Dialog-dialog Sumbang
>> Monday, June 18, 2012
DIALOG-DIALOG SUMBANG
Kebiasaannya kalau orang bertanya kita menjawab. Orang kata, kita balas. Orang tegur, kita sahut. Orang tawar, kita beli. Orang beri, kita ambil. Kata bersambut. Panggilan bersahut. Kita berdebat. Maka timbullah hujah menghujah. Tujuan utamanya ialah untuk mencari kebenaran.
Pendapat awak yang benarkah, atau pendapat kita. Kalau pendapat awak yang benar, kita akur, dan kalau pendapat kita yang benar, awak akur. Maka lahirlah kebenaran.
Tapi hari ini, kalau kita ikuti media massa, kata bersambut itu bukan lagi merupakan dialog untuk mencari kebenaran. Tapi sebaliknya menjadi medan umpat mengumpat, hina menghina, cela mencela antara satu sama lain. Tujuannya semata-mata hendak menghina dan memalukan.
Tidak ada lagi tujuan untuk mencari kebenaran. Tapi sebaliknya menncari keburukkan dan kekejian. Menghina orang dengan menjadikan media massa sebagai wadah yang keji.
Yang paling hebatnya, media massa itu sendiri pula sengaja membuka ruang, malah menjadikan dirinya sebagai kuda tunggangan untuk menabur fitnah.
Yang paling dominan ialah di kalangan ahli-ahli poltik atau peminat-peminat politik. Mereka sanggup meleparkan apa sahaja kata-kata untuk menjatuhkan orang lain dan sekali gus mengangkat diri sendiri dan golongan mereka.
Mereka tidak kekok dan silu malu untuk menyelak kain orang, menelanjangkan orang, walaupun tidak berasas sama sekali, hanya semata-mata merupakan tuduhan palsu.
Biasanya perdebatan itu lari dari persolanan pokok kerana diputarbelitkan oleh mereka yang terlibat yang tidak mampu menerima kebenaran. Mereka yang tidak bersedia mengaku tewas, walaupun terang-terang bersalah.
Selagi boleh bertahan, mereka akan memrtahankannya, mereka sanggup mengyongsang fakta, memutarblitkan persoalan, dan terkeluar daripada persoalan asal yang diperdebatkan.
Biasanya timbul orang tengah, tapi bukan bertujuan untuk merelaikan masalah, sebaliknya bertujuan untuk mengapi-api dengan menyebelahi mana-mana pihak yang menjadi puak-puak atau kroni mereka mereka belaka.
Dialog-dialog sumbang ini disuburkan oleh budaya fitnah memfitnah, memburuk-burukkan orang lain. Biasanya yang mereka bongkarkan itu bukanya berupa kepincangan yang wajib diperbetulkan, tapi ia hanya merupakan fakta rekaan yang diolah menjadi rancah fitnah yang menarik.
Kalau mereka dijadikan orang tengah, maka mereka akan membuat keputusan beruk yang memihak kepada diri sendiri, dan kucu-kucunya sendiri.
Yang malangnya, mereka yang terlibat dalam dialog-dialog sumbang ini, yang memihak bukan kepada kebenaran, tapi kepada kekuasaan dan harta, ialah mereka yang tergolong dalam kalangan cerdik pandai, termasuk sesetengah alim ulamak yang tangan dan kakinya telah terikat.
Orang-orang seperti ini, kalau memberi pendapat, maka pendapatnya merupakan pendapat terpilih, khusus kepada sesuatu persoalan yang tertentu sahaja yang boleh memberi keuntungan kepada pihak yang disukai, tapi menyepi dalam pesoalan-persoalan lain yang sewajarnya mereka membuka mulut mengemuka pendapat yang rasional mengenainya.
Kepada mereka mencari kebenaran tidak ada lagi. Yang ada ialah mencari pulus dan kuasa. Dua faktor penting yang menjadi latar belakang setiap permasalahan yang ditimbulkan pada hari ini.
Kerana dua faktor ini. Mereka boleh melakukan apa sahaja, walaupun menjadi pendusta, penghkhianat, penyebar fitnah.
Kebenaran sudah dicicirkan. Telah jauh ditinggalkan di belakang. Orang yang seperti ini menjadi orang yang degil, keras kepala, atau keras keng, yang tujuannya hendak menang sahaja, walaupun tidak layak untuk meraih kemenangan.
Sifat ini adalah sifat tercela yang dimiliki oleh orang-orang kafir yang tidak percayakan Rasulullah. Mereka mengemuka berbagai-bagai hujah untuk menolak kebenaran yang dibawa oeh Nabi S.A.W. dan menolak Muhammad itu sebagai Nabi akhir zaman.
Bagai mana caranya untuk berdepan dengan orang yang keras keng ini?
Pada suatu masa Baginda Rasulullah ditemui oleh seseorang. Dengan tujuan untuk memalukan Baginda S.A.W berkatalah orang itu kepada Nabi S.A.W.”Wahai Muhammad! Orang tua aku telah meninggal dunia. Tapi tahukah engkau Muhammad, di mana mereka berada sekarang?”.
Bila Baginda S.A.W tidak segera menjawab, orang itu mengulangi lagi pertanyaan yang sama. Baginda S.A.W. tidak juga menjawabnya.
Tapi bila orang itu bertanya lagi untuk kali ketiganya, Baginda S.A.W. pun berkata, “Orang tua mu berada di neraka sekarang”.
Orang itu menjadi bungkam mendengar jawapan Baginda S.A.W. yang mungkin tidak diduganya
Saya teringat kepada sebuah kisah pendek mengenai dialog di antara tiga orang manusia istimewa. Ada tiga orang tolol sedang berdialog:
Tolol pertama, “Datok aku dahulu ada perlihara seekor kerbau, amat besarnya, tanduknya sampai ke angkasa. Empat puluh hari burung terbang pun tak akan sampai ke hujungnya”.
Tolol dua, “Datok aku dahulu ada tanam sepohon pokok merbau, batangnya amat besar, jika kerbau datok engkau mengelilingnya selama empat puluh hari pun ia tidak tidak akan sampai setangkup”.
Tolol ketiga, “Datok aku dahulu pula ada membuat sebuah rerbana, amat besar. Jika sekali dipalu bunyi gemanya selama empat puluh hari pun masih boleh didengar lagi”.
Tolol peratama dan Tolol kedua serentak berntanya, “Yakah?”.
Tolol ketiga, “Kenapa tidak? Rebana datok aku itu diperbuat daripada kayu cengal dan kulit kerbau datok engkau berdua”.
Dengan jawapan itu maka bungkamlah kedua-dua tolol lagi itu.
Walau bagaimana pun, kadang-kadang dalam keadaan tertentu, kita lebih baik diam daripada menjawab, mengunci mulut. Namun begitu dalam kedaan-keadaan tertentu pula, kalau kata-kata itu merupakan tuduhan palsu yang boleh memberi mudarat, kita wajib menjawbnya, memperbetulkannya, kecuali kita takut menghadapi kebenaran, takut menghadapi risiko kerana kita berdosa, maka kita pun menjadikan diri kita pekak badak. Bukan keras keng, tapi pekak badak. Diam menyepi, dengan mulut dikunci.
Orang yang keras keng adalah sebahagian daripada ciri-ciri manusia yang hatinya telah terhijab oleh dunia yang fana ini. Mereka telah lupa kepada Akhirat, lupa kepada Allah demi kepentingan diri sendiri, darjah kebesaran, harta benda dan kuasa yang menjadi perhiasan dunia. Mata mereka telah silau dengan kerlipan berlian dunia yang menyebabkan keng mereka menjadi keras.
Mereka lupa bahawa di Akhirat nanti dunia yang kelihatan cantik jelita dan indah berseri ini akan bertukar menjadi wantia tua yang buruk dan hodoh yang kemudian dihumban ke dalam neraka jahanam.
Ia akan menjerit, melolong kesakitan sambil menyeru, “Di manakah mereka yang mencintai aku dahulu?”.
Maka Allah pun memerintah supaya semua pencinta-pencinta dunia itu dilemparkan ke dalam neraka bersama dengan wanita dunia itu. Demikianlah kesudahan nasib mereka yang mencintai dunia dan melupakan akhirat, lalu beristana di neraka bersama dengan kekasih yang dipujanya.
End.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.End.PrEnd
0 comments:
Post a Comment