Apakah Persaudaran Dalam Islam?

>> Sunday, June 3, 2012


APAKAH PERSAUDARAN DALAM ISLAM?



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Kata Bermula:


Setiap orang manusia yang hidup di dunia ini memerlukan orang lain, dari sejak ia dilahirkan ke dunia, hingga ke liang lahad. Tidak ada pilihan lain dari itu, mahu tidak mahu, dia mesti hidup bersama orang lain, bermasyarakat, bersilaturahim, bersaudara-mara atau beradik-kakak.



Dalam menjalin persahabatan atau persaudaran itu Islam telah menentukan garis-garis tertentu untuk dipatuhi oleh semua umat disegala tempat dan di segala masa. Melanggarnya bererti melanggar perintah Alah S.W.T.



Tulisan ini saya susun semula dari risalah berjodol “Ukhwah Islamiah” yang diedar secara percuma oleh pihak berkuasa kepada orang ramai. Tulisan ini sejajar dengan tajuknya “Ukhwah Islamiah” membicarakan persaudaran dalam Islam, dan bagaimana Islam menggalakkan persaudaran itu di kalangan umat manusia.



Selamat membaca, semoga memberi manfaat.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Persaudaran Seagama



Persaudaran seagama tegasnya persaudaran sesama Islam atau “Ukhwah Islamiah”, adalah asas persaudaran sejagat dalam Islam.



“Ukhwah” perkataan bahasa Arab bererti “persaudaran” dan “Islamiah” juga berasal dari bahasa Arab bererti “Islam”. Jadi “Ukhwah Islamiah” bererti “Persaudaran Islam”.



Perkataan yang memberi erti persaudaran atau “ukhwah” di dalam al-Quran terdapat sebanyak 99 kali, antara lain, firman Allah yang bermaksud:



a] “Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan [semasa jahiliah dahulu], lalu Allah menyatukan di antara hati kamu [sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam], maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara”. Ali-Imran: 103



b] “Dan Kami cabut di hati mereka perasaan dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara”. Al-Hijr: 47



c]“Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”. Al-Hujuraat: 10.



d] “Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya”.Al-Hujuraat: 12.



e] “Wahai Tuhan kami! Ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami rasa dengki terhadap orang yang beriman”. Al-Hasyr: 10



Persaudaran Dalam Al-Quran



Ada dua jenis persaudaran yang disebut dalam al-Quran, iaitu:



Pertama, persaudaran yang berdasarkan kepada keturunan atau ukhwah nasbiah, sebagaimana terdapat di dalam beberapa ayat al-Quran, antaranya firman Allah yang bermaksud:



a]“Jika seseorang meninggal, baik lelaki mahu pun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki [seibu] atau seorang saudara perempuan [seibu] maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta”.An-Nisaa’: 12.



b]”Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada [Qabiil] bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. [Qabil] berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”.Al-Maaidah: 31.



c]“Engkau [Muhammad] tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekali pun orang-orang itu bapaknya, anaknya, saudaranya atau keluarganya”. Al-Mujadilah: 22.



Kedua, persaudaraan berdasarkan akidah:


Persaudaran berasaskan akidah ini pula terbahagi juga kepada dua jenis, iaitu Muslim atau kafir, iaitu persaudaran dalam kekufuran atau ukhwah Islamiah.



a]Persaudaraan Dalam Kekufuran



Persaudaran ini terdapat di kalangan orang kafir sesama orang kafir. Ia tidak mungkin berlaku di antara orang kafir dan orang Islam sejati, kecuali si Muslim itu seorang yang munafik.



Allah menerangkan dalam al-Quran tentang persaudaran dalam kekufuran itu dalam beberapa ayat, antaranya:



a]-“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang kafir [orang munafik] itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka melakukan perjalanan di atas muka bumi atau pergi berperang, “Kalau mereka tinggal tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati terbunuh”. Ali-Imran: 156.



b]-“Dan saudara-saudara mereka [orang kafir dan fasik] membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan mereka dan mereka itu tidak berhenti [menyesatkannya]”. Al-Araf: 202.



c]-“Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat engkar kepada Tuhannya”. Al-Isra’: 27.



d]-“Tidakkah engkau memerhatikan orang munafik yang berkata kepada saudara-saudaranya yang kafir di antara Ahli Kitab, “Sesungguhnya jika kamu diusir keluar nescaya kami pun akan turut keluar bersama kamu; dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapa pun demi kamu, dan jika kamu diperangi pastikan kami akan membantumu”. Dan Allah menyatakan bahawa mereka benar-benar pendusta”. Al-Hasyr: 11.



Persaudaran Islam



Persaudaran Islam atau Ukhwah Islamiah adalah persaudaran yang hanya semata-mata didasarkan kepada akidah Islamiah, dan tidak kepada yang lain-lainnya, seperti isme-isme atau fahaman-fahaman atau bangsa dan keturunan.



Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran berhubung dengan persaudaran seakidah Islam ini, antaranya:



a]-“Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu [yang dijanjikan akan diselamatkan], sesungguhnya [perbuatannya], perbuatan yang tidak baik”. Hud: 46.



Dengan itu jelaslah bahawa persaudaran dalam Islam mestilah diasaskan kepada akidah atau Islamiah, dan tdak boleh sama sekali diasaskan kepada faktor-faktor lain yang tidak berasaskan akidah, seperti semangat kebangsaan, keturunan, kewarganegaraan, kenegerian dan sebagainya.



Malah seluruh umat Islam adalah masyarakat yang beradasarkan akidah Islamiah, tanpa mengira bangsa dan keturunan.



Berhubung dengan perkara ini Allah berfirman, antaranya dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 92 dan Al-Mukminum dalam ayat 52.



a]-“Sungguh, [agama tauhid] inilah agama kamu, agama yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku”. Al-Anbiya’: 92



b]-“Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara”. Al-Hujurat: 10.



Justeru itu sebarang persaudaran yang tidak dilandaskan kepada akidah Islamiah, seperti isme-isme atau kebangsaan tidak termasuk dalam persaudaran keIslaman, dan masih merupakan persaudaran masyarakat yang bergelumang dengan sifat-sifat jahiliah.



Baginda Rasulullah S.A.W. bersabda:



a]-“Hendaklah engkau tinggalkan kebangsaan engkau, kerana ianya adalah perkara yang busuk dan kotor”.



b]-“Bukan dari golongan kami orang yang mengajak kepada kebangsaan, bukan dari golongan kami orang yang berjuang kerana kebangsaan dan bukan dari golongan kami orang yang mati kerana kebangsaan”.HR: Abu Daud.



Menggalakkan Persaudaran Islam



Untuk mempastikan pelaksaan persaudaran Islam ini berjalan lancar, maka Islam telah menetapkan beberapa garis dan peraturan yang berupa kewajipan, suruhan dan larangan, antaranya:



a]Islam mewajibkan umatnya solat berjemaah, dan jemaah solat itu pula mesti berada dalam barisan yang betul dan rapat.



b]Islam mewajibkan umatnya berkumpul seminggu sekali setiap hari Jumaat untuk solat Jumaat. Dengan berkumpul untuk solat pada hari itu dan juga mendengar khutbah Jumaat akan dapat melahir dan menyemarakkan persaudaran Islam.



c]Islam mengarahkan umatnya menghadiri perjumpaan besar dua kali setahun, iaitu pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha untuk solat berjemaah kedua hari raya dan juga mendengar khutbah kedua hari raya.



Pada hari itu juga umat Islam digalakkan saling kunjung mengunjungi, ziarah menziarahi untuk mengeratkan persaudaran dan saling pohon memohon kemaafan antara satu sama lain.



d]Umat Islam diwajibkan menunaikan ibadat Haji di tanah suci Mekah kepada mereka yang berkemampuan. Perhimpunan mengerjakan ibadat Haji dan Umrah ini merupakan muktamar tahunan peringkat antara bangsa yang terbesar kepada umat Islam. Sudah tentu hal ini dapat mewujudkan dan merapatkan Persaudaran Islam.



e] Islam mewajibkan pengeluaran zakat kepada umat Islam yang berkemampuan mengeluarkan zakat, iaitu mereka yang memiliki harta yang cukup syarat-syaratnya. Ia merupakan penyampaian bantuan wajib yang boleh mengeratkan hubungan anggota masyarakat dalam persaudaran Islam.



f] Islam menggalakkan umatnya memberi sedekah kepada mereka yang berada dalam kesempitan dan memerlukan bantuan. Ini sudah tentu dapat mengeratkan hubungan silaturahim atau persaudaran dalam Islam.



Allah berfirman, “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh [manusia] memberi sedekah, atau berbuat baik, atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kelak Kami memberi kepadanya pahala yang besar”.An-Nisa’: 114



g] Islam mewajibkan umatnya memenuhi jemputan jika dia diundang, baik ke majlis perkahwinan atau ke majlis-majlis yang lain yang sesuai dengan Islam, dan bukannya ke majlis-majlis yang mengandungi unsur-unsur maksiat, seperti percampuran bebas antara lelaki dan perempuan, ke majlis minuman keras, tari menari dan sebagainya.



h] Islam menggalakkan umatnya menyertai majlis-majlis gotong royong yang dianjurkan untuk tujuan yang mulia, seperti membersih tali air, kawasan perumahan, tanah perkuburan, membaiki rumah kediaman orang yang kurang upaya dan sebagainya, dan bukannya menghadiri majlis-majlis yang bertujuan untuk menggalakkan maksiat, seperti membina bangunan-bangunan untuk majlis bersukaria lelaki dan perempuan, atau majlis tari menari dan sebagainya.



Sabda Rasulullah S.A.W.



a]-“Bandingan orang-orang Mukmin dalam kasih mengasihi dan hormat menghormati dan sayang menyayangi di antara mereka samalah seperti jasad yang satu, apabila sakit sesuatu anggota sahaja, maka seluruh anggota yang lain pun turut sakit sama, tidak dapat tidur dan sama-sama merasa demam”.



b]-“Tidak beriman seseorang kamu sehingga ia cintakan untuk saudaranya apa yang ia cintakan untuk dirinya sendiri”.



c]-“Orang Islam ialah orang yang selamat seluruh umat Islam dari lidah dan tangannya”.



Persaudaran Kekeluargaan



Islam bukan sahaja tidak menghalang terjalinnya hubungan antara anggota keluarga, malah juga menggalakan seluruh umat Islam berbuat demikian.



Tapi dengan syarat hubungan itu tidak bercanggah dengan asas-asas ajaran Islam, serta kesuciannya, dan tidak pula menghalang agama Islam atau merosakkanya, seperti melakukan amalan-amalan yang bercanggah dengan akidah Islam.



Terdapat banyak ayat-ayat suci al-Quran dan Hadis-hadis Nabi S.A.W. yang menjelaskan tentang kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan, khususnya antara anak dan ibu bapa, walaupun berlainan agama, asalkan mereka tidak menghalang ajaran agama Islam, seperti menghalang daripada melaksanakan solat atau puasa, atau menyembah berhala-berhala yang membawa kepada kesyirikan.



Allah berfirman, antara lain:



-“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”. Al-Mumtahanah: 8.



Tapi andainya hubungan kekeluargaan itu menjadi batu penghalang kepada agama, maka Allah sama sekali melarang hubungan seperti itu.



-“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudara kamu pemimpin-pemimpin kamu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran daripada keimanan. Barang siapa di kalangan kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpin kamu, maka mereka itulah orang yang zalim”. At-Taubah: 23,



Berpegang kepada larangan Allah S.W.T. itulah Baginda S.A.W. bertindak memutuskan hubungan dengan keluarga-keluarganya yang tertentu, dan demikian juga nabi-nabi Allah yang lain sebelumnya dan juga orang-orang yang beriman.



Di antara mereka yang dapat kita nukilkan di sini ialah:



-Baginda Rasulullah S.A.W. memutuskan hubungan dengan bapa saudranya, Abu Lahab.



-Baginda Rasulullah S.A.W. memutuskan hubungannya dengan ayah mertuanya, Abu Sufian sebelum beliau masuk Islam.



-Puteri Baginda Zainab memutuskan hubungan suami isteri dengan suaminya, Abu al-‘As bin al-Rabi’ sebelum suaminya memeluk Islam.



-Isteri Baginda S.A.W.,Umum Habibah putus hubungan dengan ayahandanya Abu Sufian sebelum ayahandanya memeluk agama Islam.



-Saad bin Abu Waqas putus hubungan dengan ibunya.



-Nabi Nuh a.s. putus hubungan dengan anaknya.



-Nabi Ibrahim a.s. putus hubungan dengan ayahandanya dan kaum kerabatnya.



Maka berkatalah Nabi Ibrahim a.s. kepada kaumnya, “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain Allah, kami mengengakri [kekafiran]mu dan telah nyata antara kami dan kamu ada permusuhan dan kebencian buat selama-lamanya sampai kamu beriman kepada Allah sahaja”. Al-Mumtahanah: 4.



Persaudaran Dan Penganut Agama Lain



Walau bagaimana pun, konsep persaudaraan Islam ini tidak sama sekali menganggap penganut-pengantu agama lain yang hidup di bawah naungan kerajaan dan masyarakat Islam sebagai musuh atau seteru mereka, selagi mereka tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam dan selama mereka tidak menentang ajaran Allah dan Rasul-Nya, Nabi Muhammad S.A.W.



Allah S.W.T. berfirman:



a]-”Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil”.Al-Mumtahanah: 8.



b]-“Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang yang memerangi kamu dalam urusan agama dan mengusir kamu dari kampung halamanmu dan membantu [orang lain] untuk mengusirmu sebagai kawan kamu. Barang siapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang yang zalim”. Al-Mumtahanah: 9.



End:Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP