Adakah Amalan Malam Nisfu Sya'ban Ajaran Islam Atau Bid'ah?

>> Monday, June 25, 2012



ADAKAH AMALAN MALAM NISFU SYA’BAN AJARAN ISLAM ATAU BID’AH?


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx

Pada malam pertengahan bulan Sya’ban, iaitu pada malam 15 Sya’ban yang dikenali dengan nama Malam Nisfu Sya’ban ada segolongan umat Islam mengadakan ibadat yang khusus pada malam itu dengan membaca Surah Yasin, sembahayang hajat dan berdoa yang khusus untuk malam itu untuk meminta dilanjutkan umur dan dimurahkan rezeki.



Majlis ini biasanya diadakan di masjid-masjid, di surau-surau atau di madrasah-madrasah yang dianjurkan oleh pihak yang berkenaan.



Kamus Dewan Edisi Keempat memberi makna Nisfu Sya’ban itu sebagai berikut:



“Nisfu Syabaan [pertengahan bulan Syabaan [hari kelima belas dalam bulan Syabaan], iaitu antara hari yang dimuliakan oleh Allah dan digalakkan melakukan pelbagai ibadah [seperti membaca al-Quran, berzikir, berselawat, bristighfar dan sebagainya pada malamnya dan berpuasa pada siangnya”.



Tapi adakah amalan umat Islam di malam Nisfu Sya’ban itu benar-benar menepati dengan kehendak syariat, atau ia hanya merupakan rekaan yang termasuk dalam golongan perbuatan bid’ah yang terkeluar daripada ajaran al-Quran dan As-Sunnah yang sebenarnya?



Untuk mengetahui perkara yang sebenarnya sila ikuti tulisan yang diterbitkan dan diedarkan oleh Darul Qur’an Was-Sunnah, Masjid Purnama, Kota Bharu Kelantan yang kita titipkan di sini untuk renungan bersama.



Selamat membaca dan semoga memberi manfaat.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.



Puji-pujian bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah sallahu ‘alaiwasallam.



Hidayat untuk seluruh manusia berada di dalam dua perkara: Pertama seluruh usul yang mengandungi hukum-hukum dan amalan-amalan yang tetap terpelihara bagi setiap zaman supaya manusia mendapat hidayat dengannya. Sumber ini adalah al-Quranul Karim. Kedua: iaitu apa yang dipanggil “Hadis Nabawi” yang mengandungi kehidupan suci murni Baginda Nabi Sallahu ‘Alaihi Wasallam dalam setiap aspek kehidupan manusia yang boleh memimpin mereka ke arah tauladan yang sebaik-baiknya yang dikenal juga dengan “Sunnatur-Rasul”, manakala di dalam al-Quran ia disebut juga dengan “al-Hikmah”.



Agama adalah nama bagi suatu peraturan hidup yang lengkap dan diasaskan di atas hakikat kebenaran yang merangkumi seluruh kehidupan manusia. Agama ang benar ialah yang datang dari sisi Allah Taala dan boleh diterima oleh fitrah manusia yang sihat. Ia bukan dari apa ang diada-adakan oleh mana-mana pihak. Ajaran agama ang salah dapat dikenali kerana ia berdasarkan khayalan-khayalan dan sangkaan yang timbul dari hati yang cenderung kepada dunia dan bergelumang dengan hawa nafsu. Ia memang tersingkir jauh dari sifat fitrah manusia yang sempurna dan hakikat kebenaran yang jelas.



Perkara yang sangat ditentangi oleh Baginda Nabi kita Sallallahu ‘alaihi wasallam selepas syirik ialah bid’ah [rekaan dalam urusan agama]. Kerana dengan adanya bid’ah, keaslian agama yang benar boleh bertukar corak dan tidak boleh lagi dikenal pasti atau dibezakan antara yang asal dengan yang palsu dan antara yang hak dengan yang batil. Allah Subhanahu Wata’ala telah menyebutkan dalam beberapa ayat al-Quran bahawa agama ang benar akan terhapus dengan dua sebab: Pertama, menyembunyikan kebenaran. Kedua, mengelirukan kebenaran. Disebabkan adanya kesamaran begini, agama Allah dapat dipermainkan oleh kehendak nafsu manusia, iaitu dengan menjadikannya sebahagian daripada agama jika dikehendakinya atau mengeluarkannya daripada agama jika tidak menghendakinya.



Maka jadilah agama di waktu itu suatu bentuk amalan rekaaan yang dianggap berpahala jika diamalkan dan bersalah jika ditinggalkan, sedangkan seluruh anbiya’ ‘alaimus-salam diutuskan untuk mengeluarkan manusia dari syirik dan bida’ah sehingga menyebabkan mereka menanggung segala kesusahan. Amat mendukacitakan sekarang ini orang-orang yang digelar ulama’ yang menentingkan dunia terlibat sama dalam syirik dan bid’ah. Hakikat sebenarnya ahlul-bid’ah telahpun mengadakan berbagai-bagai bentuk bid’ah dan adat resam dalam urusan agama, termasuklah upacara di malam “Nisfu Sya’ban”. Dalam masalah ini dua perkara yang perlu dibincangkan.



Pertama, apakah yang dimaksudkan dengan “Lailatun-Mubaraokah” di awal Surah Ad-Dhukan. Mengikut kaedah “Tafsir al-Quranul-Karim bil Quran”, yang dikatakan darjat tafsir yang paling utama, iaitu sekiranya sesuatu masalah itu disebutkan dalam sesuatu ayat itu secara mujmal, yakni secara ringkas maka terdapatlah di dalam ayat lain penerangan tentang ayat tadi. Maka, dalam masalah ini Allah Taala sendiri menerangkan dalam Surah al-Baqarah dan Surah Al-Qadr bahawa apa yang dimaksudkan dengan “Laitun-Mubarokah” itu ialah “Laitul-Qadr” yang berlaku pada bulan Ramadan bukan malam “Nisfu Sya’ban”. Perkara ini telah disebutkan oleh ahlul-Tafsir dalam kitab- kitab mereka, seperti Allamah Alusi dan Allamah Abu Hayyan Andalusi rahmatullahi ‘alahim. Hafis Ibnu Kathir mengatakan sesiapa yang menyebut bahawa maksud “Laitun-Mubarakoh” itu berlaku pada malam Nisfu Sya’ban, maka ia telah menyimpang jauh daripada kebenaran.



Oleh kerana telahpun dinyatakan di dalam al-Quran bahawa apa yang dimaksudkan dengan “Lailatun-Mubarokah” itu ialah “Laitul-Qadr”, sebagaimana yang terdapat keterangannya dalam Tafsir Ibn Kathir rahimahullah, muka surat 137, jilid 4, Allamah Syaukani rahimahullah menulis dalam kitabnya, “Fathul-Qadr”, muka surat 570 jilid 4, bahawa di sisi jumhur mufassirin, “Lailatun-Mubarokah” itu ialah “Laitul-Qadr”, bukannya malam Nisfu Sya’ban. Allamah Ibnu Jarir At-Thabari rahimahullah di dalam Tafsir Jami’ul-Bayan, muka surat 108, jilid 4, menyatakan sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan “Laitun-Mubarakoh” itu ialah Lailatul-Qadr. Begitullah apa yang ditegaskan oleh Imam Fakhruddin Ar-Razi rahimahullah dan Allamah Qurtubi rahimullah. Allamah Muhammad Amin rahimahullah mengatakan di dalam kitabnya Adhwa’ul-Bayan bahawa sesiapa ang mendakwa bahawa “Lailatun Mubarakoh” itu ialah Malam Nisfu Sya’ban, maka dakwaannya batal kerana bertentangan dengan al-Quran, bahkan tiada sak lagi bahawa sesiapa yang menyalahi al-Quranul-Karim, maka dakwaannya batal dan tertolak.



Oleh itu ditinjau kepada keputusan yang dikeluarkan daripada kitab-kitab tersebut jelas menunjukkan bahawa jumhur mufassirin dari kalangan sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa “Lailatun-Mubarakoh” itu adalah “Laitul-Qadr”.



Kedua, benarkah malam “Nisfu Sya’ban itu mempunyai fadhilat sebagaimana yang tersebar di kalangan orang awam? Berkenaan dengan parkara ini tidak terdapat suatu ayat pun daripada al-Quran atau Hadis-hadis Nabi ‘alaihis-solatuwas-salam yang sahih yang menerangkan tentang fadhilat malam “Nisfu Sya’ban. Juga tidak kedengaran berkenaan dengannya daripada kata-kata sahabat atau imam mujtahidin, hanya ahlul-bid’ah mengambil dalil fadhilat “Nisfu Sya’ban” daripada beberapa riwayat yang dibawa oleh perawi-perawi majhul [tidak dikenali latar belakangnya] dan pendusta. Tiada suatupun daripada riwayat-riwayat tersebut yang sampai kepada Nabi sallallahu ‘alahi wasallam dengan sanad ang sahih.



Berikut ini diberikan beberapa petikan yang bersumber daripada kajian muhaddisin dan fuqaha’ mengenai kelemahan dalil-dalil tersebut:



-Allamah Alusi rahimahullah pernah mengatakan dalam tulisannya bahawa semua perawi riwayat fadhilat “Nisfu Sya’ban” adalah majhul [Tafsir Kabir muka surat 111 jilid 25].



-Imam Fakhrul-Razi rahimahullah mengatakan bahawa sebarang dalil bagi orang yang mengatakan fadhilat “Nisfu Sya’ban”, bahkan ia hanya bersandar kepada kisah-kisah yang dicipta oleh sesetengah pihak [Tafsir Kabir, muka surat 238 jilid 25].



-Hafiz Ibnu Kathir rahimahullah berkata, “Mana-mana riwayat yang mengatakan fadhilat “Nisfu Sya’ban” maka ia menyalahi petunjuk al-Quran [muka surat 137 jilid 4].



-Allamah Ibnu ‘Arabi mengatakan bahawa tiada satu riwayat pun berkenaan dengan “Nisfu Sya’ban” yang boleh diterima, oleh itu tidak patut diberi perhatian ke arahnya [Ahkamul-Quran muka surat 179 jilid 4].



-Hafiz Ibni Taimiyah rahimaullah berkata bahawa semua ulama di kalangan salaf, khalaf dan ahli Madinah mengingkari fadhilat malam “Nisfu Sya’ban” [Iqtidha’us-Siratil-Mustaqim, muka surat 302].



-Mulla Ali Al-Qari rahimaullah berkata, “Fadhilat malam “Nisfu Sya’ban” diada-adakan dalam Islam hanya selepas empat kurun berlalu dan riwayat mengenai fadhilat itu adalah maudhu’, satu pun tidak sahih [Maudhu’at Kubra muka surat 462.



-Allamah Syaukani berkata, “Mana-mana riwayat yang ada menyebut tentang fadhilat malam “Nisfu Sya’ban, semua perawinya adalah majhul dan dhaif” [Al-Fawaidul-Majmu’ah Fil-Ahadisi-Maudhu’ah, muka surat 151.



-Allamah Muhammad Amin rahimahullah berkata, “Mana-mana riwayat yang terdapat fadhilat malam “Nisfu Sya’ban maka ia adalah menyalahi al-Qurannul-Karim dan tidak ada sebarang bukti tentang kesahihannya, oleh itu sungguh menghairankan bila mana orang-orang Islam sedang melaku satu pertelingkahan tanpa berdalilkan al-Quran dan As-Sunnah [Adhwa’ul-Bayan, muka surat 319 jilid7].



-Alamah Qurtubi rahimaullah berkata bahawa tiada sebarang Hadis yang sahih tentang fadhilat “Nisfu Sya’ban”, oleh itu janganlah diberikan sebarang perhatian ke arahnya [Qurtubi muka surat 86 jilid 8].



Oleh itu berdasarkan keterangan di atas ternyatalah bahawa beberapa amalan atau upacara tertentu seperti memabca Yasin, bersembahayang hajat secara berjemaah dan berdoa untuk dipanjang umur, dimurahkan rezeki dan mati dengan Husnul-Khatimah adalah “bid’ah sayyi’ah, dhalala” [rekaan dalam urusan amalan agama yang tak berasaskan al-Quran dan As-Sunnah dan boleh membawa kepada kesesatan]. Ia tidak pernah wujud dalam Islam. kecuali hanya selepas empat kurun berlalu. Bahkan sebenarnya dalam perkara “Nisfu Sya’ban" ini ahlul bid’ah telah meniru dan bertaklid kepada golongan “Rafidhah” [Syiah] ang mana dalam kitab Syi’ah ada menyebut bahawa di malam Nisfu Sya’ban itulah Imam Mahdi Al-Muntazhar dilahirkan kemudian ghaib menghilangkan dirinya hingga sekarang. Oleh yang demikian malam Nisfu Sya’ban itu mempunyai fadhilat yang tersendiri mengikut kepercayaan mereka.



Sayang seribu kali sayang orang-orang Islam sedang mengikut jejak langkah golongan Syi’ah yang sesat lagi menyesatkan dan membelakangkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para ulama mu’tabar.



Semoga Allah Subhanahu Wata’ala menyelamatkan kita semua daripad amalam bid’ah dan khurafat. Amin ya Rabbal-‘alamin.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd

2 comments:

Minyak Anugerah PakSyed July 4, 2012 at 7:18 PM  

Malam ini malam nisfu sya'ban beerti sudah 15 syaban 1433h. Mungkin ramai dari kalangan ibu-ayah kita yang akan pergi ke masjid malam nanti untuk membaca yasin 3 kali dan mendengar kuliah sempena malam nisfu sya'ban ini.

Tidak kurang juga ada dikalangan kita yang berpuasa disiang harinya demi mencari keberkatan yang terkandung di dalam hari tersebut.

Apa yang menjadi masalah, setiap kali datangnya nisfu sya'ban ini akan wujud perbalahan dari segi ilmiah mahu emosi.

Ada yang membicarakan tentang soal bidaah dan ada juga yang membincangkan soal pahala sunat. Masing-masing dengan hujah dan dalil. Ada dalil yang lemah ada dalil yang kuat.

Memang tidak dapat dinafikan lagi membaca yasin 3 kali itu tidak lakukan oleh Rasulullah s.a.w. Tetapi kita mesti mengkaji kenapa boleh timbul amalan tersebut.

Ini mungkin kerana cara pendidikan ulama-ulama silam yang ingin mengajar masyarakat agar rajin membaca al-Quran. Bukan hanya pada malam nisfu sya'ban tetapi pada setiap malam.

Kerana terdapat banyak dalil dari kelebihan membaca al-Quran dan al-Quran juga akan menjadi syafaat (penolong) bagi kita di padang mahsyar nanti, insyallah.

Tentang persoalan puasa di hari nisfu sya'ban pula, para ulama-ulama silam mengambil dari hadis, yang mana Rasulullah suka berpuasa hari putih yakni berpuasa pada setiap 13,14 dan 15 bulan hijrah.

Jadi bagi pendapat aku, tidak ada masalah tentang beramal pada hari dan malam nisfu sya'ban ini. Mungkin kita boleh jadi ia sebagai sebuah latihan untuk terus beramal dan mengapai keredhoan Allah.

Jika ada yang membicarakan tentang persoalan-persoalan kecil ini, perlulah diingatkan bahawasanya banyak persoalan besar seperti masalah anak orang Islam yang sudah murtad, tidak menutup aurat, yang melahirkan anak zina, pemimpin yang tidak menggunakan hukum Islam, orang Islam yang minum arak dan terlalu banyak lagi..

Itu semua permasalahan yang lebih besar yang patut dijadikan isu. Bagi mereka-mereka yang ingin berubah dan mahu menjadi baik, doakan agar mereka senantiasa di bawah naungan rahmat Allah.. Allahua'lam.

Anonymous,  January 19, 2013 at 8:38 PM  

Assalamualaikum

Ibadah yg beliau (Nabi MUhammad) tidak melakukan dan kita lakukan akan ditolak. Benarkan?

Benar sekali, “Dari ‘A’isyah RA, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang melakukan suatu yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak”. (Shahid Muslim, [243])
Maksud perintah KAMI, adalah hal-hal yg berkait dengan ibadah, dengan syariat agama seperti cara Solat, cara puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Contohynya sekira kita mengubah rakaat dlm solat, itulah yg tertolak. Pula tahlil, peringatan hari kebesaran Islam seperti Maulid, ini bukan masuk dalam syariat agama.

Sunnah Rasul saw, atau menghalalkan apa apa yang sudah diharamkan oleh Rasul saw atau sebaliknya, inilah makna hadits beliau saw :
“Barangsiapa yang membuat buat hal baru yang berupa keburukan...dan sebagainya”, inilah yang disebut Bid’ah Dhalalah.

Beliau saw telah memahami itu semua, bahwa kelak zaman akan berkembang, maka beliau saw memperbolehkannya (hal yang baru berupa kebaikan), menganjurkannya dan menyemangati kita untuk memperbuatnya, agar ummat tidak tercekik dengan hal yang ada dizaman kehidupan beliau saw saja, dan beliau saw telah pula mengingatkan agar jangan membuat buat hal yang buruk (Bid’ah dhalalah).

Jelaslah bahwa Rasul saw menjelaskan pada kita untuk mengikuti sunnah beliau dan sunnah khulafa’urrasyidin, dan sunnah beliau saw telah memperbolehkan hal yang baru selama itu baik dan tak melanggar syariah, dan sunnah khulafa’urrasyidin adalah anda lihat sendiri bagaimana Abubakar shiddiq ra dan Umar bin Khattab ra menyetujui bahkan menganjurkan, bahkan memerintahkan hal yang baru, yang tidak dilakukan oleh Rasul saw yaitu pembukuan Alqur’an (menyatukan jama’ah tarawih di masjid, adzan Jum’ah dua kali dan lain-lain), lalu pula selesai penulisannya dimasa Khalifah Utsman bin Affan ra, dengan persetujuan dan kehadiran Ali bin Abi Thalib kw.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP