Mencegah Rambut Gugur

>> Monday, May 7, 2012


KEJELITAAN KEMBALI KE BUMI HIJAU



MENCEGAH RAMBUT GUGUR



Salah satu problam yang biasa dihadapi oleh rambut, terutama kepada kaum wanita ialah keguguran rambut.Kalau sekadar sehelai dua rambut yang gugur melekat pada sikat sekali sekala, mungkin tidak menjadi masalah. Tapi akan menjadi masalah jika rambut yang gugur itu beterusan, lebih-lebih lagi dalam kadar yang banyak.



Ketika saya masih kanak-kanak dahulu, seorang jiran saya, seorang janda yang lawa, mempunyai rambut yang panjang melewati punggugnya. Ramai lelaki yang tergila-gilakannya. Tapi entah kenapa, seorang pun masih belum berjaya bertakhta di hati wanita itu.



Tiba-tiba pada suatu pagi, ketika bangun dari tidur, semua rambutnya yang panjang dan cantik berkilat itu telah gugur dari dari kepalanya. Dia melihat selonggok rambutnya yang gugur itu terbaring di atas bantal tidurnya. Kepalanya telah menjadi licin tandus, botak.



Bayangkanlah bagaimana perasaan seorang wanita yang mempunyai rambut panjang yang begitu cantik, tiba-tiba dalam sekelip matanya kepalanya berubah menjadi botak? Rasa sedih dan malu tidaklah dapat dibayangkan mengharu perasaan dan jiwanya.



Khabar-khabar angin yang berlegar-legar di sekeliling kampung mengatakan bahawa wanita itu telah terkena sihir seorang lelaki yang sakit hati kerana cintanya tidak bersambut. Selepas kejadian itu wanita tersebut dan keluarganya berpindah dari kampung bersama-sama dengan seorang anak lelaki dan ibunya.



Saya angkat kisah ini untuk menunjukkan bagaimana pentingnya rambut itu kepada seseorang, lebih-lebih lagi kepada seorang wanita.



Oleh itu jagalah rambut anda sebaik-baiknya, bukan sahaja supaya sentiatasa sihat dan segar, tapi juga supaya rambut-rambut yang menghias kepala titu tidak gugur berderaian, seperti daun-daun getah yang gugur di musim kemarau panjang.



Di sini diutarakan beberapa petua peninggalan nenek moyang kita untuk mencegah rambut daripada menjadi mangsa keguguran. Ikutlah dengan senang hati dan jika merasa ada gunanya cubalah amalkan sekadar kemampuan.



-Bawang Merah



Ambil lima ulas bawang merah, tumbuk atau kisar sampai hancur. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk yang berisi air suam secukupnya. Kacau-kacau hingga rata, dan biarkan selama beberapa minit.


Nasi putih ulamnya kacang


Makan dengan tumisnya kerang,


Adik manis rambutnya panjang


Buat penyejuk hatinya abang



Kemudian basuhkan kepala dengan air tersebut, dan biarkan selama lima belas minit.



Selepas itu, cuci kepala dan rambut hingga bersih.



-Nasi



Bahan-bahan yang diperlukan ialah, nasi segenggam, sebiji limau nipis dibelah dua, sedikit garam dan air bersih secukupnya.



Masukkan air ke dalam sebuah mangkuk, kemudian masukkan sekepal nasi dan limau nipis yang dibelah, serta sedikit garam. Kacau-kacaukan semuanya hingga rata.



Embunkan bahan tersebut di tempat terbuka semalaman. Pagi besok perahkan limau nipis yang direndam supaya keluar airnya, dan kacau-kacaukan lagi hingga rata.



Gunakan air itu untuk membasuh rambut dan kepala, dan biarkan selama kira-kira tiga jam, kemudian cuci rambut dengan air biasa hingga bersih.



-Halba



Bahan-bahan yang diperlukan ialah halba segenggam, buah sintuk beberapa keping. Masukkan kedua bahan itu ke dalam sebuah mangkok, dan rendamkan selama kira-kira tiga jam.



Kemudian masakkan kedua-dua hahan itu dengan air yang secukupnya, dan biarkan halba menjadi kembang dan airnya menjadi perang, kemudian biarkan hingga ia sejuk. Ramas-ramaskan halba dan buah sintuk itu hingga menjadi hancur.



Lumurkan adunan tersebut ke kulit kepala sambil memicit-micitnya dengan hujung jari.



Biarkan selama lima belas minit, kemudian cuci kepala dengan air yang bersih.



Petua ini bukan sahaja dapat mencegah rambut dari gugur, tapi juga dapat menyubur dan melebatkan rambut.



Insyallah ia berkesan jika diamalkan sekali seminggu.



-Limau Nipis



Bahan-bahan yang diperlukan ialah limau nipis sebiji, dan putih telur ayam sebiji, sebaik-baiknya telur ayam kampung.



Potong limau itu nipis-nipis dan gosok-gosokkan ke seluruh kulit kepala, disusuli dengan melumurkan putih telur itu ke seluruh kulit kepala.


Lakukan pada waktu malam sebelum tidur, kemudian balut kepala dengan tuala yang bersih, dan biarkan semalaman.


Daun pinang dibuat kajang


Hijaunya warna daun sintuk,


Tengkuk jinjang rambutnya panjang


Bertudung kepala meliuk-lintuk



Pagi besok cucilah kepala dengan air suam, kemudian bilas dengan air sejuk ynag biasa hingga benar-benar bersih.



-Lemak Ayam



Ambil lemak ayam secukupnya, masak hingga jadi minyak.


Sapukan minyak ayam itu ke kulit kepala pada waktu malam sebelum tidur, dan biarkan semalaman.



Pagi besok cucilah kepala hingga bersih.



Menurut beberapa orang bidan kampung dan tukang urut bahawa minyak ayam ini juga berguna untuk dijadikan minyak urut.


EndPr.pr.pr.pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP