”.



Tapi selepas itu beliau tidak pernah menyerahkan kepada mana-mana pihak untuk mencetaknya.



Sebelum itu beliau pernah memberi tahu saya bahawa dia amat bersyukur kerana dapat menyelesaikan terjemahan tersebut, dan berharap dapat segera menerbitkannya.



Katanya dengan demikian beliau akan dapat menutup matanya dengan aman.



Beliau juga menyatakan kebimbangan tidak berkesempatan dengan “umur hamba”, iaitu merujuk kepada usia beliau, kerna sejak kebelakangan ini beliau dilanda penyakit yang kronik. Beliau seolah-olah sedar usianya tidak begitu panjang lagi.



Beliau mengambil masa 11 tahun untuk menyiapkan tafsir Zilal al-Quran itu.



Sejauh yang saya ketahui, biasanya setiap kali beliau selesai menyiapkan satu juzu’ terjemahannya beliau akan menyediakan pulut kuning tanda kesuyukuran untuk jamuan pekerja-pekerjanya di percetakan Syarikat Dian.



Saya pernah berkunjug ke rumah beliau, waktu itu keluarganya sedang memasak pulut kuning untuk tujuan tersebut. Saya tahu, kerana setiap kali pergi ke rumah beliau, saya masuk menerusi pintu dapur.



Beliau juga pernah memberi tahu saya bahawa sepanjang menyiapkan kerja terjemahan tafsir itu, beliau tidak pernah membaca mana-mana tafsir yang lain kerana takut terpengaruh.



Bila saya beritahu beliau ada orang yang memberitahu saya bahawa tafsir Zilal al-Quran itu mengandung unsur kekerasaan, penuh cabaran, beliau dengan keras manafikannya.



“Tidak”, antara lain katanya, “Tafsir itu tidak mengajak orang berperang. Tuduhan itu tidak betul”.



Beliau juga pernah memberitahu saya bahawa beliau telah bertemu dengan adik Sayyid Qutb, di iaitu Muhammad Qutb di sebuah negara Arab, mungkin Mesir.



Katanya sangat susah untuk mencari dan bertemu dengan Muhammad Qutb. Setelah sekian lama mencarinya, barulah beliau menemuinya, iaitu secara sembunyi-sembunyi.



Beliau menjelaskan oleh sebab Muhammad Qutb seorang anggota Ikhwan Muslimin yang penting, ramai musuh-musuh, khsususnya Amerika Syarikat dan ajen-ajennya mencari beliau untuk dibunuh.


Oleh itu Muhammad Qutb terpaksa bersembunyi dan berpindah dari setempat ke setempat untuk keselamtannya.



Tujuan beliau menemui Muhammad Qutb ialah untuk memberitahu bahawa beliau telah menterjemah Zilal al-Quran dan membayar royaliti kepada keluarga Sayyid Qutb.



Beliau tidak memberiahu berapa banyak royaliti yang beliau sampaikan dan saya pula entah kenapa berat mulut untuk bertanya.



Katanya Muhammad Qutb memuji penyusuan terjemhan tafsir itu, termasuk ada catatan-catatan tepinya, dan ini kata Muhammad Qutb lebih baik daripada tafsiran asalnya dalam bahasa Arab hasil usaha abangnya itu.



Saya pernah melihat beberapa tafsir itu ketika beliau memerofnya, tapi tidak pernah melihatnya setelah dicetak dalam bentuk yang lebih canggih dengan harga mencecah ribuan ringgit.



Tafsir yang saya miliki sekarang ialah dalam tulisan rumi, cetakan tahun 1988, cetakan wakaf yang diterbitkan oleh Dato’ Haji Abdul Rahman bin Haji Hamzah untuk bondanya Al-Hajah Fatimah binti Haji Yacob. Naskah ini diserahkan oleh Dato’ Yusoff Zaky kepada saya sendiri ketika saya berkunjung ke rumahnya di Kampung Paya Purnama.



Hari itu Dato’ Yusoff Zaky menyerahkannya kepada saya sebanyak dua naskah, satu naskah daripadanya untuk seorang kawan yang berpesan supaya saya memintanya untuk beliau, dan saya serahkan kepada beliau pada hari itu juga.



Dalam sepatah kata untuk cetakan ini beliau mengiringinya dengan sebaris doa yang berbunyi, “Semoga tafsir ini menjadi obor hidup seseorang Muslim dalam perjalannya mencari jalan Allah dan menegakkannya dalam kehidupan masyarakat umat Islam”.



Sebelum itu saya juga telah memiliki tafsir Juz Amma sebanyak beberapa jilid yang dicetak dalam tulisan Jawi yang sebahagian daripadanya diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.



Sebelum beliau meninggal dunia pada 1 Syawal 1419 H [19 Januari 1999] beliau telah dikurniakan gelaran tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Kelantan.



Sehubungan dengan itu saya telah diminta menulis ringkasan riwayat hidup beliau untuk dibacakan di majlis yang bakal diadakan nanti di Masjid Kubang Kerian. Saya rasa permintaan itu datangnya daripada Pejabat Mufti Kerajaan Kelantan.



Saya tidak pasti samada tulisan saya itu ditunjukkan terlebih dahulu atau tidak untuk diambil persetujuanna sebelum disampaikan kepada umum.



Hanya beberapa hari selepas majlis itu selesaikan dijalankan, ketika bertemu dengan Dato’ Hj. Mohd Shukri Muhammad di pejabatnya di Kompleks Balai Islam, masa itu beliau memegang jawatan Timbalan Mufti Negeri Kelantan, dan kini Mufti, memberitahu kenapa saya yang diminta menulis riwayat hidup Dato’ Ysuff Zaky itu.



Antara lain katanya. “Dato’ Soh sendiri yang minta Zain menulisnya. Kita cuba mengemukakan beberapa orang lain, tapi beliau bertegas menolaknya. Itu syarat yang dibuat oleh beliau sendiri”.



“Syukur alhamdulillah, saya diberi penghormatan oleh beliau untuk menulisnya”, kata saya dalam hati.



Dan ini merupakan sebahagian daripada kenangan manis dalam hubungan beliau dengan saya yang telah terjalin selama bertahun-tahun lamanya sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang akhir.



Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan juga kepada Sayyid Qutb yang meninggal dunia di tali gantung pada 3 Jamadil Awal 1386 bersamaan dengan 29 Oktober 1966.



Amin!



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP