Dalam Penerbangan
>> Tuesday, May 29, 2012
DALAM PENERBANGAN
Saya ada beberapa pengalaman yang tidak seronok perjalanan dengan kapal terbang, antaranya berkaitan dengan keadaan cuaca maya di luar kapal terbang yang sedang melayang di angkasa yang terletak di luar kawalan manusia. Hanya Allah sahaja yang menentukannya.
Pengalaman ini saya tempuhi sekali lagi beberapa hari yang lalu.
Selepas berada beberapa hari di Kuala Lumpur kerana sesuatu urusan, dua malam lepas [27 Mei, 2012] saya berada dalam penerbangan dari KL ke Kota Bharu. Penerbangan larut senja. Kapal terbang itu tidak penuh dengan penumpang, tidak seperti dalam perjalanan dari KB-KL tempoh hari.
Seperti biasa pada permulaannya udara dalam kapal terbang terasa meruap kepanasan. Saya terpaksa menanggalkan baju sejuk daripada membungkus badan saya. Dan setelah berjalan selama lebih setengah jam baru udara dalam kapal terbang itu terasa sejuk yang menyegarkan.
Pada permulaannya perjalanan kapal terbang lancar. Tidak ada apa-apa gangguan cuaca seperti dalam perjalanan KB-KL sebelumnya. Tapi bila kapal terbang hampir hendak mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Pg. Chepa, penerbangan kapal terbang terasa terganggu kelancarannya, terasa kapal terbang mentubruk awam tebal, dan kadang-kadang terasa kapalterbang “terjatuh” dengan mengejut.
Sejurus selepas pengumuman dibuat oleh pramugari bahawa kapal terbang akan mendarat tidak lama lagi, dari tingkap kapal terbang kelihatan kilat memancar-mancar tidak henti-henti, dan gangguan perjalanan kapal terbang kian terasa, kadang-kadang terasa kapal terbang itu menjunam turun, kadang-kadang terasa terbang mendatar dan kadang-kadang terasa terbang ke atas.
Saya mulai merasa keraguan dan kepelikan. Biasanya tidak begitu keadaannya bila pengumuman pendaratan telah dibuat.
“Pelik”, kata saya kepada penumpang di sebelah, seorang lelaki muda, “biasanya kapal terbang tidak mengambil masa begini lama untuk mendarat”.
“Yalah”, katanya.
Bila saya memandang ke luar tingkap, kilat masih sabung menyabung, gegaran kapal terbang kian terasa. Dalam keadaan tertanya-tanya begitu, tiba-tiba kedengaran pengumuman dibuat oleh Kapten Juruterbang, setelah memperkenalkan dirinya, beliau memberi tahu kapal terbang sedang berlegar-legar di Selatan Kota Bharu, kerana tidak dapat mendarat, hujan terlalu lebat.
~~~~~~~~~~~~~~~Lapangan Terbang Di Surabaya. Gambar hanya Hiasan.
Katanya, kalau hujan tidak berhenti, kapal terbang terpaksa pergi ke Pulau Pinang, untuk mengisi minyak.
“Marilah kita semua berdoa minta hujan berhenti”. Beliau menamatkan pengumumannya.
Terlintas dalam fikiran saya, alangkah baiknya setiap kali hendak memulakan penerbangan pihak pengendali penerbanan meminta para penumpang berdoa untuk keselamatan penerbangan dan sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.
Dalam kepala saya terlintas sekejap kepada nahas kapal terbang yang baru berlaku di Indonesia yang meragut nyawa semua penumpangnya.
“Oh, patutlah”. Kata penumpang di sebelah saya. Dalam perbualan singkat sebelum itu, dia memberitahu dia seorang guru mengajar di Petaling Jaya, isterinya juga seorang guru, mengajar di Perak. Sudah lima tahun dalam keadaan seperti itu.
“Minta tukar pun tak dapat”. Katanya. Dia juga memberitahu isteri dan keluarganys sekarang berada di Mekah buat umrah, sementara itu dia ingin balik ke kampung untuk menjenguk keluarganya.
Saya teringat tentang pertukaran guru-guru. Ramai para pendidik yang saya temui, memberitahu ketidakpuasan hati mereka dengan sistem pertukaran yang berlangsung sejak sekian lama. Sebahagian besar guru merungut dengan sistem pertukaran yang telah berjalan sekian lama itu, kerana ramai dari mereka mengalami kesukaran untuk bertukar, tapi sebahagian kecil dari mereka pula mudah, malah terlalu mudah untuk bertukar.
Bila kita bercakap mengenai pertukaran guru-guru, kita tidak akan terlepas daripada mendengar perkataan “kabel”. Kata mereka kalau ada “kabel besar”, mudah sahaja hendak bertukar, boleh pilih ke mana tempat yang disukai dan bila-bila masa sahaja, kalau tidak ada “kabel”, payah, dengan alasan tidak ada tempat”.
Saya tertanya-tanya, kalaulah benar-benar ada “kabel” dalam pertukaran guru-guru ini, berdasarkan kroni atau politik, adakah mereka yang bertanggungjawab itu tidak takut akan Allah, bahawa pada suatu masa nanti mereka akan menerima hukuman, baik di dunia atau di akhirat. Tidak takutkah mereka kepada doa orang-orang yang dizalimi, sedangkan Allah telah berjanji doa orang-orang yang dizalimi itu akan dikabulkanNya? Tidakkah mereka mengambil iktibar terhadap nasib mereka yang terdahulu?
Tidakkah mereka menduga, mereka yang merasa dirinya dizalami itu, pada mulanya berdoa kepada Allah supaya permohonan mereka untuk bertukar dikabulkan Allah, tapi setelah mereka menyedari mereka telah dizalami, mereka mungkin menukar haluan doa-doa mereka supaya Allah menimpakan pembalasan yang setempal terhadap orang-orang yang menzalami mereka itu?
Tiba-tiba kayalan saya teganggu dengan pengumuman pramugari bahawa kapal terbang akan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Bila saya pandang ke luar tingkap, hujan telah berhenti, kilat pun tidak memancar-mancar lagi. Setelah berlegar-legar di udara selama kira-kira dua puluh minit, barulah terasa kapal terbang mencecah bumi, dan akhirnya terhenti.
“Alhmadulillah!”. Kata saya lega.
Bila kami memijak anak tangga untuk turun, hujan hanya berdebu sahaja.
Sebelum melepasi pintu keluar, saya terpaksa menunggu sebuah kopor pakaian saya. Untuk mengelak daripada salah ambil beg orang, di pemegang kopor saya itu saya ikat dengan riben warna merah jambu [pink], dan di sisinya pula dilekat dengan teg nama dan nombor telefon saya.
Bila sebuah kopor yang bertanda dengan riben warna merah jambu dan bentuknya serupa kopor saya berada bertentangan dengan tempat saya berdiri, saya pun menarik kopor itu turun dari tempat letak barang bergerak [conveyor] itu. Saya memereksa kopor itu, mencari tag nama saya, tapi tidak pula berjumpa. Tiba-tiba dalam keadaan mencari-cari itu, datang seorang wanita memberitahu, “Ini beg saya Pak Cik, saya ikat dengan riben pink”.
“Pak cik pun ikat beg Pak Cik dengan riben seperti ini juga. Pak Cik sedang mencari teg nama Pak Cik, tapi masih belum jumpa”.
Tiba-tiba wanita di sebelah yang juga menunggu kesampaian begnya berkata, “Peninglah tu, kerana lama berada di atas kepal terbang”, maksudnya kapal terbang itu lambat untuk mendarat, dan terpaka berlegar-legar di udara buat beberapa waktu.
Saya tidak kuasa menjawabnya. Setelah kopor saya sampai, saya menariknya ke bawah, dan setelah mempastikan kopor itu benar-benar kepunyaan saya, maka saya pun menariknya menuju ke pintu keluar ruang menunggu barang lapangan terbang.
Dalam hati saya merasa sedikit terkilan kerana tidak sempat memohon maaf keapda wanita tersebut, malah tidak juga sempat melihat wajahnya, kerana ia berlaku pantas dan dalam keadaan saya sibuk dengan mencari kopor pakaian saya.
Di luar pintu keluar, tiga orang cucu saya dan anak perempuan saya sedang menunggu ketibaan saya, cucu-cucu yang sibuk dengan laungan.” Atuk, atuk, atuk, atuk!”.
EndPr.Pr.Pr.Pr.PrEnd
0 comments:
Post a Comment