Kalau Belum Ada Gerah

>> Thursday, June 21, 2012



KALAU BELUM ADA GERAH….



Tidak ada apa-apa gerah atau geruh boleh menimpa ke atas seseorang tanpa izin Allah. Hanya Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang menentukan segala-galanya.



Demikianlah yang dirasakan oleh seorang wanita yang terselamat daripada dipatuk oleh seekor ular bisa yang menyelinap masuk ke dalam biliknya petang kelmarin.



Wanita itu amat terkejut melihat seekor ular berbisa berada dalam bilik di tingkat atas rumahnya di Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan.



Waktu dia berada dalam bilik tersebut, tiba-tiba dia ternampak ada setompok benda macam sampah berwarna hijau terletak di tepi dinding bilik itu.



Walau bagaimana pun tercetus keraguan dalam hatinya. Sebelum mengambilnya untuk dibuang dia mengamatinya sekali lagi, dan amat terekejut melihat benda itu kelihatan bergerak-gerak kecil.



Bila dia amati lagi ianya seekor ular yang duduk berlengkar di tepi dinding. Ular itu sedang menunggu mangsa yang malang untuk menyerang.



Beliau merasa amat bersyukur tidak tersepak, terpijak atau memegang ular itu, yang pada mulanya disangka sampah, kalau tidak Allah sahaja yang tahu.



Demikianlah kalau belum sampai gerahnya, ertinya belum diizinkan Allah semuanya selamat.



Setelah diberitahu kepada suaminya, seorang penangkap ular telah dipanggil dan tiba dalam masa yang sekejap sahaja. Beliau adalah seorang pemuda yang terkenal sebagai seorang penangkap dan penjinak ular di Gucil, Kuala Krai.



Bila pemuda itu sampai, dia telah berjaya menangkap ular itu dengan tangannya dalam masa beberapa minit sahaja.



Menurut beliau ular yang berwarna hijau itu dikenali dengan nama ular gading wat, sejenis ular yang bisa juga.

Katanya, ini adalah ular gading wat yang paling besar pernah ditangkapnya. Ular ini tidak lari bila melihat orang, tapi menunjukkan sikap untuk menyerang, ujarnya lagi.



Pada masa-masa yang lepas, katanya, ular gading wat yang pernah ditangkapnya ialah sebesar jari kelingking sahaja, tapi kali ini lebih besar dari ibu kaki.



Beliau tidak membunuh ular itu, tapi memasukkannya ke dalam sebuah beg kecil dan membawanya pergi bersama-sama dengannya.



Beliau juga sempat menceritakan bahawa di rumahnya, beliau ada memelihara seekor ular tedung selur sebesar lengan yang telah dipeliharanya selama tujuh tahun.



Seisi rumah tersebut berdoa semoga tidak ada lagi ular, atau apa-apa sahaja mara merbahaya yang nampak atau tidak nampak masuk dan berada dalam rumah dan mengancam keselamatan mereka di masa-masa akan datang.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP