Jaafar Rawas Kongsi Mertabak

>> Sunday, June 24, 2012


JAAFAR RAWAS KONGSI MERTABAK



Dalam perjalanan pulang berkereta dari Pasir Tumbuh, KB ke Kuala Krai bersama dengan anak saya,Ahmad Faris Zaini [yang memandu] kelmarin, kami berhenti di kedai Jaafar Rawas yang terletak di pinggir jalan Kuala Krai-Kota Bharu.



Kami dimaklumkan kedai itu baru kira-kira sebulan memulakan operasinya, dan masih dalam persiapan mengisi barang-barang yang hendak dipasarkan, kitab-kitab, buku-buku, pakaian lelaki dan perempuan terdiri dari berbagai-bagai jenis jubah, pakaian untuk naik haji, makanan kesihatan, termasuk berbagai-bagai jenis madu dan sebagainya.



Kedai dua tingkat ini terletak dalam kawasan Bandar Baru Tunjung [BBT] yang sedang dalam proses pembangunan di bawah rancangan Kerajaan Negeri Kelantan. Bandar baru Tunjung ini merupakan sebuah Bandar Islam dalam Taman.



Mengikut rancangannya BBT merupakan pusat pertumbuhan baru bagi negeri Kelantan yang akan dipenuhi dengan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan juga kerajaan Pusat, pusat perkhidmatan, pusat pengangkutan, pusat perdagangan, dan juga kawasan kediaman moden.



Kedai Jaafar Rawas yang baru yang terletak di Tunjung ini merupakan cawangan daripada Syarikat Jaafar Rawas yang terletak di Medan Ilmu, Jalan Tok Pati, Kota Bharu. Kedai ini mudah dilihat, dalam perjlanan, bila sampai di BBT, jika kita berpaling ke kiri dari KK ke KB atau berpaling ke kanan dari KB ke KK, kedai ini akan kelihatan tersergam.



Ketika kami membelek-belek jubah di tingkat atas bangunan itu saya terkenangkan tuan empuya syarikat Jaafar Rawas itu, iaitu Allahyarham Encik Jaafar Rawas. Beliau benasib baik, perniagaannya disambung oleh keluarganya, dan kini tebaran jaringan perniagaannya pesat melebar.



Saya sebenarnya tidak begitu mengenali Allahyarham Encik Jaafar Rawas semasa hayatnya tapi saya kenali beliau sebagai seorang peniaga buku, dan saya tahu beliau seorang penggiat politik di belakang tabir. Beliau adalah seorang yang peramah dan suaranya lantang kedengaran bila bercakap.



Sambil membelek-belek jubah itu, saya memberitahu anak saya, Ahmad Faris bahawa saya terkenang tentang salah satu pertemuan saya dengan Allahyarhan Jaafar Rawas secara tidak sengaja pada suatu hari seputar tahun 1970-an.



Pada sautu malam saya berada di suatu majlis di Kota Bharu. Ramai orang yang hadir pada malam itu. Tapi ada sebuah kerusi di sebelah kiri saya masih kosong, walau pun acara hampir dimulakan.



Tiba-tiba lampu dalam dewan padam. Kami bergelap. Pada masa itulah ada seorang masuk dan duduk di kerusi kosong sebelah saya itu. Seorang lelaki ang entah siapa gerangannya.



Sejurus kemudiannya lelaki itu membuka sebuah bungkusan yang dibawanya. Rupanya dia membawa bekalan sekeping murtabak.



Beliau mengoyak martabat itu dan membahaginya. Sebahagiannya dihulurkan kepada saya.”Nah ambillah”, katanya, “ana separuh, anta separuh. Ana belum makan malam lagi ni”.



“Allah baiknya orang ini”, kata saya dalam hati. Mula-mulanya saya menolaknya. Tapi beliau terus meletaknya dalam tangan saya, sambil berkata lagi “Ambillah, kita makan sama-sama. Taka pa. Ana pun dah cukup ni”.



Selepas mengucap terima kasih, saya terus makan mertabak itu bersama beliau. Sedap pula rasanya. Lagi pun saya juga masih belum sempat makan malam.



Dalam hati saya terus tertanya-tanya siapa lelaki yang baik hati ini?



Bila selesai makan dan lampu dinyalakan, lelaki itu rupanya Allaharham Jaafar Rawas, tuan punya kedai buku yang sering saya kunjungi.



Kami tidak dapat bercakap, kerana program telah bermula, nanti menganggu majlis dan tetamu di sekeliling.



Iitulah sedikit memori saya terhadap Jaafar Rawas yang meninggal dunia pada tahun 1988.



Setelah membeli jubah, buku-buku dan madu kami pun meninggalkan keadai Jaafar Rawas. Selepas menjelaskan harganya kami dihadiahkan dengan dua botol kecil minyak wangi kasturi, seorang sebotol.



Itulah dipantunkan orang:


Pulau Pinang jauh ke tengah


Gunung Daik bercabang tiga,


Hancur badan dikandung tanah,


Budi baik dikenang juga.



Semoga Allah cucuri raihmat ke atas rohnya. Amin.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd

1 comments:

aziz barawas February 13, 2015 at 9:05 PM  

Assalamu'alaikum.... terima kasih kepada pondokrahmat.blogspot.com kerana berkongsi cerita Allahyarham Jaafar Rawas iaitu atuk saya. Semoga cerita ini dpat mnjadi tauladan dan sebagai contoh kepada semua. sekain.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP