Nasib Wanita Bertambah Malang
>> Wednesday, June 13, 2012
NASIB WANITA BERTAMBAH MALANG…….
Wahai wanita yang mulia dan dimuliakan, yang mengasih dan dikasihi, yang menyinta dan dicintai, yang begitu besar jasanya kepada dunia sejak bumi berkembang di mana tangan yang menghayun buaian itulah yang mampu mengoncang dunia, dan seperti makhluk-makhluk Allah yang lain juga anda telah menempuh aneka ragam pengalaman dan peristiwa yang mewarnakan kehidupan dunia ini.
Beberapa buah cabutan berita yang telah berlaku ini menggambarkan bagaimana nasib yang telah menimpa kaum wanita, bagimana kelam kabutnya kehidupan mereka, bagaimana malangnya nasib mereka, bagaimana deritanya mereka di sebalik begitu banyak kemajuan yang telah mereka capai dalam seluruh bidang kehidupan di dunia ini.
-Mangsa Rogol Beramai-ramai
Ramai wanita yang tinggal di negara Demokratik Republik Congo, di Afrika yang bergolak itu telah menjadi mangsa perogolan dan pembunuhan kejam oleh tentera-tentera kerajaan DRC Congo. Ribuan wanita telah menjadi mangsa. Malah dalam satu kejadian pada tahun 2010, wanita-wanita yang tinggal di kawasan Walikale telah dirogol beramai-ramai oleh tentera-tentera kerjaan di hadapan sanak-saudara dan penduduk-penduduk kampung. DR.Congol pernah diberi nama jolokan “kota rogol”.
-Mengubah Wajah
Ramai wanita-wanita Arab Saudi hari ini telah mengubah wajah mereka melalui pembedahan. Menurut perangkaannya mereka yang melakukan pembedahan plastik untuk tujuan tersebut, ialah seramai kira-kira 18 peratus di kalangan mereka yang berusia antara 20 hingga 30 tahun, 40 peratus di kalangan wanita yang berusia 30 hingga 37 tahun dan sebanyak 25 peratus di kalangan wanita yang berusia 37 hingga 50 tahun.
-Rela Menjadi Pontianak
Seorang wanita di Amerika, Maria Jose Cristrena berusia 36 tahun, dan mempunyai empat orang anak, juga seorang peguam sanggup mengubah wajahnya yang cantik jelita dengan bertatu menjadikan dia kelihatan seperti pontianak. Dia mendakwa berbuat demikian selepas perkahwinannya gagal dan sebagai lambang kebebasan selepas menjadi mangsa penderaan fizikal bekas suaminya. Kini dia lebih selesa dipanggil dengan nama “Jaguar Woman”.
Sebenarnya masih terlalu banyak berita-berita yang dapat dipungut yang berlaku setiap hari di seluruh dunia, tapi padanlah setakat ini sebagai contohnya.
Selepas Perang Dunia Kedua, satu fenomena yang jelas ketara ialah kedudukan kaum wanita bukan sahaja di negara kita, tapi di seluruh dunia telah mengalami perubahan pesat, meningkat maju dalam semua bidang kehidupan. Mereka menguasai bidang pendidikan, pekerjaan, ekonomi, politik, seni dan budaya, ketenteraan, keselamatan dan sebagainya, malah ada bidang yang hampir dimonopoli oleh mereka seperti pendidikan.
Tapi adakah kemajuan yang mereka perolehi begitu besar itu telah berjaya membuat kehidupan mereka menjadi lebih senang dan bahagia sebagaimana menjadi tujuan hidup setiap manusia di dunia ini?
Pada hari ini bilangan wanita yang bekerja dalam berbagai-bagai sektor memang ramai, malah kian hari kian bertambah ramai. Dengan itu mereka memperolehi sumber pendapatan sendiri untuk menjamin sumber ekonomi kehidupan mereka. Ramai yang jadi doktor, jururawat, jadi magistret, jadi peguam, jadi polis, jadi tentera, jadi pekerja kilang, jadi pelayan, jadi peniaga, jadi guru, jadi wartawan, jadi penulis, jadi pensyarah, dan sebagainya dari kerja serendah-rendahnya membawa kepada pekerjaan sentinggi-tingginya.
Tapi adakah semua wanita yang bekerja itu dengan kerelaan hati mereka sendiri, atau mereka menerjunkan diri di bidang pekerjaan kerana dipaksa oleh keadaan yang tidak menyenangkan seperti desakan-desakan hidup dan tekanan ekonomi dan suasana yang memaksa mereka bertungkus lumus mencari rezeki?
Ada di antara mereka terpaksa bekerja sebaik-baik tamat pengajian dan sebelum mendirikan rumah tangga, dan sebaliknya ada pula mereka yang bekerja selepas mereka mendirikan rumah tangga untuk menambah sumber pendapat keluarga yang mungkin kian bertanbah besar bilanganya dari masa ke masa dengan sara hidup yang kian meningkat hari demi hari.
Bagi anak-anak gadis yang tamat pendidikan di peringkat menengah atau univeristi ada dua pilihan kepada mereka, pertama melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau mencari pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga.
Ini berlaku kerana para pemuda hari ini, mahu tidak mahu terpaksa melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang setinggi-tinggi yang boleh, baik di dalam negeri atau di luar negara untuk menjamin kehidupan masa hadapan mereka, kerana zaman ini peluang-peluang pekerjaan yang lumayan hanya terbuka luas kepada mereka yang mempunyai kelulusan yang tinggi dan baik.
Kerana itu anak-anak gadis tidak mampu menunggu kedatangan segera para pemuda untuk mengambil mereka sebagai isteri, dan sementara itu mereka pula tidak mampu untuk menunggu kedatangan sang pemuda tanpa berbuat apa-apa, atau duduk saja-saja berpeluk tubuh, lalu mereka pun terjun di bidang pekerjaan untuk memperolehi hasil dari titik peluh mereka sendiri.
Sebahagian besar daripada mereka pula keberatan untuk masuk ke dapur tidak seperti kebanyakan wanita zaman dahulu. Malah mungkin ada di antara mereka yang tidak pandai memasak dalam erti kata yang sebenarnnya. Berlambaknya alat-alat kemudahan rumahtangga di pasaran tidak berjaya membantu sepenuhnya tugas kaum wanita di dapur. Itulah sebabnya orang gaji, bibik-bibik mereka perlukan untuk membantu bukan sahaja kerja dapur, tapi seluruh urusan rumah tangga mereka.
Tapi sejak kebelakangan ini untuk mendapat orang gaji, bibik tidaklah semudah seperti di masa-masa yang lampau. Walaupun terpaksa menghabiskan perbelanjaan yang bukan sedikit. Tidak jarang pula orang-orang gaji itu menimbulkan banyak karenah kepada rumahtangga mereka, mencuri, menganinya, menggoda suami dan anak-anak dan sebagainya, semuanya menyebabkan kehidupan wanita menjadi bertambah sulit, bukannya tambah menyenangkan kehidupan mereka.
Walaupun mereka telah didedahkan kepada berbagai-bagai bimbingan, pelajaran, pendidikan namun seperti kaum lelaki juga sebahagian besar dari mereka telah mengambil jalan yang salah, menyebabkan mereka menjadi sesat-barat dalam keriuhan dan hingar-bangar kehidupan zaman moden.
Ada di antara mereka sebaik-baik tamat pengajian terus bekerja, apa sahaja pekerjaan yang boleh mereka capai, kemudian mereka terus mencari pasangan hidup dan mendirikan perkahwinan dengan mana-mana sahaja lelaki yang mereka temui dalam perjalanan hidup mereka. Kemudian mereka akan menukar kerja, dari satu kerja ke satu kerja, dan sejajar dengan itu selepas beberapa tahun mereka pun bercerai dan mencari teman hidup baru atau suami baru untuk memuaskan kehendak naluri mereka yang mendesak.
Walau bagaimana pun tindakan ini lebih baik daripada menjadi pelacur-pelacur kehormat atau kupu-kupu malam atau melakukan kerja-kerja yang tidak berakhlak untuk memburu kemewahan dan kesenangan hidup, atau terlibat dalam kerja-kerja haram menjadi pengedar-pengedar dadah untuk mengejar kemewahan hidup.
Kalau ditelitikan, berbagai-bagai kepincangan telah berlaku dalam masyarakat yang melibatkan kaum wanita, kebanyakannya dijadikan mangsa, seperti meningkatnya bilangan salah laku di kalangan wanita, menjadi pelayan pelanggan, sundal, teman sosial, melahir anak haram, mebuang bayi, mangsa dera, mangsa pencolekan dan mangsa penipuan,mangsa perceraian, ditinggal suami, penyakit reput tulang, penyakit kanser dan sebagainya yang kian menghantui kaum wanita.
Suasana ini telah menimbulkan konflik dalaman yang getir, khususnya di kalangan wanita Islam, pertarungan peribadi, persengketaan jiwa yang sengit antara naluri semula jadi seorang wanita dengan realiti hidup hari ini yang banyak diresapi dan dipengaruhi pemikiran barat yang kotor dan songsang, yang memang bertujuan untuk merosakkan wantia-wantia Islam yang mempunyai kedudukan yang istimewa dan mulia dalam agamanya.
Di satu pehak jiwa mereka cenderung untuk mengikut naluri semula jadi kewanitaan untuk menjadi isteri, dan ibu, tapi di satu pehak lagi relaiti hidup hari ini yang telah tercemar dengan berbagai-bagai fitnah mendorong mereka untuk meninggalkan dunia kewanitaan yang semula jadi dan terus terjun bergelumang dalam masyarakat atas dasar persamaan hak dan demi memenuhi tuntuan dan desakan ekonomi yang kian meghimpit kehidupan.
Kebanyakan wanita dunia akhir-akhir ini lebih bersedia mengkesampingkan naluri kewanitaan mereka yang semula jadi daripada memenuhinya, dan ini yang menyebabkan berlakunya bebagai-bagai penyelewengan dalam kehidupan wanita moden, termasuklah wanita-wanita Islam yang sengaja dijadikan mangsa serangan-serangan isme-isme dan pemikiran yang songsang subur dalam masyarkat barat yang bukan Islam. Mereka ini akan bertindak menafikan keaslian mereka sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab keapada anak-anaknya, dan sebagai seorang isteri, yang mengurus rumah tangga yang telah mereka diri dan binakan itu.
Mereka ini kehidupannya lebih babnyak tertumpu di luar, bekerja dan bekerja, bermesyuarat, berbincang, berpersatuan, beriadah main boiling, berjoging, berpesta, berkembara, berarak ke hulur dan ke hilir,.....hanyut dalam arus kehidupan bersama-sama dengan sampah sarap dunia yang memburukkan lagi keadaan mereka, dan meruntuhkan tapak asas kehadiran mereka di dunia sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.
Mereka memburu sesuatu yang bukan real, tapi hanya bayang-bayang yang tidak dapat dipegang yang menyebabkan teras kehidupan mereka menjadi bergoncang dan roboh dengan sia-sia kerana memburu sesuatu yang tidak wajar menjadi tagik perburuan hidup yang amat berharga ini yang merupakan tempat persinggahan sementara untuk menuju ke alam abadi.
Oleh itu setiap wanita, khususnya wanita Islam, walaupun mereka mempunyai pendidikan dan kelulusan yang tinggi melangit, jangalah mudah melupakan peranan dan tanggung ajwab semula jadi mereka sebagai seorang wanita yang telah digaris oleh Allah dan Rasul-Nya untuk menjamin kebahagian hidup mereka di dunia dan akhirat.
Kalau telah tersilap langkah, perjalanan telah berlarut panjang, walau sejauh mana sekali pun, kembalilah ke pangkal jalan yang benar, undurlah ke belakang, tidak guna terus berada dalam lubuk yang kelam mengejar bayang-bayang yang tidak berpijak di bumi nyata, dan akhirnya dengan penuh penyesalan mereka akan terdampar di fatamorgana belaka. Semuanya hancur dan musnah kerana dibina bukan di atas relaiti yang sebenarnya.
Marilah kita hayati sabda Nabi S.A,W. kepada kita semua sebagai hamba Allah yang akan diminta pertanggungjawabnya nanti oleh Allah S.W.T. tentang kewajipan-kewajipan yang dipikulkan ke bahu kita sewaktu hidup di dunia yang fana ini.
“Kamu masing-masing adalah pemimpin, dan kamu akan bertanggung jawab tentang apa yang kamu pimpin. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang lelaki adalah pemimpin keluarga di rumahnya, dan seorang wanita juga pemimpin rumah suaminya dan anaknya. Jadi setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin”.HR: Bukhari.
Sekian
EndPr.Pr.Pr.Pr,Pr.Pr.End
0 comments:
Post a Comment