Mendamba Semangat Juang Sahabat Umayr

>> Thursday, June 7, 2012



MENDAMBA SEMANGAT JUANG SAHABAT UMAYR



UMAYR adalah sebuah nama besar dalam sejarah Islam, salah seorang sahabat Nabi yang terkenal dan mendapat didikan secara langsung daripada Baginda S.A.W. yang mempunyai semangat juangnya yang tinggi yang patut didamba oleh umat Islam, khususnya para belia.



Beliau seorang yang berani, warak dan zuhud yang berjuang kerana Islam.



Di tanah air kita nama Umayr ini jarang mendapat liputan, tidak seperti nama sahabat-sahabt besar yang lain. Walau bagaimana pun Umayr tetap mempunyai tempatnya yang tersendiri dalam sejarah perkembangan Islam.



Tapi pada suatu hari Jumaat, khatib di Masjid Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Dr. Abdul Basit Abdul Rahman dalam khutbah Jumaatnya telah menyentuh tentang perjuangan Sahabat Umayr ibnu Sa’ad al-Ansari ini.



Anak saya Ahmad Faris Zaini yang berkebetulan solat Jumaat di masjid tersebut amat tertarik dengan kesah ketokohan Umayr itu, dan juga keberaniannya dari sejak kanak-kanak berusia 10 tahun lagi.



Pada masa itu dia sedang mencari-cari sebuah nama untuk anaknya yang akan dilahirkan oleh isterinya, Azliza Ismail tidak lama lagi, yang diduga anak lelaki.



Terbetik dalam hatinya jika anak yang akan dilahirkan oleh isterinya nanti seorang lelaki, dia akan memberi namanya Umayr sempena dengan nama Umayr Sahabat Baginda Rasulullah S.A.W. itu.



Dan bila anak itu benar-benar dilahirkan pada hari Selasa, pada 29 Mei 2012 di Klinik An-Nur Kubang Kerian, seorang lelaki, maka dia langsung membuat keputusan menamakannya Umayr dengan tambahan di hujungnya " Zaini", nama keluarga kami.



Pada hari ketujuhnya diadakan upacara bercukur atau potong jambul di rumahnya di Sungai Durian, yang di sempurnakan oleh Ustaz Dr. Abdul Basit sendiri pada pagi Selasa 4hb.Jun 2012 dengan sedikit hidangan secara ala kadarnya.



Sejarah



Menurut sejarahnya, bapak Umayr meninggal dunia ketika Umayr masih kecil, meninggalkan beliau dan ibunya dalam keadaan melarat dan kesusahan.



Tapi akhirnya nasibnya terbela bila ibunya berkahwin lain dengan seorang lelaki terkaya di Madinah, Julas ibnu Suwayd yang berasal dari kalangan bangsawan, suku kaum yang berkuasa, Aus.

Umyr memeluk agama Islam, ketika usianya baru hampir 10 tahun. Walau pun usianya pada masa itu masih muda, tapi Umayr sering berulang-alik ke mesjid untuk beribadat.



Pada tahun 9 Hijriah, Baginda Rasulullah S.A.W. mengumumkan untuk menyerang tentera musuh, di Tabuk. Baginda S.A.W. mengeluarkan arahan supaya umat Islam segera menyiapkan segala keperluan untuk tujuan tersebut. Pada masa itu musuh-musuh Islam yang terdiri dari tentera Rom Byzantine sedang berkumpul di Tabuk.



Orang-orang Rom yang pada mulanya merancang untuk menyerang umat Islam terkejut menyaksikan kemaraan bala tentera Islam yang begitu ramai dan dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. sendiri. Mereka adalah tentera-tentera padang pasir yang tidak mengenal erti mundur dalam perjuangannya. Justeru orang-orang Rom kehilangan semangat dan berundur kembali ke negeri mereka. Tentera-tentera Islam tidak memburu mereka, tapi berkhemah di suatu tempat bernama Tabuk.



Sejurus sebelum tentera itu berangkat, selepas solat di masjid, Umayr kembali ke rumahnya. Beliau terkejut melihat Julas, bapak tirinya begitu perlahan dalam tindakannya untuk berangkat ke Tabuk dan begitu keberatan untuk bersedekah.



Lebih kaget lagi bila beliau mendengar bapak tirinya itu berkata,"Jika dakwaan Muhammad benar bahawa dia seorang Nabi, maka kita semua lebih hina daripada keldai."



Umayr tidak dapat mempercayai kata-kata tersebut keluar dari mulut bapak tirinya itu.



Ini membuat Umyri berada dalam delima. Beliau terpakasa membuat pilihan untuk menjaga perhubungan baik dengan bapak tirinya itu atau bertindak untuk menghadapi pendusta dan orang-orang munafik. Namun beliau terpaksa juga membuat pilihan. Ia merupakan cabaran yang getir kepada keimanannya.



Sebagai seorang yang beriman, walau pun masih kanak-kanak beliau telah membuat keputusan untuk membela agama Islam dan menegakkan kebenarannya. Beliau langsung pergi ke masjid dan menemui Rasulullah S.A.W memberitahu, apa yang telah dikatakan oleh bapak tirinya itu kepada Baginda S.A.W.



Baginda Rasulullah S.A.W. memanggil Julas supaya datang menemuinya. Bila ditanya adakah dia berkata tentang Rasulullah S.A.W. sebagaimana dilapurkan oleh anak tirinya Umayr, beliau menapikan sekeras-kerasnya dan menuduh Umayr telah berdusta.




Mendengar kata-akat bapak tirinya itu, Umayr terus berdoa kepada Allah dengan berkata: "Wahai Allah, turunkan wahyu kepada Nabi-Mu untuk mengesahkan apa yang telah saya beritahu kepada Rasulullah”.



Kemudian turunlah wahyu kepada Baginda Rasulullah S.A.W. dan Baginda S.A.W. membaca ayat al-Quran yang bermaksud:


“Mereka [orang munafik] bersumpah [dengan nama Allah], bahawa mereka tidak mengatakan [sesuatu yang menyakiti Muhammad]. Sungguh, mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran, dan telah menjadi kafir setelah Islam, dan menginginkan apa yang mereka tidak mencapainya, dan mereka tidak mencela [Allah dan Rasul-Nya] sekiranya Allah dan Rasul-Nya telah melimpahkan kurnia-Nya kepada mereka. Maka jika mereka bertaubat, itu adalah lebih baik bagi mereka, dan jika mereka berpaling, niscaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan akhirat; dan mereka tidak mempunyai pelindung dan tidak [pula] penolong di bumi”. At-Taubah: 74.



Mendengar kata-kata tersebut, Julas lalu berpaling menghadap Baginda S.A.W. dan berkata, "Wahai Rasulullah. Saya bertaubat. Umayr sebenarnya bercakap benar, dan saya berbohong. Saya memohon Allah menerima taubat saya ..."



Julas segera bertaubat, dan selepas itu dia menjadi seorang yang beriman dan bertakwa, memperbaiki dirinya menjadi seorang Muslim yang setia.



Setiap kali mendengar nama Umayr disebut orang, Julas akan berkata:



"Semoga Allah menganugerahkan ganjaran kepada Umayr atas namaku. Dia telah menyelamatkan aku daripada menjadi kufur dan memelihara leher aku daripada api neraka”.



Dalam masa pemerintahan Khalifah Umar ibnu al-Khattab, Umayr ibnu Sa’ad telah dilantik menjadi Gabenor Hims, Syria. Untuk tujuan tersebut, Khalifah Umar telah melepaskan tanggungjawabnya di medan perang.



Pada masa itu beliau adalah salah seorang tentera Islam dalam misi mengitari Semenanjung Arab dan wilayah besar Syria dalam perjuangan suci kerana kepentingan Islam.



Umayr menerima perlantikan sebagai gabenor itu dengan hati yang berat, kerana beliau lebih sukakan berjihad di medan perjuangan daripada memegang jawatan tersebut.



Pada masa itu beliau masih muda, berada dalam lingkungan usia awal dua puluhan tahun.



Beliau wafat dalam zaman pemerintahan Khalifah Umar Ibnu Al-Khatab.



Semoga Umayr yang baru ini dikurniakan dengan keperibadian dan semangat juang yang tinggi dan keberanian yang dimiliki oleh Umayr ibnu Sa’ad, sahabat Nabi S.A.W. yang terbilang itu.



Malah semangat juang Umayr yang tinggi ini sepatunya menjadi inspirasi kepada seluruh umat Islam, terutama di kalangan generasi-generasi muda kita yang sebahagiannya telah kehilangan arah dan hala tujunya dalam kehidupan di abad-abad moden yang begitu bercelaru.



Ya Allah perkenankan doa kami!



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP