Ya Allah! Jadikan Kami Jiran Yang Baik

>> Thursday, May 10, 2012


YA ALLAH JADIKAN KAMI JIRAN YANG BAIK!!



Hari ini berpindah dari satu tempat ke satu tempat adalah perkara biasa. Perpindahan itu mungkin berlaku ke suatu tempat yang dekat, ataupun ke suatu tempat yang jauh, untuk jangka masa yang panjang atau pendek, atau pun untuk selama-lamanya.



Ada beberapa faktor yang mendorong atau memaksa seseorang untuk berpindah kediaman. Mereka berpindah kerana pekerjaan, mungkin kerana mencari kerja atau bertukar tempat kerja. Seperti bertukar dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur atau ke lain-lain tempat.



Manusia mungkin berpindah kerana faktor ketenteraman atau keselamatan. Andainya di tempat kediamannya yang asal tidak lagi aman dan selamat kepada harta benda, nyawa dan agamanya, maka mereka mungkin berpindah ke tempat baru yang lebih terjamin keselamatannya.



Dan orang-orang yang berpindah atau behijrah kerana Allah itu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.



Allah berfirman, dalam kitab suci al-Quran.”Dan orang yang berhijrah kerana Allah setelah mereka dizalami, pasti Kami akan memberikan tempat yang baik kepada mereka di dunia. Dan pahala di akhirat pasti lebih besar, sekiranya mereka mengetahui”. An-Nahl:41



Kami juga sepanjang hidup ini telah beberapa kali berpindah tempat tinggal, termasuk berpindah ke ibu negara, Kuala Lumpur. Setiap kali berpindah tempat tinggal, bererti setiap kali kita berhadapan dengan suasana-suasana baru dan juga manusia-manusia baru, termasuk jiran-jiran tempat kita tinggal.



Justeru itu kita akan menempuh berbagai-bagai pengalaman baru dengan manusia baru yang menjadi kawan sekerja dan juga jiran-jiran berhampiran tempat tinggal kita. Seperti biasa, pengalaman-pengalaman itu, ada yang lucu dan sedih, dan sebagainya.



Di sini saya utarakan sebahagian daripada beberapa pengalaman kami dengan manusia yang pernah menjadi jiran-jiran kami untuk dikongsikan bersama dengan anda, semoga memberi manfaat jua.



Dituduh Mencuri



Pada suatu hari kami baru sampai ke rumah. Sebaik-baik turun dari kereta di halaman rumah, kami lihat hari hendak hujan. Langit gelap, dan angin mulai berhembus. Dari kejauhan, kelihatan hujan telah pun turun.



Kami lihat jiran di sebelah rumah kami tidak ada di rumah. Pintu pagarnya berkuci, dan tingkap tertutup. Kami lihat di luar rumahnya mereka menjemur pakaian, termasuk pakaian sekolah anak-anak mereka yang sudah kering.



Didorong oleh rasa bertanggungjawab sebagai jiran, kami pun menolong mengangkat kain-kain yang telah kering itu dari sidaian, dan manyimpannya di rumah kami buat sementara waktu, dan menyerahkannya kembali kepada jiran itu setelah mereka balik.



Tapi keesokan harinya, hebuh jiran-jiran mengatakan, jiran yang kami tolong angkat pakaiannya dari sidaian itu telah memberitahu mereka sepasang setoking anaknya yang dijemur itu telah hilang, dan dia dengan terang-terang menuduh kami telah mencurinya dengan maki dan hamun.



Terkejut dengan tuduhan itu, kami mencari-cari stoking yang dikatakan hilang itu, takut-takut tercicir di rumah kami, tapi tidak ada, dan kami menanya anak-anak kami takut-takut mereka mengambilnya kerana menyangka stoking mereka. Tapi tidak ada,



Terasa malunya usah dikata. Tidak sangka pula niat kami yang baik itu telah bertukar menjadi fitnah yang memalukan. Buat apalah kami hendak mencuri setoking yang pada masa itu harganya tidak sampai RM2.



Tapi Allah Maha Kaya, beberapa hari kemudian, jiran-jiran memberitahu, jiran kami yang menuduh kami mencuri stoking anaknya itu, telah menemui stoking yang dikatakan kami mencurinya itu. Rupa-rupanya stoking itu tidak dibasuh, maka tidak adalah dalam kumpulan pakain yang kami angkat itu.



Alhamdulillah, kami mengurut dada lega!



Kucing



Kami pernah juga berpengalaman dengan jiran yang gemar memelihara kucing. Kucing peliharaannya bukan seekor, tapi banyak ekor. Tapi kucing-kucing itu tidak dikurung, dibiarkan bekeliaran ke sana ke mari ke rumah-rumah jiran.



Saya rasa rumah kamilah yang paling digemari untuk dikunjung oleh kucing-kucing itu, kerana di halaman rumah kami, terdapat pasir yang kami gunakan untuk menimbus tanah rendah daripada ditakungi air.



Kucing-kucing itu sangat suka berak dan kencing di atas pasir tersebut. Kadang-kadang selepas berak, kucing itu menimbusnya denga pasir dan kadang-kadang dibiarkannya begitu sahaja.



Dan setiap kami balik ke rumah, bau tahi kucing itulah yang kami hidu, malah kadang-kadang juga terpijak, bila kami tidak hati-hati.



Pintu-pintu rumah tidak dapat dibuka tanpa perhatian, kerana kucing-kuncing itu mungkin akan mencuri naik ke rumah, dan selain daripada mencari makanan, juga menkencingnya di atas kapet.



Kadang-kadang bila musim hujan, kucing itu kencing dalam pasu bunga yang diletak di tangga rumah. Kami mengetahuinya, bila bau air kencing kucing itu memenuhi hidung kami.



Dituduh Mengkhianat



Peristiwa itu hampir sama dengan di atas, berpunca daripada menolong mengangkat kain jiran daripada ditimpa hujan juga.Tapi kali ini tuduhan yang kami terima jauh lebih berat dari yang pertama itu.



Selepas beberapa hari daripada kami tolong mengangkat kain sidaian seorang jiran, tiba-tiba anak jiran itu jatuh sakit. Serius juga penyakitnya.



Anak itu telah dibawa menemui seorang bomoh. Dan mengikut pendapat bomoh itu anak itu terkena “buatan orang”, ertinya kena sihir yang dikenakan melalaui pakaian anaknya itu. Kebetulan beberapa hari sebelum itu, kamilah yang mengangkatkan pakaian yang mereka jemur. Menurut bomoh itu hasad dan dengkilah yang menjadi puncanya.



Malangnya buat kami, kerana mengikut imaginasi yang diberi oleh bomoh itu, pengkhianat itu adalah sesuai dengan kami.



Maka jiran kami itu terus menuduh kami yang “membuat” anaknya sakit. Demikianlah yang dibertitahu kepada jiran-jiran yang lain yang kemudiannya menyampaikannya kepada kami.



Untuk beberapa hari dalam siri rawatan, dia sekeluarga tidak boleh melintas di hadapan rumah kami. Kerana itu untuk pergi dan balik ke tempat kerja, kereta mereka terpaksa ditinggal di tepi jalan sebelum daripada melewati rumah kami dan mereka juga terpaksa berjalan kaki melalui jalan lain yang agak jauh untuk sampai ke rumah mereka.



Tuduhan itu membuat kami mengucap panjang. Kami tidak tahu, apakah yang hendak kami dengkikan kepada mereka, dan tidak pernah pula terlintas di hati kami untuk melakukan kerja-kerja terkutuk itu.



Tapi tidak lama kemudian anak jiran yang sakit itu dirujukkan ke rumah sakit dan didapati mengalami komplikasi penyakit buah pinggan.



Kami tidak pasti adakah mereka masih lagi percaya bahawa kamilah yang menjadi punca kepada penyakti anaknya itu.



Walau bagaiama pun tidak lama selepas itu, dengan pertolongan seorang hamba Allah, kami telah dapat mengesan dan menemui sesuatu bahan yang diletak oleh seseorang di belakang rumah kami dan dipercayai untuk menganiayai kami.



Namun begitu kami tidak berani menuduh siapa yang melakukannya, kerana kami tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh.



Semoga Allah mengampunkan kami semua.



Bersengketa Di waktu Malam



Di salah sebelah rumah sewa kami terdapat lagi sebuah rumah sewa yang dipisahkan oleh sebuah lorong laluan seluas beberapa kaki, yang hanya telus dilalui dua buah motosikal yang berselisih. Rumah sewa itu diduduki oleh sepasang suami isteri yang masih muda dan baru mempunyai seorang babi yang masih kecil.



Suaminya bekerja dan isterinya suri rumah. Setiap dua tiga malam sekali, dari rumah itu kedengaran bunyi bising, kerana kedua-dua suami itu bertengkar dengan suara yang lantang.



Kadang-kadang terdengar juga bunyi benda-benda di baling yang jatuh ke lantai atau tertampar pada dinding. Kadang-kadang saya yang telah tidur pun terjaga dibuatnya. Tapi apa nak buat.



Tapi “peperangan” itu tidak lama berlangsung. Kemudian kesepian kembali menyelubungi rumah itu buat beberapa waktu. Tidak ada apa lagi yang kedengaran. Mereka telah berdamai agaknya.



Kemudian kendengaran pula suara mereka bercakap-cakap dan ketawa gembira dan suka hilai memecah kesunyian malam yang berlangsung buat beberapa waktu sehingga suasana kembali sepi.



Begitulah yang berlaku setiap tiga empat malam sekali. Demikianlah Allah jadikan manusia beraneka ragam.



Sampahnya Dibakar



Pada suatu hari kami lihat beberapa pohon pokok bunga dan buah-buahan di hadapan rumah kami, dengan tiba-tiba mulai mengering tanpa diketahui sebabnya.



Ada di antaranya pokok bunga itu terus mati secara mengejut. Layu kekeringan, termasuk pokok jambu dan mangga yang sedang hidup subur.



Kenapa? Bila kami periksa, rupa-rupanya jiran di sebelah rumah membakar sampah yang dikumpulkannya banyak-banyak berhampiran pagar rumah kami dan membakarnya.



Daripada apa yang kami lihat, api bakaran itu besar dan menjulang tinggi, kerana pada pokok kelapa mereka, kami lihat ada kesan-kesan terbakar sampai ke daun dan pada buah-buahnya juga. Demikian juga pokok-pokok pisang berhamparian dengan tempat pemabakarnya itu menjadi hangus kekeringan.



Kami juga baru faham, kenapa beberapa pohon pokok bunga kertas kami yang sedang tumbuh subur yang di tanam berhampiran di situ, tiba-tiba menjadi kering dan mati tidak lama sebelum itu. Kerana sebelum ini kami menyangkanya akibat di makan oleh anai-anai. Tapi tidak rupanya!



Bakaran sampah jiran itulah yang membunuhnya.



Apa yang dapat saya buat, selain daripada berdoa kepada Allah supaya mereka tidak lagi mengulangi perbuatan seperti itu di masa-masa akan datang. Dan berdoa semoga Allah memberi kesabaran kepada kami.



Kambing



Pada suatu hari, kami membeli dua buah pasu bunga yang agak besar, untuk ditanam dengan sejenis pokok pinang hiasan dan diletakkan di kiri kanan sebelah luar pintu pagar rumah kami.



Tapi besoknya kami lihat, sebahagian daripada daun-daun pokok pinang yang kami baru tanam semalam itu telah hampir habis dimakan oleh kambing-kambing.



Rupa-rupanya jiran kami yang memelihara kambing itu melepaskan kambing-kambingnya di waktu-waktu tertentu untuk berkeliaran.



Kami tidak kisah, kami biarkan juga pasu bunga itu tetap di situ. Beberapa hari kemudian, kami lihat semua daun-daun pokok itu dibahan lagi oleh kambing.



Kami biarkan juga di situ, dengan harapan tuan empunya kambing, sedar dan tidak melepaskannya lagi bila melihat kambing-kambingnya yang telah memangsakan tanaman kami.



Tapi tidak ada apa-apa perubahan, dan akhirnya kedua-dua pokok itu hanya tinggal batang dan pelepah daunnya sahaja dan hampir mati.



Dan akhirnya, kira-kira setahun kemudian. Barulah kedua-dua buah pasu itu kami angkat dan pindah ke bahagian halaman rumah di sebelah dalam yang berpagar. Dan kami terpaksa menanamanya dengan pokok yang baru, dan harganya sepohon tidak kurang dari RM30.



Saya akhiri tulisan ini dengan doa semoga Allah menjadikan kami jiran yang baik, tidak menyakiti jiran-jiran kami, dan menyenangkan hati mereka. Jadikanlah kami ini sebagai jiran yang boleh diharap dan bertimbang rasa dan sabar serta sentiasa mengambil berat tentang jiran-jirannya.



Amin!



xEnd.Pr.Pr.Pr.Pr,Pr.PrEnd


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP