Orang Tak Sembahayang Dikutuk Oleh Semua Makhluk
>> Tuesday, June 19, 2012
ORANG YANG TIDAK BERSEMBAHAYANG DIKUTUK OLEH SEMUA MAKHLUK
Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Rejab dan sekali gus merupakan peristiwa penting dalam sejarah Islam. Peristiwa ini berlaku ke atas nabi yang terakhir, Nabi Muhammad S.A,W, yang merupakan salah satu mukjizat kepada Rasulullah.
Banyak pengajaran yang boleh ditimba daripada peristiwa yang luar biasa itu yang mungkin tidak dapat diterima oleh manusia yang menggunakan akal dan logik semata, tegasnya menusia yang bertuhankan akal, tapi tidak beriman.
Dari sejak dahulu pun, orang-orang seperti ini terus menafikannya. Mereka adalah terdiri daripada orang-orang kafir yang menentang ajaran Baginda Rasulullah S.A.W.
Justeru itu ianya merupakan satu cabaran keimanan kepada semua orang-orang Islam, kerana orang-orang Islam yang nipis imannya juga mungkin ragu-ragu untuk mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj itu benar-benar berlaku ke atas Baginda S.A.W.
Mereka lupa bahawa Allah itu Maha Berkuasa, boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, termasuk peristiwa Israk Dan Mikraj ini.
Allah berfirman, “Maha Suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda [kebesaran] Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. Ai-Israk:1.
Justeru memanglah layak peristiwa Israk dan Mikraj itu dikenang dan diingati oleh seluruh umat Islam dari sejak sekian lama. Tok-tok guru, para pendakwah, penceramah akan mengulangi cerita-cerita Israk dan Mikraj, kesan-kesannya terhadap umat Islam dan pengajaran-pengajaran penting yang perlu mereka ambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas Jujungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. itu.
Satu perkara penting yang juga tidak boleh dilupakan dalam memperingati Israk dan Mikraj ialah berusaha sedaya upaya untuk membebaskan masjid al-Aqsa dan bumi Palestin daripada penjajahan Yahudi yang bermaharajalela meratahnya sejak sekian lama.
Malam ini, Masjid Sungai Durian, Kuala Krai, seperti biasa telah mengadakan acara khas menyambut Israk dan Mikraj. Seorang penceramah khas, Ustaz Saifudin Ismail dari Nilam Puri telah diundang untuk menyampai ceramah Israk dan Mikraj.
Beliau antara lain menegaskan bahawa banyak iktibar dapat diperolehi daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu. Antaranya yang penting ialah mengenai ibadat solat atau sembahayang.
Nabi S.A.W. menerima ibadat sembahayang langsung dari Allah di langit yang tertinggi, sedangkan ibadat-ibadat yang lain Nabi S.A.W. menerimanya di bumi.
Ibadat sembahayang ini amat penting. Orang-orang yang tidak sembahayang itu dikutuk oleh seluruh makhluk Allah, malaikat, pokok-pokok, haiwan, pakaian yang mereka pakai, makanan yang mereka makan, rumah yang mereka tinggal, semuanya mengutuk orang yang tidak sembahayang. Hanya orang yang berkenaan sahaja tidak menyedarinya.
Beliau mengungkapkan sebuah kisah tentang seorang wanita datang menemui Nabi Musa a.s. Wanita itu menyatakan kepada Nabi Musa a.s. hasratnya untuk bertaubat daripada dosanya sebagai seorang penzina dan pembunuh anaknya yang dilahirkan dari hasil perzinaan itu.
Mendengar pengakuan wanita tersebut, Nabi Musa a.s. amat marah lalu segera menghalau wanita itu, kerana takut bencana akan menimpa mereka kerana dosa wanita itu..
Kemudian Allah segera menghantar Malaikat Jibril menemui Nabi Musa a.s. Setelah memperkenalkan dirinya, Jibril pun bertanya, kenapa Nabi Musa menghalau wanita yang datang hendak bertaubat itu.
Nabi Musa a.s menjelaskan bahawa beliau berbuat demikian kerana wanita itu seorang yang jahat, penzina dan pembunuh.
Jawab Jibril, “Tapi kamu tidak tahu, ada di kalangan umatmu yang lebih jahat daripada wanita itu”.
“Siapa?’.Tanya Nabi Musa a.s.
“Mereka adalah orang yang tidak sembahayang”, jawab Jibril.
Demikian kata beliau, orang yang tidak sembahayang itu lebih jahat daripada orang yang berzina dan membunuh.
Oleh itu beliau menyeru, supaya semua umat Islam menjaga sembahayang mereka, juga mempastikan anak-anak mereka yang masih kecil lagi pun supaya sembahayng.
Kehidupan umat Islam ialah berkisar, antara rumah dan masjid untuk bersembahayang sebagaimana salah satu mesej yang terkandung dalam Israk dan Mikraj.
EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd
0 comments:
Post a Comment